May 4, 2010

Suunto D4 dan Zoop

Suunto didatangkan dalam beberapa pilihan warna

KESELAMATAN ketika berada di dasar laut adalah antara benda yang paling ditakuti bagi mereka yang ingin menceburi dunia selam skuba. Tapi inovasi dan perkembangan teknologi dalam peralatan skuba yang semakin canggih telah membuktikan ia semakin selamat.

Sejak penciptaan pengawal atur (regulator) oleh Jacques Cousteau pada 1942, antara peralatan skuba terpenting yang pernah dihasilkan manusia adalah komputer selam. Keperluannya adalah seperti memiliki sebuah kompas ketika di dalam hutan, malah bagi yang memahami ketelitian undang-undang skuba, alat itu diibaratkan sebagai 'nyawa' setiap kali turun menyelam.

Kelebihan dive com yang dipakai seperti jam tangan itu adalah keupayaan melakukan pengiraan nyah-mampat (decompression) secara automatik menggantikan pengiraan cara manual menggunakan jadual selam. (dive table). Secara umumnya, status nyah-mampat semasa menyelam dipengaruhi oleh dua faktor iaitu kedalaman dan tempoh selaman yang dilakukan. Ringkasnya pula, semakin dalam seseorang itu menyelam maka semakin singkatlah waktu selaman.

Kegagalan mematuhi peraturan berkaitan dua faktor itu boleh menyebabkan penyelam mengalami penyakit nyah-mampat (DCS) akibat kandungan nitrogen yang berlebihan di dalam badan. Situasi yang boleh membawa maut. Jika diperincikan, keselamatan selam skuba sebenarnya sangat berkait-rapat kepada pengiraan nyah-mampat seperti yang digariskan mengikut piawaian antarabangsa.

Melalui paparan maklumat yang dikemaskini sepanjang tempoh selaman pada skrin dive com, penyelam mampu mengawasi dan mematuhi peraturan dengan lebih tepat tanpa risiko kesilapan pengiraan secara manual. Dive com melakukan pengiraan dengan memantau tempoh selaman, kedalaman dan kedua-duanya sekali melalui kaedah pengiraan yang dinamik. Ia membantu meningkatkan keupayaan penyelam menyelam dengan lebih selamat, selesa dan lebih lama.

Paparan maklumat yang penting dikemaskini setiap tiga saat

Dengan mengira pergerakan pelbagai peringkat kedalaman, pengiraan dinamik secara langsung memaksimumkan masa semasa di dalam air. Dalam kata lain, pengguna dive com mempunyai lebih masa menyelam berbanding mereka yang melakukan pengiraan manual. Ketika melakukan hentian keselamatan (safety stop) pula, dive com memberitahu penyelam paras kedalaman dan tempoh masa yang sepatutnya. Dengan dive com, penyelam tidak perlu risau kerana jika terlupa atau melebihi paras sepatutnya (untuk safety stop) alat ini akan mengeluarkan bunyi sebagai amaran.

Di darat pula, pengiraan automatiknya menyatakan waktu selang di darat (surface interval) sebelum penyelam boleh melakukan selaman seterusnya. Dengan alat itu juga, penyelam tidak perlu bersusah-payah mencatat kedalaman, tempoh selaman, waktu serta bilangan selaman yang telah dilakukan kerana semua data telah tersimpan di dalamnya.

Selain kelebihan yang dinyatakan di sini, dive com juga dilengkapi dengan pelbagai fungsi penting yang biasanya ada pada jam tangan. Bagi yang merancang untuk turun ke laut pada musim cuti akan datang fikirkan keselamatan anda ketika menyelam. Dive com adalah alat pertama yang harus dimiliki sebelum melabur untuk kelengkapan selam yang lain.

Suunto sebagai pengeluar alat perincian prestasi sukan berketepatan tinggi menawarkan pelbagai pilihan dive com yang menjadikannya antara jenama paling popular di negara ini. Dengan penampilan bergaya kasual seperti jam tangan, D4 adalah model popular dan paling banyak terlilit di tangan penyelam dengan fungsi yang mudah dioperasikan. Dapatkan satu.

D4 adalah komputer selam nyahmampat penuh yang mampu mengukur kedalaman dengan tepat pada setiap tiga saat dan mampu bertahan sehingga kedalaman kira-kira 100 meter.
Pada pilihan mod udara, D4 memaparkan maklumat paling penting kepada pemakai iaitu paras kedalaman semasa, kedalaman maksimum, waktu penuh selaman, waktu selang di darat dan suhu air.
D4 yang ringan, fungsi mudah digunakan dan bergaya menjanjikan keseronokan selam skuba dengan jaminan bateri yang tahan antara tiga hingga empat tahun.
Alat yang dilengkapi penyambungan dan perisian komputer untuk penyimpanan data itu kini boleh didapati dalam pilihan warna biru, kuning, merah, hitam dan putih.

Zoop adalah dive comm terbaru dilancarkan Suunto

ZOOP adalah model terbaru komputer selam keluaran Suunto yang menawarkan operasi mudah digunakan untuk penyelam rekreasi dengan nilai yang sukar ditandingi.
Komputer selam peringkat permulaan yang dilengkapi dengan dua mod utama iaitu nyahmampat penuh dan nitrox itu menjanjikan keselesaan dan memenuhi keperluan menyelam untuk beberapa tahun.
Bagi mod nitrox, Zoop boleh diprogramkan untuk campuran kandungan 21 peratus nitrogen dan 50 peratus oksigen. Zoop seberat 68 gram menggunakan algorithm RGBM bagi membolehkan penyahmampatan lebih fleksibel. Peringatan visual dan bunyi mampu beroperasi sama ada dengan pilihan kedalaman maksimum atau tempoh selaman.
Model yang menggantikan Gekko itu juga dilengkapi perancang selaman bina dalam dengan sambungan kabel perisian komputer untuk tujuan penyimpanan data. Unit dijual pada harga RM947.

No comments:

Post a Comment