Aug 28, 2010

Olympus E-PL1

E-PL1 yang dijual pada harga RM2,499.

AGAK keterlaluan untuk mengatakan kecanggihan teknologi kamera pada masa kini menggugat kredibiliti kebanyakan jurugambar kerana mereka adalah golongan yang lebih pakar dan berpengalaman di dalam bidang fotografi.

Namun dengan perkembangan teknologi pengimejan yang semakin pesat, penghasilan gambar dengan kualiti 'setanding' kini bukan lagi sesuatu yang mustahil di tangan pengguna bukan profesional.

Keupayaan pemprosesan, kepantasan, fokus, definisi tinggi dan kepelbagaian fungsi automatik telah membantu pengguna merakamkan gambar dengan lebih baik walaupun hanya dengan sebuah kamera kompak.

Bagi yang tidak mahu dibebani kerumitan kamera digital lensa refleks tunggal (DSLR), model E-PL1 dari Olympus mungkin jawapannya. Dengan saiz dan berat yang lebih kecil, kamera hibrid ini menghasilkan gambar dengan kualiti DSLR.

WOW! baru-baru ini menguji Kamera Lensa Boleh Tukar Tanpa Cermin (MILC) itu di Santuari Gajah Kuala Gandah, taman rusa Deerland dan Gua Terang Bulan di Pahang. Daripada sesi test drive itu, pengendalian E-PL1 didapati cukup mudah. Sebagai pengguna baru, kamera itu berfungsi dengan baik selepas beberapa ketika di tangan saya.

Cuma kaedah penguncian lensa yang tidak membenarkan kamera beroperasi selagi kunci tidak dibuka agak merumitkan.Selebihnya, E-PL1 adalah kamera yang senang dikendali oleh sesiapa sahaja. Bagi pengguna yang masih ragu-ragu untuk berpindah kepada DSLR, E-PL1 adalah pilihan yang ideal tanpa jurang perbezaan yang terlalu nyata.

E-PL1 menggunakan sensor LIVE MOS 12.3 megapiksel yang bersamaan dengan saiz sensor kamera DSLR. Kelebihan yang digabungkan dengan pemproses imej TruePic itu menghasilkan imej yang jelas dan tajam walaupun dirakam dalam apa jua pilihan mod. Ia terbukti daripada kira-kira 100 gambar yang dirakam, hanya beberapa keping sahaja yang kabur.

Nyata, teknologi penstabilan imej E-PL1 menjalankan tugas dengan cukup baik. Bahkan kualiti gambar masih jelas walaupun dirakam pada ISO melebihi nilai 1,000 - biasanya menjejaskan kualiti gambar.

Untuk penyelarasan yang lebih teknikal, pengguna boleh melakukan pengubahsuaian warna, kecerahan dan imbangan putih melalui gelongsor naik dan turun. Dengan keistimewaan fungsi Live Guide itu, pengguna boleh mendapatkan gambar seperti yang diinginkan semudah mengubah warna pada set televisyen di rumah.

E-PL1 juga sangat menyeronokkan bagi mereka yang gemarkan fotografi jalanan. Selain fungsi iAuto, enam pilihan Art Filter disediakan iaitu Pin Hole, Pop Art, Soft Focus, Grainy Film, Gentle Sepia dan Diorama yang memberikan rakaman kesan kreatif.

effect daripada Art Filter diorama

effect daripada Art Filter pinhole

Dengan kesan khas yang disediakan itu, pengguna kamera ini tidak perlu menghabiskan masa untuk melakukan suntingan melalui perisian imej. Lebih menyeronokkan lagi juga apabila kesemua fungsi Art Filter itu juga berfungsi untuk rakaman video.

Selain kualiti gambar yang memberangsangkan, model yang diperbaharui daripada dua model PEN terdahulu (E-P1 dan E-P2) ini juga merakamkan video dengan kualiti definisi tinggi (HD). Bagaimanapun, secara peribadi saya kurang menyukai butang video di belakang kamera yang terlalu 'sensitif'. Meskipun ia direka sebagai butang pintas untuk rakaman video, butang yang mudah tersentuh tanpa sengaja itu menjadikan E-PL1 agak menjengkelkan semasa kegunaan aktiviti luar.

Meskipun E-PL1 ditingkatkan dengan flash bina dalam (tidak terdapat pada E-P1), ia masih mempunyai kekurangan kerana ketiadaan pancaran infra merah untuk pemfokusan.

Semasa berada di bahagian paling gelap di Gua Terang Bulan, tiada sebarang gambar dapat dirakamkan penulis. Namun sebaik sahaja titik fokus ditemui, E-PL1 kembali membuktikan kehebatan kualiti imejnya walaupun dalam cahaya rendah.

kualiti gambar low-light di dalam Gua Terang Bulan, tanpa flash.

E-PL1 yang dijual pada harga RM2,499 dipadankan dengan lensa (14-42 mm, f/3.5 -5.6) manakala set dengan lensa 14-150mm f/4.0- 5.6 (RM3,899). Harga untuk lensa luas 9-18mm pula boleh didapati pada harga RM2,400 (asing).


pilihan lensa zoom dan wide angle yang boleh didapati untuk kegunaan kamera ini. Bagaimanapun, harga yang ditawarkan agak mahal terutama bagi pengguna yang sudah biasa dengan penggunaan DSLR.


Selain itu, layout interface yang dipaparkan pada skrin juga agak 'kusam' berbanding kebanyakan kompak. Namun, E-PL1 masih lagi sebuah kamera yang menyeronokkan untuk dimiliki.

Aug 27, 2010

Shark Fin ?

Gambar ini dirakam di Philippines Market, Kota Kinabalu Sabah, Julai 2010.

SIRIP ikan jerung dihidangkan sebagai makan mewah yang menjadi lambang status dan kepercayaan masyarakat Asia kerana khasiatnya. Padahal menurut kajian yang dilakukan, saintis tidak menemui sebarang khasiat luar biasa yang ada pada sirip jerung.

Akibat permintaan yang tinggi terhadap sirip jerung di China dan negara Asia, aktiviti pemburuan jerung dilakukan secara berleluasa sejak dari tahun 70-an. Sejak itu, populasi beberapa spesies jerung direkodkan menurun sehingga 90 peratus.

Setiap tahun dianggarkan lebih kurang 10 juta ikan yu atau jerung MAUT daripada aktiviti pemburuan. Nilai sirip yang mahal turut menyumbang kepada kaedah pemburuan yang zalim di mana jerung-jerung yang ditangkap dipotong siripnya dan kemudian dilepaskan semula ke laut.


Tanpa sirip, jerung yang dilepaskan semula ke dalam laut bakal menemui nasib malang. Kebanyakannya mati akibat kecederaan, lemas dan gagal mendapatkan makanan sendiri.
Bayangkan, jika perkara yang sama dilakukan pada manusia.

Sebagai pemangsa utama di laut yang wujud sejak daripada zaman dinosaur, kemerosotan jumlah jerung telah menyebabkan gangguan yang serius dalam rantaian makanan yang kini semakin menjejaskan susun atur alam.

Jadi kenapa perlu makan sirip ikan jerung? Padahal rasa ayam jauh lebih sedap. Kadang-kala manusia cukup bodoh untuk terpengaruh dengan makanan-makanan yang hebat pada tanda harganya.
Jerung sepatutnya hidup bebas di lautan tanpa ancaman. Bertindak sekarang.
Hentikan permintaan pada sirip jerung untuk generasi seterusnya.

Aug 23, 2010

"Two Moons" pada 27 Ogos 2010.

Kiriman email:

"Dont miss this.. this phenomena is not worth missing. Put this in your memo and watch out the Two Moons in the sky on the night of 27 August 2010".
NO ONE ALIVE TODAY WILL SEE THIS AGAIN!!!.


RASANYA ramai dah dapat email seperti di atas dan sudah maklum mengenai fenomena terbesar yang diramal berlaku pada malam 27 Ogos tahun ini. Fenomena 'dua bulan' yang akan disaksikan oleh manusia seluruh dunia. Jika tidak melalui Facebook, mungkin berita itu diterima melalui email yang dikirim rakan yang excited dan 'prihatin' untuk berkongsi sesuatu yang hebat dengan anda :P

Bagi yang belum menerimanya (-dalam email berkenaan-) Planet Mars dikatakan bersinar dalam cahaya paling terang bermula pada Ogos 2010. Saiznya dikatakan menyamai saiz bulan kerana Mars ketika itu berada pada jarak 34.65 juta batu dari bumi. Jarak paling hampir adalah pada malam 27 haribulan, Jumaat ini.

Jika terlepas, peluang seterusnya untuk kita melihat fenomena itu berulang adalah pada tahun 2287. Dan semestinya, tiada manusia yang hidup pada hari ini dapat menyaksikannya semula. Begitulah hebatnya tarikan yang dipadankan. Yang pasti ramai sudah memasukkan berita itu ke dalam memo dan diari masing-masing. Teruja untuk menyaksikan fenomena itu berlaku.


Seperti anda semua, aku juga menerima emel yang sama kira-kira sebulan lalu. Namun semasa melakukan operasi 'membersihkan' email-email lama baru-baru ini, baru terperasan sebenarnya aku pernah melihatnya pada Julai 2003, kemudian pada 2005 dan 2006. Tahun ini kita dikatakan akan melihatnya lagi, dan aku yakin 99% kita akan terus melihat semua ini untuk tahun-tahun akan datang ..Maksud aku email berantai pasal Two Moons tu , bukannya fenomena.

Sedarkah kita betapa mudah kita menerima segala maklumat yang disumbat melalui Internet dan TV. Tanpa memeriksa kesahihan mengenainya terlebih dahulu. Ketahuilah bahawa "di dalam dunia ini, ada manusia yang gemar menipu dan mengada-ngadakan cerita palsu. Manusia yang memperoleh nikmat dengan memperbodohkan manusia, apatah lagi jika yang diperbodohkan itu sebahagian besar daripada penghuni planet.KAHKAHKAH!! mana ada dua bulan beb, bulan dua adalah!
Moral: Jangan terlalu mudah percaya pada kiriman emel, gambar, sebaran video dan sebagainya...n jangan mudah jadi bangang.


Aug 20, 2010

Legria HF R18 dan Legria HF R16

MERAKAM video pada majlis keraian atau ketika dalam percutian kini semudah merakam gambar biasa dengan kamera video kompak. Apatah lagi jika saiz gajet tersebut lebih kecil daripada tapak tangan sendiri.
Canon Malaysia baru-baru ini memperkenalkan dua model terbaru dalam teknologi rakaman video berdefinisi tinggi (HD) iaitu siri Legria HF R18 dan Legria HF R16.
Siri Legria direka untuk memenuhi kehendak pengguna yang mahukan operasi mudah dan ringkas namun dapat menghasilkan kualiti rakaman yang baik. Model ini sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia videografi.
Model R18 didatangkan dengan kapasiti simpanan data berjumlah 32GB manakala model R16 pula dilengkapi kad memori 8GB. Dengan kapasiti itu, R18 dan R16 masing-masing mampu menampung rakaman sehingga 12 jam dan tiga jam.
Kualiti rakaman imej Legria yang menggunakan DIGIC DV III dilengkapi teknologi pengesanan wajah. Pada fungsi itu, kamera secara automatik akan memaksimumkan fokus sebaik sahaja mengesan muka manusia, sekaligus menghasilkan imej lebih jelas.
Dengan mod Smart Auto, siri Legria ini dipakejkan dengan kepintaran untuk merakam imej dengan penuh teliti, tanpa sebarang kesulitan. Dalam apa juga situasi, perakam video ini menghasilkan imej yang baik dengan mengesan jarak subjek, keterangan, warna dan pergerakan.
Mod pemandangannya pula mampu mengenalpasti 31 situasi berbeza sama ada pada hari terang, malam, lewat petang dan cahaya setempat sama ada subjek dalam keadaan kaku, bergerak dan jarak dekat.
Legria juga dilengkapi dengan fungsi penstabilan imej (IS) yang memungkinkan rakaman dilakukan pada bila-bila tanpa kesan kabur walaupun ketika zoom (minimum). Fungsi IS membantu rakaman lebih jelas dengan mengurangkan impak gegaran.
Skrin LCD sebesar 2.7 inci memberikan imej jelas untuk mendapatkan bingkai gambar semasa rakaman dan juga ketika dimainkan semula.
Dengan kamera video ini, anda boleh meninggalkan segala kerumitan fungsi yang biasanya ada pada sebuah kamera. Dengan menekan dua butang, rakaman video dilakukan dengan kualiti terbaik.

SF-15 X-Pert Zoom Z3

SELEPAS lima tahun penyelidikan dan pembangunan yang membawa kejayaan pada model terlaris TUSA iaitu SF-8 X-Pert, TUSA sebagai pengeluar peralatan skuba antarabangsa memperkenalkan sirip selam terbaru, SF-15 X-Pert Zoom Z3.
Berbeza dengan sirip selam konvensional yang menghasilkan daya tujahan daripada dayungan, sirip berbelah SF-15 memanfaatkan (lebih daya) daripada tekanan dua arus (yang dipotong bilah) .
Untuk prestasi maksimum, bahagian buku lali sirip selam ini direka dengan lengkungan 27 darjah yang terbukti mengurangkan tenaga semasa mendayung. Rekaan berdasarkan anatomi badan manusia itu sekali gus memberi penjimatan pada penggunaan udara-untuk tempoh selam yang lebih lama.
Selain itu, teknologi sayap semula jadi yang condong pada sirip ini juga membantu penyelam bergerak lebih lurus, berbeza dengan penggunaan sirip biasa yang cenderung membawa penyelam condong ke bawah.
Dengan teknologi pangkal bengkok, sirip Tusa ini berfungsi dengan efisien, cukup dengan hanya dayungan lembut berterusan. Ia bukan sahaja menjimatkan tenaga malah meminimumkan keletihan ketika melawan arus deras.
Sirip selam ini kini boleh didapati di kebanyakan kedai selam di negara ini dengan beberapa pilihan warna termasuk hitam, biru, kuning, merah, jingga dan putih.


l Rekaan bilah kipas bersudut 27 darjah.
l Poket sarung kaki pelbagai bahagian yang menambah kuasa pada tujahan bilah.
l Bahagian sisi bilah yang diperkemas untuk lebih kestabilan dan kayuhan verstail.
l Inovasi hidrofoil yang menghasilkan daya tujahan ke depan tanpa kerja keras.
l Tambahan 10 peratus saiz berbanding model SF-8 X-Pert yang meningkat kuasa dayungan.


Model terdahulu SF-8 X-Pert

Aug 14, 2010

Bungy Jumping in Sunway Lagoon


AKHIRNYA, tercapai jugak cita-cita nak bungy jump. Minggu lalu aku dijemput Sunway Lagoon untuk merasai pengalaman terjun bungy dari ketinggian 21 meter. Event diadakan sempena pelancaran Bungy Malaysia yang kini beroperasi secara kekal di negara ini- sebelum ini bungy jump pernah diadakan di beberapa lokasi tapi temporary.

Cabaran terbaru kini menanti pengunjung di taman tema yang terletak kira-kira 15 minit dari Kuala Lumpur. Dibuka kepada orang ramai dengan bayaran RM50 manakala RM100 kepada bukan warganegara. Pengendalian dilakukan oleh Bungy Malaysia (AJ Hackett) - syarikat bungy jumping terkemuka di dunia. AJ Hackett sebelum ini juga pernah menyediakan bungy jump tertinggi di dunia dari Menara Kuala Lumpur.

Memang agak cuak. Tapi keinginan untuk cuba mengatasi segalanya. Sebahagian daripada kumpulan media yang lain sudah berada di tengah-tengah jambatan gantung. Dari situ
nampak macam tak tinggi mana dan debaran terjun pun masih belum terasa.Kami diberikan borang akuan untuk terjun yang antaranya pengesahan tiada penyakit berkaitan jantung, nama, IC, alamat, umur dan beberapa butiran penting. Sekeping borang yang boleh diisi dalam masa kurang 5 minit. Ringkas dan tidak menyemakkan kepala. Selepas borang diserah,
berat penerjun pula ditimbang untuk sukatan terjunan.

Macam mana pengiraan dilakukan aku tak arif tapi menurut crew, setiap berat 5 kilogram, cord akan dipanjangkan satu meter. Untuk aktiviti bungy jump di Sunway Lagoon, hanya had minimum iaitu 35 kg dikenakan, ringan daripada itu tidak dibenarkan. Untuk berat maksimum, 285 kg. So basically semua orang boleh try.


Debaran semakin terasa. Kini aku berada di dalam sangkar terjunan. Diarahkan duduk untuk pemasangan dan ikatan. Harness disarung melilit pinggang dan paha. Bahagian kaki rupanya dibalut dengan sehelai tuala tebal yang kemudian diikat kemas dengan tali yang bersambung dengan cord elastic bungy. Berapa lama dah bro ko buat kerja ni, soalan pertama kepada crew Bungy Malaysia yang tekun melilit tali pada kaki aku. Dia kata, baru lepas enam bulan training kat Bali dengan AJ Hackett. Okay la dalam hati aku, ada experience dan training la mamat ni. Lagipun masa kat platform tu, ada master jumper yang dah experience gila iaitu Graham Whorskey. Mamat New Zealand ni dah jump lebib 6,000 kali merata dunia. Experience dia dalam bungy jump pun dah lebih 20 tahun. Base pada semua tu, aku yakin untuk terjun.

Sementara menunggu krew pasang semua kelengkapan, penerjun pertama dah menjerit. Selamat terjun. Dari situ nampak beberapa kali tali melantun naik turun, mungkin dalam empat kali. Tiba-tiba cuak pulak. Tapi semua jalan dengan baik. Selepas tergantung di permukaan tasik, penerjun pertama iaitu Hamzah dari Kosmo diturunkan ke atas rakit pelampung. Dengan kaki yang terikat kemas, tangan aku dicapai untuk berdiri. Graham memberi pilihan sama ada untuk mencecah permukaan tasik atau tidak. Yes! aku jawap. Alang-alang terjun biar buat yang the best. Sekarang semua sudah ready.

testing GoPro camera

Dalam masa beberapa saat lagi aku akan terjun. Last, aku suruh crew check apa-apa yang patut. Manalah tahu, kot2 harnest lupa cangkut. 'OK! ready to go' katanya. Kaki disuruh rapat ke hujung platform. Ketika tu kaki separuh di atas platform dan separuh lagi terjolor keluar. Aku menarik nafas panjang, walaupun hanya 21 meter, pandangan luas mengadap kolam dan
bangunan resort memang menakutkan. Gayat lagi bila nampak orang-orang 'kenik' di bawah sana. Semasa tangan didepa, sempat lagi mengucap. Mana la tahu, ajal maut ni semua kita tak tahu. So, berserah je lah.

One, two, three, Jump...! haha aku tak ready lagi -(kalo kau tolak aku sekarang nanti naik aku sure tumbuk muka ko bro). Terjunan berlaku pada second attempt, kaki yang melekat kuat pada platform sebelum tu dilonjak dan aku terus menjunam jatuh. Pergh, walaupun hanya 21 meter, perasaan sayup pada jantung terasa seperti terlalu lama. Feeling dia memang thrill, macamana nak cakap.
Bagi yang takut kalau-kalau cord bungy tu tersentap, tak perlu risau sebab selepas sahaja cecah permukaan tasik aku tak perasan pun tali tu tersentap. Dalam kata lain, lembut jer dia tarik naik ke atas semula. Sayup, kecut, ngilu, pilu, kosong, hanyut, sayu, geli, berangin, sejuk dan paling pasti- jantung terasa tersentak dan tertinggal kat platform. Semua tu hanya terhenti bila cord bungy stop melantun. Cuma yang agak menyeksakan adalah tempoh tergantung (menunggu bot datang turunkan anda). Darah yang turun ke kepala meninggalkan kesan pening-pening dan mual-mual. So sepanjang hari anda akan rasa sedikit sakit kepala.

BUNGY JUMPING? Ok done! In comparison, thrill bungy jump ni hanya 1/10 daripada thrill skydiving. Dan bagi yang plan nak buat skydiving, please make sure korang dah try semua yang lain, takut nanti semuadah 'potong'. For, skydiving is Mecca in all adventures. At least... once n for the last.

Aug 6, 2010

Remembering the past

click for bigger image

Beautiful sky seen in the middle of Benu desert in Kazakhstan as the sun start to fall. Photo was taken just after we set up our camping ground near ahuge oasis. A night then decorated with a bright constellation of stars.

Bird Island in Layang-Layang


SELAIN keindahan dasar laut yang menjadikannya destinasi selam skuba terkemuka di dunia, Terumbu Layang-Layang yang terletak kira-kira 300 kilometer dari pantai Sabah juga terkenal kerana sebuah pulau kecil yang terletak berhampiran dengannya.Cebisan tanah yang timbul sebesar separuh padang bola yang dikenali dengan nama Birds Island.

Ia satu-satunya tarikan darat yang ada di kawasan terumbu seluas 14 kilometer persegi itu, selebihnya tersembunyi jauh di bawah permukaan laut. Pemandangan yang menanti pelawat di pulau itu cukup hebat bahkan tidak ada di mana-mana tempat di negara ini. Birds Island merupakan habitat semula jadi kepada lebih 10 spesies burung yang berhijrah merentasi Laut Cina Selatan.

Menurut sumber bertulis yang aku perolehi, kononnya burung-burung yang ada di situ menjadikan pulau kecil tu sebagai tempat persinggahan sementara selepas terbang beratus-ratus kilometer. Ada juga yang singgah untuk bertelur dan membesarkan anak-anak.
Ketibaan di pulau itu baru-baru ini disambut oleh puluhan ribu burung.

Jumlah yang sangat banyak hingga koloni burung tersebut menutupi hampir keseluruhan kawasan berpasir dan berbatu di situ. Tapi kunjungan pertama tu agak mengecewakan kerana air laut yang surut tak membenarkan bot pelancong untuk berlabuh lama. Hanya sekadar 15 minit. Sememangnya tidak sempat untuk dapatkan gambar-gambar yang memuaskan hati.

Keesokan harinya aku kembali ke pulau kecil itu dengan berkayak bersama tiga lagi dive buddies iaitu Pua, To dan Amy. Kayak di situ disewakan dengan harga RM10. Dari jeti Avillion, kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sambil ke Birds Island. Selepas mengelilingi pulau, kami mendaratkan kayak dan memulakan misi 'menembak' burung.

Pengalaman berdiri di tengah-tengah kumpulan burung sungguh mengasyikkan, terutama apabila kumpulan demi kumpulan melintas di depan mata. Pergerakan burung dalam kumpulan yang besar itu memberikan beberapa imej yang memuaskan.


Di celah-celah batu di tebing pulau pula kelihatan beberapa ekor burung berbulu hitam sedang mengeram telur -di dalam sarang yang diperbuat daripada ranting kayu. Ada yang sedikitpun tidak berganjak ketika dihampiri, seolah-olah sudah biasa dengan kehadiran pelawat di situ.

Bagaimanapun pelawat dinasihatkan supaya tidak berada terlalu dekat dengan burung yang sedang mengeram telur kerana sesetengah spesies dikatakan boleh merajuk dan meninggalkan telur yang dieram jika diganggu. Buktinya, di kawasan itu terdapat banyak telur yang terbiar tanpa tetas.

Selain daratan yang dipenuhi tahi dan telur-telur yang rosak, pelawat harus berhati-hati ketika melangkah kerana banyak juga telur hidup yang bertaburan. Sememangnya agak mudah untuk terpijak telur (berwarna kelabu) yang tersembunyi di celah-celah rumput jika tidak berwaspada.


Ketika matahari mula menghampiri garisan horizon, beberapa ekor burung kelihatan lincah menyambar ikan di permukaan laut lantas disuapkan ke mulut anak-anak yang masih belum pandai terbang.

Semua gambar adalah hasil rakaman lensa Canon EF-S 18mm-200mm yang terbukti sebuah lensa pelbagai kegunaan. (Uji produk Canon).

Great Crested Tern (Sterna Bergii)
+Identifikasi
Jambul hitam, berdahi putih, dada putih, sayap kelabu.
Paruh kuning dan berkaki hitam.

+Ekologi
Musim pembiakan antara Julai hingga September.
Bersarang di kawasan berumput di tebing-tebing pulau.
Menghasilkan bunyi yang nyaring.


Brown Noddy (Anous Stolidus)

+Identifikasi
Bulu-buluan berwarna coklat, bahagian bawah mata bercelak putih, kepala berwarna kelabu kilat.
Hujung sayap yang tajam, paruh hitam dan kaki hitam seperti kaki itik.

+Ekologi
Musim pembiakan antara Julai hingga September.
Bertelur dan hidup berpasangan di celah-celah batu di tebing pulau .
Telur dieram oleh pasangan betina dan jantan secara bergilir-gilir.
Spesies muda biasanya bertenggek di atas batu dan dahan kayu mati.

Sooty Tern (Sterna Fuscata)

+Identifikasi
Keseluruhan bahagian belakang berwarna hitam, ekor bercabang tirus panjang dengan jalur hitam pada bahagian mata.

+Ekologi
Musim pembiakan antara Jun hingga September.
Ditemui di dalam koloni besar di sekitar Terumbu Layang-Layang.
Mengawal telur secara berpasangan serta mengeram telur secara bergilir-gilir.
Agresif kepada sebarang gangguan.
Menangkap ikan di laut dengan menyambar.


Black Naped Tern (Sterna Sumatrana)

+Identifikasi
Berbadan kecil dengan bulu berwarna putih.
Jalur hitam yang melalui bahagian mata hingga ke bahagian belakang kepala.
Ekor bercabang tirus.
Paruh dan kaki yang kecil.

+Ekologi
Ditemui hidup berpasangan di dalam kumpulan kecil di sekitar Terumbu Layang-Layang.
Membiak di antara Jun hingga Ogos.
Sangat sensitif kepada ancaman.


Masa first visit, wetsuit tak sempat tukar...