Mar 27, 2010

Bangkok Public Transportation


WALAUPUN dikatakan 'tidak selamat' untuk dikunjungi ekoran perarakan 'Red-tshirt' baru-baru ini, aku tidak melepaskan peluang melawat kota Bangkok, lagikan pulak masa berlangsungnya International Bangkok Motor Show. Lawatan kali ini adalah jemputan daripada Michelin sempena pelancaran tayar terbaru iaitu Michelin Pilot Sport 3.
Selepas habis event aku menemui rakan se-universiti yang kini bertugas di Bangkok. Peluang melawat beberapa tempat di Bangkok dikongsikan di sini sebagai tips dan panduan kepada mereka yang merancang percutian ke sana.
Apa yang aku boleh katakan, Bangkok sememangnya salah satu destinasi yang harus dilawati kerana tarikannya, terutama mereka yang gila shopping. Namun kali ini aku ingin tumpukan sangat pada apa yang ada di kota itu kerana pengalaman pergi sendiri adalah yang sebaik-baiknya.
Cuma pengalaman tersumbat di dalam trafik jem di tengah-tengah kota metropolitan itu mungkin cerita yang lebih membantu. Oleh itu, cara terbaik untuk menghabiskan percutian di Bangkok adalah dengan memahami serba sedikit sistem pengangkutan yang ada di sana.
Walaupun
dihuni oleh lebih 14 juta penduduk, sistem pengangkutan Bangkok masih boleh dikatakan baik kerana kesesakan lalu lintasnya agak berpada-pada jika dibandingkan dengan populasinya yang padat.

Army in town during red t-shirt (sideng)

BTS (skytrain) dan MRT
Seperti juga di Malaysia, Bangkok dihubungkan dengan talian kereta api yang sistematik. Perkhidmatan dibahagikan kepada BTS (skytrain) dan MRT (metro @bawah tanah).
Laluan BTS dibahagikan kepada dua iaitu
Sukhumvit Line (litar diwarnakan hijau) yang berakhir di Chatuchak Weekend Market (pasar terbesar di Thailand bersamaan saiz 10 buah padang bola-diceritakan di bawah) .
Manakala yang kedua adalah Silom Line (diwarnakan merah) yang beroperasi dari pertukaran interchange Sukhumvit hingga ke National Stadium di MBK.
Kedua-dua cara pengangkutan ini mudah digunakan kerana tidak jauh berbeza dengan LRT dan ERL di Kuala Lumpur.

BTS train line

Teksi
Di Bangkok, teksi kereta sebenarnya lebih murah berbanding tuk-tuk, tapi kalau nak gunakan khidmat teksi ni dinasihatkan jarang pergi kepada teksi yang sedang menunggu (stop) di tepi jalan. Lebih baik tahan teksi yang bergerak sebab teksi yang park di tepi jalan biasanya sedang menadah mulut untuk ngap dengan harga lebih tinggi.
Satu perkara yang bagus guna teksi di Bangkok adalah kerana kebanyakan teksi ikut bacaan meter. Charge permulaan setiap kali masuk adalah 35 baht (lebih kurang RM3.5o). Charge meter juga sama sepanjang masa, so tak timbul masalah harga double kalau ambik teksi lewat malam.
Halakan pandangan ke mana sahaja, mesti ada je teksi yang sedia untuk dinaiki.

Tuk-Tuk
Bagi yang tak pernah naik tuk-tuk, pengalaman naik tuk-tuk memang best cuma harganya lebih mahal berbanding teksi kereta. Misalnya, perjalanan daripada Pan Pasific Hotel (di Rama 4) ke Suan Lum Night Bazaar sejauh 1.4km menaiki teksi kereta hanta berharga kira-kira 50bath (rm5) , tapi kalo tuk-tuk charge dalam 80 baht dikenakan.
Jika pemandu tuk-tuk tahu kita tourist diaorang akan naikkan harga sehingga 200 baht..so pandai-pandailah kautim. Bagaimanapun, harus diingat bahawa perjalanan tuk-tuk hanya meliputi jarak tidak melebihi 4km.

Jangan lupa mintak kurang tambang dalam 30 percent
Teksi Motosikal
Untuk mereka yang dalam percutian bajet, kos perjalanan jarak dekat di sekitar Bangkok boleh dikurangkan dengan menaiki satu lagi pengangkutan iaitu teksi motosikal yang banyak berada di tepi-tepi jalan. Untuk mendapatkan teksi motosikal ini tidaklah susah, perhatikan penunggang motosikal yang berbaju macam pekerja kontraktor (baju warna oren dengan jalur light reflector)
yang banyak menunggu penumpang di tepi jalan.
Penumpang bagaimanapun tidak disediakan topi keledar, oleh itu faktor keselamatan adalah risiko sendiri. Semasa di Bangkok, saya tidak mempunyai sebarang syak wasangka kepada teksi motosikal ini, semuanya sopan dan berbudi bahasa bahkan saya sempat membonceng teksi bersama rakan. Bayangkan tiga lelaki dewasa di atas sebuah motosikal kapcai..sekadar merasai.
WARNING: Motorcycle accidents are brutally common, and many (tourists and Thai alike) consider transportation of this sort to be inherently hazardous. Motorcycle taxis in Bangkok should generally be avoided except as a last resort.

Tempat menarik untuk tengok bazaar dan nightlife:
Tiada pilihan lain lebih baik untuk mereka yang melawat Bangkok. Chatuchak Weekend Market adalah destinasi wajib. Saiznya cukup besar, bazar seluas 35 ekar dan menempatkan kira-kira 5,000 gerai dengan kunjungan kira-kira 300,000 pelawat setiap hari. Pasar Sabtu dan Ahad ini adalah perhimpunan peniaga-peniaga yang datang dari seluruh Thailand.
Dari pusat bandar, perjalanan ke bazar ini boleh dilakukan dengan menaiki kereta api BTS dengan interchange kepada stesen MRT sebelum berhenti ke Suan Chatuchak. Kos tambang seorang untuk MRT kira-kira RM4. Bazar tidak jauh (5 minit jalan kaki) dari stesen berkenaan.
Walaupun tidak dikuatkuasakan, undang-undang melarang pengunjung daripada merokok di bazar ini kerana jika tidak bernasib baik, sila bayar 2,000 baht.

1-Sukhumvit- Antara kawasan paling kosmopolitan di Bangkok. Disamakan dengan Kensingston dan Chelsea di Kota London. Dihubungkan dengan skytrain, Sukhumvit cukup digemari oleh pelancong asing. Bahagian bandar ini dibahagikan kepada empat bahagian hiburan utama iaitu Nana, Asoke, Emporium dan Thong Lor. Jalan Sukhumvit bukan sahaja jalan yang terpanjang di Thailand malah antara 'jalan hidup' terpanjang di dunia.
Siam Square, Central, Gaysorn Plaza, Isetan, Zen, Erawan Bangkok dan Peninsula Plaza yang terletak di laluan itu merupakan antara tempat shopping (mall) yang terkenal di Bangkok.

Inilah realiti nightlife di PatPong. Bukan tempat yang sesuai untuk membawa keluarga Islam.

2-Suan Lum-Bazaar malam yang dipenuhi dengan pelbagai barang. Bayangkan suasana ala Petaling Street, tetapi gandakan jumlah gerai kepada 4 atau 5. Cukup luas, bazar menawarkan pelbagai barang-barang seperti t-shirt, souvenir, kraft, art, hiasan rumah, tekstil, hardware dan macam-macam lagi.
Panduan membeli- sehelai t-shirt souvenir mungkin ditawarkan pada harga 180 bath (rm18) tetapi anda boleh turunkan harga sehingg 100-120 bath.
Bagi mereka yang terpikir untuk melawat nightlife semasa di Bangkok, bazar malam Suan Lum sememangnya pilihan yang palingberbaloi untuk dilawati. Perkhidmatan tut-tut dan teksi juga mudah diperolehi.

3-Khao San - Merupakan tumpuan backpackers kerana mempunyai banyak hotel-hotel kos rendah dan guest house dengan lokasi terletak di tengah-tengah tarikan nightlife di Bangkok.
Dengan himpunan restoran outdoor dan bar, lorong Khao San sememangnya seperti yang digambarkan di dalam filem The Beach. Tempat singgah golongan backpackers, dengan suasana santai untuk berkongsi pengalaman dan cerita. Kawasan ini juga menempatkan siber cafe, restoran fast food, 7-eleven dan travel agent.

Pemandangan di lorong-lorong di sekitar bandar Bangkok yang dipenuhi gerai tepi jalan. Yang banyak menjual babi.

4-Nana
5-Silom

River Cruise di Sungai ChaoPhraya
Untuk sedikit kelainan, percutian di Bangkok mungkin akan lebih bermakna jika berpeluang menaiki river cruise di saliran pengangkutan tradisional terpanjang dan terpenting di Bangkok, iaitu Sungai Chaor Phraya. Pemandangan yang membawa pelancong jauh ke zaman Raja Thai.
Terminal bot terletak tidak jauh dari Jambatan Thaksin, yang dihubungkan dengan laluan skytrain dari pusat bandar.

Wat Arun selepas matahari terbenam
Pelancong boleh singgah di terminal bot bertentangan dengan Wat Arun (sebelah kanan) untuk menikmati pemandangan matahari terbenam di salah sebuah restoran di bandar lama Bangkok itu. Selepas matahari jatuh, Temple of Dawn akan mula diterangi kilauan keemasan yang pasti meninggalkan kenangan kepada pelancong. :p
Suasana lebih meriah semasa festival Loy Krathong, di mana sepanjang sungai akan diterangi lampu dan bot-bot berhias. Antara tarikan lain di tepi sungai ini adalah Fort Vichai Prasit yang dibina pada tahun 1688 semasa kerajaan Ayutthaya.

Minum malam bersama Roslan. Engineer Toyota di Bangkok.

Cuma masalah utama ketika di Bangkok bagi pertama kali melawat mungkin untuk mendapatkan makanan halal. Di Bangkok gerai-gerai makan halal memang agak susah untuk dicari kalu takda guide daripada orang yang biasa dengan selok belok Bangkok. Bagi yang biasa, Bangkok mempunyai banyak pilihan makanan halal yang diusahakan oleh Siam Muslim di sana.
Gambar di bawah ini adalah salah satu daripada restoran halal yang berstandard restoran dan sesuai untuk keluarga dan profesional. Pekerja Restoran Usman juga faham Bahasa Melayu.

Mar 22, 2010

Nature Up Close - Komodo Special


View ni aku ambik masa 1st time aku jejakkan kaki ke tanah Pulau Komodo selepas beberapa hari menghabiskan percutian di atas bot (liveonboards). Tujuan asal ke pantai ini adalah untuk dapatkan full shot kapal MV Blue Dragon, yang merupakan tempat tinggal kami selama 4H3M ketika pakej menyelam di Kepulauan Komodo.
Dengan kesempatan itu, aku mintak jurupandu bot mendaratkan aku di pantai yang terletak tak jauh dari tempat kapal 26 meter tu berlabuh. Perfect view! Pulau Komodo ni memang cantik, walaupun kering kontang tapi landskapnya cukup unik. Masa melepak kat pantai tu dengan beberapa orang rakan diver, tiba-tiba seekor burung meluncur laju, agak jauh daripada yang mampu kit lens aku rakamkan.


Agak kecewa bila tengok helang laut dada putih (white bellied sea eagle) tu menyambar di permukaan air. Geram, apatah lagi aku tahu gambar yang aku snap tu 'melekat baik' semasa kaki dia mencelup air tetapi bila diview dan zoom, sah gambar tu pecah.
Memang aku tak puas hati, kan best kalo lens telefoto ada kat tangan time tu. Dalam hati, aku memang nak sangat sekeping gambar helang ni. Bukan senang nak dapat peluang shoot wildlife dalam natural habitat.
Inilah gambar yang dimaksudkan tadi:

Hakikatnya, itulah kehebatan nature yang menunggu kita bila kita jauh daripada penempatan manusia. Tempat di mana kita adalah pendatang dan mereka adalah tuan tanahnya. Bagi aku peluang untuk menikmati keindahan alam semula jadi seperti yang ada di Pulau Komodo ni bukan peluang yang selalu datang.
Penerbangsan untuk sampai ke Komodo: Kuala Lumpur->Bali (tiga jam), Bali -> Labuan Bajo di Flores Barat (dua jam guna domestik flight).
So selepas puas menerokai keindahan di dasar laut, aku nekad untuk mengorbankan selaman terakhir pada hari keempat (walaupun ketika itu semua penyelam sangat excited untuk menikmati selaman terakhir mereka), keputusan aku untuk skip menyelam tu adalah semata-mata untuk enjoy nature secara lebih peribadi tanpa gangguan borak dan sembang mereka (divers).
Suasana mula sunyi sebaik sahaja para penyelam meninggalkan kapal MV Blue Dragon, aku berganjak ke bahagian belakang kapal dengan segelas kopi dan dua tiga keping biskut jagung. Bertambah perfect dengan sebatang rokok.
Tidak jauh daripada kawasan paya bakau tempat kapal berlabuh tu terbang seekor burung yang hampir sama seperti yang aku tengok di pantai semalam. Hinggap di celah rimbunan pokok bakau, then muncul seekor lagi dan hinggap di tempat yang sama. Aku mula panik. Tangan kanan terus melepaskan rokok untuk mencapai lens telefoto. Punya la excited, sampai tertukar lens tanpa turn off kamera.

kelibat pertama

hinggap di pokok bakau
Yang terakhir hinggap, total semua tiga ekor

"Okay, kali ini memang wild,'' bisik hati aku selepas seekor lagi melintas lalu dan hinggap di sebatang pokok yang sudah reput, berasingan daripada dua yang awal tadi. Ketiga-tiganya adalah White Bellied Sea Eagle yang memang banyak ditemui di Indonesia selatan dan Australia.
Dapat gambar.Tapi agak jauh sebab cabaran untuk fokus dari kapal yang berhayun dilambung arus ketika itu agak mencabar. Dan gambar yang aku dapat masih tidak sharp. Daripada 800, jari aku mengubah shutter speed kepada angka 1000, dan ini hasilnya.

semakin sharp

Cuaca hari tu memang sangat panas, set BCD dan wetsuit yang aku jemur di hujung dek kapal dah kering dalam masa dua tiga jam yang lalu. Suhu masa tu tak mungkin kurang daripada 40'c.
Tiba-tiba seekor mula terbang ke arah aku, dan menyambar sesuatu di permukaan laut tidak jauh daripada bot, rupa-rupanya sisa makanan yang dibuang oleh awak-awak kapal pada pagi tu sudah menarik perhatian mereka. Namun, gambar masih tidak begitu memberangsangkan. Payah juga untuk shoot gambar bergerak ni rupanya. Sekarang baru tahu betapa sukarnya kerja photographer, chances yang ada tak boleh disia-siakan, mesti tepat dan tangkas, haha.
Balik pada cerita tadi, ada masanya ketika helang ni glide ke arah bot, focusing jadi sedikit senang, so aku follow je pergerakan dan flow helang ni terbang. Sehinggalah helang ni rapat ke permukaan air untuk menyambar semula. Tapi dengan processor kamera yang slow (Canon 1000D), aku terpaksa terima hakikat bahawa aku hanya akan dapat gambar yang ala kadar.

Kemudian berita baik datang dari mulut seorang krew kapal. Katanya, jangan risau kerana helang-helang tu akan berulang alik menyambar makanan sehingga mereka kenyang. Rupanya mamat tu dah biasa sangat dengan gelagat helang tu. Dah macam beri makan kat kucing agaknya. So aku ambik masa aku dengan lebih steady, tak perlu tergopoh-gapah sangat.
Kepercayaan aku pertaruhkan pada lens 300 mm yang aku gunakan. Walaupun masih tidak pakar menggunakan setting manual, tapi kebolehan untuk set kepelbagaian speed, ternyata menyelamatkan aku daripada terlepas saat-saat best tu. Beberapa speed aku cuba, dari 800, kepada 1000 hinggalah kepada 1,600. Dan hasil yang terbaik adalah pada kelajuan shutter 1600 dengan ISO 200 dan aperture lebih kurang 5-6.
Dari viewfinder, aku mula syok merakam wild life, bertambah syok bila imej yang aku nak sudah berjaya dirakam pada beberapa minit pertama. Cuma aku terus menunggu sesuatu yang lebih dahsyat untuk dirakam oleh lens.
Dalam tempoh masa tak lebih dari tiga minit tu aku terus talakan lens ke arah subjek yang berulang alik menerjah di permukaan air. Dan ini adalah yang terbaik...


Selain komposisi (eagle body) yang lengkap dengan sayap terbuka luas, ketepatan fokus dan aksi kaki yang sedang menangkap habuan dengan background air, menjadikan gambar ni fav aku. Tapi apa yang aku kongsi kat sini mungkin berbeza dengan apa yang sepatutnya diajar oleh photographer profesional, di sini aku ni sekadar berkongsi pengalaman sebagai seorang yang tidak pro. -harap maklum.
Selain itu, ada beberapa lagi shot yang aku puas hati. Berikut aturannya!

OK! Sekian sahaja untuk kali ini, cuma tinggal satu lagi cerita Komodo iaitu pengalaman melihat Biawak Komodo di Pulau Rinca.
Sesiapa yang ingin mendapatkan info mengenai perjalanan ke Pulau ini jangan segan silu untuk bertanya.

Understand our nature, and they will come close to us- me

Mar 20, 2010

Menjejak Manta di Pulau Komodo



GUGUSAN pulau Komodo yang terletak di Flores Barat, Indonesia merupakan satu-satunya habitat semula jadi biawak Komodo di dunia. Haiwan tinggalan zaman purba yang menjadikan pulau itu destinasi pelancongan popular di Indonesia.

Namun tidak ramai yang mengetahui bahawa Pulau Komodo juga mempunyai keindahan dasar laut yang menakjubkan malah antara yang tidak tersentuh di rantau ini.

Di kalangan penyelam skuba, Pulau Komodo yang merupakan salah satu daripada 17,500 pulau di Indonesia boleh diibaratkan syurga yang menawarkan seribu satu impian.

Sekiranya anda salah seorang daripada penyelam yang mencari kelainan di destinasi terpencil, kemaskan kelengkapan menyelam anda kerana Komodo sememangnya pilihan yang tepat untuk diterokai.

Kombinasi keindahan landskap darat dan susunan terumbu berwarna-warni yang dihuni ribuan spesies menjadikan pulau di wilayah Nusa Tenggara itu destinasi menyelam yang semakin popular kebelakangan ini.

Oleh kerana gugusan pulau yang bertaburan dengan ratusan lokasi selam untuk diterokai, cara terbaik untuk menikmati keindahan di kawasan Taman Negara Komodo itu adalah melalui pakej menyelam dari kapal atau lebih dikenali dengan istilah live onboards (LOB).

Pakej LOB di Komodo menyediakan pelbagai pengalaman seperti selaman laut dalam, selaman arus deras sehinggalah selaman di kawasan paya bakau. Pendek kata, semua dalam satu.

Di perairan Komodo, pertembungan arus Laut Flores dengan Lautan Pasifik menghasilkan isi laut yang cukup berbeza. Lautnya kaya dengan pelbagai spesies besar (pelagics), halus (macro), dan padat dengan 'hiasan' terumbu seakan-akan dalam akuarium.

Namun begitu, tarikan terbesar menyelam di Komodo semestinya untuk melihat spesies pari terbesar iaitu pari Manta yang mudah ditemui di situ selain beberapa spesies jerung, ikan lumba-lumba, penyu dan dugong.

Bagi yang mengimpikan pertemuan dengan pari gergasi itu, kunjungan ke Pulau Komodo jarang mengecewakan. Jaminan penulis adalah pengalaman sendiri ketika mengikuti pakej LOB anjuran pusat skuba tempatan, baru-baru ini.


Kibaran Manta

Dari geladak kapal MV Blue Dragon yang berukuran 26 meter panjang itu, penulis bersama 11 lagi penyelam menyaksikan dengan teruja beberapa ekor Manta yang melompat keluar dari permukaan air.

Kelibat 'manja' yang seolah-olah meraikan ketibaan kami di Manta Point yang terletak di Terumbu Makaser, utara Komodo itu. Sekali gus membuatkan kami tidak sabar untuk terjun ke dasar.

Selepas mendengar taklimat selam dan tips daripada jurulatih selam, kami turun pada kedalaman lima hingga 10 meter kerana itulah paras yang paling ideal untuk menjejak Manta.

Cabaran di Manta Point adalah selaman mengikut arus yang ketika itu berkelajuan dua knots. Walaupun dicemaskan dengan arus deras, kumpulan kami bernasib baik kerana dihanyutkan tepat ke 'sarang' haiwan berkenaan.

Malah sebahagian daripada penyelam lebih bernasib baik kerana berpeluang menyaksikan 'perbarisan' kira-kira 30 ekor Manta yang berenang melawan arus di situ.

Sekembalinya di atas kapal, kepuasan jelas terpancar pada wajah masing-masing. Semestinya puas kerana tidak seorang pun yang terlepas peluang berenang bersama Manta.

Selain melihat kibaran 'sayap' haiwan yang mengasyikkan itu, pengalaman melakukan selaman malam, melihat sekumpulan ikan lumba-lumba dan mengintai keanehan hidupan makro di paya bakau melengkapkan lagi pakej.

Begitulah keunikan Pulau Komodo seperti juga diakui Lesly Goh, penyelam dari Malaysia yang datang setiap tahun sejak empat tahun yang lalu.

Namun begitu, penyelam yang berpengalaman lebih 20 tahun itu berkata, keistimewaan Komodo bukan hanya pada populasi pari Manta tetapi apa yang lebih berharga adalah kesegaran alam laut yang masih terpelihara.

"Saya sukakan suasana tenang di pulau ini yang bebas daripada gangguan bunyi bot-bot yang bertali arus seperti di kebanyakan pulau komersial.

"Keindahan dasar laut di sini pula mungkin boleh disamakan dengan apa yang pernah kita miliki di Pulau Redang dan Pulau Perhentian kira-kira 20 tahun lalu," ujarnya.

Bagi penyelam dari Slovania, Ziva Olup Kandus, walaupun dengan kemudahan di atas kapal yang terhad penginapan dia sekeluarga selesa dengan bilik tidur yang kemas, pendingin udara dan bilik mandi yang teratur.

Wanita berusia 33 tahun yang menyelam bersama suami dan anak lelakinya itu berkata, pakej LOB yang ditawarkan MV Blue Dragon juga adalah antara yang paling berpatutan di Pulau Komodo.

"Sebelum tiba di Pulau Komodo kami membuat penilaian harga pakej yang dikenakan oleh pengendali LOB. Kami dapati MV Blue Dragon adalah antara yang menawarkan pakej terbaik," ujarnya.

Di Malaysia, pakej selaman LOB selama lima hari empat malam itu dikendalikan sejak setahun lalu ekoran permintaan yang tinggi di kalangan pelanggan.

Pengarah Urusan syarikat pegendali, Henry Batzer berkata, pakej selam berharga RM2,500+RM700 (kos penerbangan dari Bali ke Labuhan Bajo di Flores) itu meliputi penginapan dan makan minum sepanjang trip.

"Dengan pengalaman lebih 40 tahun di dalam dunia selam skuba kita menjanjikan pengurusan perjalanan yang baik untuk penyelam tempatan ke destinasi terpencil itu," ujarnya.

Pakej LOB Komodo diadakan setiap minggu bermula setiap hari Sabtu (dari Kuala Lumpur) untuk minimum dua penyelam dengan tempahan sebulan sebelum perjalanan.

Dari Kuala Lumpur, kumpulan penyelam akan singgah satu malam di Bali sebelum meneruskan penerbangan dengan pesawat domestik ke Labuan Bajo di Flores.

Selain kepuasan menyelam sebanyak tiga hingga empat kali sehari di lebih 15 lokasi, keindahan landskap kawasan yang dikelilingi pulau-pulau kecil itu sendiri cukup mendamaikan.

Pakej juga termasuk lawatan ke pusat pemuliharaan biawak Komodo yang terletak di Loh Buaya, Pulau Rinca. Seperti juga Manta, peluang untuk melihat kemunculan spesies kanibal itu juga tinggi.

Bagi penulis, Komodo sememangnya masih jauh terpelihara berbanding pulau-pulau yang pernah dikunjungi. Dan jika pemanasan global bukannya satu mitos, keindahan di situ juga tidak akan kekal seindah itu selamanya. Cubalah sendiri.

Mar 19, 2010

Tefta Barefoot (FIvefingers)




Sebahagian daripada model-model Tefta Barefoot.

Kasut keluaran tempatan yang seakan-akan kasut Vibram Fivefingers yang popular di US dan Eropah kini boleh didapati di negara ini dengan harga RM225.
Walaupun kasut rekaan usahawan tempatan ini dihasilkan di China, kualiti material yang digunakan boleh dibanggakan kerana setanding dengan produk keluaran antarabangsa.
Plus Minus
Setelah mencuba sendiri kasut ini (pakai untuk beberapa jam), keselesaannya boleh dipuji kerana cukup ringan, tidak berpeluh dan melekat kemas di kaki.
Fabrik yang digunakan juga baik, cuma setakat ini saya belum boleh mengesahkan ketahanan jahitan pada celah-celah jari kerana baru sahaja memakai uji. Melihat kerumitan dan keadaan jahitan yang menghasilkan bentuk '5jari terkeluar', saya tidak rasa kasut ini cukup lasak untuk diganyang di hutan.
Mungkin sekadar untuk treking yang light, jogging ala kaki ayam atau mungkin cukup sesuai dipakai dipantai.
Kelebihan kasut ini adalah pada tapak yang nipis yang memberikan impak seolah-olah pemakai berkaki ayam. Malah tidak dinafikan, ia mempunyai daya tarikan yang begitu kuat di mata orang ramai.

Faktor tapak nipis itu juga dikatakan baik untuk mereka yang mempunyai penyakit kencing manis-menurut dakwaan pengeluarnya.
Pada bahagian tapaknya pula adalah hirisan-hirisan halus yang boleh dilihat sekiranya anda mengopak tapak kasut ini. Hirisan zig zag yang direka untuk menghasilkan cengkaman di permukaan yang licin. Bagaimanapun, semasa menguji kasut ini di Air Terjun Chamang, cengkamannya tidaklah sebaik yang saya sangkakan kerana turut tergelincir ketika mendaki batu-batu basah. Jauh berbanding kehebatan selipar foam keluaran Holeys iaitu rival kepada Crocs.
Satu lagi perkara yang perlu diperbaiki adalah saiz sarung jari yang agak pendek, bagi saya yang berketinggian 176cm, penyarungan jari kaki ( terutama jari kedua dan ketiga ) masih tidak masuk habis. Namun ia tidaklah sehingga menimbulkan rasa tidak selesa.
Tefta Barefoot untuk diperkenalkan untuk memenuhi gaya kasual, kasut ini juga dikatakan boleh digunakan untuk wall climbing, (yang mana saya rasa tidaklah begitu sesuai sebenarnya) - setakat climb ala kadar mungkin tidak menjadi masalah.
Apa-apa pun, semangat yang ditunjukkan anak muda kita dalam menghasilkan produk kembara sendiri itu sewajarnya dipuji.
Malah kasut yang dijual secara online itu sudah memasuki pasaran Eropah, USA dan Singapura kerana harganya yang lebih murah berbanding Vibram Fivefingers.
Namun untuk pasaran di negara ini, saya rasa harga RM225 itu mungkin masih lagi mahal. Kita harap jualan yang meningkat akan menurunkan harga Tefta Barefoot tidak lama lagi.
Tefta Barefoot dikeluarkan dalam dua model berlainan iaitu Flux dan Primitif dengan setiap satu mempunyai tiga pilihan corak dan warna.
Perbezaan antara Tefta (dua atas) dengan Vibram Fivefingers (atas)