Aug 15, 2011

Frankfurt - Kota Dua Wajah

 

Dipisahkan kepada bahagian utara dan selatan oleh Sungai Main, Frankfurt kini membangun sebagai pusat kewangan dan bandar pengangkutan paling utama di Jerman. Berbeza dengan kota-kota Eropah lain yang tidak mempunyai banyak bangunan tinggi, kota kelima terbesar di negara itu menyajikan pelancong dengan landskap metropolitan dengan gabungan budaya yang cukup harmoni.

Berdiri paling tinggi di bandar itu adalah bangunan Commerzbank setinggi 259 meter dan pernah menjadi bangunan tertinggi di Eropah. Cuma ia tidak dibuka untuk kunjungan umum.
Untuk meninjau pemandangan keseluruhan kota, menara Main Tower yang terletak di Landesbank Hessen adalah tempat terbaik. Pada hari yang cerah, menara setinggi 54 tingkat ini menyajikan saujana mata memandang sehingga menampakkan kawasan kampung yang kemas dan rapi.

Suasana santai di pinggir Sungai Main adalah antara suasana yang paling digemari pelancong. Lokasi yang damai itu memberikan Frankfurt nama kedua iaitu Mainhattan.
Pada musim panas, pelancong boleh menghabiskan masa untuk bersiar di sepanjang tebingan sungai yang penuh dengan penghuni dan pelawat kota. Lokasi yang menempatkan restoran dan kafe itu pasti menjadi kegemaran. 

Puas bersantai. Kini tiba masanya untuk menjelajah ke pelosok kota. Frankfurt sebagai bandar bahagian Hesse juga dikenali dengan gelaran bandar dua muka disebabkan perbezaan zamannya. Melihat kemodenan dan unsur tradisional yang serasi di Frankfurt adalah pengalaman yang tiada di mana-mana. Jangan berasa janggal apabila sebuah pasar raya moden mengejutkan anda sebaik sahaja keluar dari bangunan berusia ribuan tahun.
Salah satu lokasi yang menjadi kegemaran pelancong di Frankfurt adalah Dataran Romer yang menampilkan keunikan reka bentuk bangunan dari kurun ke-14. Kawasan yang dibangunkan semula selepas musnah teruk pada Perang Dunia Kedua itu menempatkan gereja Alte Nikolaikirche dan penempatan Roman kuno yang menjadi rahsia nama Romer dikenang sehingga hari ini.
Seperti kebanyakan kawasan tarikan pelancong di Frankfurt, bangunan itu juga dipenuhi dengan premis makanan dan cenderahati yang menawarkan harga berpatutan. Untuk menyusuri asal usul bandar itu secara lebih terperinci, kawasan Museumsufer yang terletak di selatan Main menghimpunkan sembilan buah muzium yang menceritakan pelbagai sejarah, pameran khazanah dan artifak.
salah satu daripada barisan muzium di Museumsufer

Antara muzium yang ada di situ adalah Muzium Filem Jerman, Muzium Senibina, Muzium Seni, Muzium Jewish, Muzium Telekomunikasi, Muzium Adat dan Budaya Giersch. Dari pusat bandar, perjalanan ke kompleks muzium boleh dilakukan dengan menaiki kereta api bawah tanah sehingga ke stesen Schweizer Platz sebelum menuju ke pinggir Sungai Main.

Pengalaman melancong di Frankfurt tidak mungkin memeningkan kepala. Sebagai pusat pengangkutan utama di Jerman, Frankfurt dilengkapi dengan rangkaian kereta api, bas dan teksi yang cukup efisien. Untuk kepuasan membeli-belah, luangkan masa bersiar ke Frankfurt Zeil atau Fifth Avenue. Di kawasan itu terdapat deretan kedai dan butik yang menjual pelbagai barangan berjenama. Kemeriahan akan lebih terasa menjelang malam yang dihiasi lampu neon dan lagak pengunjung.

Tarikan lain termasuk The Palm Garden (Palmengarten) yang terletak kira-kira dua kilometer dari Frankfurt Operas House. Palm Garden merupakan antara taman botanika terbesar di Jerman. Selain mempamerkan koleksi tumbuhan eksklusif dan eksotik, taman yang dibuka sejak 1871 itu turut menyediakan kemudahan seperti bot persiaran, taman permainan, rumah hijau dan menganjurkan festival pada masa-masa tertentu. Bercerita mengenai festival, Frankfurt sebagai kota tempat muda-mudi bersuka-ria juga tidak lekang dengan pelbagai pesta dan kemeriahan. 
 




Bagi yang merancang lawatan, anda dinasihatkan membuat tempahan terlebih awal kerana penginapan bukan sesuatu yang mudah diperoleh setiap kali acara berlangsung. Kota Frankfurt biasanya akan padat dengan pelawat setiap kali penganjuran acara.
Waktu terbaik untuk melawat Frankfurt adalah pada hujung musim bunga hingga awal musim luruh. Cuaca pada musim panas sekitar 25 darjah Celsius mungkin terlalu hangat manakala suhu musim sejuk biasanya turun mencecah negatif.
Dengan dua wajahnya, Frankfurt mungkin bukan kota yang penuh dengan sejarah seperti Paris, Rom dan London. Namun keserasian antara pembangunan dan budaya menjadikan ia antara destinasi yang berbaloi untuk dikunjungi.

1 comment:

  1. Bestnyaaaa melancong ke German..
    Next time melancong ke sana jangan lupa gunakan Flexiroam, penjimatan yang hebat!

    ReplyDelete