Nov 8, 2010

Penginapan di Endau Rompin


Pesona Alam Endau Rompin

TARIKAN hutan tropika Endau-Rompin sudah lama menjadi syurga bagi pengkaji dan penyelidik alam semula jadi namun masih ramai yang tidak menyedari kewujudan taman negara kedua terbesar di Semenanjung Malaysia itu.

Mungkin tarikan Taman Negara Pahang terlalu kuat sehingga mengaburi taman-taman negara yang lain di negara ini atau mungkin Endau-Rompin sendiri yang kurang dipromosikan.

Selepas berkongsi gambar Endau-Rompin melalui laman sosial Facebook baru-baru ini, ramai yang bertanya mengenai taman negara itu dan beria-ria untuk pergi melihat sendiri keindahan rimba berusia ratusan juta tahun itu.

Jika dibandingkan dengan Taman Negara di Pahang, hutan seluas 80,000 hektar di Johor itu tidak kurang istimewanya malah bagi yang yang menghargai alam semula jadi yang lebih 'asli', Taman Negara Endau Rompin adalah tempat yang harus dituju.

Tarikan utama seperti Air Terjun Buaya Sangkut, Tasik Air Biru, Upih Guling dan Gunung Janin Barat telah diceritakan pada minggu yang lalu. Kali ini WOW! berkongsi tiga lokasi penginapan di taman negara itu sebagai panduan.

Kompleks Pelawat

Dari pintu masuk Kahang, perjalanan menaiki pacuan empat roda (jalan tanah merah) sejauh 63 kilometer akan membawa pelawat ke stesen pertama iaitu Kompleks Pelawat di Kampung Peta.

Menurut Pegawai Interpretasi Perbadanan Taman Negara Johor, Fakhrul Annuar Mohamed Shukri, kompleks itu menyediakan pelbagai kategori penginapan bermula dengan bilik standard yang disewa pada harga RM80, bilik keluarga (RM150) dan bilik VIP (RM180).

Untuk kemasukan dalam kumpulan yang besar, asrama yang memuatkan sehingga 80 orang dewasa boleh didapati pada harga RM10 manakala bayaran RM5 dikenakan untuk kanak-kanak. Kemudahan lain yang disediakan di sekitar kompleks termasuk surau, kafetaria, galeri maklumat dan taman botani.

Bagi pelancong yang mengikuti pakej beberapa hari kompleks itu biasanya menjadi penginapan pada hari pertama atau terakhir kerana tarikan utama Taman Negara Endau-Rompin terletak di Kuala Marong dan Kuala Jasin.

Di kompleks tersebut, pelancong boleh melawat Kampung Orang Asli Jakun di Kampung Peta untuk menyaksikan demonstrasi pemasangan jerat haiwan dan permainan Kerchang.

NERC

Petang itu Fakhrul Annuar membawa kumpulan kami ke pengkalan bot yang terletak di hujung Kampung Peta. Destinasi seterusnya adalah ke Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Alam (NERC) yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan menyusuri arus sungai Jasin.

NERC merupakan kompleks pertama yang dibuka di taman negara itu. Pusat yang menempatkan dewan, makmal, perpustakaan dan penginapan itu merupakan lokasi utama penyelidikan di Endau Rompin. Ia juga dibuka kepada pelawat.

Kuala Jasin

Penginapan yang mempunyai lokasi terbaik di Taman Negara Endau-Rompin. Chalet yang terletak di kawasan pertembungan Sungai Endau dan Jasin itu menjanjikan pengalaman alam semula jadi yang mendamaikan. Harga penginapan di Kuala Jasin juga sama dengan penginapan di Kompleks Pelawat.

Kuala Marong
Dari Kuala Jasin, perjalanan ke Kuala Marong menaiki pacuan empat roda memakan masa kira-kira 30 minit. Kuala Marong merupakan pintu masuk dua lokasi iaitu jeram Upih Guling dan Tasik Air Biru yang terletak dalam masa lima minit jalan kaki.

Kuala Marong menyediakan tapak perkhemahan yang disewakan pada harga RM10 semalam. Sungai yang mengalir bersebelahan dengan tapak perkhemahan di situ merupakan kawasan konservasi beberapa spesies ikan yang kian terancam seperti Kelah dan Tengas.

3 comments:

  1. cmne nk wat tempahan ye??

    ReplyDelete
  2. hubungi Siti Nazrah , penolong Pengurus Taman di talian 013-712 3411 / nizra_hana84@yahoo.com

    ReplyDelete
  3. Xade pn contoh2 pic chalet penginapan?klu pergi dgn dgn ank kecil berusia 3thn OK x?

    ReplyDelete