Jun 3, 2010

Amazon Malaysia di Maliau Basin

Maliau's Fall shoot with Canon compact A620

JARANG sekali kita mendengar namanya disebut dan tidak ramai yang berpeluang memasuki kawasan hutan asli Lembangan Maliau atau lebih dikenali sebagai Maliau Basin yang terletak di bahagian tengah selatan Sabah-Keningau.

Kunjungan hanya dibenarkan kepada mereka yang diberikan kebenaran untuk melawat oleh Yayasan Sabah. Selepas diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan pada 1981, hutan dara yang mengandungi ekosistem paling terlindung dan tidak terusik di dunia itu masih menyimpan banyak misteri kepada kita semua.

Kesempatan menjejakkan kaki ke kawasan itu meninggalkan sedikit rasa kempunan kerana persinggahan sehari tidak memberi banyak peluang untuk saya menceritakan dengan lebih terperinci keistimewaan yang terdapat di Lembangan Maliau.

Apa yang dikongsikan di sini sekadar pengalaman satu malam berada di situ yang diolah dengan maklumat-maklumat daripada risalah pelancongan yang disediakan pihak pengurusan.

Namun, beberapa keping gambar dan perkara yang dilalui semasa mengikuti Ekspedisi Isuzu Dura Mission ke kawasan itu dapat merumuskan bahawa negara hanya memiliki satu aset seperti Lembangan Maliau malah tidak ada sepertinya di mana-mana di dunia ini.

Memandangkan tempoh persinggahan yang terhad, pihak penganjur memilih 'jalan pintas' untuk memberi peluang kepada kami melihat Kawasan Hutan Simpan Perlindungan Kelas 1 itu.

Kunjungan udara menaiki helikopter selama 10 minit memperlihatkan keindahan kawasan seluas 588 kilometer (km) persegi yang digelar oleh golongan penyelidik dan pencinta alam semulajadi sebagai The Lost World of Sabah.

Pusat penyelidikan kelihatan di kelilingi hutan Borneo

Dari jauh terpampang cenuram setinggi kira-kira 1,600 meter yang jika berwarna merah pasti menyamai bentuk Grand Canyon, di Arizona. Dan melihat ketebalan hutan di kawasan itu, ia tidak ubah seperti melihat hutan Amazon di dalam Discovery Channel.

Keadaan fizikal bumi itulah yang membentuk lembangan menjadi hutan tanah rata dan berbentuk bulat yang dikatakan 'memerangkap' segala penghuninya daripada meninggalkan hutan itu. Di dalam kawah berbentuk bulat itu, hidupan liar dikatakan membiak dalam dunia mereka sendiri. Mungkin mirip dunia Jurasik.

Lembangan MaliauPeta dan topografy Lembangan Maliau (atas) yang menunjukkan bentuk seperti kawah

Di tengah-tengah hutan dipterokap itu mengalir Sungai Maliau yang menghasilkan puluhan air terjun. Yang terbesar adalah Air Terjun Maliau yang mengalir deras di atas tujuh lapisan batu gergasi. Pandangan dari udara yang begitu menakjubkan. Curahan air kuning jelas menunjukkan hutan itu padat dengan tumbuhan-tumbuhan gergasi.

Ini hanya satu daripada puluhan air terjun gergasi di Maliau Basin &
shooting dari atas helikopter memang mencabar, asyik blur je..

Difahamkan, jika meredah hutan dari Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau (MBSC) yang menjadi tempat penginapan pelawat, perjalanan ke lokasi itu biasanya mengambil masa berhari-hari.

Lembangan Maliau juga salah satu daripada kawasan tadahan air luas yang melimpahkan air melalui saliran tunggal yang akhirnya bertembung dengan Sungai Kinabatangan, laluan air sungai terbesar di Sabah.

Kandungan ekosistem

Menurut Ranjer Hutan Unit Hospitaliti dan Rekreasi, Mohd. Rafi Bunggau, terdapat lebih daripada 80 mamalia dikenalpasti menghuni hutan itu termasuk gajah Asia, badak sumbu, beruk proboscis, beruang matahari, harimau dahan, seladang, kijang dan pelbagai jenis haiwan mursupial.

Ketika mengikuti safari malam berhampiran chalet penginapan (pusat penyelidikan) pada sebelah malamnya, haiwan seperti musang dan rusa beberapa kali kelihatan tidak jauh dari laluan yang kami gunakan.

Suasana di situ juga tidak pernah sunyi daripada kicauan unggas. Maklumat daripada pihak pengurusan menyatakan lebih daripada 290 spesies burung termasuk burung Bekia dan burung Jambul menghuni hutan itu.

Di celah-celah pepohon renek pula tersembunyi lebih 35 spesies amfibia, antaranya katak yang berumah di dalam periuk kera dan hidupan invertebrata seperti ketam dan lebah air.

Selain itu, lembangan juga menjadi habitat kepada tidak kurang daripada satu perempat spesies burung yang disahkan terancam oleh Kesatuan Pemuliharaan Dunia (IUCN).

Rekod flora daripada penyelidikan sejak 1996 pula mengklasifikasikan lebih daripada 1,800 spesies tumbuhan, termasuk enam spesies periuk kera, 80 orkid dan pokok Agathis gergasi.
Lembangan Maliau juga disahkan sebagai lokasi kedua penemuan habitat spesies Rafflesia Tengku-Adlinii di Sabah.

Kompleks bangunan MBSC yang berpotensi menjadi pusat penyelidikan ekosistem terpenting di hutan Borneo.

4 comments:

  1. thanks for viewing my blog..=)...what a nice blog u have...mmg ddk kat sabah ke? satu hari nanti kena pergi jugak ni.....hehe

    ReplyDelete
  2. Welcome and thanks to you.
    Saya bukan org Sabah. Saya di Kuala Lumpur. Saya pun kalau ada peluang memang nak sangat ke sana lagi. Hutan hujan terbaik yang pernah disaksikan setakat ini.

    ReplyDelete
  3. Terima kasih atas segala maklumat yang menarik dan berfaedah.

    ReplyDelete
  4. thanks for sharing bro, bangga menjadi anak jati Sabah

    ReplyDelete