Apr 20, 2011

Keasyikan Kemboja


ASIA Tenggara menyajikan segala kepuasan bagi yang gemar melancong. Selain tarikan budaya, sejarah dan alam semula jadi yang menakjubkan, bonus terbesar yang boleh dinikmati pelancong di rantau ini adalah nilai mata wang yang rendah.

Kepuasan memilih destinasi kini diperhebatkan dengan tawaran tiket penerbangan yang semakin murah. Dengan sedikit perbelanjaan, percutian ke Kemboja misalnya antara yang menjanjikan pengalaman tidak dapat dilupakan.

Malah di kalangan pelancong antarabangsa, Kemboja telah lama dikenali sebagai destinasi paling popular di rantau ini. Bagi mereka, melancong ke Asia Tenggara tidak lengkap tanpa menjejakkan kaki ke negara Angkor Wat yang mempunyai dua pintu masuk utama iaitu Phnom Penh dan Siem Reap.

Namun anda tidak mungkin menikmati segala keseronokan yang tersimpan di negara itu dengan hanya satu kunjungan. Bagi yang melawat buat kali pertama, tarikan yang menjadi keutamaan semestinya Angkor Wat di Siem Reap. Berdiri teguh sebagai satu daripada keajaiban dunia, kota purba berusia ribuan tahun itu menjadikan bahagian di barat laut negara itu lokasi persinggahan utama. Pintu masuk di Siem Reap mewakili lebih 50 peratus daripada kemasukan pelancong ke Kemboja.

Hal itu menjadikan tambang penerbangan (khususnya Air Asia) ke Siem Reap lebih mahal berbanding ke ibu kotanya, Phnom Penh. Bagaimanapun, mendarat di Phnom Penh tetap menjanjikan percutian yang menarik jika dilakukan dengan betul dan terancang.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, perkhidmatan teksi motosikal (tut-tut) boleh didapati pada harga kira-kira RM63 untuk ke pusat bandar. Jika bernasib baik, anda akan disapa oleh pemandu berketurunan Champa yang fasih berbahasa Melayu.




Kesibukan kota di pinggir Sungai Mekong itu bertali-arus dengan penunggang motosikal yang memberi gambaran awal cara hidup lebih dua juta masyarakat Khmer. Di bandar bekas jajahan Perancis itu, penginapan boleh didapati daripada harga RM30 hingga RM62 semalaman. Lokasi terbaik untuk bermalam mungkin di sepanjang persiaran Sisowath Quay yang mengadap Sungai Tonle Sap.

Pada hujung minggu, kemeriahan di kawasan waterfront itu berterusan sehingga lewat malam. Bagi yang ingin merasai kelainan berada di negara orang, hidangan eksotik seperti hidangan kala jengking, belalang, labah-labah, cengkerik dan ular boleh didapati pada harga beberapa dolar di sepanjang jalan utama itu.

Di celah-celah bandar yang penuh sesak itu, tumpuan pelancong adalah Istana Phnom Penh (Royal Palace), Pasar Seni, Pasar Rusia, Pagoda Perak dan Monumen Kemerdekaan. Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk ke Wat Phnom, kuil di atas bukit yang memberi nama kepada bandar itu.



Di pinggir bandar Phnom Penh, Tapak Peringatan Choeung Ek atau Killing Field antara lokasi yang wajib dikunjungi. Sekolah yang dijadikan pusat tahanan rejim Pol Pot itu menempatkan kira-kira 8,000 tengkorak daripada tiga juta pembunuhan di seluruh Kemboja sekitar tahun 1975 hingga 1979.

Merentasi tasik terbesar

Dari Phnom Penh, penulis memilih perkhidmatan feri 'Angkor Express' ke Siem Reap yang berlepas pada pukul 7 pagi setiap hari. Walaupun terpaksa membayar AS$30 (RM108) termasuk tambang tut-tut, pengalaman merentasi sungai dan tasik Tonle Sap itu tidak mengecewakan.

Dengan kapasiti 90 penumpang, penumpang yang jemu di dalam kabin boleh memilih untuk 'berjemur' di luar dek sambil menyaksikan penempatan kampung di sepanjang sungai dan nelayan-nelayan yang gigih menangkap ikan. Jangan keliru, apa yang anda fikirkan laut itu sebenarnya adalah Tonle Sap, tasik terbesar di Asia Tenggara.

Kami tiba di Siem Reap selepas enam jam. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa empat jam tergendala ekoran paras air tasik yang rendah menghalang bot daripada dipandu laju. Harus diingat, perkhidmatan feri tersebut tidak disediakan pada musim kemarau (pertengahan tahun).

Dari jeti di Siem Reap, perjalanan menaiki tut-tut ke pusat bandar memakan masa kira-kira setengah jam. Adalah lebih mudah dan murah sekiranya tiket tut-tut dibayar bersama dengan tambang feri dari Phnom Penh.

Siem Reap, bandar wilayah Angkor yang pernah menjadi pusat pemerintahan Khmer sebagai destinasi paling popular menawarkan penginapan dan tempat makan pada harga yang berpatutan, mungkin sedikit mahal berbanding Phnom Penh. Begitu juga dengan restoran halal yang boleh ditemui dengan mudah.

Tidak perlu bercerita panjang mengenai keistimewaan Angkor Wat kerana maklumat mengenai seni bina dan sejarah empayar Khmer itu boleh didapati dengan mudah. Namun, lawatan ke mega monumen itu tidak dinafikan adalah kemuncak percutian di kemboja.

Kunjungan ke Angkor Wat boleh dimulakan dengan mendapatkan pas lawatan sehari yang berharga AS$20 (RM62). Walaupun dinamakan pas lawatan sehari, ia boleh digunakan lebih awal (pada petang hari sebelum tarikh) untuk menyaksikan pemandangan matahari tenggelam yang biasanya dilakukan di Phnom Bakheng.

Keesokan harinya, kunjungan ke Angkor Wat (kuil utama) dibuka seawal  5 pagi. Kuil terbesar itu sering menjadi pilihan sebagai lokasi pertama yang menyajikan pemandangan matahari terbit cukup indah.

Cuma ingatan bagi yang ingin bersarapan pada awal pagi di gerai tepi jalan berdepan dengan Angkot Wat, jangan lupa bertanyakan harga kerana anda mungkin terpaksa membelanjakan RM35 untuk segelas kopi dan sekeping roti Perancis!

Selain Angkor Wat, beberapa candi yang berbaloi dilawati adalah Bayon, Phnom Bakheng, Pre Rup, Elephants Terrace dan Angkor Thom yang menjadi lokasi penggambaran filem Tomb Raider. Namun bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain bukan sahaja memerlukan waktu lawatan yang panjang bahkan menuntut lebih stamina, terutama untuk mendaki tangga dan bongkah batu yang disusun tinggi.

Oleh itu, cara terbaik untuk bergerak adalah dengan menyewa tut-tut selama sehari dengan bayaran kira-kira AS$18 (RM55).


Secara keseluruhan, Angkor Wat sememangnya mempersonakan dari pelbagai segi. Tempat yang sesak dengan pelawat dari seluruh dunia. Selain pelancongan, kesungguhan kerajaan Kemboja dalam usaha pemuliharaan Angkor juga dapat dilihat melalui kerja pembaikan semula struktur-struktur yang sudah lemah dimakan zaman.

Saya tidak menghabiskan banyak masa menyelongkar Siem Reap namun dari pengamatan kasar, pelancongan jelas telah banyak membantu penduduk bandar itu. Bahkan dengan pembangunan yang lebih rancak berbanding Phnom Penh, Siem Reap boleh dikatakan bergantung sepenuhnya pada industri tersebut.

Bagi yang membeli tiket penerbangan pulang dari Phnom Penh, pengangkutan jalan darat ke Phnom Penh menaiki van selama empat jam boleh didapati pada harga AS$10 (RM31).


Makanan halal di Kemboja
1-Malaysia Restaurant
Ahmad Noor Mohamad Haidar
#57, St. 13 Phsar Chas District,
Khan Doun Penh, Phnom Penh.
019-4171002 (talian Malaysia)

2-Halal Food in Siem Reap:
Haji Musa - Muslim Family Restaurant
N'074 Group 08, Stung Thmey Village, Svay Dongkum Commune, Siem Reap
H/p: (+855) 12946220
email: muslimfoodrestaurant@yahoo.com

6 comments:

  1. salam, boleh share tak apa nama hotel yg awak duduk di phnom penh?yg murah n kat sisowath quay?tq.

    ReplyDelete
  2. wslm. sy kena check balik receipt2 trip. may takes sometimes. tapi kalo u sampai kat area tu just pusing2 ke bahagian dalam skit (dari tepi sungai) ,, maka ada jer hotel2 yg lebih murah... 10usd semalam pun ada.

    ReplyDelete
  3. salam.. in4 yg menarik.. insyaallah ujg bln ni sy de fmly trip ke phnom penh.. but stil xdpt tmpt mnginap lg.. any suggestion?? need ur help. tq =)

    ReplyDelete
  4. pergi angkor wat guna usd ke?

    ReplyDelete
  5. sekadar berkongsian

    salam. pengalaman melancong ke kemboja memang tak dapat saya lupakan. group saya dari uitm baru balik 24/4/2013. kami semua datang sana melalui Seorang Ustaz. al-hamdulillah kami dapat layanan terbaik boleh dikatan 5 star laa. Ustaz ini Fasih bahasa melayu boleh dikatakan 99.99% he he.. Kawan kawan berminat boleh datang melalaui beliau di ustazcambodia@gmail.com call +85517889234 anda boleh tawar menawar dengan beliau.insya allah group kami akan ke Siem reap pula tahun depan. dan melalui Ustaz Yahya Cambodia ini juga....

    ReplyDelete