Jun 22, 2010

Peugeot 3008 - Test Drive

TAHUN 2010 menyaksikan perkembangan rancak dalam industri pemotoran dunia. Persaingan bukan sahaja melibatkan teknologi terkini malah sengit dengan rekaan dan konsep yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

Jika pengeluaran kenderaan dahulu lebih tertumpu pada penghasilan kenderaan dengan fungsi khusus seperti pacuan empat roda dan utiliti, syarikat automotif kini gigih untuk memenuhi cita rasa pengguna yang semakin 'kompleks'. Tuntutan terperinci yang membawa kepada pemecahan kategori kenderaan popular seperti kenderaan utiliti sukan (SUV), kenderaan pelbagai guna MPV dan hatchback.

Baru-baru ini, pasaran tempatan ditembusi satu lagi kategori terbaru. Dinamakan crossover, model Peugeot 3008 direka dengan gabungan prestasi yang dimiliki hatchback, utiliti SUV dan kelegaan ruang sebuah MPV.

Diperkenalkan dengan nama 3008, ia adalah model crossover pertama yang dikeluarkan pembuat kenderaan Perancis itu. Mungkin kerana istilah yang masih belum popular di negara ini, jurucakap Peugeot Malaysia meletakkan model itu di bawah kategori SUV. Kini bintang yang pernah mencuri tumpuan peminat pada Pameran Motor Paris itu menghiasi galeri pengedar dan penjual pada harga atas jalan RM143,888 (termasuk insurans).

Saya baru-baru ini memandu uji 3008 seminggu sebelum pelancaran model itu oleh pengedar rasmi, Nasim Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur pada 7 Jun lalu. Pelancaran yang meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di rantau ini menerima Peugeot 3008.

Uji pandu yang bermula dari Bandar Sunway ke Resort Hyatt Regency di Kuantan dimanfaatkan untuk menguji kehebatan produk yang membawa bersama ikon singa berdiri itu. Ujian pertama pada prestasi enjin bersesaran 1.6 liter. Suntikan terus bahan api pada enjin turbo yang tersimpan di bawah bonet menjana kuasa sehingga 156 bhp dengan capaian kuasa tork maksimum sehingga 240Nm.

Tambahan 16 kuasa kuda (daripada kapasiti model 308) menghasilkan tujahan kuasa 3008 yang dirasakan cukup perkasa dan lancar sepanjang perjalanan ke Putrajaya. Keseronokannya datang daripada keberkesanan kotak gear dengan enam kelajuan yang melonjak pecutan setiap kali pedal minyak ditekan.

Pilihan gear semi automatik juga memberi banyak kelebihan bagi yang ingin merasai kuasa jentera continental itu dengan lebih intim, khususnya ketika menyusuri laluan berliku. Laluan berbukit dan berselekoh tajam dari Kuala Kelawang ke Ampang membuktikan kehebatan fungsi Kawalan Olengan Dinamik. Fungsi yang cukup meyakinkan untuk terus memecut walaupun di selekoh.

Sesuatu yang mengejutkan adalah gabungan prestasi enjin dan teknologi kawalan yang baik membolehkan jentera berbadan tinggi (SUV) itu dipandu seperti sebuah hatchback. Perkara yang sama diperkatakan oleh rakan media yang lain.

Peugeot 3008 diapung oleh sistem suspensi bebas topang MacPherson dengan batang anti oleng pada roda depan dan torsion beam pada roda belakang.

Walaupun tanpa fungsi pacuan empat roda, kawalan cengkamannya nyata lebih lembut lembut di permukaan tidak rata berbanding kenderaan bukan pacuan empat roda lain. Di bawah jentera sepanjang 4,365 sentimeter itu, cengkaman tayar Michelin menjalankan tugas dengan cukup berkesan. Geseran tayar dan hembusan angin pada badan 3008 hampir tidak kedengaran dari dalam kabin.

Kemewahan 3008

Sejujurnya, kepuasan memandu 3008 bukan sahaja dirasai pada prestasi enjin tetapi keseluruhan fungsi luar biasa yang ada di luar dan dalam. Ciri paling unik adalah bumbung panorama telus cahaya seluas 17 kaki persegi yang mampu mengisi cahaya ke segenap ruang kabin.

Memandu 3008 seperti berada di dalam kokpit pesawat yang dilingkungi konsol kawalan lebar dengan butang fungsi yang tersusun kemas. Sentuhan kemewahan termasuk fungsi skrin kaca menegak (head-up display) sebaik sahaja kenderaan dihidupkan.

Paparan maklumat pada skrin yang diadaptasi daripada teknologi pesawat tempur itu berfungsi menunjukkan amaran jarak antara kenderaan lain dan had laju tanpa perlu mengalih tumpuan untuk melihat speedometer. Teknologi multiflex interior adalah satu lagi kelebihan crossover Peugeot itu. Dengan melipat kerusi depan hingga belakang, ruang penyimpanan dimaksimumkan sehingga 1,604 liter.

Dari segi keselamatan, pengiktirafan lima bintang daripada penilaian dalam piawaian Euro NCAP dipertingkatkan dengan kerangka yang diperkukuhkan untuk menahan impak maksimum di samping enam beg udara.

Bagi yang masih belum membuat keputusan sama ada inginkan SUV atau MPV, kelebihan yang ditawarkan Peugeot 3008 sewajarnya dicuba. Seperti dikatakan terdahulu, ia bukan sahaja gabungan dua, malah tiga ciri yang terdapat pada kategori berlainan.

Hujanan soalan dan kritikan yang bertubi-tubi diajukan para pemberita pemotoran pada sidang media di Hyatt Regency baru-baru ini menunjukkan harapan ramai pada model 'double 0' itu. Bagaimanapun, jelmaan terbaru itu telahpun membuktikan kejayaan Peugeot dalam penghasilan jentera gabungan yang cukup sempurna.


2 comments: