Feb 5, 2010

Kia Forte (Naza)



PENGUASAAN sejak sekian lama jenama Toyata dan Honda dalam pasaran kenderaan penumpang saiz sederhana di negara ini tidak dapat dinafikan.
Ketaksuban terhadap jenama itu juga menyebabkan ada yang langsung tidak memberi pertimbangan terhadap jenama lain dalam memenuhi citarasa mereka.
Jika anda salah seorang daripada mereka yang masih dibelenggu stigma 'tiada kenderaan sehebat kenderaan Jepun' dan sedang dalam pencarian sebuah kenderaan baru, jangan terburu-buru sebelum anda mencuba Forte.
Model terbaru Kia yang dijenamakan semula sebagai Kia Forte oleh Naza Kia Sdn. Bhd. itu kini antara kenderaan yang paling mendapat perhatian dan sedang hangat diperkatakan.
Forte adalah takrifan terbaru dalam reka bentuk kenderaan Korea yang menampilkan perubahan ketara dengan reka bentuk 'di luar kotak' konservatif seperti sebelum ini.
Kejayaan terbesar itu adalah hasil sentuhan Ketua Pegawai Reka Bentuk Kia, Peter Schreyer, pereka bentuk terkemuka yang bertanggungjawab melahirkan generasi pertama Audi TT dan Volkswagen Beetle.



Perwatakan paling menonjol Forte adalah gaya sporty pada setiap penjuru terutama pada lampu dan gril depan, lengkungan badan secara keseluruhan dan rekaan belakang yang ranggi.
Di bahagian depan, dua lapisan gril yang dipasang bersama bumper lebar 'dipertajamkan' dengan lampu garang yang mirip kepada Honda Civic.


Gaya lampu belakang pula menonjol dengan dua lingkaran mentol utama yang berada pada kedudukan 'terbelah' antara badan dengan bot belakang.
Dimensi baru rekaan Kia itu bukan sahaja meletakkan Forte setanding dengan pesaingnya seperti Toyota Vios, Honda City dan Nissan Latio malah dilengkapi pelbagai ciri yang jarang ditawarkan pada harga serendah itu.
Bukan sekadarsedan yang menawan, kemunculan Forte juga memberi lebih peluang kepada orang ramai merasai teknologi yang selama ini hanya terdapat pada kenderaan mewah.
Bersandarkan teknologi yang menepati pasaran Amerika dan Eropah itu, Naza Kia Sdn. Bhd. (Naza Kia), pengedar rasmi kenderaan Kia di negara ini optimis untuk menjual sebanyak 6,000 unit Forte bagi tahun 2010.
Yang pasti, pengenalan Forte sudahpun dilihat sebagai langkah penguasaan Kia di negara ini. Pengumuman Naza untuk melancarkan empat lagi model kenderaan Kia pada tahun ini juga dilihat akan menamatkan kerisauan pengguna terhadap kos penyelenggaraan dan harga alat ganti Kia.
Sebelum berkongsi pengalaman memandu Forte selama beberapa hari, izinkan saya menyenaraikan tanda harga (termasuk harga insurans) bagi ketiga-tiga jenis untuk memudahkan pembaca membuat penilaian.
Forte 1.6 EX - RM75,800
Forte 1.6 SX - RM81,800
Forte 2.0 SX - RM93,800
Sesi pandu uji baru-baru ini menggunakan Forte 1.6 SX. Kekaguman pada kereta ini bermula pada penghidupan enjin menggunakan butang dan kunci pintar.
Tanpa perlu lagi menyucuk kunci pada leher stereng, pemandu hanya perlu menekan brek dan menekan butang start untuk memulakan perjalanan dan menekannya semula untuk menghentikan enjin.
Keselamatan teknologi itu dipertingkatkan dengan pengesanan kunci pintar. Begini ujiannya, tanpa kunci dalam kenderaan enjin tidak akan dapat dihidupkan dan jika kunci dibawa jauh (radius) dari kereta semasa enjin hidup amaran akan dibunyikan.
Bukan itu sahaja, sekiranya kunci kawalan ditinggalkan dalam kereta fungsi penguncian dari luar tidak akan dapat diaktifkan. Pintar bukan?
Dengan butang penghidupan enjin dan ciri-ciri keselamatannya, Forte (1.6 SX dan 2.0 SX) memberikan pemandu teknologi yang selama ini tidak terdapat pada mana-mana kenderaan di bawah harga RM100,000.
Kecanggihan itu bolehlah dikatakan keseronokan terawal memandu Forte kerana kepuasan sebenar bakal menyusul sebaik sahaja kaki menekan minyak dan tangan mengawal putaran sterengnya.
Model berkapasiti 1.6 menggunakan enjin empat kelajuan CVVT yang menjana kuasa sehingga 91.2kW pada kelajuan 6,300 rpm dengan 157Nm tork pada 4,200 rpm.
tidak mengecewakan
Model 2.0 SX pula menggunakan enjin yang sama digunakan pada Kia Optima dan terhasil dari makmal yang sama menghasilkan enjin Mitsubishi Lancer. Enjin 2.0 yang digunakan berkapasiti mengestrak 194 Nm tork pada kelajuan 4,200 rpm.
Kelancaran pemanduan Forte ditambah dengan kawalan gear secara manual yang meletakkan prestasi sebenar dalam genggaman pemandu. Cuma nisbah perubahan gear dari gear tiga (turun dan naik) tidak begitu dirasai.
Namun, kuasa daripada enjin empat transmisi automatik Forte sudah cukup berkuasa bagi sebuah kereta sedan keluarga.
Satu lagi perkara yang mengejutkan adalah penjimatan bahan bakarnya. Isian penuh tangki 52 liter memberikan jarak terkumpul sehingga 650 kilometer walaupun sesi uji pandu kerap menggunakan gear rendah ketika pemanduan di Hulu Langat, Selangor dan ke Bukit Tinggi, Pahang.
Pengendalian Forte ketika memandu di laluan berselekoh dan berbukit juga tidak mengecewakan. Selepas beberapa kali menguji kenderaan Korea, saya merasakan Forte adalah antara sedan yang terbaik dari segi keselesaan kawalan.
Kelancaran dan kestabilan datang daripada teknologi Kawalan Kestabilan Elektronik yang menggunakan sistem penyerap depan MacPherson.
Tidak dinafikan sistem brek ABS empat roda Forte juga memberikan lebih keyakinan ketika memandu pada kelajuan tinggi.
Selain penampilan luar yang elegan, ruang dalam kabin juga setanding dengan Honda City dengan keselesaan ruang letak kaki serta tambahan tempat rehat lengan dan tempat letak gelas yang boleh dilipat (di tempat duduk belakang).



Pengalaman memandu diselesakan lagi dengan pemandangan pada rekaan dashboard hitam dengan gaya kontemporari yang menggabungkan warna hitam dengan sinaran lampu merah pekat.
Satu lagi kelebihan yang tidak terdapat pada kebanyakan kereta sedan lain adalah cermin pandang belakang yang mempunyai fungsi electro-chromic yang dapat mengurangkan silau daripada pancaran kenderaan belakang.
Keringkasan diperkemaskan dengan lebih banyak butang-butang tekan berbanding butang pusing yang kelihatan agak konvensional. Sistem audio juga dilengkapi tempat cucuk USB, ipod dan fungsi AUX.
Bagi 2.0 SX, keselamatan memandu dilindungi dengan enam beg udara yang mengurangkan kesan dari depan dan sisi pemandu dan penumpang. Manakala 1.6 EX dan 1.6 SX mendapat perlindungan dua beg udara.



Satu lagi ciri yang boleh menjadikan Forte 'kereta menang memakai' adalah ruang simpanan barang yang besar. Luasnya bukan seperti kereta-kereta biasa tetapi sangat luas. Pada pandangan mata kasar, mungkin tiga beg golf boleh masukkan.
Perlindungan keselamatan di bahagian paling belakang kenderaan pula dilengkapi empat 'mata pengesan' sensor undur ultrasonik yang memberikan pengawasan lebih tepat. Lebih menyakinkan lagi adalah paparan grafik pada skrin LCD ketika mengundurkan kereta.
Namun, semua model ditawarkan dengan jaminan dua tahun atau 50,000 (yang mana dahulu) berbeza dengan kebanyakan kenderaan yang biasanya mempunyai tempoh jaminan lebih lama.
Terdapat enam warna untuk dipilih iaitu dua warna solid hitam dan putih, empat warna metalik termasuk merah (SX sahaja), perak dan kelabu.

1 comment:

  1. memang menarik dan anggun. saya dah booking

    ReplyDelete