Sep 19, 2012

Kenali lensa anda

SELEPAS memiliki sebuah kamera DSLR, cabaran untuk menghasilkan gambar-gambar yang berkualiti dan menonjol amat bergantung kepada penggunaan  lensa  mengikut jenis-jenisnya.
 Lensa  berfungsi menentukan sudut dan ruang 'pandangan'. Pendek kata jenis yang berlainan memberi kesan yang berbeza. Oleh itu, pemilihan  lensa  amat penting untuk disesuaikan dengan genre fotografi yang digemari.
Secara umum, sistem  lensa  untuk kegunaan DSLR boleh dibahagikan kepada tiga jenis yang utama iaitu normal, telefoto dan sudut luas.  Lensa - lensa  lain untuk kegunaan khas termasuk  lensa  macro dan fisheye.
Untuk beberapa siri akan datang, penulis akan menghuraikan jenis serta kegunaan setiap  lensa  yang sering menjadi pilihan jurufoto.

Sebagai permulaan,  lensa  pilihan kali ini dimulakan dengan  lensa  sudut normal iaitu 50mm.
Dinamakan EF 50mm f/1.8,  lensa  asas atau utama (L) keluaran Canon ini menghasilkan jarak fokus pada sudut pandangan yang menyamai apa dilihat pada mata manusia.
Dijual pada harga kira-kira RM350 seunit,  lensa  ini menjadi salah satu daripada  lensa  kegemaran dan wajib dimiliki oleh setiap jurufoto kerana kualiti imej yang dihasilkan.

Selain kepantasan memfokus yang sesuai untuk fotografi jalanan, bukaan aperture yang besar (f1.8) juga menghasilkan kesan kabur yang digilai untuk rakaman potret dan rakaman subjek jarak dekat.
Sebagai 'pelaburan' jangka masa panjang atau bagi yang sanggup berbelanja lebih,  lensa  jarak sama dengan bukaan lebih besar iaitu Canon EF 50mm f/1.4 menjanjikan hasil yang lebih profesional pada harga kira-kira RM1,400.
Sambungan artikel mengenai jenis-jenis  lensa  seterusnya akan membincangkan  lensa  sudut luas yang sesuai untuk rakaman fotografi landskap.
BUKAAN pengatup besar yang sesuai untuk rakaman potret.

Perbetulkan White Balance

 
FUNGSI imbangan putih atau white balance merupakan antara penyelarasan yang sering diabaikan oleh pengguna DSLR walhal ia mempunyai kesan yang besar dalam penghasilan gambar.
Penetapan fungsi ini penting untuk mendapatkan warna yang tepat dengan menghilangkan kesan-kesan warna yang dipengaruhi persekitaran.
Dalam bahasa mudah, imbangan putih dilakukan untuk mendapatkan warna baju yang putih sebagai putih meskipun kawasan persekitaran disimbahi cahaya kekuningan dari lampu dewan.
'Pencemaran' warna tersebut mungkin tidak dikesan pada mata manusia, namun di dalam kamera, putih baju tersebut tetap dibaca sebagai kekuningan.
Oleh itu, penetapan white balance berfungsi sebagai penapis cahaya-cahaya asing yang boleh dipudarkan melalui penggunaan 'penuras-penuras' tertentu.
Imbangan putih yang disediakan oleh kebanyakan kamera digital moden termasuk pada kamera kompak antaranya Auto, Shade, Tungsten, Daylight, Cloudy dan White Flourescent.
Penurasan Tungsten misalnya digunakan untuk rakaman di dalam bangunan yang disimbahi cahaya lampu kuning. Imbangan ini bertindak 'menyejukkan' suhu warna daripada kuning (panas) kepada sedikit kebiruan (sejuk).
Penurasan Cloudy dan Flourescent pula berfungsi sebaliknya. Ia memanaskan warna gambar daripada warna petang yang mendung kepada pemandangan yang lebih bercahaya.

1. PENYELARASAN imbangan putih yang berbeza menghasilkan warna yang berlainan.
2. AUTO
3. SHADE
4. TUNGSTEN
5. FLOURESCENT
6. PENGARUH cahaya persekitaran harus dipadankan dengan penetapan imbangan putih yang bersesuaian.