KEWUJUDAN ribuan Land Rover yang bertali arus di Cameron Highlands
pasti menimbulkan tanda tanya kepada sesiapa sahaja yang berkunjung ke
pusat peranginan tersebut. Meskipun sudah terlalu usang, kenderaan berbentuk kotak empat segi
itu masih gagah meredah laluan berbukit di sekitar Tanah Rata,
Berinchang, Ringlet dan Kampung Raja.
Di dalam daerah Cameron Highlands dianggarkan terdapat 10,000 buah
pacuan empat roda itu, menjadikan daerah tersebut kawasan berkepadatan
kenderaan Land Rover tertinggi di dunia.
Persoalannya adalah bagaimana kenderaan keluaran Britain itu dibawa masuk sehingga berlambak di pusat peranginan itu. Tarikh dan sejarah sebenar 'ketibaan' Land Rover di situ bagaimanapun
tidak dapat dipastikan namun Land Rover dikatakan dibawa masuk ke
Cameron Highlands oleh pegawai-pegawai kerajaan semasa zaman
pemerintahan Inggeris di negara ini.
Ketika itu kawasan beriklim sejuk itu dijadikan tempat istirehat bagi
pegawai-pegawai Inggeris untuk melepaskan rindu terhadap kampung
halaman mereka setelah lama berada di Tanah Melayu ketika itu.
Daripada penempatan kecil, Cameron Highlands berkembang menjadi
sebuah pekan ekoran kerancakan sektor pertanian khususnya selepas
pembukaan ladang dan kilang teh di situ.
Puluhan tahun selepas zaman kolonial dan era komunis, masyarakat
Cameron Highlands mula mengenali Land Rover sebagai nadi dalam sektor
pertanian mereka.
Segalanya bermula melalui pembelian kenderaan tersebut yang dilelong
oleh pasukan keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) dan jabatan-jabatan kerajaan. Pelupusan aset kerajaan secara tender itu membuka jalan kepada
pekebun di situ membeli pacuan empat roda tersebut pada harga yang
sangat rendah.
Bagi golongan petani, jentera yang kebanyakannya sudah rosak teruk
pada bahagian enjin dan kotak gear itu berbaloi untuk diperbaiki.
Melalui jualan tender tersebut, sebuah Land Rover boleh dibeli pada
harga RM5,000 hingga RM7,000 bergantung kepada keadaan dan status geran. Dengan membelanjakan kos tambahan kira-kira RM15,000 untuk baik
pulih, sebuah Land Rover mampu dihidupkan semula dan sedia untuk
berbakti kepada tuannya.
Mengambil kira harga modal yang murah, golongan pekebun dan petani di
Cameron Highlands berlumba-lumba mendapatkan Land Rover yang banyak
dilelong di seluruh negara.Selain dijual pada harga yang rendah, kenderaan itu sendiri memiliki
banyak keistimewaan yang diperlukan golongan petani khususnya kemampuan
jentera itu mengangkut beban yang berat.
Sebagai kenderaan yang terbukti perkasa sepanjang perkhidmatannya di
dalam pasukan polis dan tentera, Land Rover juga menjadi satu-satunya
kenderaan yang dapat menyesuaikan diri dengan bentuk muka bumi Cameron
Highlands yang berbukit dan berlembah. Sehingga kini, Land Rover masih menjadi nadi kepada kebanyakan penduduk Cameron Highlands.
JAGUH TANAH TINGGI
JAM menunjukkan pukul 6.30 pagi ketika Suresh Subramanyam menghidupkan enjin Land Rover miliknya sebelum meninggalkan ahli keluarganya yang masih lena diulit mimpi.
Begitulah rutin Suresh pada setiap hujung minggu yang membantu
keluarganya menguruskan kerja-kerja di kebun kubis seluas setengah
hektar di Tanah Rata, Cameron Highlands.
Walaupun sudah berusia lebih 45 tahun, Land Rover model 109 itu masih
cukup bertenaga mendaki laluan berbukit dan suluhan lampunya juga cukup
terang untuk 'membelah' jalan yang masih berkabus.
Sesekali perjalanan pacuan empat roda itu terpaksa keluar dari laluan
utama sehingga menghimpit rapat ke 'dinding' bukit bagi memberi laluan
kepada kenderaan-kenderaan yang lebih kecil.
"Banyak sekali jasa Land Rover ini kepada kami sekeluarga. Walaupun
sudah tua khidmatnya masih diperlukan untuk melakukan kerja-kerja di
kebun.
"Jika tidak ke kebun, Land Rover yang dihadiahkan oleh bapa kepada
saya ini digunakan untuk kerja-kerja harian," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.
Lelaki berusia 29 tahun itu merupakan salah seorang daripada
beribu-ribu petani di Cameron Highlands yang bergantung hidup kepada
pacuan empat roda Land Rover.
Beliau berkata, Land Rover keluaran 1989 itu dibeli oleh bapanya
kira-kira 10 tahun lalu untuk kegunaan mengangkut hasil kebun kepada
pemborong.
Katanya, berbekalkan modal RM7,500, Land Rover yang dibeli dibaiki sedikit demi sedikit sebelum dapat digunakan.
"Sebagai petani kecil-kecilan kita tidak mempunyai wang untuk membeli
sebuah pacuan empat roda yang baharu. Lagipun kenderaan ini hanya
digunakan untuk kerja-kerja berat
"Kadang-kala meragam juga namun tidak memerlukan modal yang besar untuk dibaiki ," katanya.
Bagaimanapun Suresh memberitahu, populariti Land Rover di Cameron
Highlands bukan hanya kerana ia dijual murah tetapi kenderaan itu
sendiri mempunyai banyak kelebihan.
Katanya, penggunaan pacuan empat roda itu sesuai untuk mengangkut
hasil pertanian dari kebun yang kebanyakannya terletak di lereng dan
puncak bukit.
Untuk melihat kuasa sebenar sebuah Land Rover, penulis dan jurugambar
dibawa ke Lembah Bertam yang merupakan salah satu daripada kawasan
pertanian utama di Cameron Highlands.
Seperti diperkatakan oleh Suresh, dari puncak bukit itu kelihatan
beberapa buah Land Rover usang yang masih lagi gagah mengangkut beban
walaupun separuh daripada badannya senget dan mengeluarkan kepulan asap
hitam.