RAMA-RAMA dengan kibaran sayap berwarna-warni dan corak-corak unik boleh
menjadi antara subjek fotografi yang cukup menarik untuk dicuba.
Walaupun fotografi jenis ini kelihatan sukar untuk dilakukan tanpa
penggunaan lensa khas (macro), kebanyakan kamera digital moden hari ini
dilengkapi keupayaan zum yang memadai untuk tujuan itu.
Langkah
pertama boleh dimulakan dengan pemilihan lokasi yang menyediakan peluang
untuk merakam kepelbagaian aksi serangga tersebut. Kunjungan ke taman
bunga pada waktu pagi adalah keputusan terbaik.
Sebagai makhluk
halus dan sentiasa bergerak, cabaran mendapatkan gambar yang jelas dan
tajam mungkin akan menguji kemahiran fotografi anda.
Untuk imej
yang berkualiti, kepantasan pengatup boleh ditetapkan pada kelajuan
1/1000 atau lebih (pada hari terang) bagi mengurangkan kekaburan akibat
pergerakan subjek atau tempat hinggapnya.
Selain itu, kekaburan
yang mungkin berlaku ekoran penggunaan zum secara maksimum juga boleh
dikurangkan melalui penggunaan tripod.
Bagi pengguna lensa makro
atau zum, titik fokus yang diletakkan pada bahagian mata atau kepala
rama-rama dapat memastikan hampir keseluruhan subjek berada dalam fokus.
Pada
bukaan pengatup yang disyorkan iaitu antara (f2.8 hingga f5.6), rakam
seberapa banyak gambar apabila subjek hinggap pada bunga kegemarannya.
No comments:
Post a Comment