SETIAP kali berpeluang menguji kenderaan Korea, saya tidak mempunyai banyak pilihan melainkan mengakui nilai dan kehebatannya. Kepercayaan itu mungkin masih lagi satu stigma di negara ini, namun kini ketaksuban umum terhadap jenama Jepun mula terhakis sekaligus memberi ruang kepada Kia dan Hyundai untuk menonjol. Suatu ketika dahulu tiada pemandu yang mengenali jenama Korea tetapi mereka kini terus menguasai jalanan malah sudah muncul sebagai pengeluar keempat terbesar dunia. Sebagai pengeluar global yang mewakili jenama kebangsaan Korea, tiada alasan mengapa mereka tidak berusaha menghasilkan yang terbaik (dari segenap aspek) untuk mengalahkan saingan dari Jepun. Ya penerimaannya mungkin sedikit lewat di Malaysia. Itu yang kita akui. Di peringkat antarabangsa, Kia dan Hyundai sudah lama diterima oleh pasaran matang seperti di Amerika Utara dan India. Suka atau tidak itulah hakikatnya. Kini keyakinan semakin bertambah apabila kedua-duanya muncul sebagai jenama yang sering dikaitkan dengan rekaan cantik. Walaupun tidak setanding dengan Mercedes, Audi dan BMW, mereka sudahpun berada di tangga teratas di dalam kelas kebanyakan. Sekarang anda mungkin terfikirkan rekaan Sorento dan Tucson yang memenuhi citarasa. Kedua-duanya tampil dengan rekaan masa depan. Jika anda tidak menggemari sebuah SUV, bagaimana pula dengan sedan eksklusif seperti Sonata . Hyundai (nama kod YF) adalah keluaran generasi keenam Sonata . Model 2011 itu kini menjadi wajah baru yang mencuri tumpuan sesiapa sahaja. Dengan identiti yang tersendiri, Sonata membuktikan rekaan kenderaan Jepun tidak seharusnya sentiasa berada di hadapan. Yang pasti, perubahan pada saloon bersaiz pertengahan itu adalah sesuatu yang terlalu menonjol. Jika dibandingkan dengan model terdahulu, mereka seolah-olah lahir dari kandungan berlainan. Dari segi saiz, Sonata YF kini lebih panjang dan lebar menampilkan imej eksklusif yang begitu elegan. Rekaan depan yang diilhamkan daripada kelopak bunga orkid menghasilkan kelainan yang beridentiti. Konsep seni reka keseluruhan dibangunkan dengan gabungan elemen semula jadi menggunakan permukaan yang dinamik dan struktur badan yang tegap, mewujudkan gambaran seolah-olah ia sentiasa bergerak. Seperti diakui ramai, pandangan sisi dan belakang begitu mirip dengan Mercedes-Benz CLS. Sememangnya itu yang cuba dihasilkan oleh Pengurus Rekaan Kreatif Hyundai, Casey Hyun. Malah dari sudut berbeza, ia juga disamakan dengan Volkswagen Passat. Jimat dan lancar Sonata YF ditawarkan dengan pilihan enjin Theta II 2.0 dan 2.4 liter yang dikatakan terbaik dalam kelasnya pada banyak aspek. Satu daripadanya adalah penjimatan bahan api. Enjin ini dilengkapi mekanisme jadual injap berubah-rubah pada injap ekzos dan kebok udara. Enjin Sonata memanfaatkan teknologi suntikan terus yang sebelum ini digunakan pada jenama-jenama premium seperti Audi dan Porshe. Kelebihan itu memberikannya lebih kuasa dengan penjimatan bahan petrol. Penggunaan bahan bakar kereta ini adalah pada purata 9.4 liter untuk perjalanan 100 kilometer (km) di dalam bandar manakala 5.7 liter di lebuh raya. Di Amerika Syarikat, ia dinobatkan sebagai model paling efisien dari segi penggunaan bahan bakar. Prestasi sebenar jentera ini pada sesi pandu uji dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu sejauh 460 km pada hujung minggu lalu begitu memuaskan. Isian satu tangki penuh mencatatkan jarak perbatuan melebihi 650 km. Semasa saya tiba di destinasi, meter digital menunjukkan baki minyak masih pada paras melebihi suku isian. Enjin empat silinder model 2.4 liter itu menjana 131 kW pada 6,000 rpm dengan kuasa kilas 229 Nm pada 4,000 rpm. Itu bermaksud, larian di laluan berselekoh Lebuh Raya Karak dapat diselesaikan dengan mudah. Transmisi enam kelajuan dengan pilihan penukaran gear secara manual juga mudah digunakan. Berada selari dengan paras lutut, ia memberikan keselesaan menukar gear tanpa capaian yang jauh. Namun begitu, keselesaan kereta ini bukan sahaja pada kuasanya. Tempat duduk berbalut kulit yang boleh dikawal secara elektronik juga tidak sesekali menyebabkan lenguh walaupun untuk perjalanan sejauh itu. Pemanduan dipermudahkan dengan fungsi pelayaran auto (auto cruise). Bukan sahaja memberi peluang kepada kaki untuk berehat daripada tugas menekan pedal minyak malah membantu menetapkan kelajuan seperti yang dikehendaki. Satu lagi ciri menarik yang ditawarkan adalah penghembus udara panas untuk mengatasi kesejukan daripada pendingin hawa, terutama ketika hari hujan. Sonata melalui proses penambahbaikan bahagian dalaman yang hebat. Di bahagian kokpit misalnya, rekaan dibina begitu mirip dengan kemewahan model-model Volvo. Gaya eksklusif diperhebatkan lagi dengan permukaan dashboard berwarna hitam dan lengkungan panel kawalan pusat berwarna perak. Paparan meter menggunakan warna biru dan putih pula menghasilkan penataan cahaya futuristik pada waktu malam. Di bahagian belakang, keselesaan tempat duduk penumpang bukan hanya pada ruang kaki yang luas malah disempurnakan dengan satu lagi cerobong pendingin hawa. Cukup eksklusif! Cuma satu perkara yang agak janggal dapat dirasakan semasa memandu uji kereta ini adalah pergerakan badan atau olengan yang agak kasar semasa mengambil selekoh secara laju. Namun semasa menukar laluan dari kiri ke kanan, ia tidak dapat dirasai. Hal itu mungkin disebabkan oleh pemasangan sistem suspensi yang lebih keras (MacPherson) seperti yang dijelaskan di dalam spesifikasi produk. Di Malaysia, Hyundai diimport sepenuhnya oleh Hyundai Sime Darby Motors (HSDM). Di pasaran, ia berada pada segmen yang sama dengan Toyota Camry dan Honda Accord. Selain ditawarkan pada harga lebih rendah berbanding model saingan, Sonata didakwa Hyundai sebagai model bebas penyelenggaraan di mana pengguna tidak perlu menukar minyak gear jika kereta dipandu dalam keadaan biasa tanpa banyak pendakian. Ujian kilang mengesahkan transmisi mampu bertahan sekurang-kurangnya untuk 300,000 km pemanduan. Jika anda masih mempunyai stigma pada jenama Korea, luangkan masa anda untuk memandu uji dan mencuba sendiri model ini. Persepsi anda mungkin berubah. Harga atas jalan (tanpa insurans) bagi Hyundai Sonata YF 2.0 liter (standard) adalah RM132,220 manakala RM140,000 untuk spesifikasi lebih tinggi manakala harga untuk Sonata YF 2.4 adalah 159,491. |
Mar 8, 2011
Hyundai Sonata YF
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment