Jun 7, 2012

Garmin untuk setiap keluarga




AGAK melucukan bila ada pemandu beranggapan mereka akan sesat lebih jauh dengan menggunakan GPS. Ada yang sanggup memandu sambil mengintai penunjuk arah atau turun dari kenderaan untuk bertanya walhal cara itu tidak begitu sesuai terutama bagi pemanduan di bandar-bandar besar.
Keraguan terhadap peranti bersistem penentu kedudukan global (GPS) itu dalam menunjukkan arah tidak dinafikan boleh berlaku apatah lagi dengan kebanjiran alat tersebut di pasaran sekarang. Kadang-kala pengguna boleh tersilap produk.

Ramai juga tidak mahu mendapatkan GPS kerana sekadar cukup dengan perisian navigasi yang disediakan pada telefon pintar masing-masing padahal keupayaan perisian itu tidak sepintar dan sepantas peranti GPS yang sebenar.

Garmin merupakan antara nama yang paling disegani di dunia dalam penghasilan GPS. Dengan pemetaan yang lengkap, data berkemaskini, maklumat pemanduan yang terperinci dan antara muka mudah digunakan, ia jarang mengecewakan.

Pengalaman menggunakan Garmin terbukti melalui dua siri jelajah jarak jauh yang pernah dilalui penulis ketika merentasi Asia Tengah dan Eropah cukup meyakinkan.

Garmin tampil dengan produk terbaru iaitu Nuvi 2575R yang menawarkan pakej navigasi pemanduan hebat dengan tiga ciri utama iaitu teknologi pengecaman suara (untuk memberi arahan), rakaman video melalui kamera berdefinisi tinggi dan penerimaan siaran televisyen analog.

Nuvi 2575R juga dilengkapi fungsi Bluetooth yang membolehkan pengguna menghubungkannya dengan telefon bimbit untuk menikmati kemudahan panggilan lepas tangan (handsfree). Teknologi tanpa wayar dengan mikrofon terbina di dalam serta pembesar suara ini memastikan pemanduan lebih selamat.

Kemudahan alat ini juga dilengkapi fungsi pratonton laluan melalui mod pengiraannya perjalanan paling sesuai mengikut pilihan. Dengan cara ini, pengguna boleh 'sampai' ke destinasi sebelum perjalanan dimulakan.


Menonton TV ketika tidak memandu


NUVI 2575R bukan hanya GPS kerana dengan fungsi TV analognya ia memberikan satu pengalaman yang berbeza ketika berada di luar rumah. Lebih menarik lagi, carian navigasi anda tidak dimatikan walaupun ketika fungsi ini diaktifkan.

Kepuasan navigasi Nuvi 2575R juga disediakan melalui beberapa fungsi pengubahsuaian demi memenuhi citarasa pencarian melalui skrin lima inci berdefinisi tingginya.

Dengan fungsi penandaan lokasi yang boleh disimpan dan dijadikan destinasi tujuan semula dengan mudah, alat ini boleh dikatakan keperluan setiap keluarga malah cukup mudah untuk digunakan pengguna baru.


 

Fotografi : Memori Percutian

DESTINASI pelancongan tidak kira di dalam atau di luar negara menawarkan pelbagai peluang untuk menghasilkan gambar-gambar yang menarik.
Antara yang tidak harus dilupakan, memasukkan ikon terkenal sesebuah tempat di dalam gambar. Misalnya, tanpa menampakkan menara Eiffel, tidak siapa tahu anda melawat Paris.

Untuk memastikan subjek yang dirakam tidak kelihatan terlalu membosankan kerana kebiasaan arah gambar dirakam serta komposisi yang terlalu biasa, dapatkan rakaman dari sudut berbeza.

Salah satu teknik untuk menambah impak yang berkesan di dalam gambar pelancongan adalah dengan menggabungkan objek latar depan dan latar belakang kerana rakaman pemandangan yang terlalu horizontal dan minimum pasti membosankan.
Untuk kepelbagaian gaya di dalam koleksi gambar sepanjang trip, jangan abaikan gambar-gambar human interest yang dapat menceritakan kehidupan masyarakat di sesuatu tempat.

Keunikan lain mungkin boleh dihasilkan dengan menggunakan kreativiti seperti rakaman dari paras pandangan yang tidak biasa dilihat mata, tingkah laku manusia yang unik, memanfaatkan rupa bentuk dan cahaya yang ada di sekeliling.