Mar 20, 2010

Menjejak Manta di Pulau Komodo



GUGUSAN pulau Komodo yang terletak di Flores Barat, Indonesia merupakan satu-satunya habitat semula jadi biawak Komodo di dunia. Haiwan tinggalan zaman purba yang menjadikan pulau itu destinasi pelancongan popular di Indonesia.

Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa Pulau Komodo juga mempunyai keindahan dasar laut yang menakjubkan malah antara yang tidak tersentuh di rantau ini.

Di kalangan penyelam skuba, Pulau Komodo yang merupakan salah satu daripada 17,500 pulau di Indonesia boleh diibaratkan syurga yang menawarkan seribu satu impian.

Sekiranya anda salah seorang daripada penyelam yang mencari kelainan di destinasi terpencil, kemaskan kelengkapan menyelam anda kerana Komodo sememangnya pilihan yang tepat untuk diterokai.

Kombinasi keindahan landskap darat dan susunan terumbu berwarna-warni yang dihuni ribuan spesies menjadikan pulau di wilayah Nusa Tenggara itu destinasi menyelam yang semakin popular kebelakangan ini.

Oleh kerana gugusan pulau yang bertaburan dengan ratusan lokasi selam untuk diterokai, cara terbaik untuk menikmati keindahan di kawasan Taman Negara Komodo itu adalah melalui pakej menyelam dari kapal atau lebih dikenali dengan istilah live onboards (LOB).

Pakej LOB di Komodo menyediakan pelbagai pengalaman seperti selaman laut dalam, selaman arus deras sehinggalah selaman di kawasan paya bakau. Pendek kata, semua dalam satu.

Di perairan Komodo, pertembungan arus Laut Flores dengan Lautan Pasifik menghasilkan isi laut yang cukup berbeza. Lautnya kaya dengan pelbagai spesies besar (pelagics), halus (macro), dan padat dengan 'hiasan' terumbu seakan-akan dalam akuarium.

Namun begitu, tarikan terbesar menyelam di Komodo semestinya untuk melihat spesies pari terbesar iaitu pari Manta yang mudah ditemui di situ selain beberapa spesies jerung, ikan lumba-lumba, penyu dan dugong.

Bagi yang mengimpikan pertemuan dengan pari gergasi itu, kunjungan ke Pulau Komodo jarang mengecewakan. Jaminan penulis adalah pengalaman sendiri ketika mengikuti pakej LOB anjuran pusat skuba tempatan, baru-baru ini.


Kibaran Manta

Dari geladak kapal MV Blue Dragon yang berukuran 26 meter panjang itu, penulis bersama 11 lagi penyelam menyaksikan dengan teruja beberapa ekor Manta yang melompat keluar dari permukaan air.

Kelibat 'manja' yang seolah-olah meraikan ketibaan kami di Manta Point yang terletak di Terumbu Makaser, utara Komodo itu. Sekali gus membuatkan kami tidak sabar untuk terjun ke dasar.

Selepas mendengar taklimat selam dan tips daripada jurulatih selam, kami turun pada kedalaman lima hingga 10 meter kerana itulah paras yang paling ideal untuk menjejak Manta.

Cabaran di Manta Point adalah selaman mengikut arus yang ketika itu berkelajuan dua knots. Walaupun dicemaskan dengan arus deras, kumpulan kami bernasib baik kerana dihanyutkan tepat ke 'sarang' haiwan berkenaan.

Malah sebahagian daripada penyelam lebih bernasib baik kerana berpeluang menyaksikan 'perbarisan' kira-kira 30 ekor Manta yang berenang melawan arus di situ.

Sekembalinya di atas kapal, kepuasan jelas terpancar pada wajah masing-masing. Semestinya puas kerana tidak seorang pun yang terlepas peluang berenang bersama Manta.

Selain melihat kibaran 'sayap' haiwan yang mengasyikkan itu, pengalaman melakukan selaman malam, melihat sekumpulan ikan lumba-lumba dan mengintai keanehan hidupan makro di paya bakau melengkapkan lagi pakej.

Begitulah keunikan Pulau Komodo seperti juga diakui Lesly Goh, penyelam dari Malaysia yang datang setiap tahun sejak empat tahun yang lalu.

Namun begitu, penyelam yang berpengalaman lebih 20 tahun itu berkata, keistimewaan Komodo bukan hanya pada populasi pari Manta tetapi apa yang lebih berharga adalah kesegaran alam laut yang masih terpelihara.

"Saya sukakan suasana tenang di pulau ini yang bebas daripada gangguan bunyi bot-bot yang bertali arus seperti di kebanyakan pulau komersial.

"Keindahan dasar laut di sini pula mungkin boleh disamakan dengan apa yang pernah kita miliki di Pulau Redang dan Pulau Perhentian kira-kira 20 tahun lalu," ujarnya.

Bagi penyelam dari Slovania, Ziva Olup Kandus, walaupun dengan kemudahan di atas kapal yang terhad penginapan dia sekeluarga selesa dengan bilik tidur yang kemas, pendingin udara dan bilik mandi yang teratur.

Wanita berusia 33 tahun yang menyelam bersama suami dan anak lelakinya itu berkata, pakej LOB yang ditawarkan MV Blue Dragon juga adalah antara yang paling berpatutan di Pulau Komodo.

"Sebelum tiba di Pulau Komodo kami membuat penilaian harga pakej yang dikenakan oleh pengendali LOB. Kami dapati MV Blue Dragon adalah antara yang menawarkan pakej terbaik," ujarnya.

Di Malaysia, pakej selaman LOB selama lima hari empat malam itu dikendalikan sejak setahun lalu ekoran permintaan yang tinggi di kalangan pelanggan.

Pengarah Urusan syarikat pegendali, Henry Batzer berkata, pakej selam berharga RM2,500+RM700 (kos penerbangan dari Bali ke Labuhan Bajo di Flores) itu meliputi penginapan dan makan minum sepanjang trip.

"Dengan pengalaman lebih 40 tahun di dalam dunia selam skuba kita menjanjikan pengurusan perjalanan yang baik untuk penyelam tempatan ke destinasi terpencil itu," ujarnya.

Pakej LOB Komodo diadakan setiap minggu bermula setiap hari Sabtu (dari Kuala Lumpur) untuk minimum dua penyelam dengan tempahan sebulan sebelum perjalanan.

Dari Kuala Lumpur, kumpulan penyelam akan singgah satu malam di Bali sebelum meneruskan penerbangan dengan pesawat domestik ke Labuan Bajo di Flores.

Selain kepuasan menyelam sebanyak tiga hingga empat kali sehari di lebih 15 lokasi, keindahan landskap kawasan yang dikelilingi pulau-pulau kecil itu sendiri cukup mendamaikan.

Pakej juga termasuk lawatan ke pusat pemuliharaan biawak Komodo yang terletak di Loh Buaya, Pulau Rinca. Seperti juga Manta, peluang untuk melihat kemunculan spesies kanibal itu juga tinggi.

Bagi penulis, Komodo sememangnya masih jauh terpelihara berbanding pulau-pulau yang pernah dikunjungi. Dan jika pemanasan global bukannya satu mitos, keindahan di situ juga tidak akan kekal seindah itu selamanya. Cubalah sendiri.

No comments:

Post a Comment