KAMU tidak akan ke pulau-pulau lain jika tahu di mana lokasi untuk menyelam di Pulau Redang,” kata-kata rakan yang berpengalaman dalam aktiviti selam skuba itu masih melekat di ingatan.
Justeru, kunjungan saya ke pulau itu baru-baru ini membawa harapan tinggi untuk melihat keindahan yang tersembunyi di dasar itu. Pulau yang pernah dipopularkan melalui filem Summer Holiday lakonan Richie Ren dan Sammi Cheng suatu masa dahulu.
Memang benar pulau di perairan Terengganu itu pernah tersenarai antara 10 pulau yang mempunyai hidupan laut tercantik di dunia tapi selepas beberapa kali menyelam di situ, terasa seperti masih belum begitu memuaskan.
Selepas melabuhkan penat perjalanan menaiki bot dari jeti Merang, saya meninggalkan keselesaan bilik Resort Redang Pelangi untuk menemui Teng Jan Shir, jurulatih selam yang akan mengetuai selaman kumpulan kami pada petang itu.
Tanpa berselindung saya menyatakan hajat untuk melihat apa yang terbaik dari pulau itu. Permintaan ketika itu sengaja diselitkan perbandingan dengan keindahan di Pulau Perhentian supaya lelaki yang sudah lebih 10 tahun menyelam di pulau itu terasa sedikit ‘tercabar’.
“Keindahan yang macam mana kamu mahu tengok?,” soalan yang diajukan kini berbalas soalan.
Saya tidak mempunyai jawapan yang lebih baik atau terperinci melainkan menyerah keputusan untuk memilih lokasi kepada Jan Shir yang sememangnya lebih arif mengenai pulau itu.
Sepanjang dua hari penginapan di Redang Pelangi, kumpulan kami dibawa ke lokasi seperti Mak Cantik, Kalang Cupok, Tanjong Tokong dan Batu Cina Terjun. Di antara lokasi itu, ada yang membuatkan kami semua naik ke darat dengan senyum lebar.
Namun seperti kata orang, kecantikan itu sesuatu yang subjektif pada individu berbeza. Bagi saya keindahan Redang pada kunjungan itu bukanlah di Mak Cantik seperti yang pernah diceritakan rakan tetapi pada sesuatu yang baru, malah tidak pernah disaksikan sesiapa sebelum itu.
Lain dicari, lain yang ditemui
Semuanya bermula ketika selaman di lokasi bernama Sandy Bottom. Tujuan sebenar adalah untuk mencuba nasib kalau-kalau kami dapat menemui kuda laut di kawasan itu. Tetapi selepas hampir 20 minit berada di dasar yang kosong seperti gurun itu, kami dikejutkan dengan ketukan pointer secara bertalu-talu pada tangki selam Jan Shir.
Semua mendayung ke arah Jan Shir dan di dalam jarak penglihatan sejauh 15 meter itu kelihatan dua bongkah gergasi tersergam di depan kami. Ia adalah dua buah bot kayu yang berapit rapat antara satu sama lain. Satu daripadanya tertera perkataan yang tidak difahami ‘goc Dung’. Berbeza dengan kapal-kapal karam yang pernah dilawati, kapal nelayan itu masih tidak diselaputi lumut. Bersih seperti kapal di darat.
Pinggan mangkuk, peralatan pancing, baju dan beberapa helai jeans bertaburan di atas dek. Di bahagian belakang bot itu pula buai jaring yang digunakan nelayan untuk berehat masih terikat kemas. Peluang tidak dilepaskan untuk berada lebih dekat, memerhatikan suasana suram dan misteri di dalam bilik pengemudi. Di dalam kabin itu kelihatan roda stereng yang masih berkilat.
Di bahagian depan kapal berukuran 30 meter panjang itu, tali-tali sauh yang ditinggalkan beralun-alun ditolak arus, menegak dan menari seakan-akan rumpai laut. Dari paras bumbung setinggi lapan meter, kami menjunam ke dasar menghampiri dua kipas gergasi. Ruang di antara dua perut bot yang berapit di situ menghasilkan lorong sempit yang boleh dibolosi penyelam.
Di bawah perut bot itu bersembunyi beberapa ekor ikan pari yang mungkin antara penghuni terawal di situ. Akhirnya kumpulan kami timbul di permukaan tanpa bercerita tentang kuda laut. Masing-masing puas dengan penemuan itu dan kami menjadi kumpulan penyelam pertama yang menyelam di tarikan terbaru Pulau Redang itu.
Menurut Jan Shir, dua bot itu adalah bot nelayan Vietnam yang ditenggelamkan oleh Jabatan Taman Laut dua hari sebelum itu. Katanya, kapal karam yang terletak antara Pulau Kerengga dan Pulau Ekor Tebu itu akan menjadi lokasi selam yang menarik selepas beberapa tahun.
“Lokasinya juga tidak jauh, kira-kira 15 minit dari pusat selam Redang Pelangi,” kata pengurus pusat selam itu.
Selain ‘lokasi tanpa nama’ itu, selaman unjang juga memberikan pengalaman eksplorasi menarik. Lokasi itu menempatkan tujuh terumbu buatan manusia berbentuk piramid yang dipenuhi spesies jarang ditemui di kawasan pantai seperti selar kuning, selayang dan kembong.
Unjang merupakan perangkap ikan yang diperbuat daripada himpunan pelepah kelapa sepanjang kira-kira 20 meter yang dipasang secara tergantung di tengah-tengah laut. Jan Shir berkata, selaman itu diperkenalkan pada tahun lalu untuk penyelam-penyelam berpengalaman yang mungkin sudah bosan melihat terumbu karang.
“Penyelam baru bagaimanapun tidak begitu berminat untuk melakukan selaman unjang kerana tidak tahu apa yang mungkin ditemui,”katanya.
Selepas selaman itu, penulis mengakui bahawa keindahan sebenar menyelam ke dasar laut bukan sahaja untuk menyaksikan terumbu karang pelbagai warna namun apa yang lebih penting adalah keseronokan eksplorasinya.
Mana cerita Jepun daaa...AK Kosmo
ReplyDeletetunggu..aku tgh select gambar2 nightlife kat sana..tunggu entry seterusnya..
ReplyDelete