Jan 24, 2011

T-shirt Dive



KEMEJA-T menjadi pilihan semua peringkat umur kerana rekaannya yang ringkas dan selesa dipakai. Seperti juga jeans, pemakaiannya sudah menjadi sebahagian daripada keperluan setiap hari.
Populariti yang tidak pernah pudar menjadikan kemeja-T antara pakaian paling verstail yang mampu digayakan dengan pelbagai cara. Bahkan pada masa kini, ia bukan sekadar fesyen tetapi dijadikan ‘kanvas ekspresi’ bagi si pemakai.
Tarikan utama adalah cetakan imej yang dipilih mengikut cita rasa, hobi, kerjaya, pilihan muzik dan sebagainya. Bahkan di pasaran sekarang, peminat boleh mendapatkan apa sahaja corak dengan mesej-mesej yang dihajatkan.
Jenama pakaian antarabangsa, Amphibious Outfitters baru-baru ini memasuki pasaran tempatan dengan pilihan kemeja-T yang direka khas untuk peminat selam skuba.
Kemeja-T lengan pendek dan lengan panjang yang menggunakan 100 peratus kain kapas ini menawarkan pelbagai imej berkaitan dunia selam yang dicetak dengan kualiti terbaik.
Amphibious Outfitters menampilkan pilihan kemeja-T dengan cetakan imej alam marin bertemakan lakaran karton, fantasi dan klasik seperti ikan jerung, kapal karam, belut laut dan sebagainya. Kemeja-T yang didatangkan dalam saiz kecil dan besar untuk saiz kanak-kanak dan dewasa ini boleh dibeli pada harga RM57 hingga RM70.

Jan 16, 2011

Kamera hibrid - Masa depan fotografi


TERPENGARUH dengan 'trend' kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR) yang semakin menjadi-jadi, seorang rakan baru-baru ini mengakui membuat kesilapan selepas membeli DSLR berharga kira-kira RM3,500.

Selepas beberapa bulan memiliki kamera bertaraf semi profesional itu tanpa banyak digunakan, dia beralih kepada kamera kompak yang dibeli separuh daripada harga DSLR-nya. Pada mulanya, dia mendapatkan sebuah DSLR dengan harapan untuk menghasilkan imej yang berkualiti. Namun selepas rimas mengusung peralatan DSLR yang memenuhi beg galas, dia akur kepada kamera yang lebih mudah untuk dibawa.

"Saiznya besar dan saya mula menyedari pengendalian DSLR yang agak rumit," akuinya.

Hakikatnya, hal itu bukan sahaja berlaku kepada rakan saya bahkan kajian antarabangsa baru-baru ini mendapati kira-kira 20 peratus daripada pengguna kamera di dunia tidak meminati DSLR, tetapi tetap tidak mahu berkompromi tentang kualiti gambar.

Bagi pengeluar-pengeluar kamera di dunia pula, 20 peratus itu semestinya satu jumlah yang besar, peratusannya sama dengan jumlah pengguna DSLR di dunia. Jadi apakah sebenarnya yang dikehendaki oleh kelompok 'pengguna baru' kamera di dunia?

Apa yang diperlukan adalah sistem yang lebih kecil dan ringan tetapi masih berupaya menghasilkan gambar dengan kualiti setanding DSLR, pada masa yang sama mempunyai kelas yang tersendiri. Di atas permintaan itu lahirlah kamera generasi baru iaitu kamera hibrid.

Panasonic yang muncul di pentas fotografi selepas era kamera filem membuat kejutan apabila menguasai pasaran baru itu melalui pengenalan model hibrid pertama iaitu Lumix G1. Lumix G1 adalah kamera pertama yang menggunakan teknologi rakaman imej tanpa cermin dengan lensa boleh ganti yang dinamakan sebagai sistem 'Micro Four Thirds'.

Selain Panasonic dengan barisan hibrid G1, G10 dan GF-1, dunia hibrid kini disertai oleh beberapa lagi jenama seperti Sony dengan model NEX 5, Olympus dengan E-PL2 dan Samsung dengan NX10. Tiga jenama yang mendahului pasaran hibrid ketika ini. Pada masa yang sama ramai berharap untuk melihat penampilan daripada dua jenama utama iaitu Canon dan Nikon.

Persoalan seterusnya, apakah saingan yang mampu diberikan oleh sebuah hibrid. Hibrid bukan sekadar kategori pertengahan di antara kompak dan DSLR, tetapi mempunyai masa depan yang lebih cerah.

Dibina lebih kecil dan ringan berbanding DSLR, hibrid dilengkapi pengesan imej yang sama dengan apa yang digunakan pada DSLR, sekaligus menghasilkan kualiti imej yang setanding. Dengan kapasiti pemprosesan yang lebih tinggi, kamera hibrid kini dilengkapi dengan ciri-ciri utama yang ada pada kebanyakan DSLR. Bahkan sebahagian daripadanya sudah mengatasi keupayaan sebuah DSLR.

Teknologi pemfokusan automatik dan keupayaan ISO tinggi misalnya membolehkan gambar dirakam tanpa gagal walaupun di dalam pencahayaan gelap. Bukan sahaja pada ciri-ciri pemprosesan, hibrid juga berdiri setanding dengan DSLR dengan teknologi lensa boleh ganti yang memberikan aneka pilihan lensa daripada lensa sudut luas hingga lensa telefoto.

Cuma dengan kamera hibrid, anda tidak perlu membandingkan kepantasan bingkai sesaat (fps) dan tidak boleh terlalu berkira mengenai shutter lag yang hanya mampu dihitung dalam kiraan nanosaat. Apa yang baik, serahkan tugas rakaman fotografi serius, komersial atau sempurna kepada jurufoto yang profesional.

Yang penting, anda kini mempunyai sebuah kamera yang baik. Dan kamera yang baik seharusnya selesa dibawa ke mana-mana, sepanjang masa bersama anda dan tidak perlu ditinggalkan.

Sokongan untuk kreativiti hibrid kini dipertingkatkan lagi dengan lensa yang mempunyai bukaan cahaya yang besar sehingga f1.7 (pada GF1). Itu belum lagi mengambil kira fungsi art filter yang boleh diaktifkan pada rakaman gambar pegun dan video. Bahkan dengan kehebatan teknologi video berdefinisi tinggi (HD), hibrid kini mampu membuatkan pengguna DSLR tertunduk diam.

Semestinya hibrid mampu memberikan kepuasan di dalam dunia fotografi masa depan. Cuma bagi mereka yang sudah memiliki DSLR, berpindah kepada sistem hibrid mungkin menimbulkan kejanggalan dari segi kawalan butang operasinya yang kecil dan rapat.

Bagaimanapun, perkara itu bukanlah isu yang besar bagi mereka yang kini lebih mengutamakan saiz yang kecil sebuah kamera. Yang pasti hibrid memberikan pengalaman fotografi peribadi yang jauh lebih mudah.

MODEL terbaru Olympus E-PL2 (kanan) yang dilancarkan minggu lalu.

Jan 11, 2011

LP X-tremus


JENAMA kelengkapan perlindungan sukan terkemuka, la pointique atau LP Support (LP) yang semakin popular di kalangan ahli sukan amatur dan profesional baru-baru ini melancarkan barisan terbaru produk dari siri X-tremus.
Dibangunkan dengan teknologi sukan berketepatan tinggi, pendakap X-tremus memenuhi keperluan setiap atlet dengan perlindungan dan daya prestasi ke tahap maksimum.
Pendakap atau pelapik sukan terbaru LP itu adalah keperluan setiap atlet khususnya bagi mereka yang terlibat di dalam sukan-sukan pantas seperti bola tampar, bola keranjang, bola sepak dan sukan beraket.
Berbeza dengan barisan produk LP yang sedia ada, siri lebih eksklusif ini dipertingkatkan dengan jahitan (kait) tiga dimensi (3D) untuk membolehkan pergerakan yang lebih fleksibel.
Kehebatan X-tremus datang dari binaan kompleks yang memanfaatkan tiga teknologi terbaru iaitu pita kuasa ajaib, struktur kontur stabil dan binaan lebih tahan dan kemas.
Produk siri teratas keluaran jenama antarabangsa itu kini boleh didapati untuk kegunaan pada empat lipatan utama iaitu pergelangan tangan, siku, lutut dan buku lali.
Selain cengkaman yang dipertingkatkan melalui jahitan 3D, balutan elastik X-tremus berupaya menyerap dan melepaskan semula tenaga setiap kali pergerakan sendi dilakukan. Kelebihan yang memberikan atlet lebih prestasi.
Bagi pendakap lutut X-tremus, pelapik berbentuk donut bukan sahaja bertindak sebagai pelindung kecederaan bahkan menstabilkan kedudukan tempurung lutut. Ia merupakan konsep rawatan yang diperlukan oleh semua atlet.
Rekaan 3D pada pendakap buku lali pula diberi perlindungan silikon yang menghasilkan fungsi urutan sepanjang masa. Selain itu, jahitan berkualiti pada permukaan memberi lebih kekemasan otot, sekali gus mengemaskan setiap pergerakan.
Penggunaan bahan seperti neoprene, coolprene yang tidak memerangkap peluh manakala teknologi Coolmax berupaya menyelesaikan masalah pemerangkapan haba.
Secara umumnya, pemakaian X-tremus membantu meningkatkan beberapa kapasiti atlet seperti melompat lebih tinggi, bergerak lebih laju dan mendapatkan postur lebih stabil.
Empat pendakap X-tremus didatangkan di dalam pelbagai saiz dari S hingga XXL dengan harga RM119 untuk pergelangan tangan, RM139 (siku), RM169 buku lali dan RM269 (lutut).

PC Gajet


Papan kekunci solar Logitech

PENGENALAN papan kekunci terbaru oleh Logitech baru-baru ini menjadi kegilaan ramai khususnya bagi mereka yang tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan terbaru dunia IT.
Kehebatan papan kekunci K750 bukan sekadar beroperasi menggunakan tenaga cahaya bahkan memanfaatkan sumber itu pada kuantiti paling minimum.
Logitech membuktikan kehebatan teknologi solarnya melalui produk ini yang mampu beroperasi sehingga tiga bulan walaupun tidak mendapat cahaya.
Satu lagi kelebihan produk ini adalah reka bentuk moden yang cukup ringan. Papan kekunci dengan ketebalan sebuah buku latihan sekolah ini mudah untuk dibawa ke mana-mana bahkan dengan penyambungan tanpa wayar (wayarles), ia lebih menjimatkan setiap ruang anda.
Di meja ataupun di atas katil, K750 memberikan keselesaan kedudukan jari dan tangan seperti anda menggunakan sebuah komputer riba. Papan kekunci Logitech berharga RM249 ini semestinya menjadi gajet IT wajib dimiliki.


Tetikus Genius Navigator 380

TETIKUS optikal keluaran jenama Genius, pengeluar kelengkapan komputer terkemuka ini mungkin sama seperti kebanyakan tetikus (1,200 dpi) yang lain sehinggalah ia bertukar bentuk menjadi telefon.
Menggabungkan keupayaan sebuah tetikus dengan telefon Internet, alat ini cukup hebat bagi saiznya yang kompak.
Dilengkapi dengan beberapa butang operasi telefon, Navigator 380 direka untuk pengguna yang menggunakan perkhidmatan Instant Messengers dan VOIP seperti Google Talk, MSN, Yahoo Messenger, Skype, QQ dan AIM.
Penggunaannya dipermudah dengan kelipan lampu LED setiap kali menerima panggilan masuk.
Penyelarasan juga boleh dilakukan dengan menghentikan semua perisian VOIP secara serentak.
Tetikus berharga RM 48 ini adalah pilihan terbaik terutama bagi pengguna komputer riba yang sering bergerak.