Jul 19, 2011

Turki - | Pertembungan Asia dan Eropah

Kehebatan tamadun Turki bermula lebih awal berbanding mana-mana kerajaan yang ada di dunia. Tanahnya pernah menjadi saksi jatuh dan bangunnya empayar-empayar terhebat seperti Rom, Byzantine dan Uthmaniyyah.
Namun anda tidak akan sampai ke Turki jika terus membelek ketebalan sejarahnya. Cara terbaik untuk menyaksikan kehebatan itu adalah dengan terbang ke sana dan melihatnya sendiri.
Bagi yang mengagumi sejarah, Turki adalah destinasi terbaik untuk dilawati. Bahkan sehingga kini, khazanah yang tersimpan di perut buminya masih belum habis digali dengan purata 150 ekskavasi baru setiap tahun.
Turki yang mempunyai 10 bandar utama menawarkan seribu satu kepuasan khususnya keindahan seni bina lama, kehalusan budaya dan tarikan alam semula jadi.
Salah satu daripada kota yang paling dikunjungi di negara republik itu adalah Istanbul. Bandar di tepi Selat Bosphorus yang terletak di antara Laut Hitam dan Laut Marmara, bersempadan dengan Bulgaria dan Greece.
Istanbul yang dahulunya dikenali sebagai Konstantinopel dengan populasi 20 juta penduduk merupakan salah satu daripada bandar utama di Eropah. Bukan itu sahaja, ia juga satu daripada destinasi paling dikunjungi di dunia.
Tahun lalu, Kesatuan Eropah menobatkan 'jambatan' yang menghubungkan Eropah dan Asia Barat itu sebagai Pusat Kebudayaan Eropah sekali gus merancakkan lagi industri pelancongan Turki.
Namun melawat Istanbul bukan semata-mata kerana tinggalan sejarahnya. Selain keindahan seni bina, ia juga dikunjungi kerana kehalusan budaya dan beraneka sajian makanan.

 

Salah satu daripada tarikan paling dikunjungi di Istanbul adalah Masjid Biru atau namanya Masjid Sultan Ahmed yang pernah menjadi pusat pentadbiran Khalifah Uthmaniyyah.
Dibina antara tahun 1609 hingga 1619, kehebatan seni bina Islam yang masih utuh berdiri itu adalah ikon pelancongan yang menghiasi poskad dan barang-barang cenderahati. Ia boleh dibezakan melalui enam batang menara berbentuk pensil dan kubah gergasi berwarna kelabu kebiruan.
Selain struktur yang gah, melawat Masjid Biru juga memberi peluang kepada pelancong menyaksikan keindahan hiasan dalaman yang dipenuhi kaligrafi ayat-ayat suci al-Quran.
Masjid yang pernah menjadi simbol penyatuan rakyat itu merangkumi pelbagai kemudahan sosial termasuk hospital, kolej, perpustakaan, pasar, dapur dan makam keluarga.
Selain Masjid Biru, Istanbul juga dipenuhi dengan seni bina yang melambangkan kegemilangan Islam pada masa lampau. Antara tarikan lain di Istanbul termasuk Masjid Suleyman, Masjid Fethiye dan Muzium Aya Sofia yang pernah berfungsi sebagai masjid dan gereja.

Untuk melihat susunan kota Istanbul dan keindahan bandar yang melata disekelilingnya, pelancong boleh melawat Menara Galata yang terletak tidak jauh dari muka muara Golden Horn.
Menara setinggi 70 meter yang mempunyai bumbung berbentuk kon itu merupakan menara batu tertua di dunia yang juga antara tarikan utama di Istanbul. Dibina menggunakan kayu pada ketinggian 35 meter dari paras laut pada zaman Byzantine, ia diperkukuh semula dengan binaan batu pada 1348. Selepas penaklukan kerajaan Uthmaniyyah, Menara Galata dijadikan penjara sebelum berfungsi sebagai menara peninjauan bandar.
Dari puncak menara itu, pelawat boleh menyaksikan sebahagian besar daripada kota Istanbul yang mengadap muara Golden Horn antaranya Istana Topkapi, Masjid Biru, Masjid Suleyman, Aya Sopia, Masjid Yeni, Jambatan Galata dan Menara Beyazit.
Menara Galata beroperasi dengan dua lif yang membawa pelawat dari pintu masuk ke puncak menara yang turut dilengkapi restoran dan ruang tinjau. Istanbul sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan keagungan zaman pemerintahan Uthamaniyyah dan seni binanya. 
 
Salah satu daripada kehebatan itu adalah Istana Topkapi yang terletak tidak jauh dari tebingan Sungai Bophorus, sempadan antara dua benua. Selain menjadi bekas kediaman para pemerintah Khalifah Uthmaniyyah selama hampir 400 tahun (1465-1856), istana yang ditukar menjadi muzium oleh Presiden pertama Turki, Mustafa Kamal Attaturk itu turut menyimpan khazanah Islam yang tidak ternilai termasuk pedang dan kain mantel Nabi Muhammad. Pada masa kini, tarikan utama di situ dimeriahkan dengan penganjuran majlis kerajaan, keraian dan hiburan.
Istana berkeluasan 700,000 meter persegi yang dilindungi oleh tembok sepanjang lima kilometer mempunyai empat laman dan bangunan-bangunan kecil. Pada zamannya, Istana Topkapi memuatkan kira-kira 4,000 penghuni pada satu-satu masa.
Satu lagi cara terbaik untuk kembali ke zaman kegemilangan kota itu adalah dengan menaiki bot persiaran di sepanjang Sungai Bosphorus.
Menyusuri perairan tersebut menyajikan keindahan bandar yang dipenuhi struktur bersejarah seperti Istana Dolmabahce, Kubu Rumeli, Besiktas, Sariyer dan Kanlica.
Persiaran yang bermula seawal pukul 10.30 pagi itu akan singgah di Kubu Anadolu untuk sesi kunjungan dan makan tengah hari sebelum ia berakhir di Eminonu.

 
Selain keindahan kota, Istanbul juga dikenali dengan produk dan barangan tempatan seperti karpet, perhiasan, barang kemas dan rempah-ratus. Bazar Utama Kapali Carsi merupakan satu lagi tarikan wajib di Istanbul.
Bazar yang menempatkan kira-kira 4,000 gerai di kawasan meliputi 50 lorong itu menerima kira-kira suku hingga setengah juta pelawat setiap hari, menjadikannya antara yang terbesar di dunia.
Bazar Kapali Carsi dibuka oleh Sultan Mehmed II pada 1461. Keluasan bazar berkenaan boleh dibayangkan melalui penyediaan dua buah masjid di dalam kawasan itu, barisan restoran dan air pancut yang disediakan untuk istirehat.
Bagi yang tidak kisah mengembara lebih jauh ke bahagian tengah Turki, keunikan kawasan pergunungan Cappadocia juga antara pilihan yang menyajikan pelancong seribu kejutan.
Cappadocia merupakan penempatan masyarakat Persia kuno di lereng bukit yang dibina dengan cara menebuk batu untuk dijadikan kediaman.
Penempatan sejak dari Zaman Gangsa yang dikelilingi formasi batu berbentuk kon itu merupakan tarikan pelancongan paling popular di Anatolia, bahagian tengah Turki.

Jul 18, 2011

Shanghai syurga si pengembara

 
BERMULA dari hanya sebuah perkampungan nelayan kecil, Shanghai berkembang kepada sebuah bandar pelabuhan dan kini menjadi kota metropolitan yang paling pantas membangun di dunia. Peluang ke Shanghai baru-baru ini memberi peluang kepada say menyelongkar keindahan kota yang dipenuhi bangunan pencakar langit dan serba-sedikit sejarahnya.
Kepesatan dan keunikan Shanghai bukanlah sesuatu yang baharu dikenali tetapi telah lama dikagumi dunia sebagai pusat pertembungan budaya asing seperti Inggeris, Perancis dan Amerika.
Perkembangannya bermula selepas kekalahan China kepada Inggeris dalam Peperangan Candu pada 1842 yang memaksa China melepaskan kuasa pentadbiran di Shanghai.
Pentadbiran Shanghai kemudian diserahkan kepada lapan kuasa asing iaitu Inggeris, Jerman, Amerika, Itali, Perancis, Jepun, Austria dan Hungry.
Kawasan penempatan dan pentadbiran antarabangsa yang dibentuk melalui Perjanjian Pelabuhan kemudian menjadi titik tolak kepada pembangunan yang lebih terbuka dan maju sehingga hari ini.
Sebagai kota di mana undang-undang China tidak berkuasa, Shanghai menjadi tumpuan pengembara yang datang dari seluruh dunia untuk mencuba nasib. Dikatakan, 'kota kebebasan' itu menjadi syurga persembunyian pesalah yang melarikan diri dari pihak berkuasa.
Selain itu pembangunan yang rancak akibat kemasukan pedagang dari Timur dan Barat turut mengundang masalah apabila kebanyakan kawasan di kota itu bertukar menjadi sarang ahli-ahli kongsi gelap yang mengambil kesempatan terhadap para peniaga.
Suasana itu pernah digambarkan melalui drama popular, The Bund yang dilakonkan oleh Chow Yun Fat pada awal 80-an.
Pada masa kini, budaya samseng berkapak itu menjadi sebahagian daripada kebudayaan Shanghai yang dipertontonkan kepada pelancong melalui persembahan tarian dan fesyen.
Shanghai moden
Pada masa kini kota kedua terbesar di China yang didiami oleh lebih 23 juta penduduk itu dibahagikan kepada dua wilayah utama oleh Sungai Huangpu. Wilayah Pudong di sebelah timur dan Puxi di barat.
Peluang menetap di Hotel Gran Melia Shanghai yang terletak di tepi Sungai tersebut baru-baru ini memberi peluang kepada saya menyelongkar beberapa kawasan tumpuan pelancong di Pudong dan Puxi. Tarikan utama semestinya bangunan pencakar langit yang terletak tidak jauh dari situ. 
Untuk merakam keindahan kota berprestij itu, saya ke Waitan iaitu lokasi tumpuan pelancong untuk menaiki bot persiaran yang lebih dikenali dengan nama Inggerisnya, The Bund. Selain bangunan moden, kawasan tebingan sungai itu juga dihiasi keindahan bangunan zaman kolonial.
Pemandangan pada waktu malam dari atas bot memperlihatkan susunan bangunan yang dihiasi lampu neon berwarna-warni. Setiap bangunan juga berfungsi sebagai 'papan iklan' gergasi yang berubah warna dan imej sepanjang masa.
Berdiri paling gah di situ adalah tiga struktur paling tinggi di Shanghai iaitu Menara Oriental Pearl, Menara Jin Mao dan Pusat Kewangan Dunia. Pusat Kewangan Dunia setinggi 492 meter merupakan bangunan tertinggi di China dan ketiga di dunia.
Itulah Shanghai, kota yang dipenuhi dengan 'alat-alat permainan' kerajaan. Ia digambarkan sebagai bandar contoh republik itu seratus tahun akan datang. Landskap konkritnya pula berubah secara drastik setiap tiga tahun.
Selain pencakar langit, Shanghai juga memiliki rangkaian kereta api Maglev yang merupakan kereta api terpantas di dunia. Jika berpeluang ke sana, pecutan selaju 430 kilometer sejam itu mungkin antara pengalaman yang tidak ingin dilepaskan.
Bagi yang bercadang untuk meneruskan perjalanan ke Beijing dari Shanghai, sistem rel magnetik yang dibangunkan oleh teknologi Jerman itu hanya memakan masa lima jam berbanding lapan jam sebelum ini. Kelancaran lalu lintas di bandar itu juga diurus teratur dengan enam terowong bawah sungai.
Namun pembangunan yang pesat bukanlah sesuatu yang dibanggakan oleh setiap penduduknya. Ungkapan yang paling popular di situ mengatakan 'Shanghai adalah syurga untuk si kaya dan neraka bagi si miskin'.
Kehidupan di kota serba mewah itu bukan sahaja memberi tekanan kepada yang berpendapatan rendah bahkan golongan yang berpendapatan sederhana turut tertekan dalam meneruskan kehidupan. Bayangkan jika harga sebuah pangsapuri bertaraf kos sederhana boleh mencecah harga jutaan Yuan.
Namun hakikatnya, peluang pekerjaan yang menanti di kota itu tetap menarik rakyat dari serata dunia untuk mencuba nasib.
Penulis juga berkesempatan ke lokasi pelancongan terkemuka iaitu Bandar Lama Shanghai (Yuyuan). Bagi yang tidak kisah berbelanja, Yuyuan adalah peluang terbaik untuk menikmati keenakan makanan cina di salah sebuah restoran paling popular di Shanghai, iaitu Restoran Lu Bo Lang.
Untuk kunjungan lebih bermakna, tetamu boleh menempah persembahan The Changing Face iaitu tarian opera seorang perwira yang menukar topeng sepantas kilat (sebanyak enam kali).
Di dinding restoran itu tertera gambar-gambar individu ternama yang pernah bertandang termasuk Fidel Castro, Bill Clinton, Queen Elizabeth dan ramai lagi.
Walaupun Shanghai sebuah bandar mahal, peluang untuk membeli-belah dengan harga yang berpatutan masih ada. Penulis ke pasar raya bawah tanah Plaza AP yang terletak di bawah laluan Metro 2. Di sini pelawat boleh mendapatkan barang-barang tiruan yang berkualiti.
Jangan terlalu teruja membayar kerana harga bagi setiap barang boleh dikurangkan lebih separuh daripada harga yang ditawarkan.

Jul 14, 2011

Ronnie Mohamad


Niat untuk bertemu dengan seorang pelukis ternama tanah air di Kompleks Kraftangan di Jalan Stonor baru-baru ini akhirnya beralih kepada seorang pelukis muda bernama Hairani Mohamad, 33, pemilik karya bertajuk Marhabban yang dilihat sebelum itu.
Hairani yang dikenali dengan nama pena, Ronnie Mohamad cukup ramah semasa didekati, kemesraan itu menepis prasangka bahawa orang seni biasanya hidup di dalam dunia sendiri dan sukar difahami.
Melihat gaya muda dan kasualnya, agak mudah untuk meneka pengalaman melukisnya tetapi tidak apabila melihat karya-karnyanya. Lukisan-lukisan yang tersusun di tempat kerja di situ jelas memperlihatkan kematangan bakat pelukis muda yang akan terus menyinar.
Bermula sebagai pelukis potret jalanan kira-kira 15 tahun lalu, karya Ronnie kini semakin dikenali khususnya melalui pameran yang diadakan di seluruh negara termasuk beberapa pameran di Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur.
Selain lukisan bertajuk Marhabban, tumpuan saya pada pertemuan itu turut tertumpu pada sekeping lukisan besar yang masih lagi berbalut. Di sebalik bungkusan plastik, kelihatan imej seorang lelaki yang sedang menadah tangan dan berdoa.
"Itu adalah Kepadamu Kekasih. Karya saya yang baru dipulangkan oleh Balai Seni Lukis Negara selepas pameran baru-baru ini," kata pelukis kelahiran Segamat, Johor itu.
Memperincikan minatnya dalam seni lukisan, Ronnie memilih wajah manusia sebagai fokus karya. Bagi bapa kepada dua anak itu, wajah manusia menyampaikan seribu pengertian dan membuka ruang terjemahan yang sangat luas.
Namun lakaran wajah yang dihasilkan beliau bukan sekadar lukisan potret biasa. Sejak beberapa tahun lalu, Ronnie beralih kepada konsep lukisan yang lebih bergaya kontemporari.
"Saya masih melukis potret tetapi apa yang saya lakukan sekarang berbeza dengan apa yang saya lukis dahulu.
"Sekarang lukisan saya lebih kepada potret yang mempunyai luahan dan ekspresi yang lebih ekstrem dan mendalam," jelasnya yang mengidolakan pelukis Ahmad Zaki dan Bayu Utomo Radjikin.
Nyata sekali karya-karya Ronnie mempunyai keunikan tersendiri. Ia jelas dilihat pada lakaran-lakaran kasar yang diperkemaskan dengan gosokan dan sentuhan yang halus dan rapi.
Berbeza dengan lukisan biasa yang dihasilkan dengan cat dan berus, lukisan hitam putih Ronnie dihasilkan menggunakan arang yang mempunyai kekuatan dan kedalaman yang tersendiri.
Namun begitu, cabaran lukisan arang jauh berbeza dengan kaedah lukisan biasa kerana penggunaan warna yang terhad.
"Saya hanya memiliki dua warna iaitu hitam pada arang dan putih pada kanvas. Tanpa warna-warna lain, saya memaksimumkan kreativiti untuk menghidupkan sesebuah lukisan," katanya.
Kesukaran teknik itu katanya adalah untuk mendapatkan kesan warna bagi membezakan sesuatu tekstur seperti pakaian, kulit manusia, besi, kayu dan sebagainya.
Menurut Ronnie, untuk menguasai kemahiran lukisan arang, seseorang pelukis harus menguasai dan memahami sifat bahan yang digunakan. Selain lakaran yang tepat, contengan comot turut dijadikan sebahagian proses penceritaan sesebuah lukisan.
Namun sebagai artis di dalam dunia penuh kreativiti, beliau tidak boleh terlalu bergantung kepada kebiasaan identiti. Ada masanya beliau mencuba sesuatu yang berlainan daripada biasa.
Dari kerusi melukisnya, Ronnie bangun untuk menunjukkan lukisan seorang lelaki Melayu berkeris yang sedang bersilat. Lukisan itu katanya antara karya terbaik kerana penggunaan teknik lukisan terbalik.
"Untuk lukisan ini saya warnakan seluruh permukaan kanvas dengan warna hitam, kemudian baru saya 'keluarkan' warna putih dan kelabu," katanya yang tidak pernah mendapat pendidikan formal di mana-mana institusi.
Dari RM45 kepada RM8,000
Hasil kegigihan dan kesungguhannya, Ronnie membuktikan pembabitannya secara serius di dalam bidang itu telah membawa pengiktirafan dan pulangan yang berbaloi.
Daripada lukisan potret yang dijual pada harga RM45 sekeping 15 tahun lalu, kini lukisan paling mahal Ronnie sudah hampir mencecah RM10,000.
"Dimarah dan dimaki hamun pelanggan sudah menjadi perkara biasa semasa saya mula-mula melukis dahulu.
"Dulu saya melukis mengikut kehendak orang tetapi sekarang orang mahukan lukisan mengikut gaya saya," katanya juga pernah melukis Pasar Seni Kuala Lumpur.
Dengan pasaran yang semakin positif, sambutan yang diterima kini juga berubah. Ronnie berkata, dengan gaya persembahan yang berindentiti sendiri pelukis dapat melebarkan pasaran dengan lebih luas.
"Seorang pengumpul lukisan pernah membeli empat lukisan saya secara serentak. Ada juga yang menggantung lukisan saya sebaris dengan karya Ahmad Zaki," katanya dengan penuh kepuasan.

Sydney

DIKELILINGI tebingan air yang indah, seni bina ikonik dan alam semula jadi yang menakjubkan, Sydney merupakan satu daripada pilihan percutian terbaik untuk dicuba.
Apa sahaja kecenderungan minat semasa melancong, bandar terbesar di Australia yang menduduki carta 10 kota terbaik untuk didiami itu mampu memenuhi segala kehendak percutian.
Kota metropolitan yang dipenuhi warna-warni festival, seni budaya, aneka selera makanan dan aktiviti yang cukup mendebarkan itu membawa masuk tidak kurang daripada 22 juta pelancong setiap tahun.
Sydney menawarkan banyak tempat menarik untuk dipilih. Seringkali disalah-anggap sebagai ibu negara Australia, Sydney merupakan tuan rumah kepada dua ikon paling hebat di bumi Australia iaitu Opera House dan Harbour Bridge. 
Tetapi kedua-duanya bukan semata-mata tarikan di Sydney. Bagi yang pertama kali menjejakkan kaki ke bumi di tenggara pulau Australia itu, kepelbagaian tarikan pasti membuatkan mereka rambang mata untuk memilih. Seperti biasa, tarikan utama adalah destinasi pertama yang harus dicuba dan tidak boleh dilepas pandang.


Opera House
Percutian ke Sydney sememangnya tidak akan lengkap tanpa menjenguk ke pusat seni kota yang menjadi tuan rumah kepada beribu-ribu persembahan bertaraf antarabangsa setiap tahun. Bahkan bangunan berbentuk cengkerang siput yang kita kenali sejak dari bangku sekolah itu boleh dikatakan sebagai objek paling sinonim dengan Sydney. Walaupun tidak mendapat tempat duduk di barisan teater berprestij itu, berdiri di depan kubahnya sahaja sudah cukup untuk mengabadikan kenangan.
Bangunan yang penuh dengan ciri-ciri futuristik dan bentuk geometri mengagumkan itu direka oleh arkitek Denmark, Jorn Utzon. Ia disiapkan pada 1973 dengan kos AS$70 juta dan dianggap satu daripada karya bangunan teragung pada kurun ke 20. Ia pernah memenangi anugerah seni bina paling berprestij iaitu Hadiah Pritzker. 
Opera House terletak dalam kawasan Sydney Harbour di Cicular Quay tidak jauh dari satu lagi struktur tarikan utama pelancongan Sydney iaitu Harbour Bridge. Di sepanjang laluan, pelancong boleh bersantai di restoran yang banyak terdapat di kawasan itu.

 
Harbour Bridge
Mendapat gelaran The Coat Hanger, jambatan besi setinggi bangunan 50 tingkat ini merupakan salah satu daripada seni bina terhebat di Australia selepas Opera House.
Jambatan berbentuk gerbang yang kelima terpanjang di dunia itu menempatkan landasan kereta api, jalan raya lapan lorong dan laluan jalan kaki yang tergantung pada ketinggian 134 meter dari permukaan air. 
Ia yang disiapkan pada 1932 merupakan struktur paling tinggi di Sydney sehingga 1967. Namun pengalaman di Harbour Bridge bukan sekadar untuk dilihat atau dipandu lalu. Pengunjung boleh mencuba pendakian Discovery ke puncak jambatan untuk menyaksikan keindahan panorama bandar Sydney. Selain itu, sebuah muzium yang menceritakan sejarah dan kehebatan kejuruteraan jambatan itu boleh dikunjungi di Pylon Lookout. 

Menara Sydney dan Skywalk
Berdiri pada ketinggian 260 meter dari paras laut adalah menara tertinggi di Australia yang dibuka pada Oktober 2005. Dengan memakai abah-abah, pelawat boleh berjalan di atas dek pemerhatian kaca yang mengunjur untuk mendapatkan pandangan 'mata burung' di bawah tapak kaki. Cabaran ini bagaimanapun tidak sesuai untuk mereka yang lemah semangat.
Dari atas menara, pelawat boleh melihat mengelilingi sudut 360 darjah. Dari situ, pelawat boleh melihat Stadium Olimpik Sydney, Muzium Maritim dan ikon-ikon lain.


Sydney Harbour
Malam atau siang, pengalaman di salah satu daripada pelabuhan tercantik di dunia itu sering digambarkan sebagai sesuatu yang ajaib sepanjang percutian di Sydney. Pelancong boleh mencuba feri persiaran atau menyaksikan matahari terbenam dari atas kapal layar di sekitar Sydney Harbour. Bagi yang inginkan lebih cabaran di perairan itu, mencuba pecutan bot laju juga menjanjikan pengalaman yang hebat.

Membeli-belah
Melancong ke mana-mana tidak lengkap tanpa peluang membeli-belah. Di Sydney, pelancong yang gemar berbelanja tiba di destinasi yang tepat dengan pilihan barangan fesyen terkini, produk terbaru, kraftangan dan cenderahati.
Barisan kedai butik di bandar Sydney, Paddington, Surry Hills, Bondi dan Newtown misalnya antara syurga membeli-belah kegemaran ramai. Bagi yang menggemari barangan dari pasar minggu, Paddy's Market berlangsung sepanjang Rabu hingga Ahad dan Rocks Market (Sabtu dan Ahad).
Tarikan luar kota
Di pinggir kota Siydney terdapat tarikan lain seperti Blue Mountains dan Port Stephens.
Blue Mountain yang terletak hanya satu setengah jam perjalanan dari Sydney merupakan taman negara yang tersenarai sebagai warisan dunia.
Di sini para pengunjung disajikan dengan keindahan flora dan fauna melalui pengalaman menaiki kereta api khas atau kereta kabel yang dikenali sebagai Scenic Skyway.
Satu lagi tarikan di pinggir kota Sydney ialah Port Stephens yang merupakan syurga untuk ikan lumba. Di sini pelancong boleh melihat lebih 160 ikan lumba-lumba dari spesies bottle-nosed.
Pantai di Port Stephen yang terkenal sebagai kawasan berpasir terbesar di hemisfera selatan itu juga boleh diterokai dengan kenderaan pacuan empat roda quad bike . Di sini pelacong akan dapat merasai tunggangan lasak merentasi bukit-bukit pasir yang digelar Sand Tobogganing. Bagi maklumat lanjut mengenai tarikan istimewa yang terdapat di sydney boleh layari www.australia.com.

Jul 4, 2011

Keindahan Kota Rom

"KOTA ini tidak dibina sehari”. Itulah sebahagian daripada kata-kata yang akan sampai ke telinga anda jika melawat Rom, kota yang terletak di tengah Semenanjung Itali. Ungkapan itu menggambarkan dengan tepat kehebatan kota tinggalan Empayar Roman sebagai gedung seni bina terunggul yang pernah dibangunkan oleh tamadun manusia.

Bangsa Rom cukup dikenali kerana kepakaran mereka di dalam seni pembinaan, bahkan sebahagian daripada apa yang kita kenali sekarang sebagai stadium, teater dan pasar raya adalah warisan dari sentuhan mereka.

Pada masa kini, warisan berusia lebih daripada 2,500 tahun yang terselamat daripada Perang Dunia Kedua itu masih terpelihara dengan baik. Tarikan pelancongan yang ada menjadikan Rom antara tiga destinasi paling popular dikunjungi di Eropah.

Namun untuk menyelongkar kesemua tarikan di kota itu mungkin memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Untuk perjalanan yang lebih menjimatkan, kunjungan ke istana, gereja, dataran air pancut atau bazar membeli-belah perlu dilakukan dengan betul. 

Untuk menyelongkar kota terbesar dan paling padat di Itali itu, pelancong boleh melakukannya dengan berjalan kaki. Bukan sahaja lebih murah malah peluang menghayati seni dan budaya Greco-Roman itu juga menjanjikan pengalaman yang cukup romantik.
Tarikan paling popular yang menunggu pelancong di bandar ibu kota itu adalah Colosseum. Teater bulat itu pernah menjadi pentas hiburan dan medan pertarungan antara pahlawan-pahlawan gladiator dan haiwan buas.

Colosseum yang juga dikenali sebagai Flavian Amphitheater itu dibina oleh Maharaja Vespasian sekitar tahun 72 Masihi dan disiapkan sepenuhnya lapan tahun kemudian, setahun selepas kematian Vespasian. Struktur setinggi kira-kira 200 meter itu menawarkan lebih daripada 80 pintu masuk yang boleh dilalui pelawat untuk menyelami kehebatan stadium terawal ciptaan manusia. Colosseum yang mampu memuatkan kira-kira 50,000 penonton merupakan pusat persembahan yang digunakan oleh pemerintah Roman untuk menghiburkan rakyat dan meraih populariti.

Selepas menikmati salah satu daripada keajaiban dunia itu, pelawat boleh bersiar ke beberapa lagi tinggalan yang terletak pada jarak kurang daripada satu kilometer. Antaranya Gerbang Constantine, Bukit Palatine, Forum dan litar perlumbaan Circus Maximus. Berdiri setinggi 138 meter dengan kubah besar berdiameter 42 meter adalah Gereja St. Peter yang merupakan gereja Katolik terbesar di dunia. Gereja St. Peter Basilica dibina oleh maharaja Rom beragama Kristian yang pertama iaitu Maharaja Constantine di atas Bukit Vatican.

 
Ia juga dianggap sebagai permata di antara seni bina Rom. Hiasan dalaman gereja ini turut dihiasi dengan hasil seni artis-artis tersohor seperti Michelangelo, Bernini dan Canova.
Sebahagian daripada gereja ini juga boleh dikunjungi secara percuma dengan syarat pelawat mematuhi arahan pakaian yang sopan dan tidak menjolok mata. Di bahagian kubah, pelawat boleh menyaksikan pemandangan Dataran St. Peter serta beberapa lokasi berhampiran seperti Muzium Vatican, Istana Sant‘Angelo dan Campo dei Fiori.

Masih ingin berjalan untuk menerokai kawasan di sekitar Piazza? Sebuah monumen batu marmar putih setinggi 135 meter adalah antara tarikan lain yang berbaloi dilawati.
Tugu Peringatan Victor Emmanuel II rekaan Giuseppe Sacconi berdiri sebagai memperingati raja Itali pertama yang menyatukan seluruh rakyat negara itu.


Di Piazza di Trevi, kunjungan pelawat disambut kemeriahan kolam air pancut Trevi yang dianggap paling cantik di Itali. Peluang bagi pelancong bersantai dan merehatkan diri sambil menikmati kesegaran kopi Itali. Mitos menceritakan pelawat yang ingin mendapat tuah perlu membuat balingan syiling ke dalam kolam dan realitinya kolam tersebut menerima kira-kira RM12,000 setiap hari.

Sekiranya kepenatan, perkhidmatan bas boleh didapati dengan mudah cuma keadaan mungkin sesak pada waktu-waktu tertentu. Pengangkutan teksi pula boleh dikatakan yang paling mahal di Rom tetapi adalah cara paling pantas dan praktikal bagi yang mementingkan masa. Masa yang semakin singkat di Rom boleh ‘dilanjutkan’ dengan kunjungan ke galeri-galeri muzium yang menyimpan khazanah budaya, hasil seni dan politik negara itu.

Muzium Capitoline adalah antara tempat pengumpulan sejarah terbesar di Rom yang terletak di Piazza del Campidoglio. Kompleks merangkumi tiga bahagian termasuk galeri bawah tanah.
Selain itu, beberapa lagi muzium yang boleh menjadi pilihan termasuk Muzium Vatican, Museo Borghese, Muzium Pasta dan Galeri Nasional Seni Moden. 
 
Kepuasan sebenar melawat Rom tidak akan tercapai sekiranya anda tidak melawat bazar Campo dei Fiori yang terletak di antara teater Pompey dan Sungai Tiber. Tapak perniagaan yang bermula sejak kurun ke-15 itu menawarkan pelbagai barangan untuk dijadikan cenderahati.

Cuma untuk memastikan perjalanan lancar, pelancong seharusnya mengenali serba sedikit adat orang Rom. Salah satu daripadanya adalah penutupan premis perniagaan dan restoran pada waktu tengah hari. Masyarakat Rom sejak sekian lama mempraktikkan amalan tidur seketika pada tengah hari.