Sep 17, 2011

Juara Beach Tioman



 JETI ke Pulau Tioman di Mersing, Johor mula sesak seawal pukul 4 pagi, dipenuhi penumpang yang menantikan perjalanan feri pertama yang dijadual berlepas pada pukul 6.30 pagi setiap hari.
Penulis ketika itu tiba dari Kuala Lumpur dengan menaiki bas lewat malam dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di Tasik Selatan. Tidak jauh dari jeti, kelihatan tempat-tempat parkir berbayar juga penuh dengan kenderaan pelancong Singapura yang datang bercuti.
“Bilangan pelancong lebih ramai pada setiap hujung minggu dan musim cuti sekolah,” kata penjual tiket feri.
Selepas beberapa jam menunggu, terminal pelepasan dibuka pada pukul 7 pagi. Kelewatan waktu berlepas kira-kira setengah jam sudah menjadi perkara biasa walaupun tiket feri awal pagi itu dijual RM10 lebih mahal berbanding dengan perjalanan waktu biasa.
Itulah sebahagian kegelisahan yang terpaksa dilalui pelancong sebelum sampai ke Tioman, bahkan waktu menunggu mungkin lebih lama jika laut surut dan menjadi terlalu cetek. Namun dengan segala keindahan yang menanti, destinasi percutian di negeri Pahang itu tetap berbaloi untuk dikunjungi.
Pulau Tioman yang terletak kira-kira 350 kilometer (km) dari Kuala Lumpur sememangnya popular sebagai destinasi percutian bagi mereka yang ingin melarikan diri dari kesibukan kota.
Di Tioman, pelancong boleh memilih beberapa lokasi persinggahan untuk menghabiskan percutian. Antara yang paling popular adalah pantai Salang, Paya dan Genting. Mungkin jarang-jarang sekali, anda mendengar nama pantai Juara (Juara) disebut para pelancong.








Berbanding dengan pantai lain yang ada di Tioman, Juara agak kurang dikunjungi kerana perkhidmatan feri dari Mersing dan Tanjong Gemok tidak singgah ke jeti di Kampung Juara. Satu-satunya kaedah pengangkutan yang ada hanyalah pacuan empat roda.
Dari jeti Kampung Tekek, perjalanan pergi-balik ke pantai di seberang pulau itu biasanya disediakan oleh pihak chalet dengan tambang RM50 bagi setiap penumpang (minimum empat orang).
Bagi yang mementingkan ketenangan pantai yang bebas daripada dentuman muzik dan kesesakan pelancong, tambahan harga sebanyak itu masih berbaloi untuk dibayar.
Laluan mendaki sejauh sembilan kilometer bermula sebaik sahaja kenderaan meninggalkan Kampung Tekek. Sejurus selepas itu, pelancong disajikan dengan kesegaran udara di hutan dara Bukit Gaung serta keindahan pemandangan pantai dari puncak bukit.
Selepas lebih setengah jam dibuai dan dihanyun pacuan empat roda, penulis akhirnya tiba di Kampung Juara, antara penempatan terawal di Pulau Tioman yang kini dihuni oleh kira-kira 350 penduduk.
Kampung Juara yang agak terpisah daripada arus pembangunan pelancongan di Tioman mungkin satu-satunya kawasan yang masih mengekalkan kehidupan kampung yang telah lama hilang di tempat lain.








Ketibaan penulis disambut oleh Stiven Cheng, pengusaha Juara Beach yang beroperasi sejak 2008. Juara Beach merupakan salah satu daripada sembilan chalet yang terletak di sepanjang pantai Juara.
Tarikan pantai berpasir putih yang menanti di depan chalet tidak membiarkan saya berada terlalu lama di dalam bilik. Selepas berpuas hati dengan penginapan yang disediakan, saya turun ke pantai yang terletak kira-kira 20 meter dari bilik penginapan.


Bebas daripada sampah sarap, pantai yang mengadap Laut China Selatan itu secara peribadi adalah pantai terbaik yang pernah saya lawati di negara ini. Bahkan saya tidak teragak-agak untuk berjalan tanpa kasut sepanjang pantai.
Tiupan anginnya lebih kuat, membuai susunan pokok-pokok kelapa yang menghias pantai.
Pantai Juara yang bersih juga boleh menjadi tempat terbaik untuk mereka yang gemar berjogging pada waktu pagi sambil menikmati keindahan pemandangan matahari terbit di hujung tanjung.
Bertentangan dengannya (selatan), tersergam puncak Gunung Kajang dan Gunung Semukut, melengkapkan lagi keindahan alam semula jadi di pantai Juara.





Pantai yang melebar sepanjang dua kilometer itu turut diselangi dua batang sungai yang mengalir masuk ke laut. Paling menarik adalah sungai paya bakau yang terletak di hujung tanjung, tidak jauh dari Juara Beach.
Dengan menyewa kayak pada harga RM30 sejam, pelancong boleh menyusuri sungai air payau yang menjadi habitat kepada beberapa spesies ular. Ular sawa batik adalah antara yang kerap ditemui berjuntai pada dahan-dahan pokok.
Bagi yang tidak bercadang untuk melakukan sebarang rekreasi lasak seperti kayak, pantai di depan Juara Beach yang landai dan tidak dipenuhi bot penumpang adalah tempat yang sesuai untuk mandi-manda.
Selepas langit kehilangan cahaya, perkara terbaik yang pasti menambah erti sebuah percutian mungkin untuk merasai keenakan masakan di Restoran Juara Beach.
Restoran Juara Beach yang menyajikan masakan tempatan dan Barat beroperasi dari waktu sarapan iaitu pukul 8 pagi hingga 11 malam. Berdiri di beranda bertiang di atas pantai, anda dapat membayangkan keindahan suasana makan malam.
Tarikan seterusnya menanti pelancong di pantai Juara termasuk curahan air terjun yang boleh dilawati dengan melakukan jungle trekking yang singkat. Dua air terjun yang boleh dikunjungi pelancong terletak di Kampung Juara dan pantai Semukut.





Pelancong dari Jerman, Christof Weis, 25, yang ditemui di Air Terjun Kampung Juara berkata, lokasi air terjun yang terletak kira-kira 40 minit perjalanan dari Juara Beach itu memberi peluang kepadanya dan rakan-rakan menikmati kesegaran hutan tropika.
“Selepas seharian menghabiskan masa di pantai, peluang mandi di kolam air terjun yang dikelilingi hutan sememangnya menakjubkan,’’ ujarnya yang ditemani tiga lagi rakan senegara.
Mereka memilih pantai Juara sebagai destinasi percutian pertama di Pulau Tioman selepas membaca mengenai kebersihan dan ketenangan pantai tersebut di Internet.








Sementara itu, Stiven berkata, pelancong ke Juara Beach juga berpeluang menyaksikan keindahan alam marin dengan melakukan snorkeling ke beberapa lokasi seperti Teluk Dalam, Teluk Genting dan Batu Malang.
Menurutnya, bayaran RM90 bagi setiap pelancong yang dikenakan untuk trip snorkeling yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 3 petang turut meliputi harga sewa perkakasan snorkeling dan makan tengahari.
“Kami menggunakan dua buah bot laju berkuasa ratusan kuasa kuda yang membawa pelancong ke lokasi snorkeling dengan cepat.
“Ia merupakan aktiviti yang tidak seharusnya dilepaskan oleh pelancong sepanjang bercuti di Tioman,’’ kata Stiven yang menetap di pulau itu sejak tahun 1986.
Bercerita mengenai jumlah pelancong yang agak kurang di pantai Juara, Stiven mengakui bahawa kos pengangkutan untuk ke pantai itu menjadi antara penyebab.
“Sesetengah pelancong tidak mahu datang ke Juara selepas mendapat tahu mengenai bayaran tambang pacuan empat roda.
“Namun bagi yang pernah sampai ke sini, bayaran sebanyak RM50 itu bukanlah masalah yang besar,’’ jelasnya.
Juara Beach yang bertapak dengan 12 buah bilik pada 2008 kini menawarkan 26 buah bilik chalet iaitu 12 bilik kategori deluxe dan 14 bilik standard.





Kategori deluxe ditawarkan pada harga RM140 semalam, manakala bilik standard dijual mengikut bilangan penghuni iaitu RM160 untuk tiga orang dan RM180 untuk empat orang. Harga ditawarkan termasuk sarapan.
Keselesaan penginapan di Juara Beach dilengkapi dengan pendingin udara, air panas, peti ais, televisyen dan cerek air.





Walaupun terpisah dari pantai utama, pantai Juara juga mempunyai kemudahan asas yang diperlukan pelancong seperti kedai runcit, restoran dan sebuah pusat selam.
Di Kampung Juara juga, pelancong boleh mendapatkan minyak kelapa dara yang dimasak secara tradisional dan mempunyai pelbagai khasiat perubatan.

Maklumat lanjut mengenai Juara Beach boleh diperolehi dengan menghubungi talian 09-4193188 atau 013-7711137 (Stiven).

1 comment:

  1. walking here with a smile. take care.. have a nice day ~ =D

    Regards,
    http://www.lonelyreload.com (A Growing Teenager Diary) ..

    ReplyDelete