Feb 4, 2010

Pelancongan Angkasa


PESAWAT pelancongan angkasa komersial pertama, SpaceShipTwo yang dibangunkan secara rahsia sejak dua tahun lalu baru-baru dipertontonkan kepada umum di Gurun Mojave, Amerika Syarikat.

Selepas beberapa siri ujian, pesawat syarikat penerbangan Virgin Galactic milik bilionair Richard Branson itu dijangka memulakan penerbangan ke angkasa menjelang 2011.

Pesawat yang berbentuk bulat dan tajam mempunyai saiz menyamai sebuah jet perniagaan (20 meter panjang) mampu memuatkan enam penumpang dan dua juruterbang.

Pada penerbangan itu nanti, SpaceShipTwo akan diangkut oleh pesawat ibu, WhiteKnightTwo sehingga ketinggian 16,000 meter sebelum roket SpaceShipTwo meneruskan penerbangan sub-orbital.

Penerbangan sub-orbital adalah penerbangan melebihi paras ketinggian 100 km atau dikenali sebagai garisan Karman iaitu sempadan antara ruang udara bumi dengan angkasa lepas.

Sebaik memasuki ruang angkasa, ekor berkembar SpaceShipTwo akan dilipat ke atas bagi menambah tempoh waktu di angkasa sebelum menjunam ke bumi seperti bulu tangkis.

Menurut Branson, tiket penerbangan yang dijual pada harga AS$200,000 (RM670,000) itu menawarkan pakej selama dua jam setengah termasuk lima minit pengalaman graviti kosong dan peluang melihat lengkungan planet bumi melalui tingkap luas pesawat.

Sehingga kini sudah 300 tempahan diterima oleh Virgin Galactic.

SpaceShipTwo dibangunkan oleh syarikat Scaled Composites LLC berdasarkan protaip terdahulu iaitu SpaceShipOne rekaan Burt Rutan.

Keselamatan

Rutan yang pernah memenangi hadiah Ansari X Prize dalam ciptaan terdahulu berkata, SpaceShipTwo akan menjelajah angkasa lebih selamat daripada kebanyakan pesawat angkasa kerajaan.

"Pelancong angkasa tidak perlu lagi 'beratur panjang' di Rusia yang merupakan satu-satunya negara pengendali pelancongan angkasa ketika ini," ujarnya.

Majlis gilang gemilang di tapak lapangan terbang angkasa (Spaceport) itu disaksikan oleh Datuk Bandar California, Arnold Schwarzenegger dan Datuk Bandar New Mexico Bill Richardson.

No comments:

Post a Comment