Jun 29, 2010

Khemah Vaude

PEMILIHAN khemah yang baik dan berkualiti penting untuk menjamin keselesaan semasa melakukan aktiviti luar. Khemah yang baik seharusnya mampu memberi perlindungan hujan, panas, ribut dan ancaman haiwan.
Vaude sebagai pengeluar barangan aktiviti luar yang pakar dalam aktiviti pergunungan adalah antara jenama terkemuka dan dipercayai dalam penghasilan khemah berkualiti tinggi.
Penggunaan material seperti polyamid, poliester dan silikon
memberi jaminan kalis air dan ribut malah sebahagiannya mempunyai bahan khas yang dapat menjauhkan khemah daripada ancaman serangga.
Kecanggihan teknologi Jerman pada produk itu melengkapkan khemah dengan ciri-ciri kestabilan, keselesaan ruang tidur dan penyimpanan barang serta pengudaraan yang baik.
Untuk penggunaan lebih praktikal, setiap produk telah dihasilkan dengan sukatan berat tertentu sehingga ada yang dihasilkan begitu ringan supaya beban tidak menjejaskan pengembaraan.
Apa sahaja bentuk, sama ada kubah atau tirus, khemah Vaude dihasilkan dengan kaedah pemasangan dan pembungkusan semula yang ringkas mudah.
Hogan Ultralight
KHEMAH ini dilengkapi ciri tahan ribut dengan keluasan 33 kaki persegi (120 sentimeter lebar) yang memenuhi keperluan perkhemahan untuk dua orang.
Paras ketinggian 105 sm Hogan Ultralight yang disokong tiang tunggal melengkung bukan sahaja memberikan kestabilan malah keselesaan pada paras separa berdiri.
Walaupun hamparan lantai dengan keluasan baring sepanjang 220 sm agak terhad, Hogan Ultralight memadai untuk ruang penyimpanan dua buah beg sandar.
Dengan berat maksimum 1.7 kilogram (kg), penggunaan khemah ini juga sesuai untuk isian seorang lelaki dewasa yang pasti memberikan lebih ruang.
Perlindungan kalis air Hogan Ultralight pula menggunakan dua muka kain hamparan terbang silikon yang mampu menghalang tiris air walaupun dalam keadaan hujan lebat.
Khemah yang mempunyai konsep bungkusan ringkas dan kecil ini didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hijau gelap dan jingga terang. Harga RM950.


Refuge
DENGAN berat maksimum 1 kg, Refuge merupakan antara khemah Vaude yang paling ringan berada di dalam pasaran sekarang.
Keluasan dari pintu masuk bermula dengan bukaan seluas 145 sm yang meruncing sepanjang 200 sm sehingga berakhir di hujung kaki dengan bukaan 115 sm.
Walaupun mempunyai berat minimum 860 gram, rekaan cemerlang Refuge mampu memuatkan dua penghuni dan pada masa yang sama memberikan cukup keselesaan. Apatah lagi jika digunakan secara bersendirian.
Dengan ketinggian bumbung piramid maksimum setinggi 130 sm, Refuge menawarkan ruang kepala antara yang paling tinggi berbanding khemah lain di pasaran. Tiang khemah boleh digantikan dengan tongkat mendaki atau apa sahaja yang tidak melebihi ketinggian yang ditetapkan.
Pengudaraan khemah ini menggunakan dua laluan angin berjaring yang dicipta khas untuk melindungi penghuni daripada nyamuk dan serangga dengan lebih berkesan. RM772



Mark II
KHEMAH berbumbung kubah Mark II menyediakan ruang yang cukup selesa untuk kegunaan tiga penghuni dengan kestabilan empat pacakan sauh yang memberikan ketahanan struktur walaupun dalam cuaca yang teruk.
Berbanding khemah untuk dua orang, Mark II datang dengan berat 3.5 kg. Semestinya agak berat jika beban itu ditanggung bersendirian sewaktu perkhemahan.
Kelebihan khemah ini terletak pada dua bukaan pintu yang memberikan laluan keluar masuk yang mudah ketika salah satu bahagian terhalang dengan tugas-tugas perkhemahan di muka pintu.
Keluasan lantai empat segi tepat iaitu 165 sm X 215 sm pula banyak meningkatkan kapasiti pengisian barang. Selain itu, lubang pengudaraan berjaring pada sebelah depan dan belakang juga memberi pilihan kepada penghuni untuk tidur dalam arah yang bertentangan.
Khemah yang menjadi lambang teknologi aktiviti pergunungan Vaude itu dicipta dengan tiang tunggal melengkung yang membolehkan ia dipasang dalam masa kurang daripada lima minit. Harga :RM1,290.

Campo Compact
CAMPO Compact adalah unit asas dan dalam barisan khemah Vaude yang menawarkan keselesaan untuk dua orang penghuni pada harga terendah.
Campo Compact mempunyai keluasan lantai 140 sm lebar X 215 panjang yang mana kapasiti pengisiannya dimaksimumkan dengan rekaan bumbung kubah.
Khemah seberat 3.5 kg ini didatangkan dalam dua pilihan warna hijau dan putih pasir. Harga :RM670.

Jun 22, 2010

Peugeot 3008 - Test Drive

TAHUN 2010 menyaksikan perkembangan rancak dalam industri pemotoran dunia. Persaingan bukan sahaja melibatkan teknologi terkini malah sengit dengan rekaan dan konsep yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Jika pengeluaran kenderaan dahulu lebih tertumpu pada penghasilan kenderaan dengan fungsi khusus seperti pacuan empat roda dan utiliti, syarikat automotif kini gigih untuk memenuhi cita rasa pengguna yang semakin 'kompleks'. Tuntutan terperinci yang membawa kepada pemecahan kategori kenderaan popular seperti kenderaan utiliti sukan (SUV), kenderaan pelbagai guna MPV dan hatchback.

Baru-baru ini, pasaran tempatan ditembusi satu lagi kategori terbaru. Dinamakan crossover, model Peugeot 3008 direka dengan gabungan prestasi yang dimiliki hatchback, utiliti SUV dan kelegaan ruang sebuah MPV.

Diperkenalkan dengan nama 3008, ia adalah model crossover pertama yang dikeluarkan pembuat kenderaan Perancis itu. Mungkin kerana istilah yang masih belum popular di negara ini, jurucakap Peugeot Malaysia meletakkan model itu di bawah kategori SUV. Kini bintang yang pernah mencuri tumpuan peminat pada Pameran Motor Paris itu menghiasi galeri pengedar dan penjual pada harga atas jalan RM143,888 (termasuk insurans).

Saya baru-baru ini memandu uji 3008 seminggu sebelum pelancaran model itu oleh pengedar rasmi, Nasim Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur pada 7 Jun lalu. Pelancaran yang meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di rantau ini menerima Peugeot 3008.

Uji pandu yang bermula dari Bandar Sunway ke Resort Hyatt Regency di Kuantan dimanfaatkan untuk menguji kehebatan produk yang membawa bersama ikon singa berdiri itu. Ujian pertama pada prestasi enjin bersesaran 1.6 liter. Suntikan terus bahan api pada enjin turbo yang tersimpan di bawah bonet menjana kuasa sehingga 156 bhp dengan capaian kuasa tork maksimum sehingga 240Nm.

Tambahan 16 kuasa kuda (daripada kapasiti model 308) menghasilkan tujahan kuasa 3008 yang dirasakan cukup perkasa dan lancar sepanjang perjalanan ke Putrajaya. Keseronokannya datang daripada keberkesanan kotak gear dengan enam kelajuan yang melonjak pecutan setiap kali pedal minyak ditekan.

Pilihan gear semi automatik juga memberi banyak kelebihan bagi yang ingin merasai kuasa jentera continental itu dengan lebih intim, khususnya ketika menyusuri laluan berliku. Laluan berbukit dan berselekoh tajam dari Kuala Kelawang ke Ampang membuktikan kehebatan fungsi Kawalan Olengan Dinamik. Fungsi yang cukup meyakinkan untuk terus memecut walaupun di selekoh.

Sesuatu yang mengejutkan adalah gabungan prestasi enjin dan teknologi kawalan yang baik membolehkan jentera berbadan tinggi (SUV) itu dipandu seperti sebuah hatchback. Perkara yang sama diperkatakan oleh rakan media yang lain.

Peugeot 3008 diapung oleh sistem suspensi bebas topang MacPherson dengan batang anti oleng pada roda depan dan torsion beam pada roda belakang.

Walaupun tanpa fungsi pacuan empat roda, kawalan cengkamannya nyata lebih lembut lembut di permukaan tidak rata berbanding kenderaan bukan pacuan empat roda lain. Di bawah jentera sepanjang 4,365 sentimeter itu, cengkaman tayar Michelin menjalankan tugas dengan cukup berkesan. Geseran tayar dan hembusan angin pada badan 3008 hampir tidak kedengaran dari dalam kabin.

Kemewahan 3008

Sejujurnya, kepuasan memandu 3008 bukan sahaja dirasai pada prestasi enjin tetapi keseluruhan fungsi luar biasa yang ada di luar dan dalam. Ciri paling unik adalah bumbung panorama telus cahaya seluas 17 kaki persegi yang mampu mengisi cahaya ke segenap ruang kabin.

Memandu 3008 seperti berada di dalam kokpit pesawat yang dilingkungi konsol kawalan lebar dengan butang fungsi yang tersusun kemas. Sentuhan kemewahan termasuk fungsi skrin kaca menegak (head-up display) sebaik sahaja kenderaan dihidupkan.

Paparan maklumat pada skrin yang diadaptasi daripada teknologi pesawat tempur itu berfungsi menunjukkan amaran jarak antara kenderaan lain dan had laju tanpa perlu mengalih tumpuan untuk melihat speedometer. Teknologi multiflex interior adalah satu lagi kelebihan crossover Peugeot itu. Dengan melipat kerusi depan hingga belakang, ruang penyimpanan dimaksimumkan sehingga 1,604 liter.

Dari segi keselamatan, pengiktirafan lima bintang daripada penilaian dalam piawaian Euro NCAP dipertingkatkan dengan kerangka yang diperkukuhkan untuk menahan impak maksimum di samping enam beg udara.

Bagi yang masih belum membuat keputusan sama ada inginkan SUV atau MPV, kelebihan yang ditawarkan Peugeot 3008 sewajarnya dicuba. Seperti dikatakan terdahulu, ia bukan sahaja gabungan dua, malah tiga ciri yang terdapat pada kategori berlainan.

Hujanan soalan dan kritikan yang bertubi-tubi diajukan para pemberita pemotoran pada sidang media di Hyatt Regency baru-baru ini menunjukkan harapan ramai pada model 'double 0' itu. Bagaimanapun, jelmaan terbaru itu telahpun membuktikan kejayaan Peugeot dalam penghasilan jentera gabungan yang cukup sempurna.


Jun 16, 2010

TUSA IQ-900 Zen

PERINCIKAN keselamatan anda semasa menyelam skuba dengan komputer selam yang boleh diselaras mengikut kategori selaman udara mampat, nitrox dan selam bebas.

Pengeluar produk selam skuba antarabangsa, TUSA, melancarkan IQ-900 Zen, komputer selam lengan yang dilengkapi pelbagai fungsi dengan saiz dan rekaan yang cukup bergaya sebagai jam tangan.

Sebagai komputer yang memahami kehendak selaman rekreasi, Zen dilengkapi fungsi pemantauan selam yang membolehkan pengguna memaksimumkan waktu dasar berdasarkan anggaran kedalaman.

Fungsi hentian kedalaman (deep stop) misalnya membolehkan pemakai menetapkan paras kedalaman yang akan disusuli dengan bunyi amaran jika tidak dipatuhi. Pada penyelarasan asal kilang, fungsi itu diaktifkan secara automatik pada kedalaman 24 meter.


Paparan profil selaman dipermudahkan dengan pengiraan kedalaman, baki waktu selaman (berdasarkan kedalaman anggaran) sebelum memasuki waktu nyahmampat, graf O2, petunjuk lonjakan timbul ke permukaan dan petunjuk paras nitrogen.

Ketepatan komputer selam ini dijana oleh perisian Buhlmann ZHL-16C. Simbol C pada model ini mewakili pengesanan 16 bahagian terhadap kandungan nitrogen di dalam badan penyelam.

Buhlmann merupakan perisian terbaru selepas Haldanean 12C (12 bahagian) yang memberikan pengiraan lebih terperinci dan dinamik sekaligus membenarkan tempoh selaman lebih lama dan selamat.

Walaupun dilengkapi teknologi pengesanan 16 bahagian, pengguna boleh memilih untuk menyelam dengan lebih berwaspada melalui mod konservatif. Pengurangan bahagian pengesanan melalui mod itu sesuai untuk penyelam yang berusia atau mempunyai sistem badan yang perlahan.

IQ-900 Zen juga dilengkapi fungsi gauge untuk pengukuran kumpulan tekanan (pressure group) dan pengiraan altitud yang penting untuk selaman beraltitud tinggi.

Satu daripada keistimewaan berbanding komputer selam lain adalah penukaran bateri CR2430 (3v) yang boleh dilakukan sendiri tanpa menjejaskan jaminan produk. Bagaimanapun untuk penyelenggaraan dan ujian tekanan, ia hanya boleh dilakukan di pusat servis.

Ketahanan bateri bergantung kepada cara dan kekerapan penggunaan, secara kasarnya ia didakwa mampu bertahan sehingga 100 selaman.

Untuk selaman pada waktu gelap, komputer selam ini dilengkapi pencahayaan hijau selama tempoh tertentu mengikut penyelarasan pengguna. IQ-900 Zen didatangkan dengan pelekat perlindungan muka jam yang mempunyai kuasa pembesaran imej.

Selain untuk menyelam, IQ-900 Zen yang berfungsi sebagai jam tangan juga boleh digunakan ketika berenang tanpa rekod selaman dengan mengaktifkan mod basah.

Walaupun tidak didatangkan dalam pelbagai pilihan warna, produk buatan Amerika Syarikat itu dilindungi nombor siri yang diprogramkan di dalam komputer dan boleh dipaparkan untuk pengesahan hak milik.

Komputer selam edaran Trend Master Sdn. Bhd, itu berada di pasaran sejak awal tahun ini dan boleh didapati pada harga RM1,690. Layari http://vimeo.com untuk simulasi maya IQ-900 Zen.

Fungsi selam: udara, nitrox, selam bebas
Fungsi asas : alarm, tarikh, masa, jam-henti, amaran bunyi.
Rekod : maksimum 999 selaman, graf, masa selang, halangan terbang.
Aksesori : kabel penyambungan komputer untuk simpanan data (dijual berasingan).

Jun 12, 2010

BUKTI PEMANASAN GLOBAL DI PULAU AUR





BERITA SELAM

MERSING: Pemanasan suhu air laut dipercayai menjadi penyebab kemerosotan populasi ikan di sekitar perairan Taman Laut Pulau Aur dan Pulau Dayang di Johor yang berlaku sejak kebelakangan ini.

Suatu ketika dahulu, Aur dan Dayang yang terletak berhampiran dengan Pulau Pemanggil cukup terkenal sebagai destinasi yang dipenuhi pelbagai spesies ikan termasuk ikan layaran atau Merlin yang menjadi kegilaan di kalangan kaki-kaki pancing di negara ini.

Pengurangan jumlah ikan yang begitu ketara di kawasan itu menjadi perbualan di kalangan penyelam-penyelam yang mengikuti Johor X-Dive 2010 anjuran Tourism Malaysia pada minggu yang lalu.

Pulau berhampiran pulau Aur dan Dayang

masalah coral bleeching yang melanda perairan di seluruh pantai timur

Bilangan ikan yang muncul mungkin tidak sampai 10 peratus berbanding yang biasa dilihat di pulau seperti Tioman, Perhentian atau Redang.

Sama ada ia kesan pemanasan global atau fenomena alam, kehilangan sebahagian besar daripada spesies ikan di kawasan itu adalah sesuatu yang perlu dikaji.

Mengikut catatan komputer selam D4 yang digunakan penulis, purata suhu pada setiap selaman adalah 30 darjah Celsius. Pemanasan suhu kira-kira 10 darjah berbanding 20 hingga 25 C' pada kebiasaannya.

Selain daripada dasar laut yang lengang tanpa ikan, perairan negara kita juga diancam dengan pemutihan terumbu karang (bleeching ) yang juga dipercayai berlaku akibat punca yang sama.

Di Terengganu, rakan selam yang menyelam di Pulau Tenggol pada hari yang sama juga menyaksikan masalah coral bleeching yang teruk. Apa masa depan khazanah marin kita?

Pemutihan terumbu lembut dan keras itu menjadikan pemandangan di dasar laut kelihatan hambar dan tidak begitu berseri seperti biasa.

Bagaimanapun, pengalaman menyelam di sekitar Aur dan Dayang menyajikan pemandangan dasar laut yang tetap menarik di kalangan penyelam. Landskap berbatu dan kemunculan ikan gergasi seperti bumbhead, ikan jarang ditemui seperti scorpionfish, lionfish dan pelbagai jenis nudybranch.

Jun 3, 2010

Amazon Malaysia di Maliau Basin

Maliau's Fall shoot with Canon compact A620

JARANG sekali kita mendengar namanya disebut dan tidak ramai yang berpeluang memasuki kawasan hutan asli Lembangan Maliau atau lebih dikenali sebagai Maliau Basin yang terletak di bahagian tengah selatan Sabah-Keningau.

Kunjungan hanya dibenarkan kepada mereka yang diberikan kebenaran untuk melawat oleh Yayasan Sabah. Selepas diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan pada 1981, hutan dara yang mengandungi ekosistem paling terlindung dan tidak terusik di dunia itu masih menyimpan banyak misteri kepada kita semua.

Kesempatan menjejakkan kaki ke kawasan itu meninggalkan sedikit rasa kempunan kerana persinggahan sehari tidak memberi banyak peluang untuk saya menceritakan dengan lebih terperinci keistimewaan yang terdapat di Lembangan Maliau.

Apa yang dikongsikan di sini sekadar pengalaman satu malam berada di situ yang diolah dengan maklumat-maklumat daripada risalah pelancongan yang disediakan pihak pengurusan.

Namun, beberapa keping gambar dan perkara yang dilalui semasa mengikuti Ekspedisi Isuzu Dura Mission ke kawasan itu dapat merumuskan bahawa negara hanya memiliki satu aset seperti Lembangan Maliau malah tidak ada sepertinya di mana-mana di dunia ini.

Memandangkan tempoh persinggahan yang terhad, pihak penganjur memilih 'jalan pintas' untuk memberi peluang kepada kami melihat Kawasan Hutan Simpan Perlindungan Kelas 1 itu.

Kunjungan udara menaiki helikopter selama 10 minit memperlihatkan keindahan kawasan seluas 588 kilometer (km) persegi yang digelar oleh golongan penyelidik dan pencinta alam semulajadi sebagai The Lost World of Sabah.

Pusat penyelidikan kelihatan di kelilingi hutan Borneo

Dari jauh terpampang cenuram setinggi kira-kira 1,600 meter yang jika berwarna merah pasti menyamai bentuk Grand Canyon, di Arizona. Dan melihat ketebalan hutan di kawasan itu, ia tidak ubah seperti melihat hutan Amazon di dalam Discovery Channel.

Keadaan fizikal bumi itulah yang membentuk lembangan menjadi hutan tanah rata dan berbentuk bulat yang dikatakan 'memerangkap' segala penghuninya daripada meninggalkan hutan itu. Di dalam kawah berbentuk bulat itu, hidupan liar dikatakan membiak dalam dunia mereka sendiri. Mungkin mirip dunia Jurasik.

Lembangan MaliauPeta dan topografy Lembangan Maliau (atas) yang menunjukkan bentuk seperti kawah

Di tengah-tengah hutan dipterokap itu mengalir Sungai Maliau yang menghasilkan puluhan air terjun. Yang terbesar adalah Air Terjun Maliau yang mengalir deras di atas tujuh lapisan batu gergasi. Pandangan dari udara yang begitu menakjubkan. Curahan air kuning jelas menunjukkan hutan itu padat dengan tumbuhan-tumbuhan gergasi.

Ini hanya satu daripada puluhan air terjun gergasi di Maliau Basin &
shooting dari atas helikopter memang mencabar, asyik blur je..

Difahamkan, jika meredah hutan dari Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau (MBSC) yang menjadi tempat penginapan pelawat, perjalanan ke lokasi itu biasanya mengambil masa berhari-hari.

Lembangan Maliau juga salah satu daripada kawasan tadahan air luas yang melimpahkan air melalui saliran tunggal yang akhirnya bertembung dengan Sungai Kinabatangan, laluan air sungai terbesar di Sabah.

Kandungan ekosistem

Menurut Ranjer Hutan Unit Hospitaliti dan Rekreasi, Mohd. Rafi Bunggau, terdapat lebih daripada 80 mamalia dikenalpasti menghuni hutan itu termasuk gajah Asia, badak sumbu, beruk proboscis, beruang matahari, harimau dahan, seladang, kijang dan pelbagai jenis haiwan mursupial.

Ketika mengikuti safari malam berhampiran chalet penginapan (pusat penyelidikan) pada sebelah malamnya, haiwan seperti musang dan rusa beberapa kali kelihatan tidak jauh dari laluan yang kami gunakan.

Suasana di situ juga tidak pernah sunyi daripada kicauan unggas. Maklumat daripada pihak pengurusan menyatakan lebih daripada 290 spesies burung termasuk burung Bekia dan burung Jambul menghuni hutan itu.

Di celah-celah pepohon renek pula tersembunyi lebih 35 spesies amfibia, antaranya katak yang berumah di dalam periuk kera dan hidupan invertebrata seperti ketam dan lebah air.

Selain itu, lembangan juga menjadi habitat kepada tidak kurang daripada satu perempat spesies burung yang disahkan terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Dunia (IUCN).

Rekod flora daripada penyelidikan sejak 1996 pula mengklasifikasikan lebih daripada 1,800 spesies tumbuhan, termasuk enam spesies periuk kera, 80 orkid dan pokok Agathis gergasi.
Lembangan Maliau juga disahkan sebagai lokasi kedua penemuan habitat spesies Rafflesia Tengku-Adlinii di Sabah.

Kompleks bangunan MBSC yang berpotensi menjadi pusat penyelidikan ekosistem terpenting di hutan Borneo.

Kelirukan hantu dengan Kerchang



PERMAINAN skrabel dan susun suai gambar (jigsaw) dikenali sebagai alat yang dimain untuk mengasah kecerdasan minda namun tidak ramai yang mengenali Kerchang, sejenis alat permainan yang dibuat daripada gelung rotan dan bertali. Seperti permainan dari Barat (jigsaw dan skrabel), permainan tradisional masyarakat Orang Asli Jakun itu juga dimainkan untuk melatih seseorang berfikir dengan lebih tajam.

Bahkan di kalangan masyarakat Jakun, Kerchang bukan sekadar permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak tetapi mempunyai keunikan dan kisah yang tersendiri. Jika melawat Kampung Peta yang terletak berhampiran dengan Kompleks Pelawat di Taman Negara Endau Rompin, pelancong akan disambut oleh Awang Kudi. Beliau merupakan individu yang gigih mempertahankan warisan turun-temurun itu dengan menghasilkan Kerchang untuk dijual kepada pelancong.

"Setiap set permainan Kerchang ini mempunyai ceritanya tersendiri," ujar Awang sambil menghulurkan beg plastik berisi alat permainan itu.

Dalam bungkusan itu terdapat tujuh set permainan Kerchang yang setiap satu mempunyai nama dan cara permainan yang berlainan. Setiap bungkusan seperti itu dijual sebagai cendera hati pada harga RM10. Ketika kumpulan kami asyik memerhatikan bentuk-bentuk Kerchang yang dihasilkan, Awang mengalih tumpuan kami dengan menghulurkan satu daripada set permainannya.

"Ini adalah Kerchang Tiga Langkah, ia adalah permainan yang paling mudah untuk diselesaikan," katanya sambil menunjukkan cara memainkan alat itu dengan pantas.

Nyata 'teka-teki' untuk memasuk dan mengeluarkan semula tali melalui gelung-gelung rotan itu tidak semudah seperti yang ditunjukkan oleh Awang. Ia hanya berjaya dilakukan setelah beberapa kali percubaan dan tumpuan yang teliti. Selepas itu Awang menunjukkan cara permainan Kerchang Rama-Rama, Kerchang Tipah Tertipu, Kerchang Kawin, Kerchang Dua Lubang, Kerchang 12 dan 7 Langkah. Kemudian Awang duduk di kerusi tempat dia bekerja untuk menyambung cerita.

Menurut Awang, permainan Kerchang berasal daripada kaedah dan kepercayaan masyarakat orang Jakun untuk melepaskan diri daripada gangguan makhluk halus semasa sesat di hutan.
Sejarah permainan dikatakan bermula apabila seorang pemuda kampung yang masuk mencari rotan di hutan tersesat setelah laluannya 'ditutup' oleh hantu.

Selepas beberapa kali melalui jalan yang sama, pencari rotan itu berhenti rehat dan mencipta satu gelungan Kerchang. Selepas dimainkan, dia mencampakkan Kerchang ke dalam semak dengan harapan hantu yang menganggu akan leka ketika cuba menyelesaikan teka-teki yang sama. Dijadikan ceritakan, pemuda yang sesat itu kemudian berjaya menemui jalan pulang ke kampungnya. Sejak itu, permainan Kerchang mula dimainkan oleh Orang Asli Jakun sehingga hari ini.