SELEPAS memiliki lensa biasa dan lensa sudut luas, keperluan seterusnya 
yang mungkin dapat memberi lebih kepuasan dalam hobi fotografi adalah 
lensa telefoto.
Secara umumnya, lensa yang mempunyai saiz lebih 
panjang ini berfungsi membesarkan saiz objek dengan membawa subjek yang 
berada jauh dari pandangan mata kelihatan lebih dekat dan besar.
Namun
 kegunaan lensa telefoto bukan hanya sebagai 'kanta pembesar' pada 
kamera sebaliknya mampu memberikan perspektif yang membolehkan pengguna 
menerokai ruang kreativiti dengan pelbagai cara. 
Antara kesan 
yang paling digemari daripada penggunaan lensa versatil ini adalah 
keupayaan menonjolkan subjek dengan mengasingkan latar belakang menjadi 
kabur.
Selain itu, lensa ini juga menghasilkan pemampatan imej 
yang mewujudkan keintiman antara subjek dengan latar belakang walaupun 
pada hakikatnya kedua-duanya terpisah jauh. 
Kesan pemampatan yang
 dimaksudkan itu boleh dilihat melalui rakaman pemandangan yang mana 
matahari dan bulan kelihatan lebih besar berbanding objek-objek lain.
Dalam
 fotografi landskap yang selalunya sinonim dengan lensa sudut luas, 
penggunaan lensa telefoto kadang kala mampu menghasilkan gambar yang 
cukup kreatif.
Bagaimanapun, penggunaan lensa dengan jarak fokal 
yang panjang ini tidak dapat lari daripada masalah gegaran sekiranya 
tidak dikendalikan dengan betul. 
Oleh itu, pengawalan kelajuan 
pengatup harus diberi perhatian dan sekiranya lensa dilengkapi teknologi
 penstabilan imej atau pengurangan gegaran, jangan lupa untuk 
mengaktifkannya.
Selain menjadi lensa wajib bagi jurufoto sukan, 
kewartawanan dan alam semulajadi, lensa telefoto juga pilihan yang baik 
untuk kegunaan fotografi potret dan makro.
Di pasaran, lensa 
telefoto datang dalam pelbagai jarak fokal dan spesifikasi. Ia boleh 
dibahagikan kepada dua kategori utama iaitu telefoto boleh zum dan 
telefoto berjarak fokal tetap.
Selain ditentukan oleh jarak fokal,
 harga bagi sebuah lensa telefoto biasanya bergantung kepada saiz bukaan
 pengatupnya. Misalnya sebuah lensa telefoto 70-200mm yang mempunyai 
bukaan pengatup f/2.8 dijual pada harga kira-kira RM7,000 berbanding 
RM4,000 bagi yang mempunyai bukaan pengatup f/4.
 




 
No comments:
Post a Comment