TERSISIH jauh di sebelah barat Australia, Perth membangun sebagai kota metropolitan yang memiliki keunikan yang cukup tersendiri.
Dipisahkan dengan bentuk muka bumi bergunung dan gurun, bandar terdekat dengan ibu negeri Australia Barat itu adalah Adelaide yang berada sejauh 2,000 kilometer ke sebelah timur.
Seperti destinasi tarikan utama Australia yang lain, Perth menjanjikan kepuasan bercuti di tengah kota yang moden dan menikmati alam semula jadi tanpa perlu mengembara jauh dari bandar.
Metropolitan Perth berada di sepanjang tebingan Sungai Swan iaitu kawasan South West Division yang terletak di antara Laut India dengan kawasan pesisir pantai rendah Darling Range.
Bagi yang mencintai kemeriahan di tengah kota, kota kelahiran bintang filem terkenal seperti Heath Ledger dan penyanyi kumpulan rock AC/DC, Bon Scott itu menawarkan hiburan yang bertali-arus.
Dewan Konsert Perth misalnya menjadi lokasi utama penganjuran teater, opera dan orkestra. Selain itu, pelbagai jenis hiburan juga boleh ditemui di sekitar pusat kebudayaan bandar yang dipenuhi kafe, teater dan restoran. Kota Perth yang mempunyai 1.6 juta penduduk juga dikenali sebagai City of Light kerana kemeriahan bandar yang sentiasa bergemerlapan. Kawasan komersialnya menawarkan kemeriahan cahaya bangunan pencakar langit yang menakjubkan.
Lokasi terbaik untuk melihat atau merakam gambar adalah dari seberang Sungai Swan, di mana pelancong boleh melihat Central Park, bangunan ketujuh tertinggi di dunia. Penginapan di Perth ditawarkan pada kualiti yang sedikit tinggi, namun pilihan tetap disediakan bergantung pada gaya dan bajet. Sama ada hotel butik atau pangsapuri, pilihan terletak di tangan anda.
Dengan jarak pemanduan selama 30 minit dari pusat bandar, pelancong boleh menyelongkar kawasan hutan dan rekreasi pinggir bandar yang dikenali dengan nama King Park. Ia menawarkan peluang terbaik bagi yang ingin melarikan diri seketika daripada kesibukan kota Perth. Di Kings Park, pelancong dapat menyaksikan keindahan alam di sekitar Sungai Swan.
Tidak puas dengan kehijauan alam di sekitar kawasan bandar yang dibangunkan di atas tanah lembap dan paya? Pelawat juga boleh mendapatkan bot persiaran menuju ke dua destinasi utama di Perth iaitu Fremantle dan Pulau Rottnest.
Fremantle di selatan Perth menawarkan persembahan budaya di galeri dan kaki lima yang dipenuhi pemuzik jalanan. Pelancong boleh memilih untuk berhibur secara berkumpulan atau sekadar memerhati secara santai dari kafe dan restoran.
Pulau Rottnest atau Rotto adalah pusat peranginan tengah laut yang cukup popular di Australia. Ia juga dikenali dengan populasi Quokka iaitu spesies kanggaru kecil seperti tupai yang banyak menghuni pulau yang terletak tidak berapa jauh dengan Perth.
Tanpa kenderaan yang dibenarkan beroperasi di pulau Rotto, cara terbaik untuk menikmati kedamaian pulau yang dikelilingi 63 pantai ini adalah dengan menyewa basikal dan mula mengayuh.
Selain tarikan barisan pantai berpasir kuning yang banyak di sekeliling Perth, kawasan pesisir lautnya juga menawarkan peluang terbaik bagi mereka yang gemar bersnorkel atau melakukan selam skuba.
Berenang bersama jerung paus di Terumbu Ningaloo merupakan satu daripada tarikan yang menjanjikan pengalaman yang sukar dicuba di mana-mana. Dibahagikan kepada 10 perenang dalam satu kumpulan, rasai kekerdilan diri ketika berenang bersebelahan dengan spesies ikan terbesar di dunia.
Bagi yang melancong untuk menikmati selera makanan yang unik, Perth adalah kota yang dipenuhi cita rasa. Di sini pelancong boleh memilih kepelbagaian masakan dari barisan restoran China,India, Malay, Korea, Itali, Poland dan Turki.
May 30, 2011
Banjaran Hotsprings Retreat
May 28, 2011
Sky at night
Berpeluang untuk memandu uji SUV Hyundai iaitu Tucson pada minggu ini. Lokasi ujian untuk kenderaan berkuasa 2.4 liter ini adalah ke Genting Highlands. Memandu uji sekadar biasa namun apa yang lebih menarik adalah sewaktu melihat keindahan langit, peluang tidak dilepaskan untuk merakam beberapa keping gambar.
Berikut gambar langit pada dedahan 15 saat f2.2. Lokasi sudah ditemui untuk menjejak milky way.. click utk gambar lebih besar.
Berikut gambar langit pada dedahan 15 saat f2.2. Lokasi sudah ditemui untuk menjejak milky way.. click utk gambar lebih besar.
May 23, 2011
Pesona Pulau Mabul
GEMPA bumi dahsyat yang menggegarkan Jepun pada awal Mac lalu ampir memadamkan hasrat penulis untuk bercuti ke Pulau Mabul yang terletak kira-kira 35 kilometer dari pantai timur Sabah.Walaupun berada di luar lingkaran gempa, pulau yang mengadap Lautan Celebes itu tetap berisiko menerima ancaman jika laut yang dikongsi bersama Filipina dan Indonesia itu bergegar.
Penerbangan ke Tawau ketika itu hanya beberapa hari selepas tsunami besar yang meranapkan bandar-bandar di tepi pantai Jepun. Lebih merisaukan apabila terdengar ramalan satu lagi gegaran kuat bakal menyusul. Namun untuk mengorbankan percutian ke destinasi selam antara yang terbaik di dunia itu nyata sekali satu 'pembaziran'. Kerisauan di hati semakin terubat apabila kerajaan mengesahkan kebocoran radiasi nuklear tidak akan sampai ke perairan Sabah.
Dari Semporna, perjalanan menaiki bot laju selama setengah jam berakhir di 'jeti' sebuah rumah terapung. Ketibaan di Spheredivers Lodge & Tours Sdn. Bhd. disambut oleh Stanley Csie Kian Kong dan Azhar Adnan, rakan kongsi yang mengendalikan penginapan bajet itu sejak tiga tahun lalu.
Starfish yang banyak bertaburan di dasar Mabul. |
Pemandangan sunset dari anjung Spheredivers. |
Pemandangan dari chalet yang mengadap tepat ke arah barat itu menjadi lokasi terbaik untuk menyaksikan keindahan matahari terbenam. Keheningan senja sesekali diselangi deruan jongkong (bot) nelayan yang membawa pulang hasil tangkapan dari laut. Berbeza dengan bot-bot nelayan di Semenanjung, kebanyakan bot nelayan di Mabul menggunakan nama-nama perempuan.
Kunjungan tetamu istimewa
Menjelang tengah malam ketika beristirehat di anjung kafetaria, kami dikejutkan dengan kemunculan seekor penyu dewasa yang berenang berhampiran tangga (jeti) chalet, hanya beberapa meter dari pandangan.
Kelibatnya dilihat semula pada malam kedua namun hanya seketika sebelum diganti dengan kemunculan seekor pari ayam (eagle ray) selebar setengah meter di lokasi yang sama.
"Penyu dan pari merupakan tetamu di Spheredivers. Kebanyakan tetamu yang menginap selama beberapa hari akan berpeluang melihatnya,'' kata Azhar, 46, yang juga seorang Divemaster di pusat selam Spheredivers.
Pemandangan sekitar kampung nelayan di Mabul. |
cahaya, suasana malam di Mabul diterangi taburan bintang yang bergemerlapan.
Mengintai penghuni di dasar
Selepas menikmati keindahan di permukaan Mabul, masa yang dinanti-nantikan untuk menyelongkar keindahan alam marinnya tiba. Azhar dan Stanley menemani saya dan beberapa orang penyelam ke lokasi selaman pertama iaitu House Reef.
Bersama Azhar (kiri) dan Iwan (kanan). |
Daripada hidupan sehalus beras yang kaku tidak bergerak hinggalah spesies berbisa yang pakar dalam penyamaran bentuk dan warna.
Di akhir selaman, keasyikan penulis memerhatikan sekumpulan ikan alu-alu dikejutkan dengan kelibat seekor kerapu gergasi sepanjang kira-kira dua meter. Kami timbul dengan kepuasan terpancar di wajah masing-masing. Stanley yang merekodkan lebih daripada 8,000 selaman berkata, Pulau Mabul mula dikenali kerana kedudukannya yang terletak tidak jauh dari Pulau Sipadan, syurga selam skuba yang diiktiraf di peringkat
antarabangsa.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan, Mabul meraih reputasi tersendiri khususnya di kalangan penyelam yang menggemari spesies marin halus iaitu kategori selam yang dinamakan selaman makro.
School of Jackfish |
Selaman jenis itu memberi peluang kepada penyelam untuk mendekati spesies yang hanya boleh dilihat melalui pemerhatian secara terperinci. Kini Mabul tersenarai antara destinasi selam makro terbaik di dunia, bersaing dengan keunikan di Selat Lembeh, Bunaken dan Manado di Indonesia.
"Di Mabul, peluang melihat kuda laut pygmy, udang, ulat laut (nudybranch), ketam dan belut lebih tinggi berbanding di perairan Semenanjung Malaysia. Selain tarikan dunia makronya, Mabul seperti pulau lain juga menawarkan selaman dinding, selaman dalam dan kapal karam,'' katanya.
Tarikan di Terumbu Panglima, Lobster Wall, Ray Point, Paradise I dan II, Seaventure Rig, Eel Garden dan Coral Reef Garden merupakan sebahagian daripada 15 lokasi selam utama yang menawarkan
pengalaman menyelam cukup menakjubkan.
Mabul kini mempunyai kira-kira 20 penginapan termasuk resort bertaraf lima bintang dan kategori sederhana. Sebahagiannya adalah resort yang dipindahkan dari Pulau Sipadan selepas arahan pengosongan Pulau Sipadan pada 2005 yang dilakukan bagi tujuan pemuliharaan marin.
Wajah penduduk Mabul yg teerdiri daripada kaum Suluk dan Bajau. |
- Malaysia Airlines System dan AirAsia terbang ke Tawau setiap hari.
- Dari Lapangan Terbang Tawau, sewa sebuah van atau teksi ke
Semporna (jeti) ditawarkan pada harga tidak melebihi RM100 (siang).
-Dari Semporna, sewa minimum bot laju berharga RM150. Penyedia
penginapan biasanya menyediakan penghantaran pergi dan balik.
-Permit untuk menyelam di Pulau Sipadan sebaik-baiknya diuruskan
lebih awal.
Penginapan Bajet di Mabul
SELEPAS arahan pengosongan Pulau Sipadan pada 2005 bagi tujuan pemuliharaan, Pulau Mabul yang terletak berhampiran dengannya menjadi tumpuan sebagai tempat penginapan dan persinggahan. Namun percutian ke pulau yang semakin popular di kalangan pelancong tempatan dan luar negara itu memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi kalau diambil kira kos penerbangan ke Tawau, Sabah.
Jika melayari Internet, kebanyakan pakej penginapan termasuk selaman yang ditawarkan oleh resort-resort mewah biasanya tidak kurang daripada RM2,500 seorang. Namun bagi yang mencari penginapan lebih murah, pakej inap desa kini antara yang kian popular di Pulau Mabul. Satu daripadanya adalah Spheredivers Lodge & Tours yang menawarkan percutian pada harga berpatutan.
pusat selam yg disediakan. |
Pengurus calet, Azhar Adnan berkata, pakej yang ditawarkan oleh Spheredivers diperkenalkan untuk memberi peluang kepada pelancong yang tidak berbajet besar ataupun mereka yang ingin tinggal lebih lama.
“Selama ini ramai yang tidak berpeluang untuk datang ke Mabul kerana mengambil kira kos penginapan yang mahal apatah lagi melibatkan tambang penerbangan. Kami menerima sambutan yang menggalakkan di kalangan penyelam dan juga pelancong yang datang sekadar berehat dan melakukan selam snorkel,” kata bekas jurutera kelahiran Negeri Sembilan itu.
Spheredivers menawarkan 14 penginapan pada harga RM70 semalaman termasuk sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Tawaran itu jika dihitung hampir 10 kali ganda lebih murah berbanding resort-resort berbintang di pulau itu.
Tanpa pendingin udara, bilik dua katil yang dilengkapi almari menyediakan penginapan sederhana yang bersih dan selesa dengan kemudahan bilik air berasingan. Seperti kebanyakan penginapan di pulau itu, Spheredivers menggunakan air tawar dari pulau untuk kegunaan di bilik mandi manakala bekalan air bersih diperolehi dari Semporna. Pakej menyelam ditawarkan pada harga RM80 dan RM100 (selaman bot) untuk selaman pada waktu malam.
Glassfish |
Bagi yang ingin merasai pengalaman bercuti di atas sebuah pulau kecil di tengah laut, Spheredivers boleh dihubungi di talian 012-2857043 (Azhar) atau kunjungi Spheredivers Lodge (Facebook).
Eurovac Trip
SELEPAS menikmati keindahan di kaki Banjaran Alps, perjalanan keluar dari tapak perkhemahan di Alpencamping, Austria disambut dengan hamparan padang rumput yang dipenuhi bunga-bunga liar pelbagai warna.Pemandangan 'countryside' yang cukup memukau itu mengingatkan penulis kepada babak di dalam filem The Sound of Music. Secara kebetulan lokasi persinggahan kami ketika itu tidak berapa jauh dengan kawasan pergunungan Salzburg, tempat penggambaran filem berkenaan.
Austria merupakan negara kedua yang dilalui kumpulan Eurovac 2011. Trip jelajah Eropah menaiki kenderaan rekreasi (motorhome) itu adalah yang pertama dianjurkan di negara ini. Dari Austria, pengembaraan 19 orang peserta termasuk lima orang pihak penganjur ketika itu masih berbaki enam buah negara iaitu Liechtenstein, Switzerland, Itali, Perancis, Belgium dan Belanda.
Pengembaraan bermula
Kabin dalam motorhome yg memuatkan 5-6 orang. |
Kesempatan berada di Munich tidak dilepaskan untuk melawat dataran Marienplatz, bekas tapak perniagaan dari Zaman Pertengahan Inggeris yang dipenuhi sejarah dan seni bina medieval. Munich yang merupakan ibu negeri kepada negeri persekutuan Bavaria di Jerman memperlihatkan kami budaya dan teknologi yang mengagumkan.
Keesokan harinya, penantian para peserta untuk memulakan jelajah berakhir apabila empat buah motorhome yang dipandu oleh pihak penganjur tiba di depan hotel. Kenderaan yang setiap satu mampu memuatkan lima orang penghuni itu bakal menjadi 'hotel bergerak' peserta sepanjang 11 hari jelajah Eropah.Walaupun terpaksa menyesuaikan diri dengan pemanduan sebelah kiri (stereng), perjalanan dari Munich ke Austria berjalan lancar dengan pengguna-pengguna jalan raya yang cukup berhemah.
Membeli-belah barang mentah utk kegunaan trip. |
Pemandangan di sekitar Alps pada awal pagi yg sempat dirakam penulis. |
Selepas menikmati makan malam di dalam suhu antara di bawah 10 darjah Celsius, kami terlena di dalam keselesaan motorhome masing-masing. Keesokan harinya, keindahan di tapak perkhemahan karavan itu ditinggalkan demi meneruskan perjalanan yang masih jauh. Selepas Austria kami tiba ke negara ketiga iaitu Liechtenstein, antara negara terkecil di dunia yang mempunyai 14 buah kampung. Liechtenstein dengan populasi kira-kira 35,000 penduduk terletak sepenuhnya di jajaran Alps yang dilalui kami sebelum memasuki Switzerland.
Bergambar bersama motorhome di Switzerland!! |
Camp site Alpencamping di Austria. |
Walaupun tiada persinggahan (bermalam) di Switzerland perjalanan sejauh kira-kira 400 kilometer ke Milan, Itali langsung tidak menjemukan kerana keindahan alam yang menemani kami di kiri kanan jalan. Jika tidak memandang ke puncak Alps, pandangan pasti terpukau pada istana-istana lama yang dibina tergantung di puncak bukit. Ketibaan di Itali disedari apabila salah seorang pemandu memberi penerangan mengenai Campione d'Italia iaitu sebuah penempatan di tepi Tasik Lugano. Kawasan persempadanan yang berada di depan mata ketika itu menandakan kami sudahpun meninggalkan Switzerland dengan penuh ketakjuban pada keindahan alamnya.
Di tengah-tengah kota Milan, Itali |
Bersebelahan dengannya adalah Galleria Vittorio Emanuele. Bangunan yang dinamakan sempena raja Itali pertama, menempatkan kedai-kedai dan restoran terawal di Milan. Bangunan berkubah kaca itu kini menjadi 'bilik pameran' jenama-jenama berprestij seperti Prada, Gucci, Louis Vuitton dan Massimo Dutti.
Perhentian kami seterusnya adalah Paris, Perancis, destinasi kemuncak bagi setiap keluarga yang mengikuti Eurovac 2011. Di tengah-tengah dataran hijau Champ de Mars, semua terpegun melihat Menara Eiffel yang diidam-idamkan. Kesempatan berada di bawah struktur tertinggi di Paris itu tidak dilepaskan untuk mendapatkan cenderahati dan merakam gambar kenang-kenangan.
Selepas menatap sepuas-puasnya keajaiban dunia itu, kami menuju ke sebelah timur kota Perancis untuk menyelongkar dunia penuh fantasi di Disneyland Paris. Keseronokan selama setengah hari di taman tema itu membuatkan segala kepenatan yang dirasai lenyap sekelip mata. Hari ketujuh menjadi hari paling mencabar bagi peserta Eurovac 2011. Dari Paris, perjalanan ke Calais sejauh lebih 800 kilometer menuju ke pengkalan feri SeaFrance untuk menyeberang ke Dover.
Peluang melawat Disneyland Paris |
Kekecewaan terubat sebaik kami tiba di Camping Het Rietveen, tapak perkhemahan yang terletak di pinggir bandar Amsterdam. Kawasan pinggir tasik yang dihuni itik-itik liar yang bebas berterbangan terus melenyapkan kegusaran di hati. Kesempatan berada di kota Belanda tidak melepaskan oleh peserta untuk menaiki bot pesiaran melalui terusan yang menjadi nadi kota yang terkenal dengan industri perdagangan kapal sejak sekian lama.
Bunga tulip di Keukenhof Garden |
Selain susunan tulip pelbagai warna, peserta juga tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan di depan kincir, ikon paling popular negara Belanda. Maklumat lanjut mengenai trip boleh diperolehi daripada wakil EuroVac 2011 Addy 019-2677301
Penulis a.k.a Motorhome driver. |
May 8, 2011
Not a Thaipusam day
Subscribe to:
Posts (Atom)