Kunjungan awal Julai lalu adalah tajaan Mitsubishi Motors Malaysia di mana kumpulan media dibawa ke Hokkaido untuk sesi pandu uji tiga model terbaru kenderaan jenama itu yang akan dilancarkan di Malaysia tahun ini. Dari Kuala Lumpur, penerbangan lapan jam mendarat di Airport Narita. Di Narita kami menemui Jessica dan Laurent Heong dari Apple Holidays selaku guide travel ejen yang menguruskan perjalanan kami.
Dari Narita perjalanan menaiki bas selama sejam tiba di Airport Haneda untuk penerbangan seterusnya ke Kushiro Airport iaitu airport utama di pulau Hokkaido-yang memakan masa tiga jam. Tempoh perjalanan yang panjang sememangnya memenatkan tapi sebaik sahaja tiupan angin sejuk di pulau itu menyapa dan kehijauan landscape mula terserlah, rasa letih lenyap dibawa angin.Kehijauan landskape di Hokkaido dari pandangan udara.
Sebenarnya terlalu banyak destinasi menarik yang dikunjungi di Hokkaido namun tak mungkin semua tu dapat dicoretkan kerana melawat sendiri adalah yang lebih baik. Namun di sini, dikongsikan beberapa destinasi terbaik yang pernah dilawati sepanjang 5 hari di Hokkaido dan 1 hari di Tokyo.
Kepelbagaian wajah Hokkaido boleh dilihat bergantung ke mana dan bila (musim) lawatan
dilakukan. Bagaimanapun, apa sahaja pilihan anda, Hokkaido tetap menjanjikan yang terbaik, terutama bagi mereka yang memilih alam semulajadi. Berbanding dengan destinasi tumpuan biasa di Jepun, Hokkaido agak berbeza, mungkin kerana faktor geografinya yang terletak jauh di utara negara itu. Di dalam peta Jepun, pulau kedua terbesar Jepun itu membentuk kepala naga, manakala Honshu (Tokyo, Kyoto, Osaka) membentuk badan naga.
Kushiro National Park yang merupakan tempat penemuan semula 20 ekor Red Crane (1970-an) selepas disangka pupus sejak ratusan tahun di Jepun.
Pada musim sejuknya, Hokkaido boleh membeku sehingga di bawah paras negatif 10. Ketika itu, gunung-ganang dan padang luas yang menghijau akan bertukar menjadi putih, seputih kapas. Dan ketika itu jugalah, permukaan laut dan tasik membeku dan bertukar menjadi taman permainan ski yang begitu popular. Haiwan-haiwannya juga hilang dalam hibernasi. Tarikan resort ski yang banyak terdapat di situ juga beberapa kali menobatkan Hokkaido sebagai menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk sejak tahun 1970-an. Setiap tahun, curahan salji keringnya menarik ribuan peminat untuk menyaksikan Festival Ukiran Air Batu Antarabangsa (Yuki Matsuri) yang diadakan pada bulan Februari di bandar Sapporo.
Kunjungan pertama adalah ke Santuari Burung Jenjang (Red Crowned Crane Reserve Center). Pusat pemuliharaan yang dibuka sejak 1958 itu kini menempatkan tujuh pasang burung jenjang yang merupakan imej popular dalam lukisan dan hikayat kuno masyarakat Jepun. Berbeza dengan spesies lain, burung berbadan hitam putih dan bertompok merah di kepala itu dikatakan hidup dengan hanya satu pasangan sepanjang jangka hayatnya kira-kira 35 tahun.
"Burung jenjang yang kematian pasangan biasanya akan 'mengikut jejak' kekasihnya beberapa bulan selepas hidup bersendirian,"ujar pegawai taman yang mengiringi kunjungan kami di situ.
Keunikan burung itu termasuk tidur secara berdiri dengan hanya sebelah kaki bagi mengelak serangan musuh. Lokasi biasa yang dipilih sebagai tempat tidur adalah di atas permukaan lopak air dan sungai cetek. Selain kawasan santuari itu, burung jenjang juga boleh ditemui di habitat semula jadi iaitu di tanah lembap Taman Negara Kushiro yang terletak tidak jauh dari situ. Di luar Hokkaido, burung yang mampu menghasilkan bunyi seperti semboyan itu hanya boleh dilihat pada logo pesawat Japan Airlines (JAL).
Persinggahan seterusnya adalah bandar Akan. Bumi orang Ainu yang merupakan masyarakat orang asli pulau Hokkaido sebelum dimiliki Jepun (dikenali dengan nama Ezo). Akan yang bermaksud abadi dalam bahasa Ainu merupakan satu daripada tarikan utama di Hokkaido.
Penginapan di Hotel Tsuruga di tengah bandar Akan juga memberi peluang untuk mendekati budaya dan kehalusan seni masyarakat Ainu. Dengan hanya memakai kimono pada waktu malam, perjalanan di sekitar bazar kraftangan membawa pelawat jauh ke zaman Nippon silam.
Keunikan cara hidup tradisional juga boleh diselami di bilik penginapan yang direka seperti rumah kampung. Pengalaman tatami iaitu tidur di atas lantai beralaskan tilam nipis dan bantal berisi biji pasir mengatasi kerimasan dua malam berada di bilik kecil itu. Di Akan, pelancong boleh mendapatkan pelbagai cendera hati. Antara tiga patung haiwan yang menjadi ikon Akan adalah burung hantu, beruang dan serigala.
Selepas bandar kecil itu mula gelap, tiba masanya untuk tetamu pulang ke hotel dan mencuba satu daripada pengalaman utama percutian di Hokkaido. Mandian kolam air panas atau onsen adalah yang paling popular dan disyorkan kepada pelancong. Bagi masyarakat Jepun, kunjungan ke Hokkaido tidak lengkap tanpa menikmati onsen. Bagaimanapun adat mandian awam di Jepun tidak membenarkan sebarang pakaian. Onsen hanya boleh dinikmati secara bogel. :p
Difahamakan, tradisi kuno itu memberi banyak manfaat kesihatan kepada pengamal termasuk menghaluskan kulit dan membantu tidur dengan nyenyak. Ia juga satu daripada cara bersosial yang dapat merapatkan hubungan tanpa ada rahsia dalam percakapan dan perlakuan berlandaskan falsafah sama rata. Selain Akan, beberapa tempat seperti Noboribetsu, Tokachidake dan Kussharo juga mempunyai saluran air panas ke hotel. Hokkaido mempunyai banyak kolam onsen yang terhasil daripada aktiviti gunung berapi aktif.
Keesokkan harinya kumpulan dibawa menaiki kapal persiaran menuju ke sebuah pulau di tengah-tengah Tasik Akan. Pulau kecil itu adalah pusat pameran bebola marimo yang juga ikon pelancongan Hokaido. Marimo atau cladophora ball adalah spesies alga hijau berbentuk bola yang ditemui di dasar tasik gunung berapi itu. Pada tumbuhbesaran kira-kira lima sentimeter setahun, bebola marimo mampu membesar sehingga menyamai saiz sebiji tembikai. Sebagai kenang-kenangan, bebola marimo yang diisi di dalam botol juga dijual sebagai souvenier kepada pelancong di Hokkaido.
Satu lagi pengalaman yang tidak mungkin dikecualikan di Hokkaido adalah sajian makanan laut. Pasar Curb di Sapporo misalnya menghidangkan ketam gergasi yang boleh mencapai harga RM500 seekor. Kehebatan ketam laut itu bukan sahaja pada isi yang besar malah rasanya juga manis. Setakat ini, itu ketam terbaik yang pernah dinikmati penulis. Namun bagi yang tidak berpeluang ke pasar berusia lebih 100 tahun itu, hotel-hotel di Hokkaido masih menawarkan sajian seafood yang terbaik. Selain hidangan biasa seperti sushi dan sashimi, telur ikan (ikura gunkan maki), belut (unagi), sup miso, rumpai laut, masakan cendawan, taufu dan semestinya sayur-sayuran segar.
Itulah sebahagian daripada keindahan pulau Hokkaido. Setiap satu daripadanya berubah kepada empat wajah yang berbeza setiap kali musim bertukar.
Sepanjang perjalanan di timur Hokkaido, pelawat juga akan terbiasa dengan gerai-gerai yang menjual melon Yubari yang dijual pada harga mencecah RM400 atau lebih sebiji. Keistimewaan buah melon di sana adalah rasa yang manis. Di kawal melalui kaedah penanaman mewah, di mana setiap pokok hanya dibenarkan membesarkan sebiji melon. Selebihnya akan digugurkan untuk memastikan buah yang membesar mendapat khasiat secukupnya.
No comments:
Post a Comment