Sep 11, 2011

Kembara Ke Bumi Suci 2012

 
SELEPAS mengharungi cabaran getir yang hampir meragut nyawa ahli kumpulan semasa ekspedisi dua tahun lalu, Kembara Ke Bumi Suci kini bersedia untuk meneruskan pengembaraan.
Pengurus Israq Adventure, Azman Baharuddin selaku penganjur berkata, episod kedua pengembaraan mengerjakan umrah dengan menunggang motosikal itu dijangka berlepas pada April 2012.
Azman berkata, Ekspedisi 1Malaysia Kembara Ke Bumi Suci 2012 akan menggunakan laluan yang berbeza dengan ekspedisi siri pertama selepas konvoi meninggalkan sempadan China.
Menurutnya, laluan dari barat negara China itu akan menuju ke utara memasuki Kazakhstan dan Rusia sebelum turun ke Georgia, Azerbaijan, Turkey, Syria, Jordan dan Arab Saudi.
“Walaupun laluan diubah, pengembaraan sebenarnya masih melalui jarak kilometer yang sama sejauh kira-kira 18,000 kilometer merentasi 11 buah negara,” katanya.
Ekoran sambutan yang menggalakkan, penganjur bercadang untuk membuka penyertaan yang lebih besar berbanding 15 orang peserta yang menyertai pengembaraan julung kali dilakukan penunggang dari negara ini.
Penganjur mensasarkan penyertaan 43 orang melibatkan 15 buah motosikal berkuasa tinggi dan tujuh pacuan empat roda, termasuk kenderaan sokongan dan penerbitan sepanjang pengembaraan 50 hari itu.
“Kita akan berusaha untuk menjadikan Kembara Ke Bumi Suci sebagai acara dua tahun sekali,” jelasnya.

 

Bagaimanapun, Azman yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam pengembaraan jarak jauh mengingatkan kepada mereka yang ingin mengambil bahagian bahawa cabaran yang menanti tidak sama dengan kebanyakan konvoi bermotor.
“Selain menikmati kepuasan menjelajah bumi orang, matlamat utama dalam pengembaraan ini lebih kepada perjalanan untuk mencari tuhan.

 

“Konvoi ini adalah pengembaraan yang penuh dengan nilai kerohanian dan cabaran yang menguji keimanan diri kepada Allah,” katanya.
Cabaran dan seruan keimanan
Antara cabaran getir yang ditempuhi pasukan termasuk serangan ribut padang pasir semasa merentasi Gurun Gobi dan kejadian tanah runtuh di China, kemalangan jalan raya, kerosakan dan laluan penuh liku semasa melalui Penara Tibet.
Azman berkata, selain cuaca panas padang pasir, penunggang juga diuji dengan suhu paras negatif semasa melalui laluan altitud tinggi di Kyrgystan.
“Ujian di Kyrgystan adalah antara yang tidak akan dilupakan. Bukan sahaja cuaca yang sejuk bahkan penunggang pada ketinggian beribu meter menyebabkan kami sukar bernafas.
“Kami bernasib baik ketika itu kerana masih ada penduduk di tanah tinggi itu yang berhati mulia. Mereka bukan sahaja memberikan tempat perlindungan malah menyajikan segelas kopi panas,”katanya.
Jelasnya lagi, selain ujian bentuk muka bumi dan keadaan sekeliling, tahap keimanan dan kesabaran diri peserta juga kerap diuji sebelum tiba ke tanah suci.
Namun di sebalik rintangan dan cabaran, pengembaraan yang mengimbas keperitan umat Islam pada zaman dahulu mengembara untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah itu betul-betul memberi keinsafan.
Katanya, perjalanan sejauh 18,000 km itu banyak menguji dan mengajar erti kesabaran serta pentingnya semangat kerjasama di antara ahli pasukan.
“Cabaran dan ujian dari Allah itu datang berterusan sehingga kami tiba di Mekah. Saya bersyukur kerana tidak pernah merasa diri begitu dekat dengan-Nya sebelum pengembaraan ini,” katanya.
 
 
Pelancaran peringkat negeri

Mengulas mengenai Kembara Ke Bumi Suci 2012, Azman berhasrat untuk mengumpul penyertaan penunggang dari setiap negeri sebagai usaha Israq Adventure meluaskan lagi persaudaraan bermotor.
“Kita telah menerima penyertaan berkumpulan (mengikut negeri) seperti dari Terengganu dan Melaka,” katanya.
Sehubungan itu, penganjur berhasrat untuk mengadakan pelancaran dan pameran di setiap negeri yang mempunyai penyertaan di samping berkongsi pengalaman dan minat pengembaraan motosikal jarak jauh.
Selain membuka penyertaan lebih ramai, beliau mengharapkan penglibatan positif syarikat dan mana badan pada pengembaraan yang akan bermula pada April tahun depan itu.
“Kita ingin membuktikan sekali lagi bahawa pemergian ke Mekah melalui jalan darat bukanlah sesuatu yang mustahil,” katanya.
Maklumat lanjut mengenai pengembaraan seterusnya boleh diperolehi dengan menghubungi Israq Adventure di talian 03-55693941 atau layari laman web www.israqadventure.com.

3 comments:

  1. tahniah, i like. pengembaraan yang bermakna.

    ReplyDelete
  2. Ya Allah banyak nya duit kamu semua
    Alhamdulillah semua tu kehendak Allah, saya juga amat berminat nak mengembara melalui jalan darat ke Mekah insyaallah tu pun kalu dah cukup duit dan sihat kesihatan insyaallah nak pergi tahun 2014 nanti, dah dekat 2 tahun saya berdoa agar Allah makbulkan keinginan saya, ada lagi 2 or 3 tahun lagi masa utk saya terus berdoa moga impian sy ke Mekah melalui jalan darat termakbul,sekarang sy mula mencari info2 tentang perjalanan kesana tu, kalu Allah jemput cepat lagi kesana kan best. Alhamdulillah saya agak yakin kerana pernah mengembara sendirian beberapa kali dan mengambil masa berbulan-bulan ecara budget.
    Apa pun saya enjoy tengok kembara menaiki motor tu dah tentu yang pergi tu bukan calang2 orgnya kan, aduhhh murahnya rezeki yang Allah bagi, di jemput berulang2 kali kesana.
    Cemburu pun ada bila tengok orang berulang alik ke Mekah seolah2 duit tak menjadi masalah. Alhamdulillah rezeki Allah.
    Moga perancangan yang akan datang tu selamat pergi dan balik.

    ReplyDelete