Apr 24, 2010

Canon 50 mil

SABTU. Tak kerja. Takda assignment luar. Basikal pun dah sebulan lebih tak kayuh. So exercise paling mudah pada hari minggu adalah merangkak ke Bukit Tabur lagi. Climb yang ni adalah kali keempat sejak 4 bulan duk Melawati.

Excited nak climb sebab nak test lens baru, DSLR Canon 1000D yang aku beli dari Iftika tanpa lens tu dah dapat lens :) Prime lens yang paling murah je, Canon 50mm. Beli kat kedai kamera depan ATM BSN kat Pertama Kompleks dengan harga RM320 + Rm70 untuk filter . Nak beli 17-55mm pun tak cukup sen lagi. Cukuplah dulu, bukan nak cari makan dengan ambik gambar pun. Suka-suka je.

Pertama sekali jangan tertipu dengan saiznya yang kecil dan rupa cokianya (plastik) kerana ia mempunyai advantage paling besar iaitu aperture sebesar, f1.8. Oleh kerana 50 mil ni adalah fixed lens, so untuk dapatkan saiz imej dalam frame seperti yang dikehendaki kita kena ke depan dan ke belakang. Walaupun tak boleh zoom tapi 50mm adalah antara lens favourite yang digunakan untuk potrait. So kat hutan potrait aku kali ini adalah pokok.

Dengan aperture besar, kita dapat bokeh (blur because of greater depth of field) yang lebih baik. Selain tu, aperture besar juga penting untuk ambik gambar dalam keadaan cahaya yang kurang (low light). Fokusing lens ni memang superb sebab lens ni juga terkategori dalam fast, light dan sharp lens.

So ni adalah antara shot yang paling aku suka dalam kata lain syok sendiri...

Click untuk saiz lebih besar


Lens paling murah. Laju, ringan dan sharp.

Kelebihan 50 mm dan kenapa anda perlukannya?
-Murah.
-Prime lens yang laju.
-Aperture besar.



Apr 18, 2010

Biawak Komodo

My adventure to Komodo Islands

Pintu masuk ke Pulau Rinca, Komodo Island, Indonesia

SUSUNAN papan yang mengikat pangkalan Loh Buaya di Pulau Rinca, Indonesia, bergegar sebaik sahaja kumpulan pelancong melangkah naik dari bot penumpang. Masing-masing meluru laju ke sebuah pondok rehat untuk berteduh daripada panas terik matahari.

Hentakan kaki pada permukaan jeti itu berkongsi rentak yang sama dengan degupan jantung penulis ketika langkah semakin menghampiri pintu gerbang yang bertulis 'Selamat Datang ke Taman Nasional Komodo'.

Perasaan bertambah gemuruh apabila teringatkan kisah seorang pelancong Inggeris yang dilaporkan hilang setelah dipercayai diratah hidup-hidup oleh 'penghuni kanibal' di pulau itu sekitar tahun 70-an.

Suhu di Kepulauan Komodo, Flores Barat pada hari itu tidak kurang daripada 40 darjah celsius. Di gigi air kelihatan seekor monyet sedang membasahkan diri, matanya liar memerhatikan sekeliling seperti takutkan sesuatu.

Langkah di bumi kontang itu diteruskan ke pejabat taman negara yang terletak kira-kira setengah kilometer dari jeti. Kehadiran kami disambut oleh Jackson Benu, pegawai Pusat Perlindungan dan Konservasi Wilayah 1 Pulau Rinca.

Pejabat taman nasional Komodo

Pulau Rinca adalah satu daripada dua pulau utama di gugusan Pulau Komodo yang merupakan destinasi tarikan pelancong untuk melihat spesies cicak terbesar di dunia iaitu biawak Komodo.

Sebelum dibawa menjelajah ke habitat semula jadi biawak gergasi itu, pelawat dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang diketuai oleh seorang renjer. Selepas itu, satu taklimat ringkas disampaikan oleh Jackson.

"Dianggarkan terdapat 1,200 ekor biawak Komodo mendiami pulau ini dan tidak ada seekor pun yang hidup di dalam kurungan, semuanya bebas berkeliaran.

"Walaupun serangan ke atas manusia jarang berlaku tetapi kamu dinasihatkan jangan sesekali berpecah daripada kumpulan atau berjalan bersendirian," ujarnya dalam loghat Indonesia diselangi beberapa rangkap terjemahan Inggeris.

Ketika perhatian ditumpukan pada Jackson, kedengaran jeritan kuat seorang pelawat tidak jauh dari tempat kami berkumpul. Rupa-rupanya seorang pelancong wanita dari kumpulan lain nyaris dirempuh salah seekor biawak yang sedang berkelahi.

Walaupun dicemaskan dengan kejadian itu, kelibat biawak berwarna kelabu itu sedikit sebanyak menambah keterujaan kami untuk melihat haiwan unik itu dengan lebih dekat.

Ketika melintasi kediaman renjer di situ, pandangan tertumpu ke bahagian bawah beranda. Kelihatan lebih daripada 10 ekor biawak Komodo sedang asyik berteduh dengan air liur meleleh-leleh di bawah dagu.

Biawak Komodo yang kelihatan berhampiran rumah renjer.

Menurut Jackson, halaman rumah renjer itu merupakan lokasi pertama dan paling mudah untuk pelawat melihat reptilia itu.

"Komodo banyak berkumpul di kawasan kediaman ini kerana tarikan bau daripada bekalan makanan seperti daging dan ikan yang disimpan di dalam rumah.

"Selebihnya hidup berkeliaran di hutan palma dan padang rumput. Tetapi dengan panduan renjer, haiwan itu tidak sukar untuk dijejaki," ujarnya.

Biawak atau naga Komodo (Varanus Komodoensis) yang lebih dikenali dengan nama buaya darat oleh penduduk tempatan boleh membesar sehingga tiga meter panjang dengan berat mencapai 250 kilogram.

Cicak tinggalan zaman pra sejarah itu mempunyai banyak perbezaan dengan biawak biasa. Kepalanya yang besar dan berotot pejal menampakkan perwatakan garang yang mirip seperti dinosaur.

Pergerakannya juga tampak perkasa. Tidak seperti biawak kampung yang berjalan menyeret perut di permukaan tanah, Komodo mempunyai empat kaki yang kuat untuk mengangkat badannya semasa merangkak. Kelebihan yang memberikan haiwan itu kepantasan ketika menyerang.

Namun kami difahamkan oleh renjer bahawa haiwan brutal itu sering bersembunyi dan menjauhkan diri daripada manusia terutama selepas membaham mangsa.

Dengan hanya bersenjatakan tongkat kayu bercabang di hujungnya, tiga orang renjer mengepalai perjalanan kami mendaki dan menuruni bukit-bukit gondol di pulau itu selama hampir dua jam.

Seekor demi seekor ditunjukkan kepada kami. Tanpa bantuan mereka agak sukar untuk kami mengesan haiwan berkenaan apatah lagi di atas permukaan tanah gunung berapi yang berwarna hitam pekat.

Sekali-sekala kami diingatkan supaya mengawasi langkah dan tidak melepasi garisan pita merah yang direntang pada beberapa tempat di sepanjang laluan. Ia adalah tanda sarang-sarang telur yang dikawal ketat oleh 'penjaga' yang jauh lebih garang.

Jackson memberitahu, walaupun kelihatan pasif biawak Komodo adalah haiwan yang optimis dan mempunyai kelebihan menyerang mangsa secara berselindung.

"Keupayaan haiwan ini memburu dibantu deria bau yang mampu mengesan mangsa dari jarak melebihi dua kilometer," jelasnya.

Haha, akhirnya sampai juga ke alam dinosaur

Ia mempunyai rahang yang cukup kuat untuk menewaskan haiwan liar di pulau itu seperti rusa, kerbau, kuda liar, babi dan apa sahaja yang dapat mengisi perut. Bahkan bangkai sesama sendiri juga tidak pernah 'dibazirkan'.

Komodo dewasa mempunyai gigi sepanjang satu inci yang mampu memecahkan tulang-belulang mangsa manakala kuku yang tajam digunakan untuk membelah dan meratah hidangan dalam masa yang singkat.

Kerakusan karnivor itu dikatakan mampu menghabiskan sejumlah makanan sehingga 80 peratus daripada saiz badannya tanpa meninggalkan secebis sisa.

Sama ada gigitannya berbisa atau tidak, kandungan bakteria pada mulutnya disahkan boleh membawa maut. Jika mangsa tidak berjaya ditumpaskan dengan sekali serangan, 'luka beracun' yang ditinggalkan cukup untuk membunuh mangsa selepas beberapa hari.

Jackson memberitahu, tabiat kanibal biawak itu juga 'mengasingkan' biawak Komodo muda daripada bercampur dengan yang dewasa. Untuk kekal hidup, anak Komodo akan tinggal di atas pokok kira-kira tiga tahun sebelum turun untuk hidup di tanah.

Tambahnya, jika bernasib baik pelawat juga dapat menyaksikan pertarungan Komodo jantan yang berebut pasangan betina. Ketika itu, biawak Komodo akan berdiri seperti manusia dan bergusti secara berpelukan. Aksi seperti di dalam filem Jurassic Park.

Selepas kira-kira dua kilometer menjelajah pulau itu, kami tiba semula ke pejabat taman negara itu. Misteri di sebalik susunan tengkorak kerbau dan rusa yang banyak digantung di situ kini telah terjawab dengan sendiri.

Selain berpeluang mendekati biawak Komodo, pemandangan di Pulau Rinca sendiri menyajikan keindahan yang cukup berbeza dengan mana-mana tempat di rantau ini.

Kelibat burung kakak tua yang terbang di hutan palma cukup membuatkan hati kami puas.

Kisah di Pulau Rinca membuktikan bahawa waris dan saki-baki haiwan pra sejarah yang pernah berkuasa lebih 100 juta tahun dahulu masih lagi wujud dan berkuasa. Hanya di Kepulauan Komodo.

gambar dari atas : pemandangan padang rumput savana hijau ini akan bertukar menjadi kuning pada musim panas.

Pemandangan dari pesawat Riau Air semasa meninggalkan Pulau Komodo

Apr 7, 2010

UK Vision




KEHEBATAN inovasi dan teknologi dalam penghasilan lampu meletakkan Underwater Kinetics (UK) antara jenama pilihan untuk pelbagai kegunaan lasak termasuk di dalam aktiviti selam skuba.

Sigap baru-baru ini diberi peluang oleh pengedar barang rekreasi utama A&L Adventure & Leisure (A&L) untuk mencuba salah satu daripada produk pilihan UK (2008) yang kini berada di pasaran.

Vizion, lampu kepala LED ringan yang mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa itu diuji semasa mengikuti jelajah pacuan empat roda ke Taman Negara, Jerantut, Pahang, minggu lalu.

Ketika pertama kali dihidupkan di tapak perkhemahan, kecerahan suluhan Vizion mengalahkan semua pancaran lampu kepala yang lain.

Dengan kekuatan cahaya 25 Lumens, ia berkuasa memancarkan cahaya sehingga jarak 100 meter. Cukup sesuai untuk kegunaan di dalam aktiviti yang melibatkan pergerakan secara berkumpulan.

Butang penghidup lampu cembul di sebelah kiri direka lebih besar berbanding model lain untuk lebih mudah ditekan, walaupun ketika memakai sarung tangan.


Butang penyelarasan kuasa (tinggi dan rendah) yang terletak di sebelah kanan pula memudahkan pemakai mengawal tahap kecerahan mengikut keperluan. Daripada suluhan maksimum hingga kepada penggunaan yang agak malap untuk penjimatan kuasa.

Ketika di dalam khemah, kawalan suluhan yang berkonsepkan 'mentol di dalam kelongsong' memudahkan pemakai mengubah darjah fokus terutama ketika melalui ruang-ruang yang sempit.

Selain pilihan fokus cahaya tepat (spot) dan lantur (diffuse), pancaran lampu merah juga berfungsi dengan baik terutama untuk suluhan ke arah objek yang memantul cahaya.

Rekaan inovatif pada model ini ditambah dengan satu lagi bonus iaitu fungsi lampu meja. Dengan menanggalkan kelongsong (badan utama) dan didirikan secara tegak, ia cukup untuk menerangi sebuah meja kecil yang dikelilingi oleh tiga orang.

Kesan kepanasan akibat penggunaan pada tempoh yang lama, dikurangkan dengan penyerap haba. Selain itu, litar LED juga berfungsi memadamkan lampu secara automatik apabila mencapai tahap kepanasan melampau.

Bukan sahaja lasak dan kalis air ketika hujan, Vizion juga boleh digunakan untuk selam skuba sehingga 10 meter di bawah air.

Vizion dilengkapi tali pengikat lembut yang memberi cengkaman kuat dan selesa di kepala.

Menggunakan bateri litium AAA, tempoh nyalaan boleh bertahan sehingga 150 jam.
Harga runcit RM150

Apr 1, 2010

Pengalaman Avatar di Zhangjiajie

KETIKA hari berkabus, puncak berketinggian kira-kira 1,000 meter ini memiliki pemandangan seperti di dalam filem animasi Avatar.

PANDORA atau gunung tergantung hanya sekadar imiginasi seni dalam filem animasi Avatar. Tetapi bagi yang pernah ke Taman Negara Zhangjiajie, Yunnan ia adalah realiti. Siapa sangka kawasan pergunungan di barat laut Wulingyuan itu adalah inspirasi sebenar kepada imej fantasi pandora yang dilihat di dalam Avatar, filem paling berjaya sepanjang zaman.
Keindahan Ceracak Langit Selatan di Wilayah Hunan itu diterjemahkan ke dalam animasi selepas jurugambar Hollywood ditugas merakamkan keunikannya pada 2008. Di kalangan masyarakat China pula, keindahan kawasan itu sudah lama diketahui melalui hasil seni lukis sejak zaman-berzaman.
Sememangnya, Taman Negara Zhangjiajie yang terletak berhampiran dengan Lembah Suoxiyu dan Gunung Tianzi mempunyai bentuk muka bumi yang tidak ditemui di mana-mana di dunia ini. Berikutan kejayaan filem Avatar baru-baru ini, destinasi tarikan utama di Hunan itu turut menerima nama timangan baru iaitu Gunung Hallelujah Avatar sempena pemandangan yang ditayangkan dalam filem fiksyen itu.
Kawasan hutan simpan yang merangkumi keluasan 43,000 hektar itu kini semakin popular dan dikatakan ramai pelancong tiba di Zhangjiajie untuk menyaksikan struktur-struktur batu cerucuk yang berdiri tegak menggapai awan. Panoramanya akan lebih menakjubkan pada hari-hari berkabus di mana puncak-puncak batu yang terbentuk akibat hakisan sejak jutaan tahun itu kelihatan seolah-olah tergantung.
Taman Negara Zhangjiajie yang menerima 1,200 hingga 1,600 mililiter hujan dengan suhu purata sekitar 16 darjah celsius pada kebanyakan harinya diselubungi kabus. Pada hari cerah tanpa kabus pula, puncak-puncak batu yang diselaputi tumbuhan hijau itu kelihatan seakan-akan himpunan pohon buluh yang tumbuh segar.
Sebagai salah satu daripada destinasi pelancongan utama di wilayah Yunan, pengembaraan pelawat dari puncak ke puncak dipermudahkan dengan perkhidmatan kereta kabel. Selain tiang-tiang batu semula jadi, kawasan pelancongan itu juga terkenal dengan curahan air terjun yang bersih dan kepelbagaian spesies flora dan fauna.
Dengan komposisi 97 peratus hutan di kawasan tersebut, kerajaan China menganggarkan terdapat 517 spesies tumbuhan di kawasan itu yang bersamaan dua kali ganda jumlah spesies tumbuhan di Eropah.
Zhangjiajie yang diperkenalkan sebagai destinasi pelancongan pada 1980-an kemudian diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada 1992. Kubu kota Huangshi Bagi yang merancang untuk melihat sendiri keindahan batu-batu tergantung itu, Kubu kota Huangshi adalah bahagian daripada lokasi terbaik yang terdapat di Zhangjiajie.


Pada ketinggian 1,080 meter dari paras laut, pemandangan di puncak-puncak Huangshi menyajikan pemandangan seluas 16.5 hektar yang dipenuhi teres-teres batu pelbagai bentuk dan ketinggian. Pemandangan terbaik boleh disaksikan dari beberapa lokasi seperti Treasure Box of Heavenly Books, Magic Sea-Suppressing Needle, South Pillar of Heaven dan Golden Tortoise Watching the Sea.

Hotel Ais






SEPANJANG musim panas pekan Jukkasjärvi di Kiruna, Sweden akan dibanjiri pelancong yang datang untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan melakukan aktiviti lasak di kawasan pergunungannya. Apabila tiba musim sejuk, jumlah pelancong mula kurang bersama-sama dengan turunnya sekali gus menjadikan pekan itu sepi tanpa sebarang aktiviti.


Namun kunjungan seorang penduduk tempatan, Yngve Bergqvist ke festival ais di Sapporo, Jepun merubah segalanya apabila dia membawa pulang idea yang tidak pernah difikirkan manusia sebelum itu. Pada 1989, Bergqvist menganjurkan seminar ukiran ais pertama di Jukkasjärvi dengan menjemput pengukir-pengukir profesional dari Jepun untuk menghangatkan kesuraman di kejiranannya.


Acara berterusan setiap tahun dengan sambutan agak mengejutkan. Sehinggalah pada tahun ketiga, beberapa pelawat memilih untuk bermalam di salah sebuah binaan ais (bilik) ekoran penginapan hotel di kawasan itu habis. Bermula dari pengalaman yang dikongsi pelawat berkenaan, Bergqvist muncul dengan idea menukarkan acara tahunannya itu kepada sesuatu yang lebih dahsyat, iaitu pembinaan sebuah hotel daripada ais.


Icehotel yang diasaskan Bergqvist pada 1992 adalah hotel ais pertama dan terbesar di dunia. Kini setiap kali tiba musim sejuk, ribuan pengunjung dari seluruh dunia akan membanjiri Jukkasjärvi untuk merasai 'pengalaman Eskimo'. Pada harga kira-kira AS$300 semalaman, setiap bilik menawarkan reka bentuk ukiran berbeza-beza. Kehalusan seni tangan manusia juga diperbaharui setiap tahun oleh pengukir dan artis yang berbeza. Tanpa pemandangan untuk dilihat, tarikan di bilik Icehotel dihidupkan dengan ukiran bertema yang disimbahi cahaya lampu.


Pemandangan yang menjadikan satu pengalaman yang nyata sekali cukup unik dan berbeza.
Keselesaan bermalam di atas katil bongkah ais beralas hamparan permaidani bulu binatang dengan beg tidur kalis sejuk. Dari awal musim sejuk (November), Icehotel menawarkan percutian yang berbaloi untuk dialami sehingga menjelang musim bunga. Antara kemudahan lain yang disediakan bersama pakej percutian itu adalah restoran dan bar yang semuanya dibina daripada ais. Selain itu, sebuah bilik sauna turut tersedia untuk tetamu menghangatkan badan sebelum meninggalkan hotel.



Mengenai pembinaannya, Bergqvist berkata, proses dimulakan pada bulan November setiap tahun dengan menggunakan kira-kira 30,000 tan ais dan salji yang diambil dari Sungai Torne.
Bahan binaan itu kemudian disimpan dalam dewan penghasilan khas untuk digunakan oleh puluhan pengukir dan artis ais dari seluruh dunia yang terlibat dalam pembinaan Icehotel.
"Bagi pelawat yang tidak bermalam di sini mereka boleh melihat kerja-kerja menyusun blok ais, mengukir dan menghiaskan bilik jika datang pada peringkat awal pembinaan,"ujarnya.



Icehotel ditutup sepenuhnya pada akhir bulan April apabila matahari malam (midnight sun) mula mencairkan bumbung dan dinding hotel, menandakan kedatangan semula musim panas.
Selain menghabiskan percutian di dalam bilik dan melihat kemunculan Bintang Utara di langit, pemilik hotel serta pengendali pelancongan di kawasan itu turut menyediakan pakej lawatan ke beberapa lokasi menarik, berhampiran dengan Garisan Artik. Malah keunikan dan populariti yang terdapat pada Icehotel Jukkasjärvi turut menyaksikan kemunculan hotel-hotel ais dibuka di beberapa lokasi lain di seluruh dunia seperti di Kanada, Norway, Romania dan Finland.


Ice Hotel di Québec, Kanada
Hotel terletak sebahagian daripada kawasan resort musim sejuk Duchesnay, kira-kira 10 kilometer dari bandar Québec. Hotel ais pertama di Amerika Utara itu dibuka bermula Januari setiap tahun sejak 2000.Beroperasi dengan hanya 22 katil, hotel itu kini menyediakan kira-kira 100 bilik setiap musim. Keselesaan pelawat di hotel ini turut dilengkapi dengan kemudahan air panas yang ditempatkan di bangunan berasingan. Menyediakan gereja untuk perkahwinan, bar dan ruang legar yang selesa.


Kirkenes Snow Hotel di Norway
Hotel yang terletak berhampiran sempadan negara Rusia ini dibuka pada musim sejuk 2006/2007 dengan 20 bilik tidur. Bangunan utama yang menempatkan lobi hotel dihiasi kubah salji terbesar berdiameter 12 meter dengan ketinggian lapan meter. Penginapan di hotel ini termasuk pakej makan malam beramai-ramai di ruang terbuka dan kemudahan sauna sebelum check-out.


Lainio Snow Village di Finland
Pembinaan Snow Village di Finnish Lapland bermula pada bulan November setiap tahun di dalam suhu di bawah -10 hingga 14 darjah celsius. Kira-kira 3,000 meter persegi daripada keseluruhan tapak hotel (20,000 meter persegi) di khaskan sebagai ruang pameran menempatkan ukiran-ukiran terbaik. Dihiasi tema bilik yang menarik kerana dibina oleh pakar ukir yang menggunakan peralatan dan teknologi canggih.




Mendekati kehidupan Orang Batek



Kepakaran masyarakat Orang Batek menggunakan sumpit.


KEHIDUPAN Orang Batek yang merupakan salah satu daripada suku kaum Orang Asli di negara ini masih tidak banyak berbeza dengan cara hidup mereka suatu ketika dahulu. Bukan sahaja daripada paras rupa dan penampilan, malah amalan berpindah-randah (nomad) yang diwarisi sejak turun-temurun masih lagi diamalkan sehingga kini.

Itulah realiti kaum Batek yang mendiami kawasan hutan di Pahang, Terengganu dan Kelantan walaupun negara sudah jauh membangun. Keistimewaan itulah yang menjadikan mereka salah satu daripada tarikan utama di Taman Negara Pahang, Jerantut.


Kediaman Orang Batek yang diperbuat daripada buluh dan rumbia


Salah satu daripada penempatan Orang Batek yang paling mudah dikunjungi pada masa kini ialah di pesisir Sungai Pahang, kira-kira 40 minit perjalanan menaiki bot dari Kuala Tahan.
Walaupun sudah lama menerima kehadiran masyarakat moden, keakraban dengan alam semula jadi menyebabkan mereka masih kekal di hutan belantara.

Malah mereka selesa dengan cara hidup nomad dan mencari rezeki daripada hutan. Tiada sebarang peralatan moden yang boleh dilihat jika berkunjung ke penempatan mereka walaupun pemetik api. Keunikan itulah yang membezakan mereka dengan Orang Asli lain di negara ini yang kebanyakannya sudah banyak menerima kemajuan.

Di Taman Negara Pahang, Jerantut, pengunjung boleh mendekati dua kemahiran kuno yang diwarisi Orang Batek iaitu kaedah menghasilkan api dan menyumpit. Api dihasilkan menggunakan seutas rotan yang ditarik dengan beralaskan tapak diperbuat daripada kayu meranti.

Percaya atau tidak, dalam masa tidak sampai seminit, geseran rotan dengan kayu kemudian menyalakan habuk kayu yang dijadikan bahan bakar oleh Tok Batin. Selain itu, Tok Batin juga masih berkebolehan menunjukkan kepakaran menggunakan senjata pemburuannya dengan menyumpit tepat ke sasaran dalam jarak kira-kira 10 meter.

Itulah keistimewaan sumpit, senjata yang memainkan peranan penting dalam institusi kekeluargaan Orang Batek. Bahkan setiap lelaki dewasa wajib mempunyai kepakaran menggunakannya sebelum berumah-tangga. Kehebatan seorang pemuda Batek dalam menggunakan sumpit boleh dilihat pada ukiran bulatan pada batang sumpit. Sumpit yang baik disimpan rapi sebagai menghargai peranan dan fungsinya.

Dalam institusi keluarga, kaum lelaki bertanggungjawab membawa pulang hasil-hasil hutan dan buruan ke rumah. Sementara kaum wanita bertanggungjawab menyediakan makanan kepada ahli keluarga, membersih dan membina rumah. Berbeza dengan masyarakat lain, Orang Batek tidak mengamalkan sebarang aktiviti bercucuk tanam bagi mengelakkan mereka kekal di sesuatu kawasan.