May 23, 2011

Pesona Pulau Mabul


GEMPA bumi dahsyat yang menggegarkan Jepun pada awal Mac lalu ampir memadamkan hasrat penulis untuk bercuti ke Pulau Mabul yang terletak kira-kira 35 kilometer dari pantai timur Sabah.Walaupun berada di luar lingkaran gempa, pulau yang mengadap Lautan Celebes itu tetap berisiko menerima ancaman jika laut yang dikongsi bersama Filipina dan Indonesia itu bergegar.

Penerbangan ke Tawau ketika itu hanya beberapa hari selepas tsunami besar yang meranapkan bandar-bandar di tepi pantai Jepun. Lebih merisaukan apabila terdengar ramalan satu lagi gegaran kuat bakal menyusul. Namun untuk mengorbankan percutian ke destinasi selam antara yang terbaik di dunia itu nyata sekali satu 'pembaziran'. Kerisauan di hati semakin terubat apabila kerajaan mengesahkan kebocoran radiasi nuklear tidak akan sampai ke perairan Sabah.

Dari Semporna, perjalanan menaiki bot laju selama setengah jam berakhir di 'jeti' sebuah rumah terapung. Ketibaan di Spheredivers Lodge & Tours  Sdn. Bhd. disambut oleh Stanley Csie Kian Kong dan Azhar Adnan, rakan kongsi yang mengendalikan penginapan bajet itu sejak tiga tahun lalu.
Starfish yang banyak bertaburan di dasar Mabul.
Walaupun tanpa dekorasi mewah, penginapan ala inap desa yang dibina di celah rumah-rumah kampung nelayan di situ cukup tenang dan mendamaikan. Beberapa orang tetamu (pelancong) kelihatan sedang bersantai di ruang tamu sambil menikmati pisang goreng bersama kopi panas. Air yang surut sehingga ke paras lutut pada petang itu menampakkan dasar Mabul yang dipenuhi rumput laut dan tapak sulaiman. Dari anjung chalet, kelihatan beberapa ekor ikan nemo yang bersarang di tepi tiang, keintiman alam seperti itu adalah sesuatu yang asing di Semenanjung Malaysia. Mabul kehilangan cahaya sekitar pukul 6.30 petang, tidak lama selepas itu warna-warna firus di langit perlahan-lahan bertukar menjadi merah dan kuning keemasan.

Pemandangan sunset dari anjung Spheredivers.


Pemandangan dari chalet yang mengadap tepat ke arah barat itu menjadi lokasi terbaik untuk menyaksikan keindahan matahari terbenam. Keheningan senja sesekali diselangi deruan jongkong (bot) nelayan yang membawa pulang hasil tangkapan dari laut. Berbeza dengan bot-bot nelayan di Semenanjung, kebanyakan bot nelayan di Mabul menggunakan nama-nama perempuan.

Kunjungan tetamu istimewa

Menjelang tengah malam ketika beristirehat di anjung kafetaria, kami dikejutkan dengan kemunculan seekor penyu dewasa yang berenang berhampiran tangga (jeti) chalet, hanya beberapa meter dari pandangan.

Kelibatnya dilihat semula pada malam kedua namun hanya seketika sebelum diganti dengan kemunculan seekor pari ayam (eagle ray) selebar setengah meter di lokasi yang sama.

  "Penyu dan pari merupakan tetamu di Spheredivers. Kebanyakan tetamu yang menginap selama beberapa hari akan berpeluang melihatnya,'' kata Azhar, 46, yang juga seorang Divemaster di pusat selam Spheredivers.
Pemandangan sekitar kampung nelayan di Mabul.
Lewat malam di anjung yang sama, kerusi-kerusi baring mula dipenuhi penghuni chalet yang ingin menyaksikan satu lagi keajaiban Mabul. Berbeza dengan malam di kota yang penuh dengan pencemaran
cahaya, suasana malam di Mabul diterangi taburan bintang yang bergemerlapan.

Mengintai penghuni di dasar

Selepas menikmati keindahan di permukaan Mabul, masa yang dinanti-nantikan untuk menyelongkar keindahan alam marinnya tiba. Azhar dan Stanley menemani saya dan beberapa orang penyelam ke lokasi selaman pertama iaitu House Reef.


Bersama Azhar (kiri) dan Iwan (kanan).
Pandangan pertama ke dasar Mabul disambut oleh ribuan jackfish yang berenang secara berpusingan seperti puting beliung. Keterujaan membawa penulis ke tengah-tengah pusaran untuk merakam beberapa keping gambar. Azhar yang yang berpengalaman lebih 10 tahun di dalam dunia selam skuba kemudian menunjukkan kami pelbagai spesies unik yang menghuni dasar dengan purata kedalaman antara 20 hingga 30 meter itu.
Daripada hidupan sehalus beras yang kaku tidak bergerak hinggalah spesies berbisa yang pakar dalam penyamaran bentuk dan warna.

Di akhir selaman, keasyikan penulis memerhatikan sekumpulan ikan alu-alu dikejutkan dengan kelibat seekor kerapu gergasi sepanjang kira-kira dua meter. Kami timbul dengan kepuasan terpancar di wajah masing-masing. Stanley yang merekodkan lebih daripada 8,000 selaman berkata, Pulau Mabul mula dikenali kerana kedudukannya yang terletak tidak jauh dari Pulau Sipadan, syurga selam skuba yang diiktiraf di peringkat
antarabangsa.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan, Mabul meraih reputasi tersendiri khususnya di kalangan penyelam yang menggemari spesies marin halus iaitu kategori selam yang dinamakan selaman makro.

School of Jackfish

Selaman jenis itu memberi peluang kepada penyelam untuk mendekati spesies yang hanya boleh dilihat melalui pemerhatian secara terperinci. Kini Mabul tersenarai antara destinasi selam makro terbaik di dunia, bersaing dengan keunikan di Selat Lembeh, Bunaken dan Manado di Indonesia.

  "Di Mabul, peluang melihat kuda laut pygmy, udang, ulat laut (nudybranch), ketam dan belut lebih tinggi berbanding di perairan Semenanjung Malaysia. Selain tarikan dunia makronya, Mabul seperti pulau lain juga menawarkan selaman dinding, selaman dalam dan kapal karam,'' katanya.

Tarikan di Terumbu Panglima, Lobster Wall, Ray Point, Paradise I dan II, Seaventure Rig, Eel Garden dan Coral Reef Garden merupakan sebahagian daripada 15 lokasi selam utama yang menawarkan
pengalaman menyelam cukup menakjubkan.

Mabul kini mempunyai kira-kira 20 penginapan termasuk resort bertaraf lima bintang dan kategori sederhana. Sebahagiannya adalah resort yang dipindahkan dari Pulau Sipadan selepas  arahan pengosongan Pulau Sipadan pada 2005 yang dilakukan bagi tujuan pemuliharaan marin.
Wajah penduduk Mabul yg teerdiri daripada kaum Suluk dan Bajau.
Bagaimana ke Mabul
- Malaysia Airlines System dan AirAsia terbang ke Tawau setiap hari.
- Dari Lapangan Terbang Tawau, sewa sebuah van atau teksi ke
Semporna (jeti) ditawarkan pada harga tidak melebihi RM100 (siang).
-Dari Semporna, sewa minimum bot laju berharga RM150. Penyedia
penginapan biasanya menyediakan penghantaran pergi dan balik.
-Permit untuk menyelam di Pulau Sipadan sebaik-baiknya diuruskan
lebih awal.

Penginapan Bajet di Mabul


SELEPAS arahan pengosongan Pulau Sipadan pada 2005 bagi  tujuan pemuliharaan, Pulau Mabul yang terletak berhampiran dengannya menjadi tumpuan sebagai tempat penginapan dan persinggahan. Namun percutian ke pulau yang semakin popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara itu memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi  kalau diambil kira kos penerbangan ke Tawau, Sabah.

Jika melayari Internet, kebanyakan pakej penginapan termasuk selaman yang ditawarkan oleh resort-resort mewah biasanya tidak kurang daripada RM2,500 seorang. Namun bagi yang mencari penginapan lebih murah, pakej inap desa kini antara yang kian popular di Pulau Mabul. Satu daripadanya adalah Spheredivers Lodge & Tours yang menawarkan percutian pada harga berpatutan.

pusat selam yg disediakan.

Pengurus  calet, Azhar Adnan berkata, pakej yang ditawarkan oleh Spheredivers diperkenalkan untuk memberi peluang kepada pelancong yang tidak berbajet besar ataupun mereka yang ingin tinggal lebih lama.

  “Selama ini ramai yang tidak berpeluang untuk  datang ke Mabul kerana mengambil kira kos penginapan yang mahal apatah lagi melibatkan tambang penerbangan. Kami menerima sambutan yang menggalakkan di kalangan penyelam dan juga pelancong yang datang sekadar berehat dan melakukan selam snorkel,” kata bekas jurutera kelahiran Negeri Sembilan itu.

Spheredivers menawarkan 14 penginapan pada harga RM70 semalaman termasuk sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Tawaran itu jika dihitung hampir 10 kali ganda lebih murah berbanding resort-resort berbintang di pulau itu.

Tanpa pendingin udara, bilik dua katil yang dilengkapi almari menyediakan penginapan sederhana yang bersih dan selesa dengan kemudahan bilik air berasingan. Seperti kebanyakan penginapan di pulau itu, Spheredivers menggunakan air tawar dari pulau untuk kegunaan di bilik mandi manakala bekalan air bersih  diperolehi dari Semporna. Pakej menyelam ditawarkan pada harga RM80 dan RM100 (selaman bot) untuk selaman pada waktu malam.

 
Glassfish
Bagi yang tidak menyelam, pakej snorkeling di lokasi  sekeliling pulau boleh dilakukan termasuk kunjungan ke beberapa pulau  sekitar Mabul seperti Mataking, Kapalai, Siamil dan Mantabuan. Bagi yang gemarkan fotografi, perkampungan nelayan tradisional yang dihuni oleh kaum Bajau dan Suluk itu menawarkan seribu satu keunikan landskap dan wajah-wajah penduduknya.

Bagi yang ingin merasai pengalaman bercuti di atas sebuah pulau kecil di tengah laut, Spheredivers  boleh dihubungi  di talian 012-2857043 (Azhar) atau kunjungi Spheredivers Lodge (Facebook).

1 comment: