WALAUPUN penggunaan kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) sudah jadi kebiasaan pada masa sekarang, tiada yang dapat menyangkal keistimewaan sebuah kamera kompak. Bahkan di kalangan yang sudahpun memiliki DSLR, kamera kompak masih lagi menjadi teman rapat. Ia adalah 'pemain simpanan' di kala kecemasan dan 'senjata rahsia' ketika tidak mengusung DSLR.
Demikianlah dunia fotografi moden, tuntutan rakaman gambar terbaik menyaksikan persaingan sengit antara segmen kompak dengan DSLR sehinggakan kebanyakan kompak pada masa kini dibina dengan ciri-ciri yang begitu menyamai DSLR.
Canon sebagai pengeluar kamera digital terkemuka dunia baru-baru ini memperkenalkan generasi terbaru siri PowerShot iaitu S90. Penjelmaan semula siri S yang diperkenalkan lima tahun lalu (S80) itu menggabungkan ciri-ciri ELPH/IXUS dan model-model G.
Pengenalan S90 sekaligus mengakhiri penantian peminat untuk memiliki sebuah kamera kecil dan ringan tetapi mampu menjalankan tugas secekap DSLR. Kehadirannya juga tepat ketika model-model G yang kini semakin susut di pasaran ekoran permintaan tinggi.
Bukan sembarangan kompak, S90 dibina dengan saiz lebih kecil dan nipis berbanding model siri G (G9,G10 dan G11). Hanya beberapa milimeter lebih besar berbanding saiz kad ATM malah cukup selesa di dalam poket baju.
Contol ring yang boleh ditetapkan untuk pelbagai fungsi spt speed, aparture, ISO
Gelang kawalan dan f2
S90 diperbaharui dengan pelbagai teknologi dan antara yang paling menonjol pada badan si kecil itu adalah fungsi gelang kawalan yang memberi pengawalan seperti sebuah kamera DSLR. Ia bukan sekadar gimik reka cipta tetapi inovasi hebat yang memudahkan penyelarasan bukaan cahaya (aparture) dan penutup kelajuan (shutter speed). Selain dua fungsi penting itu, gelang kawalan juga boleh ditetapkan untuk pelbagai fungsi lain.
Dengan menekan butang 'ring' bersebelahan dengan butang ON/OFF di bahagian atas kamera, gelang kawalan boleh digunakan untuk menentukan kelajuan ISO, pemfokusan manual serta fungsi zoom secara berperingkat.
Bagi yang gemar merakam secara manual, fungsi gelang kawalan yang mengelilingi lensa itu pasti memberi kepuasan seolah-olah menggunakan DSLR. Selain inovasi supercool itu, S90 juga dilengkapi butang kawalan berputar yang memudahkan pemilihan mode-mode penting tanpa perlu 'masuk jauh' ke dalam sub-menu seperti kompak terdahulu.
Dengan hanya menguasai fungsi dua butang itu, pengguna mampu menghasilkan gambar yang diinginkan dengan setiap perubahan dipaparkan pada skrin LCD selebar tiga inci.
Untuk sentuhan lebih kreatif, S90 mempunyai lubang cahaya dengan nilai f2 yang lebih besar berbanding mana-mana kompak. Dengan kelebihan itu, pengguna boleh mendapatkan kesan kabur pada 'subjek di luar fokus' yang lebih menarik dan merakam gambar dalam keadaan gelap bukanlah sesuatu yang sukar.
Bagi yang serius mengenai warna, kawalan imbangan putih secara manual (dari warna sejuk kepada panas) juga menambah kelebihan S90. Persamaan ciri-ciri DSLR pada kamera ini berterusan sehingga penentuan format rakaman RAW yang penting untuk pemprosesan semula imej selepas rakaman. Pilihan ISO bermula dari 80 sehingga 3200 pula menawarkan kualiti imej yang setanding dengan G11.
Mode AUTO
Kompak dengan kawalan manual sememangnya menakjubkan namun bagi yang tidak biasa dengan penetapan itu, S90 juga sebuah kamera yang baik pada tetapan automatiknya. Keupayaan mengenalpasti lebih daripada 20 situasi banyak membantu untuk mendapatkan pilihan mode secara tepat. Selain itu, fungsi Servo AF juga mampu mengekalkan fokus tepat pada subjek yang sedang bergerak.
Dengan teknologi sistem dual anti-noise yang menggunakan pemprosesan Digic4, S90 menghasilkan rakaman yang terang walaupun di dalam keadaan gelap tanpa kekaburan seolah-olah anda menggunakan tripod.
Bonus ditambah dengan mode cahaya rendah yang membolehkan penyelarasan ISO sehingga 12,800. Dalam keadaan itu, merakam kaki langit pada waktu senja atau malam bukanlah satu masalah.
Pada prestasi lensanya, S90 tidak mungkin mengatasi ketajaman lensa siri G namun teknologi penstabilan imej pada lensa lensa 28-105 mm itu sudah cukup hebat. Begitu juga dengan keluasan bukaan lensa 28mm yang baik untuk rakaman panorama.
Selepas mencuba sendiri kamera itu, penulis harus memuji fungsi gelang kawalannya namun beberapa perkara seperti ketiadaan viewfinder, hotshoe untuk flash dan ketahanan bateri yang agak singkat perlu dikongsi. Walaupun Canon mendakwa bateri yang digunakan S90 mampu merakam sehingga 200 keping gambar, bateri tidak mungkin bertahan untuk kegunaan aktiviti perkhemahan lebih daripada tiga hari jika ia kerap dipetik.
Di pasaran negara ini Canon S90 boleh didapati pada harga sekitar RM1,700. Bagi yang ingin membawa kamera ini ke dasar laut, bekas kamera ini (WP-DC35) dijual pada harga kira-kira RM850. Dengan segala kelebihan lain yang dimilikinya, S90 mampu memenuhi kehendak fotografi bagi pengguna dari semua peringkat termasuk pengguna amatur dan profesional.
Berikut adalah beberapa sample underwater shot daripada trip Pulau Layang-Layang saya baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment