Jun 27, 2011

Cerita di Toboh Pahu

BARU-BARU ini aku berpeluang ke Ranau, Sabah bersama kumpulan Raleigh Borneo dan Coca-Cola Malaysia untuk menyelami kehidupan masyarakat pedalaman di situ. Ini ceritanya....

Hujan yang mencurah pada petang itu tidak sedikitpun menjejaskan kegembiraan kira-kira 100 orang penduduk di pedalaman Sabah yang hadir untuk meraikan majlis penuh bersejarah di kampung mereka.

Tanpa kerusi dan meja yang mencukupi, majlis di bawah khemah berlantaikan tanah yang sudahpun becak ketika itu tetap meriah. Pada wajah mereka terpancar seribu kesyukuran. Perasmian Projek Air Bersih Untuk Komuniti yang disiapkan pada April lalu menandakan berakhirnya penantian penduduk di Kampung Toboh Pahu dekat Ranau untuk menikmati bekalan air bersih.

Hari tersebut menjadi hari pertama bagi suku kaum Dusun yang mendiami kawasan kaki Gunung Kinabalu itu melihat curahan air dari batang paip. Siapa sangka ketika kebanyakan kita sudah lama menikmati kemudahan asas itu, ada lagi sebilangan penduduk di negara ini yang masih bergantung kepada air tadahan hujan dan saliran air dari celah bukit.


Kanak-kanak sekolah di Toboh Pahu yang kini mendapat bekalan air bersih.
 

Perasmian yang cukup sederhana itu disambut dengan sorakan dan tepukan para tetamu.Majlis bersebelahan dengan perpustakaan desa itu kemudiannya dimeriahkan lagi dengan tarian Sumazau oleh murid-murid sekolah. Majlis disempurnakan oleh wakil Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun iaitu Pengerusi Rakan Pengguna Sabah (RPS), Datuk Amisah Yassin.

Amisah berkata, Kerajaan Negeri Sabah berterima kasih kepada Raleigh dan Coca-Cola Malaysia di atas sumbangan yang amat bererti kepada penduduk pedalaman di situ. Katanya bekalan air yang lebih bersih bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian bahkan dapat mengurangkan risiko penyakit akibat pencemaran air.

"Hari ini saya sendiri dapat merasakan kegembiraan di hati penduduk kampung," katanya sebelum merenjis para tetamu menggunakan air dari saluran paip yang disambung dari puncak bukit.


Amisah memutar kepala paip pada perasmian itu.
Berkongsi kegembiraan pada hari itu ialah 15 orang 'mat dan minah salleh' yang merupakan tulang belakang kejayaan projek bekalan air graviti di Toboh Pahu, kampung yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Kota Kinabalu. Kumpulan remaja berusia antara 17 hingga 25 tahun itu merupakan sukarelawan Raleigh Borneo yang bertungkus-lumus selama sembilan minggu menyiapkan projek yang ditaja bersama syarikat minuman Coca-Cola.

Selain Toboh Pahu, beberapa buah kampung seperti Solungkapit, Bompong dan Monguwou turut menikmati kemudahan daripada Projek Air Bersih Untuk Komuniti pada tahun ini. Terlebih dahulu menerima kemudahan yang sama adalah Kampung Himbaan, Kemborongoh, Linapasan, Mohimboyon, Pasu, Pitas, Randugung, Ratau, Rugading, Sosondoton, Tampasak, Tongou, Tudan dan Vunui Locos.

Sehingga kini, program yang dimulakan sejak 2006 itu telahpun membantu meringankan beban kira-kira 12,000 penduduk di lebih 16 buah kampung di Sabah. Sebelum menerima kemudahan air graviti, penduduk di Toboh Pahu dan pedalaman Ranau menggunakan kaedah tradisional iaitu membuat penyambungan buluh dari anak sungai. Selain itu, mereka juga bergantung kepada tadahan air hujan.


tangki air yang disalurkan kepada kira-kira 300 penduduk di Toboh Pahu.

Penulis yang tiba sebelum perasmian pada hari itu sempat merasai sebahagian daripada kesukaran hidup penduduk di kawasan tanah tinggi itu yang masih bergantung pada air bukit. Lokasinya yang terpencil di puncak bukit menyukarkan penyaliran air bersih melalui paip.
 


Sukarelawan Raleigh Borneo.
 Di Toboh Pahu, Projek Air Bersih Untuk Komuniti dikendalikan oleh dua Pengurus Projek iaitu Rob Collier dan Rory Batt. Menurut Rob, air dikumpul daripada sumber mata air yang ditakungkan menjadi empangan.
tiga minggu kemudian menyambung paip beberapa buah tangki disediakan untuk mendapatkan tekanan yang cukup ke setiap rumah. Kerja mereka setiap hari bermula pada pukul 8 pagi.

  "Perbezaan budaya tidak menghalang apa-apa antara kami, kerjasama lebih penting,''katanya yang baru sahaja menyertai program itu setahun lalu.

Rob berkata, pengalaman yang menarik adalah peluang bekerjasama dengan penduduk kampung semasa menyelesaikan masalah tekanan air sebelum sistem itu berfungsi sepenuhnya.

  "Kita juga terpaksa melalui pendakian ke puncak bukit yang licin dan semak. Masalah bagaimanapun dapat diatasi dengan bantuan penduduk kampung dan menggunakan sumber yang ada,'' katanya.



Jelasnya lagi, walaupun Raleigh boleh melakukan projek itu dengan tenaga profesional tetapi cara yang dilakukan itu adalah untuk menjalinkan hubungan sesama penduduk yang lebih akrab.

Sementara itu, Pengarah Perhubungan Awam dan Komunikasi Coca-Cola Malaysia, Mohamed Kadri Mohamed Taib berkata, pada tahun ini syarikatnya memperuntukkan sebanyak RM148,700 sebagai dana dua tahun projek Air Bersih Kepada Komuniti menjadikan jumlah terkumpul RM386,000.

"Air merupakan kunci perniagaan Coca-Cola , menyedari kepentingan kebersihan sumber air kepada manusia"

Air adalah asas kepada syarikat kami, pada 2020 kita berharap untuk 'memberi semula' jumlah sama air yang telah kami gunakan untuk menghasilkan produk melalui projek seperti itu. Usaha itu katanya bukan hanya memberi kemudahan dalam setiap kehidupan bahkan akan membantu mengurangkan separuh jumlah mereka yang tidak mendapat bekalan air bersih di negara ini.

Pengarah Raleigh Borneo, Mark Mc Carthy berkata, 160 sukarelawan (Venturer) dibahagikan kepada projek bakti komuniti dan alam semula jadi di Maliau Basin dan Sepilok. .

Penglibatan Raleigh dalam penyediaan keperluan paling asas itu - mendidik penduduk kampung untuk mengendalikan sistem itu sebaik-baiknya. Kita juga berharap untuk melihat lebih ramai rakyat Malaysia turut serta di dalam program anjuran Raleigh pada masa akan datang.

Majlis pada petang itu diakhiri dengan nyanyian lagu 'Sayang Kinabalu' yang dinyanyikan oleh dua gadis mat salleh. Kenangan yang pasti tidak akan dilupakan penduduk di Toboh Pahu. 

Melancong ke Tokyo

SELAIN menjadi satu daripada lima bandar terbesar di dunia, Tokyo juga dikenali sebagai destinasi paling selamat dikunjungi. Namun melancong ke kota yang didiami oleh lebih 35 juta penduduk itu tetap mempunyai cabarannya tersendiri.

Berdiri di tengah-tengah ibu negara Jepun itu sahaja sudah cukup untuk membuatkan kita kebingungan dengan apa yang ada di sekeliling. Sama ada pilihan destinasi, barangan ataupun jenis-jenis perkhidmatan, melancong di hutan konkrit itu boleh mengelirukan.

Untuk memahami realiti di metropolitan itu kita perlu berfikir dan bergerak selari dengan kemajuannya. Keadaan lebih sukar kerana Tokyo tidak mempunyai bandar berpusat sebaliknya membangun sekata di lebih 20 kawasan komersial seluas lebih 2,000 kilometer persegi.

Bagi kunjungan kali pertama, peta bandar menjadi satu kemestian untuk merancang perjalanan. Untuk informasi lebih terkini, majalah berbahasa Inggeris seperti Metropolis dan TimeOut Tokyo mungkin boleh membantu anda.

Meskipun bahasa asing tidak banyak dituturkan di Jepun, namun pengembaraan di tengah Pulau Honshu itu tidak serumit yang anda fikirkan. Kebanyakan lokasi pelancongan kini dilengkapi papan-papan tanda berbahasa Inggeris.

Istana Imperial Tokyo

Salah satu daripada tarikan terbesar di bandar ini adalah Istana Imperial Tokyo iaitu kediaman Maharaja Jepun yang juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran kerajaan. Kompleks istana seluas 7.5 kilometer persegi itu terletak di kawasan Chiyoda berhampiran dengan Stesen Tokyo.

Taman sebelah timur atau Kokyo Higashi Gyoen merupakan sebahagian daripada perkarangan istana yang dibuka untuk lawatan. Seperti kebanyakan singgahsana maharaja Jepun yang lain, Istana Imperial Tokyo juga dikelilingi landskap taman yang dihias cantik dengan susunan bonsai, tasik dan jambatan melengkung.
 
Menara Tokyo
Berdiri megah di kawasan rekreasi Shiba Park di Minato-ku pula adalah Menara Tokyo, struktur paling tinggi di negara matahari terbit itu. Menara besi berwarna jingga setinggi 332.6 meter yang menyerupai reka bentuk Menara Eiffel di Paris, Perancis itu merupakan salah satu daripada simbol tersohor di Tokyo sejak pembinaannya pada 1958.

Sejak dibuka kepada pelancong, menara gelombang radio ini telah menerima kira-kira 150 juta pelawat dari seluruh dunia. Pelawat boleh menikmati keindahan panorama metropolitan dari menara tinjau yang terletak pada ketinggian 150 meter.

Selain Menara Tokyo, pelancong juga pasti terpukau dengan kehebatan binaan pencakar langit terbaru yang bakal menjadi menara tertinggi di dunia iaitu Tokyo Sky Tree di Sumida.
Menara yang dijangka siap pada 2012 dengan ketinggian 634 meter itu nanti akan menjadi struktur buatan manusia kedua tertinggi di dunia selepas Burj al-Khalifa di Dubai.
 
Tokyo Dome City
Bagi yang melancong bersama keluarga, persinggahan ke Tokyo Dome City di Bunkyo menawarkan percutian yang penuh dengan keriangan. Tarikan utama adalah permainan roller coaster Thunder Dolphin yang memecut laju melalui rel berpusar dan menembusi dinding bangunan. Gelongsor berteknologi tinggi itu juga menyajikan pemandangan kota Tokyo secara 'terbalik' yang penuh dengan debaran.

Tokyo Dome City turut menempatkan Hotel Dome setinggi 43 tingkat yang terletak tidak jauh dari stesen subway berhampiran iaitu Suidobashi. Taman tema ini juga dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan restoran beraneka selera. Bagaimanapun kunjungan ke taman tema itu mungkin agak singkat untuk lawatan satu hari.
 
Syurga beli-belah
Tokyo sebagai salah satu daripada tunggak terpenting ekonomi Jepun menawarkan 'syurga' bagi yang gemar berbelanja. Tiga kawasan utama untuk membeli-belah utama adalah Ginza, Shibuya dan Shinjuku.
Bagi yang ingin berfesyen, kawasan Ginza yang dipenuhi gudang membeli-belah paling berprestij di Tokyo menawarkan segala-galanya. Galeri jenama mewah seperti Gucci, Prada dan Burberry antara yang paling menarik untuk dikunjungi.

Namun sekiranya harga yang ditawarkan terlalu tinggi bagi poket anda, 'window shopping' sahaja mungkin memadai atau beralih ke gedung yang menawarkan harga lebih berpatutan. Untuk suasana yang lebih meriah, kunjungan ke Ginza pada hujung minggu mungkin keputusan yang baik kerana pada waktu itu jalan-jalan di sekitarnya ditutup kepada lalu lintas, menjadikan laluan penuh glamor itu sesak dengan pejalan kaki.

Selain Ginza, terdapat beberapa lokasi membeli-belah yang dibahagikan mengikut jualan komoditi tertentu. Shinjuku dan Akihabara misalnya cukup terkenal dengan jualan peralatan elektronik.
 
Taman Kebangsaan Shinjuku-Gyoen
Penat dengan hiruk-pikuk di gedung? Sebuah taman yang terletak kira-kira lima minit berjalan kaki dari Stesen Kereta api Shinjuku menyediakan peluang untuk merehatkan minda. Taman yang menggabungkan seni laman tradisional Jepun itu juga merupakan taman botani yang dipenuhi ribuan tumbuhan herba dari Eropah dan China. Taman Kebangsaan Shinjuku-Gyoen seluas 58.7 hektar yang digubah mengikut tema berbeza mempamerkan sekurang-kurangnya seribu spesies pada setiap tahun.

Canon Global Expo 2011


PERKEMBANGAN dunia visual dan multimedia yang rancak pada masa kini seringkali membuatkan kita tertanya-tanya apakah bentuk teknologi yang menanti pada masa hadapan.

Peluang berkunjung ke Ekspo Global Canon 2011 di Shanghai, China baru-baru ini memberi peluang kepada saya untuk merasai sebahagian daripada kehebatan 'piksel dan warna' yang bakal mewarnai kehidupan hari esok.

Ekspo yang berlangsung dari 19 hingga 22 Mei lalu di Pusat Persidangan Antarabangsa Shanghai (SICC) itu merupakan pentas terbesar Canon untuk memperagakan produk dan teknologi terkini. Pameran lima tahun sekali yang merupakan lokasi terakhir bagi siri jelajah ekspo global yang sebelum ini diadakan di New York, Paris dan Tokyo.

Pengembaraan ke alam futuristik Canon di Ekspo Global Canon 2011 bermula selepas perasmian acara disempurnakan oleh Jackie Chan, bintang filem antarabangsa yang dilantik sebagai duta pameran selama empat hari itu.

Di SICC, tirai acara dibuka dengan penuh bergaya di atas pentas berbentuk kapal (Canon Imaging Voyage). Di dek utama, sebuah memorial menceritakan perjalanan syarikat itu dari 1937 hingga sekarang.

Kemeriahan pameran produk-produk Canon yang menanti pengunjung di dewan utama dibahagikan mengikut tema dan bahagian. Bermula dengan segmen kamera kompak, pelawat disajikan dengan himpunan kamera kegemaran ramai dari model versatil seperti IXUS dan Powershot.

Untuk kepuasan peminat-peminat fotografi, pameran peralatan bukan sekadar untuk tontonan bahkan setiap satu daripadanya boleh diuji sendiri. Selain mencuba puluhan kamera DSLR dan lensa-lensa mewah, peluang merakam gambar juga disediakan di dalam persekitaran penuh interaktif, siap dengan model dan penari.


 Selain memenuhi kehendak kelengkapan fotografi peringkat amatur dan profesional, penganjur turut menyediakan gerai penyuntingan gambar, galeri fotografi dan studio potret bagi menambah keintiman pengguna dengan produk. Semua itu bagaimanapun bukan lagi kemuncak pameran kerana apa yang menunggu di tingkat bawah SICC jauh lebih menarik.


Video 4K

Ditanda sebagai segmen masa depan, galeri yang bertema 'Imaging Future' mempamerkan sebuah kamera prototaip yang dipertontonkan kepada umum buat pertama kali.


Kamera pelbagai guna yang kini berfungsi sepenuhnya itu mampu merakam video pada kualiti 60 bingkai sesaat iaitu video generasi baru yang dinamakan 'video 4K'. Dengan kualiti empat kali ganda lebih baik berbanding resolusi definisi penuh (HD) video 4K itu mampu 'dihentikan' untuk memperolehi sekeping gambar pegun yang berdefinisi tinggi.

Namun sasaran kegunaan kamera yang tidak akan dipasarkan dalam masa terdekat itu adalah untuk industri profesional seperti penerbitan, pengiklanan dan televisyen.

Bagi membuktikan kehebatan video 4K itu, rakaman secara langsung ditayangkan pada skrin berdefinisi tinggi (lapan megapiksel), keluaran Canon sendiri. Pengalaman menonton kualiti rakaman itu seolah-olah melihat dari pandangan mata sendiri.

Selain paparan pada skrin berukuran 30 inci itu, rakaman juga ditayangkan melalui skrin projector gergasi yang dinamakan Teater 4K. Selain itu, Canon turut membuktikan keupayaan yang bukan sahaja terhad kepada dunia pengimejan tetapi diperhebat dengan variasi produk yang berkebolehan interaksi secara bersepadu.

Pameran segmen Stesyen Media Bersimpang misalnya menghubungkan fungsi peralatan seperti kamera, komputer, televisyen dan mesin cetak. Teknologi yang akan terus diperkembangkan itu membolehkan pengguna mencetak gambar dari kamera tanpa penyambungan.

Penguasaan masa depan yang dijanjikan Canon kepada pelanggan turut disokong oleh teknologi yang dipamerkan melalui segmen Realiti Campuran, bahagian yang dipenuhi gajet-gajet pandang telus yang cukup futuristik.

Sebagai sebahagian daripada pengalaman 'Menggembirakan Anda Selalu', pelawat juga diberi peluang mencuba alat paparan kepala (cermin mata HMD) yang menggabungkan visual maya dengan keadaan sebenar. Pembangunan teknologi 3D yang semakin rancak itu dijangka membawa anjakan di dalam dunia perisian reka bentuk (AutoCAD) dan teknologi berkaitan industri pembangunan rekaan secara maya dan grafik.Cukup hebat!

Selain kelengkapan fotografi, peralatan lain yang dipamerkan Canon pada pameran itu termasuk mesin pencetak, pengimbas, kamera pemantauan dan kelengkapan perubatan. Agak mengejutkan kerana sepanjang pameran di wilayah komersial Lujiazui itu tiada produk baru diperkenalkan.


Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd., Melvyn Ho ketika ditemui berkata, teknologi yang dipamerkan pada ekspo itu merupakan gambaran awal kepada teknologi pengimejan masa depan Canon.

Bagi Presiden Kumpulan Pemasaran Canon Asia, Hideki Ozawa, pemilihan Shanghai sebagai tuan rumah pameran tersebut amat bertepatan dengan matlamat Canon memperluaskan pengaruh dan pasaran di China dan Asia.

"Untuk jualan rantau ini kita telah mencabar diri sendiri dengan sasaran jualan AS$20 bilion menjelang 2015," katanya pada pembentangan 'Strategi Pertengahan Bagi Tahun 2011-2015'.

Dalam pada itu, Pengerusi Canon Inc, Fujio Mitarai berkata, syarikat kini dalam usaha untuk mengembangkan potensi perniagaan di rantau ini bagi menyaingi pasaran di Eropah.

"Langkah utama yang akan diperkukuhkan adalah strategi berteraskan globalisasi dan kepelbagaian," katanya yang menggelarkan China sebagai 'enjin ekonomi dunia' yang baru.


Jun 12, 2011

Outing with Jonathan Nock

After a night photo session with friends in Genting Highland yesterday night, I have another 'assignment' to go!-accompany my friend Jonathan, an avid climber from Colorado to take some photographs in Petaling Street. Jay is here again after few weeks teaching kayak in Sibu Island, Johor.
During our session, he show me how to play with a flashlight, something that I really want to learn long time ago. We had a chance to see Indian wedding in a temple nearby before shooting in an old Chinese restaurant.


This is the portrait of Jonathan Nock taken by me with the aid of his speedlight. Gotta buy one!
Jay made a great photograph, view his works at http://www.flickr.com/photos/35864279@N02/
http://jonathannockphotography.com/