Nov 12, 2010

Kolam Nemo 33

KESERONOKAN menyelam bukan hanya ketika menyaksikan keindahan alam di bawah air. Pelbagai lokasi dan kategori selaman dilakukan untuk merasai pengalaman yang berbeza.

Di Brussel, Belgium, kolam Nemo 33 menjanjikan pengalaman yang luar biasa. Kolam sedalam 33 meter ini adalah kolam paling dalam di dunia.

Menggunakan 2.5 juta liter air tawar tanpa klorin, Nemo 33 yang disiapkan pada 2004 beroperasi sebagai pusat selam pelbagai fungsi, selam rekreasi, penyelidikan dan dijadikan lokasi pembikinan filem.

Keupayaan mengekalkan suhu di antara 30 hingga 33 darjah Celsius sepanjang tahun menjadikan Nemo 33 destinasi menyelam popular terutama pada musim sejuk. Walaupun tanpa memakai sut basah, selaman boleh dilakukan dengan selesa.

Kemudahan di pusat selam di tengah kota raya itu termasuk khidmat sewa peralatan. Untuk menjimatkan kos menyelam yang agak mahal, penyelam dibenarkan membawa peralatan sendiri.

Seperti selaman di laut, penyelam di Nemo 33 tetap ditemani jurulatih selam yang akan mengetuai dan mengawasi penyelam sepanjang masa.

Walaupun menjadi kolam paling dalam di dunia, penyelam hanya dibenarkan menyelam pada peringkat kedalaman yang dibenarkan mengikut tahap masing-masing.

Oleh itu, setiap selaman perlu didahului dengan penyerahan dan pengesahan sijil selam.

Jika 33 meter terlalu dalam untuk anda, kolam yang direka oleh pakar selam Belgium, John Beernaerts dan arkitek Sebastian Morena-Vacca ini mempunyai pelbagai peringkat kedalaman.

Sebaik sahaja melangkah ke tangki gergasi ini, penyelam boleh memilih sama ada untuk berada pada kedalaman 10 meter, memasuki gua tiruan atau terus menjunam ke dasar.

Nemo 33 juga mengendalikan pelbagai peringkat kursus selaman di bawah pengiktirafan PADI dengan kemudahan yang cukup selesa.

Bebas tanpa landskap berbatu, kolam ini juga menjadi tempat latihan yang baik untuk aktiviti selaman bebas.

Kemudahan asas yang disediakan termasuk restoran yang dihias dengan tema skuba, tayangan video hidupan marin, bilik persalinan dan ruang rehat.

Bagi mereka yang bukan penyelam, tingkap lutsinar membolehkan mereka melihat rakan-rakan menyelam di sebalik kaca. Jika ke Belgium, Nemo 33 adalah persinggahan yang berbaloi.

No comments:

Post a Comment