Aug 6, 2010

Bird Island in Layang-Layang


SELAIN keindahan dasar laut yang menjadikannya destinasi selam skuba terkemuka di dunia, Terumbu Layang-Layang yang terletak kira-kira 300 kilometer dari pantai Sabah juga terkenal kerana sebuah pulau kecil yang terletak berhampiran dengannya.Cebisan tanah yang timbul sebesar separuh padang bola yang dikenali dengan nama Birds Island.

Ia satu-satunya tarikan darat yang ada di kawasan terumbu seluas 14 kilometer persegi itu, selebihnya tersembunyi jauh di bawah permukaan laut. Pemandangan yang menanti pelawat di pulau itu cukup hebat bahkan tidak ada di mana-mana tempat di negara ini. Birds Island merupakan habitat semula jadi kepada lebih 10 spesies burung yang berhijrah merentasi Laut Cina Selatan.

Menurut sumber bertulis yang aku perolehi, kononnya burung-burung yang ada di situ menjadikan pulau kecil tu sebagai tempat persinggahan sementara selepas terbang beratus-ratus kilometer. Ada juga yang singgah untuk bertelur dan membesarkan anak-anak.
Ketibaan di pulau itu baru-baru ini disambut oleh puluhan ribu burung.

Jumlah yang sangat banyak hingga koloni burung tersebut menutupi hampir keseluruhan kawasan berpasir dan berbatu di situ. Tapi kunjungan pertama tu agak mengecewakan kerana air laut yang surut tak membenarkan bot pelancong untuk berlabuh lama. Hanya sekadar 15 minit. Sememangnya tidak sempat untuk dapatkan gambar-gambar yang memuaskan hati.

Keesokan harinya aku kembali ke pulau kecil itu dengan berkayak bersama tiga lagi dive buddies iaitu Pua, To dan Amy. Kayak di situ disewakan dengan harga RM10. Dari jeti Avillion, kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sambil ke Birds Island. Selepas mengelilingi pulau, kami mendaratkan kayak dan memulakan misi 'menembak' burung.

Pengalaman berdiri di tengah-tengah kumpulan burung sungguh mengasyikkan, terutama apabila kumpulan demi kumpulan melintas di depan mata. Pergerakan burung dalam kumpulan yang besar itu memberikan beberapa imej yang memuaskan.


Di celah-celah batu di tebing pulau pula kelihatan beberapa ekor burung berbulu hitam sedang mengeram telur -di dalam sarang yang diperbuat daripada ranting kayu. Ada yang sedikitpun tidak berganjak ketika dihampiri, seolah-olah sudah biasa dengan kehadiran pelawat di situ.

Bagaimanapun pelawat dinasihatkan supaya tidak berada terlalu dekat dengan burung yang sedang mengeram telur kerana sesetengah spesies dikatakan boleh merajuk dan meninggalkan telur yang dieram jika diganggu. Buktinya, di kawasan itu terdapat banyak telur yang terbiar tanpa tetas.

Selain daratan yang dipenuhi tahi dan telur-telur yang rosak, pelawat harus berhati-hati ketika melangkah kerana banyak juga telur hidup yang bertaburan. Sememangnya agak mudah untuk terpijak telur (berwarna kelabu) yang tersembunyi di celah-celah rumput jika tidak berwaspada.


Ketika matahari mula menghampiri garisan horizon, beberapa ekor burung kelihatan lincah menyambar ikan di permukaan laut lantas disuapkan ke mulut anak-anak yang masih belum pandai terbang.

Semua gambar adalah hasil rakaman lensa Canon EF-S 18mm-200mm yang terbukti sebuah lensa pelbagai kegunaan. (Uji produk Canon).

Great Crested Tern (Sterna Bergii)
+Identifikasi
Jambul hitam, berdahi putih, dada putih, sayap kelabu.
Paruh kuning dan berkaki hitam.

+Ekologi
Musim pembiakan antara Julai hingga September.
Bersarang di kawasan berumput di tebing-tebing pulau.
Menghasilkan bunyi yang nyaring.


Brown Noddy (Anous Stolidus)

+Identifikasi
Bulu-buluan berwarna coklat, bahagian bawah mata bercelak putih, kepala berwarna kelabu kilat.
Hujung sayap yang tajam, paruh hitam dan kaki hitam seperti kaki itik.

+Ekologi
Musim pembiakan antara Julai hingga September.
Bertelur dan hidup berpasangan di celah-celah batu di tebing pulau .
Telur dieram oleh pasangan betina dan jantan secara bergilir-gilir.
Spesies muda biasanya bertenggek di atas batu dan dahan kayu mati.

Sooty Tern (Sterna Fuscata)

+Identifikasi
Keseluruhan bahagian belakang berwarna hitam, ekor bercabang tirus panjang dengan jalur hitam pada bahagian mata.

+Ekologi
Musim pembiakan antara Jun hingga September.
Ditemui di dalam koloni besar di sekitar Terumbu Layang-Layang.
Mengawal telur secara berpasangan serta mengeram telur secara bergilir-gilir.
Agresif kepada sebarang gangguan.
Menangkap ikan di laut dengan menyambar.


Black Naped Tern (Sterna Sumatrana)

+Identifikasi
Berbadan kecil dengan bulu berwarna putih.
Jalur hitam yang melalui bahagian mata hingga ke bahagian belakang kepala.
Ekor bercabang tirus.
Paruh dan kaki yang kecil.

+Ekologi
Ditemui hidup berpasangan di dalam kumpulan kecil di sekitar Terumbu Layang-Layang.
Membiak di antara Jun hingga Ogos.
Sangat sensitif kepada ancaman.


Masa first visit, wetsuit tak sempat tukar...

3 comments:

  1. Too many 4x4 by Petronas. This is not good for the environment and the birds too. In Rottnest Island Australia only bicycles are allowed.

    ReplyDelete
  2. Salam Tn. saya nak bertanya, bagaimana nak ke sini? berapa tambangnya dan siapa guide?

    ReplyDelete
  3. Salam Tuan. Boleh share sikit bagaimana nak ke sini? siapa guide?

    ReplyDelete