Nov 28, 2010

Diving with Shark

PANCARAN matahari yang menembusi permukaan laut membentuk jalur dan spektrum cahaya yang cukup menarik. Pandangan dari bawah air pada kedalaman lima meter itu kemudian luntur sebaik sahaja kami tenggelam semakin jauh ke dasar.

Tiada apa yang dapat diperhatikan di sekeliling kecuali biru air laut yang lama-kelamaan menjadi semakin gelap. Begitu juga dengan penurunan suhu yang dirasakan sangat drastik. Perasaan tersebut memberikan pengalaman yang baru, ketenangan yang tidak pernah dirasai saya selama ini.

Berbeza dengan lokasi selam yang dipenuhi terumbu karang yang berwarna-warni, kali ini kami memilih untuk dicampakkan lebih jauh dari tebing pulau dengan matlamat yang berbeza. Lokasi menyelam adalah di Gua Jerung atau lebih dikenali dengan nama Shark Cave di Terumbu Layang-Layang, Sabah.

Matlamat kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang penyelam dengan iringan Amanda sebagai Divemaster pada tengah hari itu adalah untuk menjejak dan melihat kumpulan ikan jerung dari jarak yang lebih dekat. Dari kedalaman lima meter, kami turun sehingga komputer selam yang dipakai menunjukkan paras 28 meter. Selaman menjadi rekod peribadi penulis yang tidak pernah melepasi kedalaman itu.

Pandangan mata ketika itu hanya dikunci pada dua perkara iaitu komputer selam Suunto dan Amanda untuk menantikan tunjuk arah daripadanya. Pada masa sama, debaran melakukan selaman dalam itu semakin dirasai. Dengan menggunakan jari telunjuk, Amanda menarik perhatian kami lalu memberi isyarat kepada apa yang sedang menunggu kami di dasar.

Dari kedalaman 30 meter, mata kini tertumpu pada setompok pasir putih yang menjadi tempat rehat sekumpulan jerung. Saiz jerung-jerung yang dilihat dari atas itu semakin lama semakin membesar sebelum kami mendarat pada kedalaman 38 meter. Ketika itu tidak kurang lima ekor jerung sedang berlegar di sekitar gantungan batu yang berbentuk seperti gua. Di luar lerengnya adalah jurang sedalam 2,000 meter yang menjadi habitat beberapa spesies seperti jerung kelabu, jerung sirip putih dan hitam.

Berdepan dengan penghuni laut yang paling ditakuti itu memberikan saya peluang untuk merakam dengan lebih dekat. Pertembungan paling dekat adalah kira-kira dua meter apabila seekor jerung kelabu sepanjang 2 meter setengah melintas lalu.


Namun merakam gambar objek yang bergerak dalam cahaya yang nipis bukan sesuatu yang mudah. Malah pada kedalaman hampir 40 meter itu, kamera yang digunakan sudahpun menunjukkan tanda-tanda 'tidak waras' apabila beberapa butang tidak lagi berfungsi akibat tekanan (kembali normal pada kedalaman lebih cetek).

Walaupun sering dikaitkan dengan keganasan filem Jaws, jerung bagi kebanyakan penyelam adalah spesies yang unik dan menakjubkan. Keindahan gerak dan tari cukup untuk menjadikannya haiwan laut tercantik walaupun tanpa warna seperti ikan-ikan lain.

Bagaimanapun, selaman pada kedalaman setinggi bangunan 10 tingkat itu tidak membenarkan kami untuk kekal lama di dasarnya. Sepanjang tempoh tidak sampai lima minit di situ, komputer selam beberapa kali memberikan amaran supaya naik ke permukaan.

Itulah sebahagian daripada cabaran selam skuba. Menarik dan penuh dengan debaran. Namun harus diingat bahawa selam rekreasi tetap memerlukan perancangan yang betul dan pemantauan penyelam pakar.

"Menyelam skuba adalah aktiviti yang selamat. Tapi ia lebih selamat jika kita sentiasa berwaspada dikala kita dalam keadaan yang merbahaya,'' ujar Amanda selepas selaman berakhir.


JERUNG DIANCAM KEPUPUSAN

PENGALAMAN menyelam bersama jerung bukanlah sesuatu yang terlalu pelik. Pada masa kini penyelam skuba masih berpeluang melihat jerung di mana-mana lokasi selam di dunia.
Di negara ini misalnya, lokasi seperti Sipadan, Mabul, Pulau Redang, Tioman dan Tenggol menawarkan pengalaman 'menyelam bersama jerung' bagi yang bernasib baik.
Di Shark Point, Pulau Perhentian, penyelam snorkel masih boleh melihat jerung-jerung kecil di beberapa lokasi sekitar kawasan Taman Laut.
Di Pulau Layang-Layang, Sabah (Perairan Spratly), spesies jerung yang jarang ditemui seperti jerung harimau yang membesar sehingga saiz lima meter panjang juga pernah ditemui.
Namun seperti di mana-mana lokasi di dunia, populasi jerung di negara ini juga semakin berkurangan akibat pemburuan yang berterusan.
Hakikatnya juga, haiwan yang dianggap merbahaya itu sebenarnya menerima ancaman yang jauh lebih hebat daripada manusia itu sendiri.
Contoh terbaik adalah 'penyalahgunaan' sirip ikan itu sebagai hidangan 'wajib' di dalam majlis perkahwinan masyarakat Cina. Menurut kajian antarabangsa, kira-kira 40 ekor jerung dibunuh untuk setiap majlis perkahwinan.



Spesies laut yang mampu memberi lebih ancaman berbanding jerung.


Nov 15, 2010

Ketepatan berlari dengan Silva

SILVA jenama produk kecergasan dan aktiviti luar dari Sweden baru-baru ini membuat penampilan pertama di negara ini dengan pengenalan beberapa produk berinovasi.
Antara barisan produk Silva yang diedar oleh Adventure & Leisure Sdn. Bhd. (A&L) di negara ini termasuk ex Ped Pulse, ex Step, ex distance, ex3 plus dan ex1 distance. Selain peedometer, Silva juga menawarkan lampu LED, kompas dan teropong.
ex-Ped Pulse
Peedometer lengan yang berketepatan tinggi ini digunakan untuk mengukur tahap aktif seseorang melalui pengiraan jumlah langkah, jarak dan kelajuan.
ex-Ped Pulse yang bukan hanya sebagai jam tetapi dihasilkan untuk mengukur degupan jantung, pembakaran kalori, pengunci jam dan banyak lagi.
Dilengkapi 10 penyelarasan berbeza termasuk pemilihan profil jantina, ketinggian dan usia yang dapat disepadukan dengan jadual senaman yang disarankan.
Selain memberikan maklumat terperinci mengenai senaman yang dilakukan, pemakai juga boleh menyimpan data dan sejarah senaman berdasarkan hari atau minggu.
ex Distance

Peedometer ex Distance ini dihasilkan dengan reka bentuk lebih kompak dan ringan. Ia bukan sahaja mudah dibawa malah dihias dengan warna yang bergaya.
Pada bahagian belakang alat ini disediakan klip untuk memudahkan pemakaian di samping kabel pengikat yang boleh dilekatkan pada poket.
ex Distance direka dengan teknologi yang menghalang pengiraan sebarang pergerakan yang tidak diperlukan. Alat kecil ini juga adalah trend kesihatan untuk dipakai semasa bekerja khususnya bagi yang banyak berjalan.
Lampu LED

Sebagai pengeluar kelengkapan produk aktiviti luar sejak 1933, Silva dengan konsep 'get out there' juga menawarkan lampu LED bergaya yang cukup praktikal untuk kegunaan seharian.
Teknologi lampu pintar Silva menghasilkan suluhan terang untuk kegunaan mereka yang gemar berlari atau berbasikal pada waktu malam.

When They Strike

Selepas sekian lama menantikan ribut dan petir, malam jumaat minggu lalu aku berpeluang menyaksikan kemeriahan kilat dari beranda rumah. Ribut petir yang berlatar belakang Bukit Tabuh di Taman Melawati mempersembahkan tarian cahaya kira-kira 15 minit.
Ini adalah satu daripada dua gambar terbaik daripada cubaan pertama merakam gambar kilat. Betul atau tidak tekniknya, aku kurang arif, kena study lagi pasal topic ni. Gambar ini dirakam menggunakan Canon 1000D, dengan bukaan cahaya kecil f9 / f11, ISO 100 dan speed "30. Selamat mencuba.
Ini adalah gambar terakhir dari kamera tu, selepas beberapa kali buat slow shutter, kamera menunjukkan 'error 99' . Sudah sampai masanya untuk aku hantar service kamera ni selepas lebih setahun pakai.

Sekarang hati masih berat untuk ke Canon (hantar servis) kerana masih lagi berfikir-fikir untuk mendapatkan pengganti kepada 1000D. InsyaAllah jika dipermudahkan aku akan menyambar DSLR satu digit awal tahun ini. Amin.

Nov 12, 2010

Kolam Nemo 33

KESERONOKAN menyelam bukan hanya ketika menyaksikan keindahan alam di bawah air. Pelbagai lokasi dan kategori selaman dilakukan untuk merasai pengalaman yang berbeza.

Di Brussel, Belgium, kolam Nemo 33 menjanjikan pengalaman yang luar biasa. Kolam sedalam 33 meter ini adalah kolam paling dalam di dunia.

Menggunakan 2.5 juta liter air tawar tanpa klorin, Nemo 33 yang disiapkan pada 2004 beroperasi sebagai pusat selam pelbagai fungsi, selam rekreasi, penyelidikan dan dijadikan lokasi pembikinan filem.

Keupayaan mengekalkan suhu di antara 30 hingga 33 darjah Celsius sepanjang tahun menjadikan Nemo 33 destinasi menyelam popular terutama pada musim sejuk. Walaupun tanpa memakai sut basah, selaman boleh dilakukan dengan selesa.

Kemudahan di pusat selam di tengah kota raya itu termasuk khidmat sewa peralatan. Untuk menjimatkan kos menyelam yang agak mahal, penyelam dibenarkan membawa peralatan sendiri.

Seperti selaman di laut, penyelam di Nemo 33 tetap ditemani jurulatih selam yang akan mengetuai dan mengawasi penyelam sepanjang masa.

Walaupun menjadi kolam paling dalam di dunia, penyelam hanya dibenarkan menyelam pada peringkat kedalaman yang dibenarkan mengikut tahap masing-masing.

Oleh itu, setiap selaman perlu didahului dengan penyerahan dan pengesahan sijil selam.

Jika 33 meter terlalu dalam untuk anda, kolam yang direka oleh pakar selam Belgium, John Beernaerts dan arkitek Sebastian Morena-Vacca ini mempunyai pelbagai peringkat kedalaman.

Sebaik sahaja melangkah ke tangki gergasi ini, penyelam boleh memilih sama ada untuk berada pada kedalaman 10 meter, memasuki gua tiruan atau terus menjunam ke dasar.

Nemo 33 juga mengendalikan pelbagai peringkat kursus selaman di bawah pengiktirafan PADI dengan kemudahan yang cukup selesa.

Bebas tanpa landskap berbatu, kolam ini juga menjadi tempat latihan yang baik untuk aktiviti selaman bebas.

Kemudahan asas yang disediakan termasuk restoran yang dihias dengan tema skuba, tayangan video hidupan marin, bilik persalinan dan ruang rehat.

Bagi mereka yang bukan penyelam, tingkap lutsinar membolehkan mereka melihat rakan-rakan menyelam di sebalik kaca. Jika ke Belgium, Nemo 33 adalah persinggahan yang berbaloi.

Nov 8, 2010

Penginapan di Endau Rompin


Pesona Alam Endau Rompin

TARIKAN hutan tropika Endau-Rompin sudah lama menjadi syurga bagi pengkaji dan penyelidik alam semula jadi namun masih ramai yang tidak menyedari kewujudan taman negara kedua terbesar di Semenanjung Malaysia itu.

Mungkin tarikan Taman Negara Pahang terlalu kuat sehingga mengaburi taman-taman negara yang lain di negara ini atau mungkin Endau-Rompin sendiri yang kurang dipromosikan.

Selepas berkongsi gambar Endau-Rompin melalui laman sosial Facebook baru-baru ini, ramai yang bertanya mengenai taman negara itu dan beria-ria untuk pergi melihat sendiri keindahan rimba berusia ratusan juta tahun itu.

Jika dibandingkan dengan Taman Negara di Pahang, hutan seluas 80,000 hektar di Johor itu tidak kurang istimewanya malah bagi yang yang menghargai alam semula jadi yang lebih 'asli', Taman Negara Endau Rompin adalah tempat yang harus dituju.

Tarikan utama seperti Air Terjun Buaya Sangkut, Tasik Air Biru, Upih Guling dan Gunung Janin Barat telah diceritakan pada minggu yang lalu. Kali ini WOW! berkongsi tiga lokasi penginapan di taman negara itu sebagai panduan.

Kompleks Pelawat

Dari pintu masuk Kahang, perjalanan menaiki pacuan empat roda (jalan tanah merah) sejauh 63 kilometer akan membawa pelawat ke stesen pertama iaitu Kompleks Pelawat di Kampung Peta.

Menurut Pegawai Interpretasi Perbadanan Taman Negara Johor, Fakhrul Annuar Mohamed Shukri, kompleks itu menyediakan pelbagai kategori penginapan bermula dengan bilik standard yang disewa pada harga RM80, bilik keluarga (RM150) dan bilik VIP (RM180).

Untuk kemasukan dalam kumpulan yang besar, asrama yang memuatkan sehingga 80 orang dewasa boleh didapati pada harga RM10 manakala bayaran RM5 dikenakan untuk kanak-kanak. Kemudahan lain yang disediakan di sekitar kompleks termasuk surau, kafetaria, galeri maklumat dan taman botani.

Bagi pelancong yang mengikuti pakej beberapa hari kompleks itu biasanya menjadi penginapan pada hari pertama atau terakhir kerana tarikan utama Taman Negara Endau-Rompin terletak di Kuala Marong dan Kuala Jasin.

Di kompleks tersebut, pelancong boleh melawat Kampung Orang Asli Jakun di Kampung Peta untuk menyaksikan demonstrasi pemasangan jerat haiwan dan permainan Kerchang.

NERC

Petang itu Fakhrul Annuar membawa kumpulan kami ke pengkalan bot yang terletak di hujung Kampung Peta. Destinasi seterusnya adalah ke Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Alam (NERC) yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan menyusuri arus sungai Jasin.

NERC merupakan kompleks pertama yang dibuka di taman negara itu. Pusat yang menempatkan dewan, makmal, perpustakaan dan penginapan itu merupakan lokasi utama penyelidikan di Endau Rompin. Ia juga dibuka kepada pelawat.

Kuala Jasin

Penginapan yang mempunyai lokasi terbaik di Taman Negara Endau-Rompin. Chalet yang terletak di kawasan pertembungan Sungai Endau dan Jasin itu menjanjikan pengalaman alam semula jadi yang mendamaikan. Harga penginapan di Kuala Jasin juga sama dengan penginapan di Kompleks Pelawat.

Kuala Marong
Dari Kuala Jasin, perjalanan ke Kuala Marong menaiki pacuan empat roda memakan masa kira-kira 30 minit. Kuala Marong merupakan pintu masuk dua lokasi iaitu jeram Upih Guling dan Tasik Air Biru yang terletak dalam masa lima minit jalan kaki.

Kuala Marong menyediakan tapak perkhemahan yang disewakan pada harga RM10 semalam. Sungai yang mengalir bersebelahan dengan tapak perkhemahan di situ merupakan kawasan konservasi beberapa spesies ikan yang kian terancam seperti Kelah dan Tengas.

Nov 7, 2010

Pisau Gerber



ALAT pelbagai fungsi atau multitool adalah teman paling rapat Richard Dean Anderson di dalam drama penyiasatan MacGyver suatu ketika dahulu. Keupayaannya memudahkan kerja-kerja tangan amat menakjubkan sehingga diberi gelaran 'pisau MacGyver'. Kini peralatan itu menjadi trend dan keperluan untuk kegunaan di dalam dan di luar rumah.

Satu daripada jenama besar di pasaran yang menghasilkan peralatan kecil tapi cukup berguna itu adalah Gerber. Selain itu, Gerber juga mengeluarkan pelbagai kelengkapan aktiviti lasak seperti pisau, lampu suluh dan kapak. Di negara ini, produk dari Amerika Syarikat itu terkenal sebagai gajet kegemaran pengembara, khususnya mereka yang aktif dalam perkhemahan, pacuan empat roda, memancing dan berbasikal.

Bahkan di dalam kenderaan, ia cukup berguna untuk menguruskan kerja-kerja di kala kecemasan. Antara produk kegemaran yang dikeluarkan oleh Gerber Legendary Blades adalah model Suspension.


Gerber Suspension

INOVASI Gerber menghasilkan bukaan pada tempat pemegang dari hujung ke hujung yangmembolehkan alat ini dioperasikan denganhanya sebelah tangan. Suspension mempunyai 12 mata pelbagai fungsi seperti pemotong dawai, playar berspring, gunting, pembuka botol, pisau, gergaji dan pemutar skru yang dihimpun dalam satu rekaan yang kemas.

Selain itu, ciri keselamatan dipertingkatkan lagi dengan penguncian kesemua mata bilah semasa ia digunakan. Apa yang paling saya suka pada produk ini adalah bukaan berspring yang memudahkan ia dibuka dan memperoleh cengkaman cukup kemas. Muncung playar yang halus memudahkan kerja-kerja di tempat sempit. Pada bilah paling utama itu juga dilengkapi fungsi cengkam dan pemotong.

Sementara itu, rekaan bentuk rama-rama memudahkan lagi pengguna untuk mendapatkan bilah tertentu selain pemilihan yang diperjelas dengan rangka sisi aluminium berlubang.
Keselesaan pengendalian Suspension dipertingkat dengan alas plastik pada kedua-dua belah hulu. Produk berinsprirasi jambatan suspensi di Oregon ini merupakan satu daripada alat kegemaran golongan 'tough guy'.
Untuk mendapatkan produk ini sila hubungi Ady : Harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

Gerber Suspension @ RM 184.00
Gerber Vise @ RM 85.00