TIADA unsur alam di dunia ini yang dapat mengatasi kehebatan kuasa terapi yang dimiliki oleh laut dan pantai. Pertemuan di antara kedua-duanya memberi seribu satu ketenangan.
Meskipun ada kalanya ia dianggap sebagai lawan, kita lebih mengenalinya sebagai peneman. Deruan air dan hembusan bayu yang dilepaskan adalah rawatan terbaik yang dapat merungkaikan setiap daripada kecelaruan.
Itulah antara sebab mengapa lokasi percutian tepi pantai terus diminati bahkan menjadi destinasi pelancongan paling popular di negara ini dan juga di dunia umumnya.
Namun untuk mendapatkan tempat seperti yang tergambar di fikiran anda sekarang bukanlah sesuatu yang mudah. Bagi penghuni kota, ia tidak mungkin dinikmati tanpa memandu seharian di jalanan.
Terletak kira-kira 100 kilometer dari Kuala Lumpur dan 15 minit perjalanan berkereta dari pantai percutian Teluk Kemang, Permaisuri Resort merupakan syurga baru di antara puluhan lokasi percutian di Pantai Port Dickson, Negeri Sembilan.
Terasing dari kelompok penginapan yang lain, Permaisuri Resort yang memulakan operasi pada akhir 2009 menawarkan pengalaman percutian unik dan tersendiri bagi mereka yang bertandang ke daerah pelancongan tersohor itu.
Keistimewaan resort hotel itu adalah pilihan 100 unit penginapan yang kesemuanya dibina mengadap ketenangan laut di Tanjung Biru. Kemewahan bilik dikategorikan kepada pangsapuri tiga dan satu bilik, studio dan bilik eksklusif bertaraf kenamaan (VIP).
Ketibaan saya bersama tiga orang rakan ke Permaisuri Resort baru-baru ini disambut mesra oleh kakitangan di lobi resort. Walaupun menerima tetamu yang agak ramai pada hujung minggu itu, ruang letak kereta masih tersedia pada jarak yang dekat bagi setiap tetamu.
Semasa berdiri di kaunter sementara menunggu urusan pendaftaran masuk dilakukan, biasan air laut yang berkilau-kilau di sebalik celahan pohon rhu pantas ditangkap oleh anak mata. Dan tanpa banyak berlengah, lif terus membawa kami ke tingkat tujuh untuk menjenguk ke unit pangsapuri tiga bilik yang bakal menjadi kediaman selama tiga hari dua malam.
Langkah pertama selepas menyelak daun pintu unit itu disambut oleh ruang dapur yang ringkas tetapi cukup luas untuk kegunaan satu keluarga. Dari penghujung dapur, ruang dalaman rumah dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu ruang makan malam dan ruang tamu.
Meskipun terlalu banyak perkara menarik yang boleh diperhatikan sama ada di lantai dan yang tergantung di dinding, hati ketika itu lebih teruja untuk memeriksa bilik tidur. Bilik tidur utama yang dilengkapi bilik air sendiri sememangnya luas. Bahkan cukup selesa untuk tambahan seorang kanak-kanak.
Begitu juga dengan keluasan dua lagi bilik yang langsung tidak mengecewakan. Luas seperti bilik hotel empat bintang. Penghuni cuma perlu berkongsi bilik air yang terletak di bahagian tengah rumah. Di ruang tamu yang menempatkan televisyen LCD, penghuni disediakan sofa untuk empat orang. Di belakangnya, meja makan malam selesa untuk enam orang.
Dari beranda yang luas, pemandangan disajikan dengan pertemuan kaki langit dengan lautan yang luas membiru. Di bahagian bawah, halaman resort dihiasi kolam renang untuk keceriaan seisi keluarga.
Jika waktu pagi disempurnakan dengan pemandangan matahari terbit, sebelah malamnya penghuni boleh menyaksikan pancaran cahaya yang berputar-putar dari rumah api Tanjung Tuan.
Mengambil kira keluasan unit yang diberikan tanpa rasa kedekut itu, penginapan di unit berharga RM580 semalaman berserta makan pagi untuk enam orang itu cukup berbaloi dan selesa. Selain kamar yang mengadap laut, percutian di resort itu disempurnakan dengan sebuah kolam renang besar yang dilengkapi tiub gelongsor untuk kepuasan kanak-kanak.
Pada sebelah petang, kemeriahan di tepi pantai dimeriahkan dengan permainan seperti bola sepak pantai, bola tampar pantai dan sepak raga. Bagi yang mahukan lebih cabaran, rekreasi seperti berkayak, bot pisang dan ATV sedia disewa pada harga yang berpatutan.
Pengurus Besar Kumpulan MITC Ancasa Hotel (M) Sdn. Bhd, Aswandy Hassan berkata, Permaisuri Resort dilengkapi dengan pelbagai keperluan yang memenuhi segala kehendak percutian, mesyuarat dan persidangan.
Antara kemudahan asas yang disediakan termasuk dua buah dewan utama, dua bilik seminar, dua restoran, kedai runcit, surau, bilik karaoke, gimnasium dan bilik snuker.
"Bagi memeriahkan suasana bercuti, kami menyediakan pelbagai pakej istimewa bagi pasangan berbulan madu, percutian keluarga dan juga korporat.
"Selain itu, persembahan kebudayaan dan tarian api juga dimainkan pada hujung minggu sebagai hiburan untuk penghuni," katanya.
Di samping menikmati keindahan pantai dan laut yang mempesonakan, pengunjung di Permaisuri Resort juga boleh merasai kehijauan hutan yang terletak bersebelahan dengan resort.
Hutan Rekreasi Tanjung Tuan Negeri Melaka di situ adalah hutan dara yang menyimpan aneka spesies flora dan fauna.
Selain tarikan rumah api, kawasan itu juga dikenali sebagai satu daripada lokasi persinggahan berpuluh-puluh ribu burung migrasi yang terbang melintasi benua ini ke kepulauan Indonesia.
Fenomena istimewa itu boleh disaksikan pada bulan September hingga Oktober dan Mac hingga April setiap tahun.
Menariknya lagi, tanah di Tanjung Tuan yang mengunjur ke Selat Melaka itu penuh dengan sejarah dan misteri yang pasti menjadikan percutian lebih berharga.
Misteri
Jika bertandang ke Permaisuri Resort, jangan lepaskan peluang untuk menyelongkar misteri di sekitar kawasan rumah api setinggi 24 meter yang dibina oleh kerajaan Inggeris pada abad ke 16.
Di depan binaan bersejarah itu adalah Cape Richardo yang pernah menyaksikan pertempuran laut terbesar di Kepulauan Melayu antara Belanda dan Portugis suatu ketika dahulu.
Diceritakan juga misteri pusaran air yang berlaku ketika bulan mengambang di kawasan itu. Kejadian itu dikatakan telah menenggelamkan banyak kapal-kapal nelayan.
Sementara itu Aswandy berkata, selain Permaisuri Resort, MITC turut menguruskan tiga hartanah membabitkan perhotelan dan pusat peranginan iaitu Permaisuri MITC Hotel Melaka, Hotel Permaisuri Melaka Stadium Hang Jebat dan Hotel Permaisuri De'Lisbon(De'Lisbon).
"Setiap daripada cawangan hotel MITC menawarkan keunikan, tarikan dan kelebihan yang berbeza.
"Dengan pilihan itu, kita harap MITC dapat memenuhi lebih banyak cita rasa pelancong," ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai Permaisuri Resort, boleh diperolehi dengan menghubungi 06-6621558 atau melayari laman web www.mitcchainhotel.com.