Apr 17, 2013
Keindahan Alam Marin
KEUNIKAN alam marin yang dipenuhi hidupan ganjil dan berwarna-warni merupakan antara pemandangan paling memukau untuk diabadikan pada sekeping kanvas.
Keindahan dunia separa fantasi itu sekali gus menjadikan fotografi bawah air antara kemuncak kepuasan dalam penghasilan gambar yang mempunyai subjek-subjek luar dari kebiasaan.
Selain kemahiran menyelam skuba, fotografi bawah air juga menuntut penggunaan peralatan khusus yang agak mahal sehingga ramai yang berfikir panjang untuk menceburi bidang itu.
Bagi yang mempertimbangkan fotografi bawah air sebagai kerjaya profesional dan serius, halangan tersebut memang wajar difikirkan tetapi bagi yang sekadar ingin mencuba, fotografi bawah air bukan lagi sesuatu yang terlalu sukar dan mahal.
Teknologi fotografi yang berkembang pesat pada hari ini juga banyak memberi 'manfaat' kepada mereka yang memiliki lesen skuba untuk merakam keindahan di dasar laut.
Sebagai hobi permulaan, perbelanjaan membeli kamera kalis air kini tidak lagi membebankan.
Sebuah kamera kompak berserta sarung kalis air kini boleh dibeli pada harga kira-kira RM3,000. Antara model-model yang dipadankan (dijual berasingan) dengan bekas kalis air adalah dari keluaran Canon, Nikon dan Olympus.
Bagaimanapun, rakaman fotografi bawah air tidak semudah seperti yang dilakukan di darat. Di dalam air, cabaran pertama bermula dengan kebolehan menguasai teknik apungan iaitu kemahiran untuk berada di dalam keadaan neutral (tidak tenggelam dan tidak timbul).
Selain tolakan arus di dasar laut yang menyebabkan gambar menjadi kabur, rakaman juga terbatas oleh faktor-faktor seperti kesukaran mendapatkan perspektif, kekurangan cahaya dan subjek yang sentiasa bergerak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment