Feb 19, 2010
On my mission
My latest adventures takes me to the Komodo Islands, West Flores, Indonesia.
Im off from Malaysia for five days from 20 to 25 Feb...journey takes 5 hours-three airports, two boat to one big SHIP. 26 meter yacht.
Some information about the island:
Komodo is one of the 17,000 islands that make up the Republic of Indonesia. From what i heard the island has over 2,000 inhabitants. Just to remind myself to be extra careful while in the island because most of the resident of the island are descendants of former convicts who live in exiled.
But maybe they are now less harmful :) since marriage mixed themselves with the Bugis. Now they all are in peaceful blend of Muslim, Christian and Hindu minorities.
Komodo is part of the Lesser Sunda chain of islands and of course part of the Komodo National Park. What commonly notable here is the native Komodo dragon, The DRAGON (reason no 1 why i'm coming)..it's your time now to be hunted. In addition, the island is a popular destination for diving (reason no 2 why i'm coming).
The first reported human visitor to the Island was Dutch Officer Van Steyn van Hensbroek in 1910...now my turn!
Main objectives is to see this...
LATEST UPDATES: The Komodo Island is one of the best place I've visited so far.
Mission Accomplished
WE did saw a large group of manta, dolphins, sharks. A whale shark was replaced with this :
still no time to complete this story, but will come out soon..
Feb 7, 2010
Bukit TabuR Melawati
Selama ni aku dengar orang sebut Bukit Tabuh, so aku guna Bukit Tabuh.
Latest updates (8Feb): Bukit Tabur.
Sepatutnya start climb sebelum matahari terbit, tapi disebabkan semua tak dapat follow (seperti perancangan asal) so plan untuk climb terpaksa dibatalkan. Lepas lunch dengan Ajib, kitaorang nekad untuk teruskan niat, sebab dah tak tahu apa nak buat.
Pendakian bermula pukul 2.45 petang. Hari agak cerah tapi takda blue sky. Banyak awan. Tak jadi hal, sebab bukan nak shoot sunrise pun. Sebiji drybag Karana 10 liter (hubungi saya kalau nak beli) menjadi pelengkap takut-takut kalau hujan kat atas.
Dari Taman Melawati, perjalanan melalui jalan kecil di Kampung Klang Gate. Kereta kami tinggal betul-betul kat depan pintu masuk Empangan Klang Gate. Biasa pada hari minggu, laluan ni akan dipenuhi kenderaan pendaki, so jangan masuk terlalu jauh ke dalam kalau datang lewat kerana sure parking penuh.
Pendakian bermula dari bahagian semak di tepi jalan. Bermula dengan lorong tanah merah, laluan terus mencanak naik. Bagi yang berstamina average (seperti kami :P ), cabaran ini sudah cukup untuk membuatkan dada berdegup kencang.
Selepas 30 minit mendaki anda akan dapat menyaksikan kedamaian kawasan tadahan air Empangan Klang Gate di sebelah kanan (belakang). Pemandangan lebih menarik dengan latar belakang ceracak Bukit Tabur Timur yang terpisah dengan Bukit Tabur Barat.
Tempoh 30 minti pertama 'membenarkan' pendakian agak santai tetapi selepas itu trail akan semakin mengecil dan sempit. Laluan hanya boleh dilalui oleh seorang pendaki pada satu-satu masa. Di kiri dan kanan anda boleh melihat lereng bukit yang sangat cerun. Kecerunan mungkin 20 hingga 30 meter.
Oleh itu, bagi mereka yang mendaki sebelum matahari terbit, sebaik-baiknya membawa lampu suluh atau mengatur langkah dengan lebih berhati-hati. Jangan sesekali berlari semasa melalui trail dalam waktu gelap, anda mungkin terbabas dan terjunam ke bawah (banyak kes macam ni).
Pendakian pada peringkat seterusnya banyak melibatkan permukaan batu kapur yang tajam dan kasat. Awasi pergerakan kaki anda jika tidak mahu terluka. Satu perkara lagi yang harus diberi perhatian adalah capaian ketika mendaki, jika berpaut pada dahan dan batang pokok, pastikan anda memilih pokok yang cukup kuat untuk menampung berat anda.
Bagaimanapun, kesukaran mendaki Bukit Tabuh ni bukanlah pada laluan mendaki tetapi cabaran ketika menuruni lereng-lereng batu jauh lebih sukar. Di kawasan yang sukar ada disediakan tali untuk berpaut. Sekali lagi dinasihatkan, perhatikan kepada apa yang anda berpaut.
Ekoran banyak kejadian maut di bukit ini (dan juga sesat) beberapa kawasan merbahaya telah ditanda dengan bendera merah. Laluan bercabang (pilihan) juga harus dipilih dengan baik kerana laluan masuk yang nampak mudah mungkin jauh lebih sukar disebaliknya.
Namun laluan di puncak bukit itu tidak mungkin membuatkan anda sesat.
Risiko sesat (banyak berlaku) sebenarnya adalah selepas pendaki mula turun dari bahagian yang digelar 'back of the dragon' itu. Oleh itu, pendaki dinasihatkan tidak keluar daripada laluan yang digunakan, kecuali anda berpengalaman dengan orientasi peta dan dilengkapi alat pemetaan.
Keindahan di puncak
Secara anggaran, pendakian ke puncak banjaran batu kuarza (Quartz) terpanjang di dunia itu memakan masa satu jam setengah. Bergantung kepada kelajuan dan berapa kerap anda
menghabiskan masa berehat. Pada hari minggu, pendakian boleh memakan masa ebih lama kerana jumlah pendaki yang ramai.
Dari puncaknya, pendaki boleh menyaksikan kehijauan hutan primary dan pemandangan saujana mata memandang hingga ke puncak Menara Berkembar Petronas. Bagi peminat fotografi, lokasi ini antara lokasi 'menembak' sunrise popular selain di Bukit Beroga, Semenyih.
Pengalaman Sendiri
Berbekalkan kompas, kami membuat keputusan untuk 'membuka' route baru memandangkan kediaman kami hanya berada di kaki bukit ini. Sebelum pendakian, asas orienteering telah diset pada kedudukan 335 darjah. Loji Air Bukit Mas dijadikan titik tuju.
Petang kira-kira pukul 5 petang, kami keluar dari laluan yang sepatutnya digunakan. Tanpa dapat melihat di mana arah loji air kerana hutan yang tinggi dan tebal kami menuju ke kaki
bukit berdasarkan darjah yang ditetapkan sebelum mendaki.
Syukur, dengan menggunakan kompas yang baik, perjalanan meredah hutan yang tidak pernah dilalui orang itu berjaya membawa kami tepat ke pintu pagar loji air. Berbeza dengan hutan sekunder, hutan dara itu tidak mempunyai dasar yang terlalu semak, bahagian lantai hutan
agak lapang dan dipenuhi daun-daun kering.
Cuma sebelum tiba di pagar loji air, kami dikejutkan dengan gerakan kasar di sebalik semak. Kayu yang digunakan sebagai tongkat sebelum itu 'naik' mencanak menjadi senjata. Hati yang berdegup kencang kemudian menyumpah-yumpah.
"Babi punya kambing!,'' kami tiba di rumah ketika sebelum hujan turun. Harap aktiviti ini akan dapat dijadikan rutin bulanan.
Balai Polis Melawati (03-4108 1222)
tips dan panduan:
Feb 5, 2010
Kia Forte (Naza)
Ketaksuban terhadap jenama itu juga menyebabkan ada yang langsung tidak memberi pertimbangan terhadap jenama lain dalam memenuhi citarasa mereka.
Jika anda salah seorang daripada mereka yang masih dibelenggu stigma 'tiada kenderaan sehebat kenderaan Jepun' dan sedang dalam pencarian sebuah kenderaan baru, jangan terburu-buru sebelum anda mencuba Forte.
Model terbaru Kia yang dijenamakan semula sebagai Kia Forte oleh Naza Kia Sdn. Bhd. itu kini antara kenderaan yang paling mendapat perhatian dan sedang hangat diperkatakan.
Forte adalah takrifan terbaru dalam reka bentuk kenderaan Korea yang menampilkan perubahan ketara dengan reka bentuk 'di luar kotak' konservatif seperti sebelum ini.
Kejayaan terbesar itu adalah hasil sentuhan Ketua Pegawai Reka Bentuk Kia, Peter Schreyer, pereka bentuk terkemuka yang bertanggungjawab melahirkan generasi pertama Audi TT dan Volkswagen Beetle.
Perwatakan paling menonjol Forte adalah gaya sporty pada setiap penjuru terutama pada lampu dan gril depan, lengkungan badan secara keseluruhan dan rekaan belakang yang ranggi.
Di bahagian depan, dua lapisan gril yang dipasang bersama bumper lebar 'dipertajamkan' dengan lampu garang yang mirip kepada Honda Civic.
Gaya lampu belakang pula menonjol dengan dua lingkaran mentol utama yang berada pada kedudukan 'terbelah' antara badan dengan bot belakang.
Dimensi baru rekaan Kia itu bukan sahaja meletakkan Forte setanding dengan pesaingnya seperti Toyota Vios, Honda City dan Nissan Latio malah dilengkapi pelbagai ciri yang jarang ditawarkan pada harga serendah itu.
Bukan sekadarsedan yang menawan, kemunculan Forte juga memberi lebih peluang kepada orang ramai merasai teknologi yang selama ini hanya terdapat pada kenderaan mewah.
Bersandarkan teknologi yang menepati pasaran Amerika dan Eropah itu, Naza Kia Sdn. Bhd. (Naza Kia), pengedar rasmi kenderaan Kia di negara ini optimis untuk menjual sebanyak 6,000 unit Forte bagi tahun 2010.
Yang pasti, pengenalan Forte sudahpun dilihat sebagai langkah penguasaan Kia di negara ini. Pengumuman Naza untuk melancarkan empat lagi model kenderaan Kia pada tahun ini juga dilihat akan menamatkan kerisauan pengguna terhadap kos penyelenggaraan dan harga alat ganti Kia.
Sebelum berkongsi pengalaman memandu Forte selama beberapa hari, izinkan saya menyenaraikan tanda harga (termasuk harga insurans) bagi ketiga-tiga jenis untuk memudahkan pembaca membuat penilaian.
Forte 1.6 EX - RM75,800
Forte 1.6 SX - RM81,800
Forte 2.0 SX - RM93,800
Sesi pandu uji baru-baru ini menggunakan Forte 1.6 SX. Kekaguman pada kereta ini bermula pada penghidupan enjin menggunakan butang dan kunci pintar.
Tanpa perlu lagi menyucuk kunci pada leher stereng, pemandu hanya perlu menekan brek dan menekan butang start untuk memulakan perjalanan dan menekannya semula untuk menghentikan enjin.
Bukan itu sahaja, sekiranya kunci kawalan ditinggalkan dalam kereta fungsi penguncian dari luar tidak akan dapat diaktifkan. Pintar bukan?
Dengan butang penghidupan enjin dan ciri-ciri keselamatannya, Forte (1.6 SX dan 2.0 SX) memberikan pemandu teknologi yang selama ini tidak terdapat pada mana-mana kenderaan di bawah harga RM100,000.
Kecanggihan itu bolehlah dikatakan keseronokan terawal memandu Forte kerana kepuasan sebenar bakal menyusul sebaik sahaja kaki menekan minyak dan tangan mengawal putaran sterengnya.
Model berkapasiti 1.6 menggunakan enjin empat kelajuan CVVT yang menjana kuasa sehingga 91.2kW pada kelajuan 6,300 rpm dengan 157Nm tork pada 4,200 rpm.
tidak mengecewakan
Model 2.0 SX pula menggunakan enjin yang sama digunakan pada Kia Optima dan terhasil dari makmal yang sama menghasilkan enjin Mitsubishi Lancer. Enjin 2.0 yang digunakan berkapasiti mengestrak 194 Nm tork pada kelajuan 4,200 rpm.
Kelancaran pemanduan Forte ditambah dengan kawalan gear secara manual yang meletakkan prestasi sebenar dalam genggaman pemandu. Cuma nisbah perubahan gear dari gear tiga (turun dan naik) tidak begitu dirasai.
Namun, kuasa daripada enjin empat transmisi automatik Forte sudah cukup berkuasa bagi sebuah kereta sedan keluarga.
Satu lagi perkara yang mengejutkan adalah penjimatan bahan bakarnya. Isian penuh tangki 52 liter memberikan jarak terkumpul sehingga 650 kilometer walaupun sesi uji pandu kerap menggunakan gear rendah ketika pemanduan di Hulu Langat, Selangor dan ke Bukit Tinggi, Pahang.
Pengendalian Forte ketika memandu di laluan berselekoh dan berbukit juga tidak mengecewakan. Selepas beberapa kali menguji kenderaan Korea, saya merasakan Forte adalah antara sedan yang terbaik dari segi keselesaan kawalan.
Kelancaran dan kestabilan datang daripada teknologi Kawalan Kestabilan Elektronik yang menggunakan sistem penyerap depan MacPherson.
Tidak dinafikan sistem brek ABS empat roda Forte juga memberikan lebih keyakinan ketika memandu pada kelajuan tinggi.
Selain penampilan luar yang elegan, ruang dalam kabin juga setanding dengan Honda City dengan keselesaan ruang letak kaki serta tambahan tempat rehat lengan dan tempat letak gelas yang boleh dilipat (di tempat duduk belakang).
Pengalaman memandu diselesakan lagi dengan pemandangan pada rekaan dashboard hitam dengan gaya kontemporari yang menggabungkan warna hitam dengan sinaran lampu merah pekat.
Satu lagi kelebihan yang tidak terdapat pada kebanyakan kereta sedan lain adalah cermin pandang belakang yang mempunyai fungsi electro-chromic yang dapat mengurangkan silau daripada pancaran kenderaan belakang.
Keringkasan diperkemaskan dengan lebih banyak butang-butang tekan berbanding butang pusing yang kelihatan agak konvensional. Sistem audio juga dilengkapi tempat cucuk USB, ipod dan fungsi AUX.
Bagi 2.0 SX, keselamatan memandu dilindungi dengan enam beg udara yang mengurangkan kesan dari depan dan sisi pemandu dan penumpang. Manakala 1.6 EX dan 1.6 SX mendapat perlindungan dua beg udara.
Satu lagi ciri yang boleh menjadikan Forte 'kereta menang memakai' adalah ruang simpanan barang yang besar. Luasnya bukan seperti kereta-kereta biasa tetapi sangat luas. Pada pandangan mata kasar, mungkin tiga beg golf boleh masukkan.
Perlindungan keselamatan di bahagian paling belakang kenderaan pula dilengkapi empat 'mata pengesan' sensor undur ultrasonik yang memberikan pengawasan lebih tepat. Lebih menyakinkan lagi adalah paparan grafik pada skrin LCD ketika mengundurkan kereta.
Namun, semua model ditawarkan dengan jaminan dua tahun atau 50,000 (yang mana dahulu) berbeza dengan kebanyakan kenderaan yang biasanya mempunyai tempoh jaminan lebih lama.
Terdapat enam warna untuk dipilih iaitu dua warna solid hitam dan putih, empat warna metalik termasuk merah (SX sahaja), perak dan kelabu.
Feb 4, 2010
Hyundai i30
UNGKAPAN menyebut kita takkan sedar keistimewaan sesuatu perkara sehinggalah selepas kehilangannya. Itulah yang dirasai sendiri selepas memandu uji Hyundai i30, baru-baru ini.
Setelah memanfaatkan sepenuhnya tempoh singkat pandu uji selama tiga hari, hati masih terasa berat untuk memulangkan semula kereta ini kerana seperti masih banyak perkara yang belum sempat diperincikan. Destinasi pandu uji model 1.6 automatik pada hujung minggu baru-baru ini membawa saya dan jurugambar ke kaki Gunung Nuang di Hulu Langat, Selangor. Perjalanan melibatkan laluan di lebuh raya, pekan kecil yang sesak dan jalan-jalan berliku di kawasan kampung.
Perkenalan pertama penulis dengan hatchback itu di pejabat Hyundai-Sime Darby Motors Sdn. Bhd di Taman Industri Temasya, Shah Alam bermula dengan sentuhan pada stereng. Putaran stereng kereta diimport (CBU) dari Korea Selatan itu bagaimanapun dirasakan agak berbeza dengan kereta-kereta Jepun yang pernah dipandu sebelum ini. Maksud saya sterengnya memerlukan lebih daya untuk dipulas. Namun secara peribadi saya lebih menyukai kawalan yang sedikit berat itu kerana tindak balas memberikan lebih feel kepada pemanduan.
Kawalannya dirasakan cukup serasi. Tidak terlalu ringan seperti sesetengah stereng yang boleh dipusing dengan hanya menggunakan sentuhan beberapa batang jari, padahal mengorbankan kepuasan sebenar mengawal. Selepas melalui beberapa selekoh pada kelajuan sederhana, i30 membuktikan kehebatan dari segi kestabilan. Pada kelajuan melebihi 100 kilometer sejam (km/j), kelancaran mengambil selekoh masih cukup menyakinkan.
Respons pantas antara putaran stereng dengan pusingan tayar memantapkan lagi pemanduan. Kelebihan yang pasti dapat membantu pemandu yang sering menghadapi masalah ketika menyelusuri laluan sempit seperti di kawasan parkir bawah bangunan. Di lebuh raya, enjin DOHC CVVT memacu i30 dengan cukup bertenaga. Berbekalkan kuasa terjahan 153.9 Newton meter (pada kelajuan 4,200 rpm). Kelancaran enjin juga menjamin tugas menyambung semula perjalanan selepas berhenti di persimpangan disempurnakan dengan lancar.
Teknologi suntikan terus pada enjin 16 injap yang digunakan adalah teknologi generasi terkini yang bukan sahaja menjamin prestasi enjin malah mengurangkan penggunaan bahan bakar dan pembebasan asap. Dalam kata lain, i30 hadir dengan keupayaan berkembar iaitu prestasi dan penjimatan.
Tugas pemberhentian roda diperkemaskan dengan sistem ABS empat saluran yang menggunakan teknologi pengagihan tekanan elektronik (EBD) bagi membolehkan kereta dikawal walaupun ketika membrek dalam keadaan cemas. Keyakinan keselamatan dipertingkatkan dengan dua beg udara yang memberi perlindungan optimum di bahagian kepala dan leher pemandu.
Selain itu, i30 turut dilengkapi sistem penguncian pintu automatik sebaik sahaja pemanduan melebihi kelajuan 20 km/j. Sistem suspensi pula diimbangi teknologi MacPherson di bahagian depan dan suspensi pelbagai rangkaian dengan batang pengimbang di bahagian belakangnya.
Berbekalkan nilai prestasi yang ditambah dengan reka bentuk ala kontinental, tidak hairan mengapa model yang dipasarkan untuk segmen C1 itu terjual sehingga empat juta unit di benua Eropah. Keindahan reka bentuk sporty adalah hasil kombinasi lengkungan aero-dinamik V pada bonet depan dengan imej radikal melalui lampu belakang besar yang menyerlah. Sebagai perbandingan sebenar, saiz i30 hampir menyamai Mazda 3 atau Volkswagen Golf.
Mengambil kira keluasan sebuah hatchback, i30 mempunyai dua tempat duduk depan yang selesa tanpa mengorbankan kelegaan bahagian kaki, siku dan kepala tiga orang penumpang di belakang. Seperti diperkatakan terdahulu, tarikan istimewa kereta ini bukan hanya pada kestabilan malah pemandu juga dikelilingi pelbagai teknologi dan ciri-ciri elegan yang menambah nilai pemanduan.Di bahagian pemandu, pemilihan transmisi empat kelajuan automatik dipermudahkan dengan tombol gear yang menggunakan rekaan alur ergonomik.
Panel kawalan pula diperkemaskan dengan butang-butang fungsi audio dan pendingin hawa yang mudah dicapai. Lebih mudah, butang kawalan audio juga disediakan pada sebelah kiri stereng. Selain itu, dua set lampu membaca disediakan untuk pilihan pemandu dan penumpang pertama, ruang isian kaca mata pada bahagian bumbung, bacaan suhu (dalam kereta) dan dua set pelana rehat tangan (depan dan belakang).
Di bahagian luar, i30 dilengkapi teknologi terbaru seperti pembasuh cermin tiga hala bertekanan tinggi yang terbukti melakukan tugas lebih efisien berbanding kaedah pancutan biasa. Pembasuh cermin HMLS juga disediakan di cermin belakang. Untuk isian kargo, i30 menyediakan akses mudah masuk pelbagai saiz barang. Jika keluasan bonet (340 liter) masih tidak memadai, perluaskan kapasiti sehingga 1,250 liter dengan melipat sepenuhnya kerusi belakang. Kelebihan itu menjadikan i30 kenderaan untuk aktiviti luar yang baik.
Pandu dengan purata jarak sehingga 164 km setiap hari selama lima tahun tanpa perlu memikirkan beban kerosakan kerana setiap unit didatangkan dengan jaminan lima tahun atau 300,000 km (yang mana dahulu). Harga yang disyorkan pengeluar untuk i30 1.6 auto adalah RM94,668 manakala 1.6 manual pada harga RM89,298 dan model 2.0 pada harga RM108,974 (tidak termasuk cukai).
Orientasi Peta
MALU bertanya sesat jalan', ada kebenaran di sebalik kata-kata pepatah itu. Tetapi bagaimana pula keadaannya jika seseorang itu berada jauh di dalam hutan dan orang yang ada di sekeliling pula tidak dapat menunjukkan arah yang betul.
Berdepan dengan risiko sesat sememangnya menakutkan tetapi keadaan mungkin lebih terkawal jika ada yang membawa peta, kompas dan juga tahu menggunakannya. Masih ingatkah bila kali terakhir kita merujuk perjalanan pada sesebuah peta dan lebih penting lagi masih fahamkah kita dengan cara-cara penggunaannya.
Kemahiran membaca peta melengkapkan seseorang pengembara dengan teknik pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain dengan tepat. Hakikatnya kini, masih ramai yang melakukan aktiviti riadah di hutan tanpa dua 'sahabat baik' si pengembara itu. Bahkan, khidmat pemandu pelancong dan sistem penentu kedudukan global (GPS) lebih menjadi pilihan.
Tetapi apakah jaminan yang dimiliki sekiranya alat yang dibawa itu gagal berfungsi ataupun pemandu pelancong yang diupah hanya arif mengenai laluan yang biasa digunakan?
Bertempat di kaki Gunung Nuang, Ulu Langat, Komuniti Radio Amatur Alam Damai (ADARC 47) baru-baru ini menganjurkan Kursus Asas Pandu Arah dan Orientasi Peta.
Pensyarah Kursus, Kapten Aswadi Norman Safeie berkata, peta bukan sahaja memberi tunjuk arah malah menceritakan maklumat secara terperinci mengenai bentuk muka bumi di sesuatu kawasan.
"Berpandukan peta sesuatu kawasan kita dapat mengenal pasti bentuk kawasan dan membuat persediaan perjalanan dengan lebih teratur.
"Peta adalah aset terpenting bagi setiap pengembara," katanya yang mencurahkan pengalaman dalam bidang itu dari Sekolah Latihan Peperangan Pulada (Pusat Latihan Darat), Tentera Darat Malaysia.
Kursus melibatkan 20 peserta itu bermula dengan pengenalan tiga alat utama dalam kursus asas pandu arah iaitu peta, kompas dan jangka sudut peta (protector). Pembelajaran bermula dengan pengenalan jenis-jenis peta seperti peta topografi, peta planimetri dan peta jasad timbul. Peta topografi adalah peta yang biasa digunakan. Ia dibezakan dengan kategori peta terhad (bergrid) dan tidak terhad.
Melalui maklumat pada bingkai peta pula, peserta diajar cara-cara membaca arah, kontur, tafsiran gambar, nisbah dan skala sehinggalah panduan yang betul meletakkan peta semasa dibaca.
"Posisi membaca peta juga perlu sejajar bagi mengelakkan kekeliruan. "Sebaik-baiknya peta dibaca di atas permukaan yang rata," jelas Aswadi.
Tambah beliau, dengan kebolehan mentafsir maklumat muka bumi pada peta, seseorang mungkin mengambil kira soal beban yang dibawa, jarak perjalanan dan merancang tapak penempatan semasa bermalam. Selepas pengenalan asas membaca peta dan cara penggunaan jangka sudut, peserta mengeluarkan kompas yang disediakan oleh penganjur dan bersedia untuk pembelajaran seterusnya.
Tiga kegunaan utama kompas yang diajar pada hari itu adalah kaedah mencari bearing sesuatu objek yang terdapat di muka bumi, meletakkan arah bearing dan menggunakan bearing dalam orientasi peta. Dengan menggabungkan semua peralatan yang diberikan, peserta kemudiannya diuji mengukur jarak dari satu titik ke titik yang lain dan menentukan arah tuju dengan tepat.
Malah hanya selepas mengikuti sendiri kursus itu baru sahaja penulis mengetahui tata-tertib penggunaan dan penjagaan kompas yang sebenarnya begitu teliti dan rapi. Aswadi berkata, objektif kursus adalah untuk memberi pendedahan kepada orang ramai terutama kepada pemegang-pemegang lesen radio amatur dalam pengetahuan pandu arah.
Katanya, orientasi peta bukan sahaja penting untuk mereka yang selalu melakukan aktiviti hutan malah diperlukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang biasa disertai ahli kelab radio amatur.
Sementara itu, ahli jawatan kuasa ADARC 47, Mohd. Nizam Abrahim berkata, walaupun baru pertama kali diadakan acara itu akan dijadikan acara tahunan untuk memberi lebih kesedaran kepada umum.
Katanya, selain kursus pandu arah dan orientasi peta, kursus turut menerapkan kemahiran ikhtiar hidup seperti panduan menyelamatkan diri di dalam hutan, membuat api, teknik ikatan dan simpulan serta bahasa isyarat kecemasan.
"Sebagai permulaan kita memilih Gunung Nuang sebagai lokasi kursus untuk memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat dalam aktiviti hutan,"jelasnya.
Maklumat lanjut mengenai aktiviti kelab boleh diperolehi dari laman www.adarc47.blogspot.com.
Pelancongan Angkasa
PESAWAT pelancongan angkasa komersial pertama, SpaceShipTwo yang dibangunkan secara rahsia sejak dua tahun lalu baru-baru dipertontonkan kepada umum di Gurun Mojave, Amerika Syarikat.
Selepas beberapa siri ujian, pesawat syarikat penerbangan Virgin Galactic milik bilionair Richard Branson itu dijangka memulakan penerbangan ke angkasa menjelang 2011.
Pesawat yang berbentuk bulat dan tajam mempunyai saiz menyamai sebuah jet perniagaan (20 meter panjang) mampu memuatkan enam penumpang dan dua juruterbang.
Pada penerbangan itu nanti, SpaceShipTwo akan diangkut oleh pesawat ibu, WhiteKnightTwo sehingga ketinggian 16,000 meter sebelum roket SpaceShipTwo meneruskan penerbangan sub-orbital.
Penerbangan sub-orbital adalah penerbangan melebihi paras ketinggian 100 km atau dikenali sebagai garisan Karman iaitu sempadan antara ruang udara bumi dengan angkasa lepas.
Sebaik memasuki ruang angkasa, ekor berkembar SpaceShipTwo akan dilipat ke atas bagi menambah tempoh waktu di angkasa sebelum menjunam ke bumi seperti bulu tangkis.
Menurut Branson, tiket penerbangan yang dijual pada harga AS$200,000 (RM670,000) itu menawarkan pakej selama dua jam setengah termasuk lima minit pengalaman graviti kosong dan peluang melihat lengkungan planet bumi melalui tingkap luas pesawat.
Sehingga kini sudah 300 tempahan diterima oleh Virgin Galactic.
SpaceShipTwo dibangunkan oleh syarikat Scaled Composites LLC berdasarkan protaip terdahulu iaitu SpaceShipOne rekaan Burt Rutan.
Keselamatan
Rutan yang pernah memenangi hadiah Ansari X Prize dalam ciptaan terdahulu berkata, SpaceShipTwo akan menjelajah angkasa lebih selamat daripada kebanyakan pesawat angkasa kerajaan.
"Pelancong angkasa tidak perlu lagi 'beratur panjang' di Rusia yang merupakan satu-satunya negara pengendali pelancongan angkasa ketika ini," ujarnya.
Majlis gilang gemilang di tapak lapangan terbang angkasa (Spaceport) itu disaksikan oleh Datuk Bandar California, Arnold Schwarzenegger dan Datuk Bandar New Mexico Bill Richardson.
Feb 3, 2010
Cabaran Rally Dakar
PERLUMBAAN rali paling getir di dunia, Rali Dakar 2010 yang menutup tirai baru-baru ini terus mengekalkan reputasi sebagai 'perlumbaan maut' apabila meragut satu lagi nyawa.
Kemalangan kali ini menimpa seorang penonton wanita yang dirempuh salah sebuah kenderaan bertanding semasa perlumbaan di Buenos Aires, Argentina. Insiden terbaru itu menjadikan angka maut sepanjang 31 tahun penganjuran sukan pemotoran berprestij itu mencecah 52 orang.
Status perlumbaan paling ekstrem bagaimanapun tidak menghalang peminat-peminat sukan tersebut untuk 'berada dekat 'mendekati' pelumba pujaan mereka. Bahkan pada setiap tahun acara itu disaksikan tidak kurang daripada 500,000 penonton.
Perlumbaan sejauh 9,000 kilometer yang berlangsung selama dua minggu di Argentina dan Chili baru-baru ini tidak kurang cabarannya berbanding laluan di Afrika sebelum ini.
Kemasyhuran acara itu menarik 552 peserta di dalam empat kategori pertandingan iaitu pacuan empat roda, motosikal, lori dan motosikal pelbagai guna (ATV).
Pada tahun ini, pemandu Toureg, Carlos Sainz dan Lucas Cruz mempertahankan gelaran juara tahun lalu dalam kategori pacuan empat roda untuk pasukannya Volkswagen.
Sementara itu, penunggang jentera KTM, Cyril Despres menjuarai kategori motosikal, Vladimir Chagin yang memandu Kamaz dalam kategori lori dan Marcos Patronelli (Yamaha) menjuarai kategori ATV.
Walaupun masih merentasi negara yang sama seperti tahun lalu, Rali Dakar 2010 tetap mempertaruhkan cabaran terhebat.
Cabaran
Misalnya, laluan peringkat pertama sejauh 700 km dari Buenos Aires ke Cordoba menggunakan sebahagian daripada laluan Kejuaraan Rali Dunia WRC (Argentina) yang merentasi Lembah Calamuchita.
Perlumbaan di permukaan jalan berbatu kasar bukan sahaja memerlukan teknik kawalan yang teliti malah sering memaksa penunggang motosikal melakukan aksi lompatan untuk melepasi halangan. Di laluan seperti itu, kesabaran peserta juga diuji dengan cabaran menekan brek yang perlu dilakukan dengan teknikal untuk mengekalkan kelajuan.
Laluan perlumbaan rali turut menyajikan keindahan landskap Banjaran Andes yang bukan sahaja menguji konsentrasi peserta malah menyembunyi seribu satu cabaran.Kegagalan menumpukan konsentrasi semasa memandu adalah kesilapan terbesar di laluan berbatu.
Penunggang KTM Perancis, Jean Claude terjatuh semasa cabaran peringkat kedua.pix by: GABRIEL BOUYS/AFP
Di Gurun Atacama, cabaran laluan berpasir bukan sahaja menduga kecekalan mental dan fizikal pelumba malah menguji ketahanan jentera. Cabaran yang terpaksa dihadapi peserta termasuk laluan menurun bukit sejauh tiga kilometer dan pada masa yang sama berdepan dengan tiupan angin laut di Antofagasta.
Di antara semuanya, cabaran paling sukar mungkin adalah di La Serena, kira-kira 180 sebelum menghabiskan cabaran di Gurun Atacama.
Gambar REUTERS menunjukkan tapak kemalangan helikopter yang nyaris mengorbankan dua wartawan ketika cabaran di Fiambala
Keupayaan pasukan melepasi ujian istimewa (special stages) di s itu dianggap gambaran siapa yang bakal menduduki podium. Bagaimanapun, pencapaian peserta berubah dan berbeza mengikut peringkat kerana setiap pasukan mempunyai strategi dan teknik tersendiri.
Selain cabaran di permukaan jalan, kehadiran kabus tebal di l aluan peringkat sembilan memaksa penganjur memendekkan jarak perlumbaan.
Peserta dalam kategori ATV
Selain pemandu dan penunggang, cabaran getir di Rali Dakar juga dikongsi bersama pasukan sokongan yang berhempas-pulas menyelenggara dan menyelaras keadaan kenderaan semasa waktu rehat. Pemeriksaan ketat itu bagaimanapun tidak menjamin ketahanan jentera untuk melepasi cabaran dan rintangan yang tersedia.
Bahkan akibat kemalangan dan kerosakan yang teruk pada kenderaan, sebahagian peserta terpaksa menarik diri dan melupakan hasrat untuk bergelar juara.