Dec 26, 2010
Hadiah 2011
Menghadiahkan sesuatu yang menepati citarasa pasti memberi lebih makna kepada penerima, apatah lagi jika hadiah itu sesuatu yang memberikan manfaat dan bukan sekadar untuk dikenang.
Bagi mencetuskan kelainan, peralatan IT dan aktiviti luar pasti mengejutkan rakan dan ahli keluarga tersayang. Pilihan cukup bermakna untuk mengisi semangat baru pada awal tahun 2011.
Canon 10-22mm
JIKA si penerima semakin serius di dalam bidang fotografi, tahun baru adalah permulaan yang baik untuk menghadiahkan lensa sudut luas sebagai sokongan.
Berbeza dengan lensa asas dan lensa zum biasa, lensa landskap 10-22mm ini adalah kelengkapan paling bererti bagi yang meminati rakaman gambar pemandangan.
Dengan keluasan sudut rakaman yang luar biasa, lensa berharga kira-kira RM3,000 ini mampu menghasilkan sudut rakaman mengatasi apa yang mampu dilihat oleh mata manusia.
Di dalam satu perhimpunan yang besar misalnya, pengguna tidak perlu mengambil jarak yang jauh untuk memastikan semua orang berada di dalam gambar. Bahkan mengambil gambar sudut-sudut yang sukar pastinya lebih mudah.
Selain kelebihan itu, lensa yang dilengkapi motor USM ini memastikan kerja memfokus dilakukan dengan pantas dan senyap. Ia juga didatangkan dengan keupayaan memfokus secara manual.
Maklumat: www.canon.com.my
Edifier MP15
REKAAN moden dan serba ringkas menjadikan pembesar suara super mini mudah alih ini pilihan yang tepat bagi mereka yang gemarkan muzik.
Dengan kuasa bateri yang boleh dicas semula, MP15 seberat 200 gram ini mampu memainkan lagu-lagu kegemaran di dalam format MP3 dan WMA selama enam jam tanpa henti.
Pada harga RM99, produk kecil dan nipis yang cukup selesa untuk dibawa di dalam beg galas harian ini adalah jawapan untuk muzik di mana-mana sahaja.
Maklumat: www.inter-asia.com.my
MiLi Power Miracle
KEHABISAN bateri pada peralatan penting seperti telefon bimbit dan peralatan media kegemaran semasa berada jauh dari rumah cukup untuk mengundang seribu satu keresahan.
Bagi yang kerap meninggalkan rumah, bekalan bateri tambahan seperti yang ditawarkan oleh MiLi Power Miracle semestinya satu keajaiban.
Sumber tenaga sokongan berkuasa 2,000 mAh (bateri ion litium) pada alat ini menyediakan bantuan kecemasan untuk pelbagai peralatan antaranya Samsung, iPhone, iPod, BlackBerry, LG, HTC, Motorola dan Nokia.
Dengan rekaan yang nipis, ringan dan pilihan warna yang menarik, alat berharga RM125 yang mudah dibawa ke mana-mana ini adalah penyelamat semasa mengikuti perjalanan yang jauh dari keselesaan di rumah.
Maklumat: www.viewnet.com.my
Cree Xlamp
LAMPU tanglung bergas kadang-kala boleh mengundang kebakaran dan keracunan jika tidak diselenggara dengan baik. Teknologi moden kini menyaksikan populariti lampu LED untuk tujuan perkhemahan.
Jenama lampu terkemuka Cree kini memasuki pasaran tempatan melalui lampu tanglung Xlamp yang direka dengan pelbagai fungsi yang praktikal.
Dengan menggunakan empat biji bateri AA, ia memberi kecerahan sehingga 185 lumens dengan sinaran paling terang yang mampu bertahan sehingga 25 jam atau 45 jam pada sinaran pudar terkawal.
Rekacipta Cree pada produk yang dijual pada harga RM148 ini bukan sahaja terbaik untuk menerangi khemah malah pusingan 360 darjah mentolnya boleh menukarkan Xlamp menjadi lampu suluh semudah satu sentuhan.
Maklumat: Eddie 019-2677301
Salomon XA Pro 3D Ultra
ANTARA kasut larian terbaik yang boleh didapati di pasaran pada masa kini. Salomon XA Pro 3D Ultra dipertingkatkan dengan teknologi pelapik lembut yang memberikan perlindungan untuk larian dari trek hingga ke denai hutan.
Dibangunkan dengan casis 3D termaju yang memanfaatkan binaan rapat ke permukaan tanah, jaminan yang dijanjikan adalah kestabilan berlari pada tahap paling muktamad.
Sistem larian yang dibangunkan dengan berat 780 gram ini berupaya menstabilkan kaki di permukaan tidak rata tanpa pembaziran tenaga.
Model yang dipertingkatkan daripada model XA terdahulu ini juga memberikan penyerapan sentakan yang amat baik.
Bagi yang sentiasa dahagakan cabaran, kasut keluaran jenama peneraju dunia kembara yang dijual pada harga kira-kira RM580 ini mungkin hadiah terbaik bagi pasangan anda yang gemar berlari. Maklumat: www.outdoorgraphy.com
Vaude Campo Compact
MENGHABISKAN masa di kawasan perkelahan atau pergunungan memerlukan perlindungan yang selesa. Bagi penggemar aktiviti luar, khemah yang baik seharusnya mampu melindungi penghuni daripada panas, hujan, ribut dan ancaman haiwan.
Khemah Campo Compact keluaran Vaude menawarkan penginapan untuk dua orang dengan lantai seluas 140 sentimeter lebar dan 215 sm panjang.
Keistimewaan khemah satu pintu dengan bumbung kubah ini adalah reka cipta yang membolehkannya dipasang dan dikemas semula dalam masa yang singkat.
Dibangunkan dengan kepakaran teknologi pergunungan Jerman, Campo Compact seberat 3.5 kg ini dijual pada harga RM670 dan didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu hijau dan putih pasir.
Maklumat: www.lafuma.com.my
Dec 9, 2010
Pembesar Suara Edifier
Dipadankan dengan teknologi audio dan video bina dalam (pada komputer), pembesar suara yang baik mampu memberikan pengalaman multimedia yang mengasyikkan. Perbandingannya mungkin seperti menonton televisyen biasa dengan menonton melalui set tayangan rumah (home theater).
Namun untuk mendapatkan sistem audio yang memuaskan hati bukan sesuatu yang mudah kerana beberapa kriteria perlu dipertimbangkan, apatah lagi dengan himpunan jenama yang semakin berlambak di pasaran.
Edifier, jenama pembesar suara multimedia antarabangsa merupakan antara yang popular dan dipercayai di negara ini. Ia menawarkan pelbagai kategori produk yang menjamin kepuasan bunyi kepada penggemar muzik, permainan video dan filem.
Edifier S550
PEMBESAR suara lima saluran (5.1) berkuasa 280 watt dengan subwoofer berukuran 10 inci ini menawarkan pengalaman bunyi keliling hebat yang pasti mengurangkan waktu tidur penggemar permainan video atau filem.
Ia merupakan antara model terbaik di antara model-model MediaPro keluaran Edifier. Sistem audio dengan subwoofer gergasi bersama lima pembesar suara satelit ini direka untuk keselesaan semua peringkat pendengaran.
Satu daripada kelebihan pembesar suara berteknologi radiator pasif bunyi ini adalah penghasilan kesan bunyi yang jelas dan tepat pada apa sahaja jenis muzik dan peringkat kederasan bunyi. Dengan reka bentuk gergasi seperti itu, ia semestinya cukup untuk menggegarkan seluruh isi rumah pada kederasan maksimum.
Jaminan ketahanan dan kualiti pembinaan produk ini adalah kotak-kotak pembesar suara yang dibina menggunakan kayu MDF. Selain menghasilkan bunyi yang berkuali tinggi, ia juga mengurangkan kesan getaran pada permukaan yang merimaskan telinga.
Berbeza dengan kebanyakan sistem yang menghasilkan dentuman bass secara berlebihan, keseimbangan bunyi bass dan treble yang diadun pakar audio Phil Jones menghasilkan bunyi yang tepat dan seimbang. Begitu juga pada penyelerasan stereo untuk kepuasan pendengar muzik.
Selain dipermudah dengan kabel penyambungan kotak pembesar suara satelit yang panjang untuk mendapatkan kesan bunyi sinemati, kawalan turut dipermudah dengan dua fungsi kawalan iaitu panel kawalan pelbagai fungsi dan alat kawalan tanpa wayar.
Panel kawalan pelbagai fungsi yang dilengkapi penyelarasan digital seperti kawalan bunyi, bass, treble, 5.1 dan stereo dipaparkan pada skrin LCD 2.5 yang disambung pada subwoofer manakala alat kawalan jarak jauh disediakan untuk mengawal sebahagian fungsi yang sama.
Meskipun tidak menyokong teknologi bunyi keliling terkemuka seperti Dolby Digital II dan EAX, penggunaan kad bunyi yang menyokong fungsi (5.1) cukup untuk memberi kepuasan audio sebenar khususnya di dalam bilik bersaiz kecil dan sederhana. HARGA : RM1,299
Edifier IF 360
UNTUK gaya lebih kontemporari, model IF360 menghimpunkan segala keperluan audio anda ke dalam satu sistem yang padat dan ringkas bagi yang tidak memerlukan kepuasan 5.1.
Dengan keupayaan dan berat mudah alihnya, pembesar suara berkuasa 50 watt ini boleh menjadi peneman pada bila-bila masa. Di atas rak buku atau di meja belajar, penyambungan muzik boleh dipadankan dengan pemain MP3 seperti iPhone dan IPod.
Di ruang tamu semasa menonton, IF360 dengan panel kawalan sesentuh dan alat kawalan jauh boleh dipadankan bersama set televisyen untuk mendapatkan kesan audio yang lebih dramatik.
Pada waktu malam, pembesar suara yang dilengkapi dengan radio digital, pemain CD dan pengunci jam adalah penghias yang elegan, tanpa banyak menjejaskan ruang. HARGA : RM1,299
CONTACT :
Inter-Asia Technology Sdn Bhd
Syurga untuk jurugambar
Jika impian muktamad kebanyakan pelancong lebih kepada destinasi yang mempunyai binaan binaan paling ajaib di dunia, jurugambar memilih syurga mereka dengan tersendiri. Berikut antara lokasi yang paling digilai jurugambar dari seluruh dunia mengikut kategori.
Hidupan Liar-Antartika
Persekitaran yang lain daripada yang lain mampu membawa jurugambar kepada subjek-subjek yang tidak ramai berpeluang merakam. Selain keindahan ketulan ais gergasi, tarikan di bahagian kutub selatan itu semestinya hidupan liar unik seperti beruang kutub, penguin, serigala dan anjing laut.
Meskipun sering memberi cabaran cuaca paling ekstrem, kesunyian Antartika dikatakan mampu memberi kejutan yang paling muktamad. Lokasi lain yang popular untuk rakaman hidupan liar termasuk di Tanzania, Taman Negara Masai di Kenya, Taman Negara Yellowstone di Amerika Syarikat dan Galapagos.
Budaya- Mongolia
Merupakan antara lokasi paling asing di kalangan pelancong komersial. Mongolia yang seakan-akan terpisah dengan dunia luar menyimpan kekayaan nilai budaya antara yang paling tidak 'tercemar' di dunia.
Kehidupan masyarakat di kawasan tanah tinggi itu dipenuhi dengan cara hidup dan adat istiadat. Persembahan tarian dan kumpulan nyanyian anak tekak di penempatan yurt misalnya mampu membuatkan kamera tidak berhenti bekerja.
Festival Nadam yang diadakan pada bulan Julai setiap tahun menampilkan lumba kuda dan unta, gusti tradisional, aktiviti memanah dan penjinak burung helang adalah antara tarikan yang pastinya tidak akan mengecewakan.
Selain tarikan budaya , keindahan landskap berhampiran dengan rabung dunia itu sendiri cukup memukau. Cabaran utama merakam gambar di Mongolia adalah kerana anda mungkin kesuntukan masa. Pusat kebudayaan dunia lain yang popular termasuk Papua New Guinea, Xinjiang (China), Sicily (Itali) dan India.
Alam semulajadi - Amerika Syarikat
Negara yang besar sememangnya menyembunyikan banyak destinasi menarik untuk diselongkat, bahkan sebahagian besar daripada destinasi pelancongan di negara ini masih tidak begitu popular.
Padang rumput Palouse di bahagian barat laut Amerika Syarikat misalnya antara lokasi terbaik untuk mereka yang gemarkan fotografi landskap alam. Keindahan padang rumput beralun itu pada masa kini boleh dilihat pada paparan wallpaper terkenal Windows.
Di kawasan ini, susunan bukit-bukit bonjol seperti yang biasa dilihat di tengah padang pasir memberikan pemandangan yang cukup luar biasa sebaik sahaja pancaran matahari mula menembusi awan.
Selain Palouse, Taman Negara Yellowstone di Wyoming yang pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat Red Indian suatu ketika dahulu kaya dengan tarikan alam semulajadi, geologi dan hidupan liar.
Pancutan air panas, tasik, aliran sungai yang membelah ngarai yang tinggi melangit adalah jaminan kepuasan di taman negara antara yang terbaik di dunia ini.
Selain Amerika Syarikat, syurga merakam gambar landskap tidak dapat dipisahkan dengan negara-negara seperti Ireland, Scotland dan Arab Saudi.
Dec 2, 2010
Pandu Uji Rolls Royce
Eksklusifnya bukan hanya pada pembuatan bahkan pemilikannya juga terhad. Di negara ini, setakat ini hanya ada dua pemilik, manakala sebuah lagi masih dalam perjalanan (tempahan) yang bakal menjadi milik seorang kerabat di negara ini. Dengan jualan kurang 2,000 unit di seluruh dunia setahun, kelibat Rolls Royce di jalanan boleh diumpamakan satu dalam
berjuta.
Saya baru-baru ini berpeluang menjadi antara yang pertama di rantau ini memandu uji satu daripada model jenama itu iaitu Rolls Royce Ghost. Sesi pandu uji jentera beharga RM2.6 juta (yang membuat kemunculan pertama di negara ini pada Januari lalu) bermula dari pejabat Quill Motorcars Sdn. Bhd, pengedar rasmi Rolls Royce tempatan.
"Ini adalah peluang yang sangat jarang diperolehi. Nikmatilah kepuasan pemanduan yang dicipta
pada kelas tertinggi,'' ujar Hal Serudin, Pengurus Komunikasi Korporat Rolls-Royce Motor Cars Limited sebelum pandu uji bermula. Memang benar, perjalanan dari bangunan Quill 9 di Jalan Semangat, Petaling Jaya ke Putrajaya pada pagi itu menjadi pemanduan paling mewah, mungkin untuk seumur hidup saya.
Lebih mengujakan lagi apabila diberitahu bahawa kenderaan yang sama digunakan oleh pelakon terkenal, Datuk Michelle Yeoh semasa menghadiri pelancaran butik Louis Vuitton (LV) di The Gardens, Mid Valley baru-baru ini.
"Buat masa ini hanya tiga individu yang memiliki model Ghost di negara ini, (identiti tak perlu la kot),'' jelas wakil Rolls Royce dari Singapura itu yang cukup arif mengenai jenama itu.
Langkah pertama melalui pintu yang dibuka seperti gerbang itu cukup selesa. Ruang dari hujung kepala hingga ke hujung kaki disediakan dengan secukupnya. Kasut yang dipakai tenggelam di permukaan permaidani yang halus. Ketika itu juga badan pula meresap keselesaan dan kelembutan tempat duduk yang dibalut kemas dengan kulit lembu Bavaria, sejenis lembu yang diternak khas di pergunungan Jerman.
Mata terpegun mengamati kehalusan buatan tangan dari kilang Goodwood di England yang menggabungkan rekaan moden dan klasik dengan cukup sempurna. Alunan muzik klasikal yang kedengaran secara perlahan-lahan 'membangkitkan' Ghost.
Keindahan rekaan dalam kabin jentera sepanjang 5.4 meter itu dihiasi ciri-ciri trademark seperti jam dinding yang terpapar di tengah-tengah dashboard. Di hujung bonet depan pula berdiri seorang gadis yang dinamakan 'Spirit of the Ectasy'. Lencana kebanggan Rolls Royce.
Keunikan kereta itu diserikan dengan sekaki payung teflon yang tersimpan di dalam daun pintu untuk menambah elegan pemiliknya. Satu lagi teknologi moden yang diserapkan pada jentera ini adalah akses tanpa kunci.
Di tempat duduk pemandu, balutan kulit berkualiti tinggi sekali lagi membuktikan keselesaan sebaik sahaja kedua-dua tangan menggenggam stereng. Dengan kawalan gear dan audio di hujung jari, pemandu boleh menikmati pemanduan dengan erti kata lebih bebas.
Selain ciri-ciri fancy itu, kemewahan saloon ultra itu semestinya kelengkapan sistem multimedia dan set telekomunikasi premium yang bertaraf VVIP. Secara keseluruhan, Ghost dibina dengan segala kemewahan yang ada pada BMW 7 Siries.
Tempat duduk belakang dilengkapi dua skrin LCD bersaiz 9.2 inci dengan sistem audio berkuasa 600 watt yang menyalurkan bunyi keliling melalui 16 pembesar suara. Tidak cukup dengan simpanan data 12.5 gigabit, fungsi auxiliary juga disepadukan untuk peralatan audio luar.
Ghost yang mengambil masa empat tahun untuk dibangunkan disifatkan sebagai jentera terbaik dan terpantas dihasilkan Rolls Royce. Ia mewakili model lebih kecil jika dibandingkan dengan keluarga Phantom.
''Jika Phantom lebih sesuai digunakan untuk majlis istimewa, model Ghost ini boleh digunakan sebagai pacuan harian,'' jelas Hal. Dengan pengurangan 44 sentimeter daripada model Phantom, saiz Ghost yang dinamik tetap mengekalkan ciri-ciri mewah.
-Kuasa terpendam
ENJIN Ghost dihidupkan dengan menekan butang elektronik, jentera yang dipacu enjin 6.6 liter itu meluncur dengan satu kuasa yang cukup lembut, kuasa yang asing daripada kebiasaan memandu. Bukan sembarangan enjin, Ghost yang menggunakan enjin V12 dengan kotak gear ZF lapan kelajuan automatik itu mampu menghasilkan 563 kuasa kuda dan kelajuan maksimum sehingga 250 kilometer sejam (km/j).
Dengan kuasa sehebat itu, pecutan mampu mencapai kelajuan sehingga 100 (km/j) dalam masa 4.9 saat. Prestasi yang menyamai kebanyakan jentera supercar seperti Maserati, Ferrari dan Audi. Ia terbukti sewaktu ujian pecut ke Putrajaya. Kuasa yang tersembunyi di sebalik gaya penuh eksklusif itu mampu mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa yang singkat.
Namun bukti prestasi bukan sekadar pada susunan nombor-nombor berikut tetapi enjin 48 injap itu juga mampu memberikan kelancaran dan kestabilan walaupun di atas permukaan jalan yang beralun. Sokongan kestabilan termasuk penstabilan anti golek, kawalan brek dinamik (DSC), kawalan tarikan dinamik, (DTC) serta kawalan brek ketika membelok yang beroperasi serentak dan tidak mampu disedari pemandu.
Sistem suspensi yang boleh diselaras pada tiga tahap ketinggian memberikan keselesaan di dalam kabin seperti bererahat di atas sofa rumah sendiri. Malah sebarang pergerakan di dalam kabin juga mampu dikesan untuk keseimbangan semula.
Nov 28, 2010
Diving with Shark
Tiada apa yang dapat diperhatikan di sekeliling kecuali biru air laut yang lama-kelamaan menjadi semakin gelap. Begitu juga dengan penurunan suhu yang dirasakan sangat drastik. Perasaan tersebut memberikan pengalaman yang baru, ketenangan yang tidak pernah dirasai saya selama ini.
Berbeza dengan lokasi selam yang dipenuhi terumbu karang yang berwarna-warni, kali ini kami memilih untuk dicampakkan lebih jauh dari tebing pulau dengan matlamat yang berbeza. Lokasi menyelam adalah di Gua Jerung atau lebih dikenali dengan nama Shark Cave di Terumbu Layang-Layang, Sabah.
Matlamat kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang penyelam dengan iringan Amanda sebagai Divemaster pada tengah hari itu adalah untuk menjejak dan melihat kumpulan ikan jerung dari jarak yang lebih dekat. Dari kedalaman lima meter, kami turun sehingga komputer selam yang dipakai menunjukkan paras 28 meter. Selaman menjadi rekod peribadi penulis yang tidak pernah melepasi kedalaman itu.
Pandangan mata ketika itu hanya dikunci pada dua perkara iaitu komputer selam Suunto dan Amanda untuk menantikan tunjuk arah daripadanya. Pada masa sama, debaran melakukan selaman dalam itu semakin dirasai. Dengan menggunakan jari telunjuk, Amanda menarik perhatian kami lalu memberi isyarat kepada apa yang sedang menunggu kami di dasar.
Dari kedalaman 30 meter, mata kini tertumpu pada setompok pasir putih yang menjadi tempat rehat sekumpulan jerung. Saiz jerung-jerung yang dilihat dari atas itu semakin lama semakin membesar sebelum kami mendarat pada kedalaman 38 meter. Ketika itu tidak kurang lima ekor jerung sedang berlegar di sekitar gantungan batu yang berbentuk seperti gua. Di luar lerengnya adalah jurang sedalam 2,000 meter yang menjadi habitat beberapa spesies seperti jerung kelabu, jerung sirip putih dan hitam.
Berdepan dengan penghuni laut yang paling ditakuti itu memberikan saya peluang untuk merakam dengan lebih dekat. Pertembungan paling dekat adalah kira-kira dua meter apabila seekor jerung kelabu sepanjang 2 meter setengah melintas lalu.
Namun merakam gambar objek yang bergerak dalam cahaya yang nipis bukan sesuatu yang mudah. Malah pada kedalaman hampir 40 meter itu, kamera yang digunakan sudahpun menunjukkan tanda-tanda 'tidak waras' apabila beberapa butang tidak lagi berfungsi akibat tekanan (kembali normal pada kedalaman lebih cetek).
Walaupun sering dikaitkan dengan keganasan filem Jaws, jerung bagi kebanyakan penyelam adalah spesies yang unik dan menakjubkan. Keindahan gerak dan tari cukup untuk menjadikannya haiwan laut tercantik walaupun tanpa warna seperti ikan-ikan lain.
Bagaimanapun, selaman pada kedalaman setinggi bangunan 10 tingkat itu tidak membenarkan kami untuk kekal lama di dasarnya. Sepanjang tempoh tidak sampai lima minit di situ, komputer selam beberapa kali memberikan amaran supaya naik ke permukaan.
Itulah sebahagian daripada cabaran selam skuba. Menarik dan penuh dengan debaran. Namun harus diingat bahawa selam rekreasi tetap memerlukan perancangan yang betul dan pemantauan penyelam pakar.
"Menyelam skuba adalah aktiviti yang selamat. Tapi ia lebih selamat jika kita sentiasa berwaspada dikala kita dalam keadaan yang merbahaya,'' ujar Amanda selepas selaman berakhir.
JERUNG DIANCAM KEPUPUSAN
PENGALAMAN menyelam bersama jerung bukanlah sesuatu yang terlalu pelik. Pada masa kini penyelam skuba masih berpeluang melihat jerung di mana-mana lokasi selam di dunia.
Di negara ini misalnya, lokasi seperti Sipadan, Mabul, Pulau Redang, Tioman dan Tenggol menawarkan pengalaman 'menyelam bersama jerung' bagi yang bernasib baik.
Di Shark Point, Pulau Perhentian, penyelam snorkel masih boleh melihat jerung-jerung kecil di beberapa lokasi sekitar kawasan Taman Laut.
Di Pulau Layang-Layang, Sabah (Perairan Spratly), spesies jerung yang jarang ditemui seperti jerung harimau yang membesar sehingga saiz lima meter panjang juga pernah ditemui.
Namun seperti di mana-mana lokasi di dunia, populasi jerung di negara ini juga semakin berkurangan akibat pemburuan yang berterusan.
Hakikatnya juga, haiwan yang dianggap merbahaya itu sebenarnya menerima ancaman yang jauh lebih hebat daripada manusia itu sendiri.
Contoh terbaik adalah 'penyalahgunaan' sirip ikan itu sebagai hidangan 'wajib' di dalam majlis perkahwinan masyarakat Cina. Menurut kajian antarabangsa, kira-kira 40 ekor jerung dibunuh untuk setiap majlis perkahwinan.
Nov 15, 2010
Ketepatan berlari dengan Silva
Antara barisan produk Silva yang diedar oleh Adventure & Leisure Sdn. Bhd. (A&L) di negara ini termasuk ex Ped Pulse, ex Step, ex distance, ex3 plus dan ex1 distance. Selain peedometer, Silva juga menawarkan lampu LED, kompas dan teropong.
ex-Ped Pulse
Peedometer lengan yang berketepatan tinggi ini digunakan untuk mengukur tahap aktif seseorang melalui pengiraan jumlah langkah, jarak dan kelajuan.
ex-Ped Pulse yang bukan hanya sebagai jam tetapi dihasilkan untuk mengukur degupan jantung, pembakaran kalori, pengunci jam dan banyak lagi.
Dilengkapi 10 penyelarasan berbeza termasuk pemilihan profil jantina, ketinggian dan usia yang dapat disepadukan dengan jadual senaman yang disarankan.
Selain memberikan maklumat terperinci mengenai senaman yang dilakukan, pemakai juga boleh menyimpan data dan sejarah senaman berdasarkan hari atau minggu.
ex Distance
Peedometer ex Distance ini dihasilkan dengan reka bentuk lebih kompak dan ringan. Ia bukan sahaja mudah dibawa malah dihias dengan warna yang bergaya.
Pada bahagian belakang alat ini disediakan klip untuk memudahkan pemakaian di samping kabel pengikat yang boleh dilekatkan pada poket.
ex Distance direka dengan teknologi yang menghalang pengiraan sebarang pergerakan yang tidak diperlukan. Alat kecil ini juga adalah trend kesihatan untuk dipakai semasa bekerja khususnya bagi yang banyak berjalan.
Lampu LED
Sebagai pengeluar kelengkapan produk aktiviti luar sejak 1933, Silva dengan konsep 'get out there' juga menawarkan lampu LED bergaya yang cukup praktikal untuk kegunaan seharian.
Teknologi lampu pintar Silva menghasilkan suluhan terang untuk kegunaan mereka yang gemar berlari atau berbasikal pada waktu malam.
When They Strike
Ini adalah satu daripada dua gambar terbaik daripada cubaan pertama merakam gambar kilat. Betul atau tidak tekniknya, aku kurang arif, kena study lagi pasal topic ni. Gambar ini dirakam menggunakan Canon 1000D, dengan bukaan cahaya kecil f9 / f11, ISO 100 dan speed "30. Selamat mencuba.
Ini adalah gambar terakhir dari kamera tu, selepas beberapa kali buat slow shutter, kamera menunjukkan 'error 99' . Sudah sampai masanya untuk aku hantar service kamera ni selepas lebih setahun pakai.
Sekarang hati masih berat untuk ke Canon (hantar servis) kerana masih lagi berfikir-fikir untuk mendapatkan pengganti kepada 1000D. InsyaAllah jika dipermudahkan aku akan menyambar DSLR satu digit awal tahun ini. Amin.
Nov 12, 2010
Kolam Nemo 33
Di Brussel, Belgium, kolam Nemo 33 menjanjikan pengalaman yang luar biasa. Kolam sedalam 33 meter ini adalah kolam paling dalam di dunia.
Menggunakan 2.5 juta liter air tawar tanpa klorin, Nemo 33 yang disiapkan pada 2004 beroperasi sebagai pusat selam pelbagai fungsi, selam rekreasi, penyelidikan dan dijadikan lokasi pembikinan filem.
Keupayaan mengekalkan suhu di antara 30 hingga 33 darjah Celsius sepanjang tahun menjadikan Nemo 33 destinasi menyelam popular terutama pada musim sejuk. Walaupun tanpa memakai sut basah, selaman boleh dilakukan dengan selesa.
Kemudahan di pusat selam di tengah kota raya itu termasuk khidmat sewa peralatan. Untuk menjimatkan kos menyelam yang agak mahal, penyelam dibenarkan membawa peralatan sendiri.
Seperti selaman di laut, penyelam di Nemo 33 tetap ditemani jurulatih selam yang akan mengetuai dan mengawasi penyelam sepanjang masa.
Walaupun menjadi kolam paling dalam di dunia, penyelam hanya dibenarkan menyelam pada peringkat kedalaman yang dibenarkan mengikut tahap masing-masing.
Oleh itu, setiap selaman perlu didahului dengan penyerahan dan pengesahan sijil selam.
Jika 33 meter terlalu dalam untuk anda, kolam yang direka oleh pakar selam Belgium, John Beernaerts dan arkitek Sebastian Morena-Vacca ini mempunyai pelbagai peringkat kedalaman.
Sebaik sahaja melangkah ke tangki gergasi ini, penyelam boleh memilih sama ada untuk berada pada kedalaman 10 meter, memasuki gua tiruan atau terus menjunam ke dasar.
Nemo 33 juga mengendalikan pelbagai peringkat kursus selaman di bawah pengiktirafan PADI dengan kemudahan yang cukup selesa.
Bebas tanpa landskap berbatu, kolam ini juga menjadi tempat latihan yang baik untuk aktiviti selaman bebas.
Kemudahan asas yang disediakan termasuk restoran yang dihias dengan tema skuba, tayangan video hidupan marin, bilik persalinan dan ruang rehat.
Bagi mereka yang bukan penyelam, tingkap lutsinar membolehkan mereka melihat rakan-rakan menyelam di sebalik kaca. Jika ke Belgium, Nemo 33 adalah persinggahan yang berbaloi.
Nov 8, 2010
Penginapan di Endau Rompin
Pesona Alam Endau Rompin
TARIKAN hutan tropika Endau-Rompin sudah lama menjadi syurga bagi pengkaji dan penyelidik alam semula jadi namun masih ramai yang tidak menyedari kewujudan taman negara kedua terbesar di Semenanjung Malaysia itu.
Mungkin tarikan Taman Negara Pahang terlalu kuat sehingga mengaburi taman-taman negara yang lain di negara ini atau mungkin Endau-Rompin sendiri yang kurang dipromosikan.
Selepas berkongsi gambar Endau-Rompin melalui laman sosial Facebook baru-baru ini, ramai yang bertanya mengenai taman negara itu dan beria-ria untuk pergi melihat sendiri keindahan rimba berusia ratusan juta tahun itu.
Jika dibandingkan dengan Taman Negara di Pahang, hutan seluas 80,000 hektar di Johor itu tidak kurang istimewanya malah bagi yang yang menghargai alam semula jadi yang lebih 'asli', Taman Negara Endau Rompin adalah tempat yang harus dituju.
Tarikan utama seperti Air Terjun Buaya Sangkut, Tasik Air Biru, Upih Guling dan Gunung Janin Barat telah diceritakan pada minggu yang lalu. Kali ini WOW! berkongsi tiga lokasi penginapan di taman negara itu sebagai panduan.
Kompleks Pelawat
Dari pintu masuk Kahang, perjalanan menaiki pacuan empat roda (jalan tanah merah) sejauh 63 kilometer akan membawa pelawat ke stesen pertama iaitu Kompleks Pelawat di Kampung Peta.
Menurut Pegawai Interpretasi Perbadanan Taman Negara Johor, Fakhrul Annuar Mohamed Shukri, kompleks itu menyediakan pelbagai kategori penginapan bermula dengan bilik standard yang disewa pada harga RM80, bilik keluarga (RM150) dan bilik VIP (RM180).
Untuk kemasukan dalam kumpulan yang besar, asrama yang memuatkan sehingga 80 orang dewasa boleh didapati pada harga RM10 manakala bayaran RM5 dikenakan untuk kanak-kanak. Kemudahan lain yang disediakan di sekitar kompleks termasuk surau, kafetaria, galeri maklumat dan taman botani.
Bagi pelancong yang mengikuti pakej beberapa hari kompleks itu biasanya menjadi penginapan pada hari pertama atau terakhir kerana tarikan utama Taman Negara Endau-Rompin terletak di Kuala Marong dan Kuala Jasin.
Di kompleks tersebut, pelancong boleh melawat Kampung Orang Asli Jakun di Kampung Peta untuk menyaksikan demonstrasi pemasangan jerat haiwan dan permainan Kerchang.
NERC
Petang itu Fakhrul Annuar membawa kumpulan kami ke pengkalan bot yang terletak di hujung Kampung Peta. Destinasi seterusnya adalah ke Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Alam (NERC) yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan menyusuri arus sungai Jasin.
NERC merupakan kompleks pertama yang dibuka di taman negara itu. Pusat yang menempatkan dewan, makmal, perpustakaan dan penginapan itu merupakan lokasi utama penyelidikan di Endau Rompin. Ia juga dibuka kepada pelawat.
Kuala Jasin
Penginapan yang mempunyai lokasi terbaik di Taman Negara Endau-Rompin. Chalet yang terletak di kawasan pertembungan Sungai Endau dan Jasin itu menjanjikan pengalaman alam semula jadi yang mendamaikan. Harga penginapan di Kuala Jasin juga sama dengan penginapan di Kompleks Pelawat.
Kuala Marong
Dari Kuala Jasin, perjalanan ke Kuala Marong menaiki pacuan empat roda memakan masa kira-kira 30 minit. Kuala Marong merupakan pintu masuk dua lokasi iaitu jeram Upih Guling dan Tasik Air Biru yang terletak dalam masa lima minit jalan kaki.
Kuala Marong menyediakan tapak perkhemahan yang disewakan pada harga RM10 semalam. Sungai yang mengalir bersebelahan dengan tapak perkhemahan di situ merupakan kawasan konservasi beberapa spesies ikan yang kian terancam seperti Kelah dan Tengas.
Nov 7, 2010
Pisau Gerber
ALAT pelbagai fungsi atau multitool adalah teman paling rapat Richard Dean Anderson di dalam drama penyiasatan MacGyver suatu ketika dahulu. Keupayaannya memudahkan kerja-kerja tangan amat menakjubkan sehingga diberi gelaran 'pisau MacGyver'. Kini peralatan itu menjadi trend dan keperluan untuk kegunaan di dalam dan di luar rumah.
Satu daripada jenama besar di pasaran yang menghasilkan peralatan kecil tapi cukup berguna itu adalah Gerber. Selain itu, Gerber juga mengeluarkan pelbagai kelengkapan aktiviti lasak seperti pisau, lampu suluh dan kapak. Di negara ini, produk dari Amerika Syarikat itu terkenal sebagai gajet kegemaran pengembara, khususnya mereka yang aktif dalam perkhemahan, pacuan empat roda, memancing dan berbasikal.
Bahkan di dalam kenderaan, ia cukup berguna untuk menguruskan kerja-kerja di kala kecemasan. Antara produk kegemaran yang dikeluarkan oleh Gerber Legendary Blades adalah model Suspension.
Gerber Suspension
INOVASI Gerber menghasilkan bukaan pada tempat pemegang dari hujung ke hujung yangmembolehkan alat ini dioperasikan denganhanya sebelah tangan. Suspension mempunyai 12 mata pelbagai fungsi seperti pemotong dawai, playar berspring, gunting, pembuka botol, pisau, gergaji dan pemutar skru yang dihimpun dalam satu rekaan yang kemas.
Selain itu, ciri keselamatan dipertingkatkan lagi dengan penguncian kesemua mata bilah semasa ia digunakan. Apa yang paling saya suka pada produk ini adalah bukaan berspring yang memudahkan ia dibuka dan memperoleh cengkaman cukup kemas. Muncung playar yang halus memudahkan kerja-kerja di tempat sempit. Pada bilah paling utama itu juga dilengkapi fungsi cengkam dan pemotong.
Sementara itu, rekaan bentuk rama-rama memudahkan lagi pengguna untuk mendapatkan bilah tertentu selain pemilihan yang diperjelas dengan rangka sisi aluminium berlubang.
Keselesaan pengendalian Suspension dipertingkat dengan alas plastik pada kedua-dua belah hulu. Produk berinsprirasi jambatan suspensi di Oregon ini merupakan satu daripada alat kegemaran golongan 'tough guy'.
Untuk mendapatkan produk ini sila hubungi Ady : Harga lebih rendah berbanding harga pasaran.
Gerber Suspension @ RM 184.00
Gerber Vise @ RM 85.00
Oct 11, 2010
Treadmill Kettler
BERLARI adalah senaman paling popular dan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja. Namun tidak bagi yang sering dibelenggu kesibukan kerja sepanjang hari. Berdepan dengan situasi seperti itu boleh menyebabkan keletihan yang memadamkan keinginan untuk bersenam. Apatah lagi bagi yang terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas sebelum sampai ke tempat rekreasi.
Apa sekalipun alasan yang dikemukakan, tiada yang dapat mengecualikan diri daripada amalan
kesihatan untuk meneruskan kehidupan yang sempurna. Bagi yang mempunyai kesedaran dan mengambil berat tentang kesihatan diri, mesin larian dalam rumah atau lebih popular disebut treadmill adalah penyelesaian yang paling tepat.
Bahkan ramai mengakui alat itu mempunyai banyak kelebihan jika dibanding dan diambil kira yuran keahlian gimnasium yang mahal pada masa sekarang. WOW! baru-baru ini ke VITO, pusat jualan treadmill jenama Kettler yang terletak di The Gardens Mall, Kuala Lumpur untuk memahami keistimewaan alat senaman itu.
Pengurus Jualan Trend Masters Sdn. Bhd, Lee Chun Hooi berkata, treadmill kini menjadi alat senaman paling popular bagi masyarakat yang sibuk dan terlalu mengutamakan kerjaya.
“Waktu bekerja yang panjang di bandar menyebabkan ramai yang mengabaikan amalan kesihatan. Namun bagi yang peka, mereka tidak akan berhenti daripada bersenam,” katanya.
Satu rumah satu treadmill
Memiliki treadmill yang baik sama seperti memiliki sebuah gimnasium mini dalam rumah. Pengguna mempunyai lebih kebebasan untuk bersenam.
Bahkan di dalam apa jua keadaan cuaca, pengguna masih boleh memilih sama ada untuk berjalan, berjogging ataupun berlari. Ia bukan sahaja direka untuk mereka yang keberatan untuk keluar dari rumah malah menjadi penyelamat bagi yang segan untuk bersenam di khalayak ramai.
Lebih penting, ia membolehkan pengguna kekal langsing tanpa dilihat sesiapa ketika mereka berusaha gigih untuk menurunkan berat badan. Menurut Chun Hooi, sebuah treadmill yang baik bukan sekadar alat senaman tetapi menjadi jurulatih peribadi yang menyimpan segala maklumat dan data.
Dengan teknologi terkini, alat kardiovaskular yang kini dilengkapi pelbagai fungsi seperti program latihan berkomputer dengan kelajuan berperingkat itu memberikan pengalaman seperti berlari di luar rumah.
“Kita hanya bangun 30 minit lebih awal daripada biasa setiap hari untuk berlari beberapa kilometer tanpa perlu keluar dari rumah.
“Senaman yang berterusan cukup untuk menjadikan seseorang lebih bersemangat dan bertenaga sepanjang hari,” ujarnya.
Sebagai alat senaman peribadi, penggunaan treadmill juga mengurangkan risiko kecederaan yang mungkin berlaku semasa bersenam di luar rumah. Faktor-faktor seperti permukaan jalan yang keras, licin dan tidak rata mungkin menjadi penyebab kemalangan. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan udara yang disedut di dalam rumah setiap hari sebenarnya lebih bersih berbanding tempat-tempat senaman awam yang dipenuhi habuk dan asap kenderaan.
Selain untuk kesihatan diri, penggunaan treadmill secara tidak langsung memupuk gaya hidup sihat di kalangan ahli keluarga seawal mungkin. Pusat kecergasan VITO di tingkat dua The Gardens Mall, Mid Valley kini mempamirkan produk daripada kualiti pertengahan hingga terbaik daripada jenama Kettler.
Jenama yang bertapak sejak 18 tahun lalu di negara ini menawarkan pelbagai kategori produk daripada keperluan peribadi hingga gimnasium. Jaminan produk Jerman itu adalah teknologi selama hampir 60 tahun.
“Tiga peralatan senaman dalam rumah yang boleh didapati di sini adalah treadmill, crosstrainer dan basikal senaman,” tambah Chun Hooi sambil mempamerkan model treadmill terbaru daripada Kettler iaitu Pacer.
Bagi menggalakkan penggunaan alat kesihatan itu, VITO turut mengadakan kempen ‘Satu Rumah Satu Treadmill’ dengan memberi potongan harga istimewa kepada pelanggan.
PACER merupakan edisi terbaru produk kecergasan keluaran Kettler dan antara yang popular di pasaran. Tujahan yang berkuasa 1.6 kuasa kuda pada mesin senaman ini menghasilkan operasi yang lancar dan senyap.
Treadmill yang mempunyai capaian kelajuan sehingga 16 kilometer sejam ini dilengkapi tujuh fungsi utama termasuk kelajuan, masa, jarak, kalori dan degupan jantung.
Turut dipertingkatkan adalah fungsi elektronik yang mana satu daripadanya adalah paparan maklumat LCD biru untuk senaman waktu malam.
Alat yang dijual pada harga RM4,999 ini mempunyai tiga peringkat kelajuan yang setiap satunya mampu beroperasi pada tiga peringkat darjah larian (incline).
Tugas mengendalikan alat seberat 88 kg ini dipermudah dengan fungsi roda sorong manakala saiz yang memerlukan ruang sepanjang 1.8 meter dikompakkan dengan fungsi boleh lipat.
Keselesaan berlari dipertingkat dengan penyerap hentak getah yang senyap membolehkan pengguna berlari sambil menonton. Pacer datang dengan jaminan selama setahun.
Ekoran kemalangan treadmill melibatkan mereka yang tidak berpengalaman kerap berlaku, ciri-ciri keselamatan semasa berlari dipertingkat rantai kecemasan mematikan operasi sebaik sahaja tersentap.
KAJIAN menunjukkan lebih ramai yang memanfaatkan senaman menggunakan treadmill berbanding peralatan lain kerana berlari adalah senaman yang paling semulajadi.
Namun beberapa perkara perlu diketahui sebelum mendapatkan peralatan yang berharga ribuan ringgit itu bagi memastikan wang dibelanjakan berbaloi.
Pengurus Runcit VITO, Vincent James berkata, ciri utama yang perlu diketahui sebelum membeli sebuah treadmill adalah kapasiti kuasa, kelancaran mesin (senyap), monitor kadar jantung (HRM) dan jadual latihan berkomputer (program).
"Ramai masih memikirkan tentang saiznya yang besar tetapi reka bentuk terkini membolehkan alat itu dilipat dan disorong dengan mudah,'' katanya.
Panduan seterusnya adalah membaca buku manual untuk mendapatkan manfaat maksimum dari alat yang dimiliki dengan memahami fungsi, maklumat penjagaan dan panduan.
Beliau memberitahu, larian di atas treadmill bermula dengan berjalan atau jogging sejauh dua kilometer dan jika tidak mempunyai masa yang panjang, sasaran itu dicapai dengan meningkatkan kelajuan larian.
"Dengan program senaman berjadual pengguna hanya perlu mematuhi rentak larian disyorkan,'' katanya.
Akhir sekali, mereka yang mempunyai masalah jantung dan darah tinggi harus mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan treadmill. Maklumat lanjut mengenai produk Kettler boleh diperolehi dari laman web www.kettler.com.my atau hubungi Ady 019-2677301 untuk dapatkan diskaun 20 peratus bagi setiap harga barang Kettler.
Sep 30, 2010
Selaman Oktober
Agak mudah untuk ditemui (click untuk image lebih besar)
OKTOBER menandakan bulan penutup tirai aktiviti selam skuba di Semenanjung Malaysia. Tempoh sebulan yang tinggal menawarkan peluang akhir tahun bagi yang ingin melepaskan gian sebelum musim tengkujuh bermula.
Ini kerana menjelang November, pulau-pulau di sebelah Pantai Timur akan ditutup di mana penyelam perlu menunggu selama lebih empat bulan sebelum resort dan calet kembali beroperasi pada Mac berikutnya.
Hakikatnya, tidak ramai yang masuk ke pulau di antara Oktober hingga November. Biasanya ketika itu, pantai berpasir putih dan halus seperti di Pulau Perhentian, Redang dan Tioman hanya dipenuhi pelancong asing.
Hal ini berlaku kerana ramai beranggapan bahawa laut sudah mula bergelora dan agak merbahaya untuk perjalanan menaiki bot. Padahal musim tengkujuh di pantai timur hanya bermula pada November.
Jika anda salah seorang daripada mereka yang masih belum berpuas hati melihat keindahan dasar laut pada tahun ini, bulan selam terakhir itu tidak harus dilepaskan.
Bukan itu sahaja, selaman pada bulan itu juga mungkin menjadi selaman terbaik pada tahun ini kerana air laut berada pada tahap paling jernih.
Tempoh pertukaran sebelum musim tengkujuh di Pantai Timur dikatakan memberi kejernihan air yang luar biasa. Bagi penyelam, jarak penglihatan antara 20 hingga 30 meter bukan sesuatu yang mudah diperolehi.
Ia bukan sekadar omongan tetapi penulis sendiri pernah menyaksikan kejernihan seperti itu semasa menyelam di Pulau Perhentian Kecil, Terengganu, pertengahan tahun lalu.
Lebih bernasib baik, penulis baru-baru ini menyaksikan sekali lagi kejernihan air laut di dua lokasi selam di Pulau Perhentian semasa turun di dua lokasi iaitu D'Lagoon dan Sugar Wreck.
Begitulah laut, tiada yang dapat menentukan nasib di tangan sendiri. Ramalan dan panduan hanya dibuat berdasarkan petanda dan kebiasaan. Bagi orang-orang pulau, kejernihan air pada bulan Oktober sememangnya sudah lama diketahui.
Birgit Weber, 43, yang berpengalaman menyelam lebih daripada 10 tahun di Pulau Perhentian berkongsi pendapat yang sama semasa ditemui di pusat selam Turtle Bay yang terletak di pantai Pasir Panjang, Perhentian Kecil.
Menurutnya, minggu-minggu terakhir sebelum musim tengkujuh adalah masa yang paling ditunggu-tunggu oleh penyelam setiap tahun.
"Pertukaran angin dan cuaca sebelum munculnya gelora laut biasanya datang bersama hadiah yang cukup istimewa.
"Ketika itu, penyelam boleh melihat kemeriahan terumbu karang yang bewarna-warni dengan biasan air laut yang berkilau-kilau,'' katanya.
Pada pertemuan itu, Birgit sempat berkongsi satu lagi tip untuk mendapatkan kejernihan terbaik bagi yang tidak berpeluang menyelam pada Oktober.
Katanya, peluang menyelam dengan jarak penglihatan paling jauh (jernih) boleh diperolehi pada setiap bulan, biasanya selepas kemunculan 'bulan baru' iaitu kira-kira dua minggu selepas bulan penuh.
"Jika bulan 'senyum' kepada kamu, maka kehadiran anda untuk menyelam tidak mengecewakan,'' ujarnya merujuk kepada bentuk bulan sabit.
SEBAGAI salah satu daripada pusat selam terawal yang beroperasi di Pulau Perhentian, Turtle Bay Divers menjanjikan kepuasan kepada penyelam melalui pengalaman dan khidmat terbaik.
Dengan pengendalian enam Instructor dan enam Divemaster yang boleh bertutur dalam bahasa utama seperti Inggeris, Perancis dan Jerman, pusat selam ini mampu mengendalikan empat hingga lima sesi selaman setiap hari.
Selain kebersihan yang sentiasa terjaga rapi, pusat selam juga dilengkapi peralatan selam yang diselenggara dengan baik bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan.
Di Turtle Bay Divers, pelanggan boleh melakukan empat selaman pertama pada harga RM70 (termasuk peralatan) dengan selaman selebihnya pada harga RM60 per selam.
Selaman bot, selaman kapal karam dan selaman malam dilakukan menggunakan bot-bot saiz sederhana yang memuatkan lapan hingga 10 penyelam.
Bagi yang bercadang untuk mendapatkan lesen selam laut terbuka (Open Water) pada musim depan, Turtle Bay Divers menawarkan pakej berharga bawah RM1,000
dalam masa tiga hingga empat hari.
Dari Kuala Lumpur, perjalanan bas ke jeti Kuala Besut boleh didapati setiap hari. Dari jeti, bot ke Pulau Perhentian Kecil (pergi-balik) selama 40 minit berharga RM70 tidak termasuk yuran Taman Laut berharga RM5.
Harga yang ditawarkan bergantung kepada pilihan tempat penginapan antaranya Panorama, Bubu Resort, Rock Garden, Bintang dan Mama's Place.
Maklumat lanjut mengenai operasi pusat selam ini boleh diperolehi dari laman web www.turtlebaydivers.com, menghubungi emel yaakub@tm.net.my atau talian 03-7803 3994.