Setiap malam menjelang hari minggu, kaki lima dan lorong- lorong berhampiran tapak Pasar Satok di Kuching tidak jauh bezanya dengan malam-malam di Lorong Haji Taib dan Chow Kit di Kuala Lumpur.
Pemandangan kaki lima yang dipenuhi oleh tubuh-tubuh manusia adalah perkara biasa bagi masyarakat di sini terutama bagi yang singgah makan pada lewat malam di warung berhampiran.
Namun, berbeza dengan lorong-lorong di Kuala Lumpur, lorong- lorong gelap di sini tidak dipenuhi penagih yang melepaskan gian tetapi oleh warga emas yang datang dari kampung-kampung dari pedalaman.
Mereka adalah antara peniaga yang datang dari daerah Bau, Lundu, Serian dan Padawan pada setiap petang Sabtu untuk berniaga di Pasar Tamu Satok setiap hujung minggu.
'Pasar Satok' bermula setiap pagi Sabtu dan berakhir pada tengah hari Ahad sememangnya tidak asing. Ia antara tarikan utama kepada pelancong ke negeri Sarawak.
Berbalik kepada cerita lorong tadi, tujuan mereka memenuhi kaki lima itu hanyalah sekadar bermalam sebelum memulakan perniagaan pada keesokkan harinya. Seawal mungkin.
Setiap malam Ahad, lorong dan kaki lima di situ akan dijadikan rumah sementara kepada golongan peniaga ini untuk melepaskan penat dengan sebahagiannya menghabiskan masa bersembang sesama mereka.
Kebanyakan mereka saling mengenali antara satu sama lain kerana sudah bertahun-tahun berniaga di pasar minggu berkenaan.
Maling Taati, 60, peniaga dari Bau ketika ditemui penulis berkata, beliau mula berniaga di situ sejak zaman bujang dan sekarang masih meneruskan kerja itu untuk menampung perbelanjaan keluarganya.
''Setiap hari Sabtu, saya dan beberapa lagi peniaga dari Bau akan turun ke Kuching menaiki van sewa bersama hasil-hasil tanaman untuk dijual.
''Setiap orang dikenakan tambang RM16 dan tambahan RM3 untuk barang yang dibawa," katanya.
Ujarnya, pendapatan kira-kira RM150 yang diperolehi sepanjang dua hari berniaga di situ cukup untuk menanggung keluarganya di samping kerja-kerja lain yang dilakukan.
Menurutnya lagi, sebagai masyarakat luar bandar, dia bangga apabila ramai yang sudah mula mengubah kehidupan dengan berniaga.
''Kalau saya tidak berniaga kehidupan tidak akan berubah kerana semakin hari taraf hidup semakin meningkat, harga barang juga semakin mahal," katanya.
Di sebalik kesesakan manusia di situ pula, seorang lagi peniaga Mansu Tabu, 54, menceritakan 'kemeriahan' kisah mereka bersengkang mata setiap malam minggu dan 'berperang' dengan nyamuk.
''Kaki lima ini penuh dengan nyamuk, kami di sini sebenarnya bukan dapat tidur lena pun, cuma cukup sekadar berehat dan bermalam sahaja.
''Apatah lagi jika hujan, memang kami tidak dapat tidur langsung kerana ketika inilah nyamuk datang dengan begitu banyak sehingga dapat menyelinap masuk ke dalam kelambu," ujar lelaki 70-an itu ketika ditemubual dari dalam kelambunya.
Memang benar, sepanjang temubual itu juga penulis puas menepis nyamuk yang hinggap di kaki dan lengan.
Bagi orang ramai yang lalu lalang di sekitar tapak pasar itu, pemandangan 'warga tua dalam kelambu' sudah menjadi perkara biasa dan tidak sedikitpun menimbulkan perasaan curiga ketika melalui kawasan tersebut.
Ahmad Karim Saad, 38, berkata, mereka semua adalah peniaga yang sedang tidur dan sebahagiannya pula bersengkang mata untuk menjaga barang-barang niaga, jadi tiada apa yang ditakutkan.
''Bezanya mereka datang dari jauh dan tiada tempat bermalam, sedangkan saya berasal dari kampung berhampiran," katanya yang juga peniaga di pasar itu.
Seorang lagi peniaga yang ditemui, Manrui Jali, 48, berkata, dia seronok berniaga di pasar itu kerana barang yang dibawa sering habis dijual.
Katanya, walaupun berniaga sayur banyak persaingan daripada peniaga-peniaga lain tetapi dia tidak patah semangat kerana percaya rezeki untuk menampung keluarganya tetap ada di pasar itu.
Bagaimanapun, jika barang yang dijual tidak begitu mendapat sambutan daripada pembeli terutama pada hari hujan, barang jualan terpaksa dilelong pada harga serendah mungkin.
Lelongan terpaksa dibuat kerana waktu berniaga akan berakhir pada menjelang tengah hari Ahad dan barang yang tidak habis tidak akan dibawa pulang ke kampung lagi.
No comments:
Post a Comment