Apr 15, 2012

Fotografi : Misteri Fotografi Silhouette



GAMBAR yang baik seperti juga hasil-hasil seni yang lain seringkali mempamerkan sesuatu dalam keadaan samar dan misteri, cara seperti itu amat berkesan untuk meninggalkan ruang imaginasi kepada penonton dalam membuat tafsiran.
Salah satu pendekatan yang mampu membentuk 'emosi tambahan' dan menarik perhatian dalam seni fotografi adalah dengan teknik memanfaatkan bentuk bayang atau disebut siluet (silhoutte). 

Bayangkan bentuk legam seorang wanita sedang berdiri di tepi pantai ketika matahari sedang terbenam. Dalam gambar seperti itu, jurugambar menyerahkan tafsiran dan penceritaan kepada penonton, walhal imaginasi dan emosi yang bermain di fikiran penonton tidak pernah terlintas di fikiran jurugambar semasa gambar dirakamkan. Bagaimanapun, teknik siluet memerlukan kemahiran fotografi pertengahan iaitu pemahaman asas mengenai bagaimana kamera memproses cahaya di sekeliling dan menghasilkan kesan tertentu kepada subjek.


Untuk menghasilkan siluet, gambar biasanya dirakam dengan cara mengadap sumber cahaya lalu menjadikan subjek kelihatan gelap (backlighted). Di dalam kebanyakan keadaan, matahari berfungsi sebagai lampu semula jadi kerana penggunaan flash diharamkan untuk teknik ini (supaya subjek kekal gelap).  Sebagai tips,  gambar siluet biasanya dirakam dengan menggunakan bukaan lensa kecil (f11 atau f20). Bukaan cahaya yang kecil akan membantu melegamkan subjek tetapi jangan sehingga gambar menjadi hitam keseluruhannya. 

Untuk aplikasi, siluet tidak semestinya digunakan untuk merakam imej manusia, ia mungkin sebatang pokok, kanak-kanak bersama basikalnya, bahkan ia boleh menjadi teknik fotografi landskap urban yang berkesan semasa penataan cahaya tidak begitu memuaskan.


Secara kesimpulan, siluet menambah rasa misteri dan mempunyai banyak tipu muslihat di dalam gambar. Kombinasi cahaya latar belakang dengan bayang-bayang yang kemas mewujudkan adegan fotografi yang menarik.

Isuzu Dura Mission 2012





PENGALAMAN mengikuti jelajah Dura Mission dari kebun epal Pak Tagal di Ba'Kelalan, Sarawak hingga ke tengah-tengah bumi Sabah pada 2009 menjadi antara pengalaman pacuan empat roda (4X4) terbaik yang pernah penulis lalui di negara ini.  

Kemuncak dan juga penutup pada ekspedisi itu adalah menyaksikan keindahan Lembangan Maliau atau lebih dikenali sebagai Maliau Basin yang disajikan dari udara dengan menaiki helikopter. Satu pengalaman yang tidak akan dilupakan. DuraMission 2009


Tahun ini, penulis sekali lagi menerima jemputan untuk mengikuti jelajah Dura Mission anjuran Isuzu Malaysia Sdn. Bhd. (Isuzu Malaysia). Tiga destinasi yang tertera pada aturcara program  memberi bayangan kepuasan yang sedang menanti sepanjang ekspedisi enam hari tersebut.


Namunberbeza dengan ekspedisi DuraMission 2009, pengembaraan trak pikup D-Max di Borneo kali ini tidak banyak melibatkan laluan mencabar seperti meniti jambatan balak atau meredah sungai. Ujian sebenar boleh dikatakan lebih kepada aspek penjimatan minyak dan kepuasan memandu. 


perjalanan bermula dari Sandakan

Meskipun kurang mencabar, bentuk ujian pada ekspedisi kali kedua ini boleh dikatakan relevan berdasarkan sambutan terhadap trak pikap yang semakin popular itu sebagai kenderaan pelbagai guna, dan tidak semestinya untuk meredah hutan. 


Apa pun, kepercayaan penulis terhadap kemampuan D-Max sudah tertanam lama sejak mengikuti Dura Mission yang pertama dan semasa Cabaran Borneo Safari. Kelasakan 4X4 itu terbukti mampu meredah segala jenis kesukaran di laluan mencabar. 


Pada kembara Dura Mission kali ini, tiga nama yang cukup eksotik di dalam menu pelancongan Sabah menjadi santapan kumpulan kami. Sukau, Tabin dan Mabul, nama yang masih lagi asing di kalangan rakyat negara ini bukan?


Ketibaan bersama kumpulan wartawan dari Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu di Sandakan disambut dengan hidangan petang di English Tea House. Pemandangan dari restoran di puncak bukit itu memperlihatkan sebahagian dari bandar tepi laut tersebut.


Keesokan harinya, pengembaraan kami dari bandar kedua terbesar Sabah itu dilepaskan oleh Pengarah Urusan Isuzu Malaysia, Kimitoshi Kurokawa dan Pegawai Ketua Operasi, Daisuke Ishida menuju ke destinasi pertama iaitu Santuari Orang Utan di Sepilok.


Selepas Sepilok, pemanduan 13 buah jentera D-Max berkuasa 2.5 dan 3.0 liter mula meninggalkan laluan bandar menuju ke Sukau yang memakan masa hampir dua jam pemanduan. Di Sukau, penginapan kami pada malam pertama itu adalah di Proboscis Lodge.


Berlatarbelakangkan kehidupan di tebing Sungai Kinabatangan, Sukau menyajikan tarikan alam semula jadi yang cukup menakjubkan. Tarikan utama pelancongan di situ adalah pengalaman menyusuri sungai menaiki bot untuk mendekati monyet Proboscis atau lebih dikenali dengan nama orang Belanda.


kumpulan Proboscis yang ditemui 



Menyusuri Sungai Kinabatangan di Sukau


Pencarian kami pada petang itu tidak lama, selepas kira-kira 15 minit menyusuri sungai paya bakau yang diapit rimbunan hutan, kumpulan monyet berhidung panjang mula menonjolkan diri. Kelincahan melompat dari dahan ke dahan seperti mahu berlagak kepada kami dan beberapa lagi bot yang dipenuhi pelancong asing.


Selepas teruja melihat telatah orang Belanda, kami dikejutkan pula dengan kelibat orang utan. Walaupun sudah melihat primat tersebut di pusat pemuliharaannya di Sepilok, pengalaman melihat spesies yang semakin diancam kepupusan itu di habitat asalnya jauh lebih berharga.


Ketika matahari mula condong kami meninggalkan aliran sungai kecil itu untuk pulang ke calet. Di langit  kelihatan sekumpulan enggang terbang menuju ke arah yang sama.


  "Mereka pun nak balik ke calet, nanti sampai calet boleh jumpa,'' ujar pemandu bot kami.


Pada mulanya kami beranggapan kata-kata pemuda awal 20-an itu  sekadar gurauan namun setibanya di Proboscis Lodge,  berpuluh-puluh ekor enggang sedang memekak bingit. Rupa-rupanya pokok-pokok di depan calet tempat kami menginap itu adalah tempat  mereka tidur.




Spesies hornbill yang mudah ditemui di Sukau, Sabah



Pada sebelah malam, kami sekali lagi dibawa menaiki bot menyusuri sungai terpanjang di Sabah itu. Hati penulis agak berdebar-debar ketika melintasi papan tanda 'Awas Buaya, Dilarang Berenang' semasa berjalan turun ke jeti.


Bagaimanapun perasaan risau itu tidak kekal lama, ia lenyap sebaik sahaja pemandu bot mempamerkan kemahiran mereka mengesan haiwan-haiwan yang sedang tidur dan aktif di dalam kegelapan malam.


Antara haiwan yang berjaya disuluh di sepanjang tebing sungai itu termasuk musang, burung raja udang, burung hantu dan paling menakutkan seekor ular sawa yang berenang hanya beberapa meter dari bot kami. 


Selepas reptilia sepanjang kira-kira tiga meter itu hilang di celah semak, kami dibawa ke bahagian tengah sungai untuk menyaksikan keindahan langit yang ketika itu dipenuhi sejuta bintang. Di bawah bot kami ketika itu mungkin juga ada beberapa ekor sang bedal.


Kami meninggalkan keindahan Sukau keesokan harinya menuju ke satu lagi permata alam semula jadi Sabah yang tidak terusik iaitu Taman Hidupan Liar Tabin di Lahad Datu.


Penginapan bertaraf 4 bintang di TWR

Pemanduan ke Tabin Wildlife Resort (TWR) menambah cabaran apabila jalan berturap bertukar kepada laluan tanah merah sebaik sahaja kami mengambil lencongan masuk ke ladang kelapa sawit, satu-satunya laluan ke kawasan hutan simpan kekal tersebut.


Jalan batu kerikil dan berlubang sejauh kira-kira 50 kilometer disambut gembira oleh kebanyakan kami yang sememangnya menunggu masa untuk mengaktifkan fungsi 4L pada kenderaan yang dipandu. Selepas sejam menguji kecekapan jentera yang menjadi juara dua tahun berturut-turut dalam Kejuaraan Rali AAM itu, pengembaraan kami tiba di Tabin. 


Kepenatan memandu lenyap sebaik sahaja kaki melangkah ke calet yang menghadiahkan terapi alam semula jadi kelas pertama. Selepas berehat seketika, peserta bersedia untuk aktiviti yang ditunggu-tunggu iaitu kunjungan ke kawasan lahar lumpur gunung berapi Lipad yang memerlukan kami meredah hutan sejauh kira-kira 700 meter.


Setibanya di situ, mata terpegun melihat keganjilan bentuk muka bumi yang seolah-olah menyembunyikan sesuatu di bawah permukaannya. Menurut pegawai TWR yang menjadi pemandu pelancong kami, limpahan lumpur bewarna kelabu yang mengelegak itu kian membesar dari tahun ke tahun.





Bersebelahan dengan lokasi itu berdiri menara tinjau setinggi 20 meter yang dibina untuk pelawat menyaksikan pemandangan keseluruhan aktiviti geologi di situ.


Pemdangan dari puncak menara Lipad Mud Volcano



  "Lumpur ini mengandungi garam mineral dan sulfur yang baik untuk kulit,'' ujar Stephen Etianshaya sambil menyapukan sedikit lumpur ke mukanya sebelum gelagatnya diikuti oleh kebanyakan kami.


Stephen yang merupakan pegawai paling seniur di TWR berkata, Taman Hidupan Liar Tabin sebagai kawasan hutan simpan terbesar di negara ini dengan keluasan 123,000 hektar menawarkan pelbagai aktiviti menarik.


  "Selain keindahan hutan hujan, tarikan utama di sini termasuk peluang mendekati hidupan liar yang semakin terancam seperti gajah pygmy,  badak sumbu Sumatera dan seladang,''katanya.


Jeram di Tabin 



Keesokan harinya kami meneruskan pengembaraan di Negeri Bawah Bayu itu ke Semporna untuk melengkapkan eskpedisi sejauh lebih 600 kilometer. Perjalanan dari Tabin ke pekan yang merupakan hab pelancongan Sabah itu mengambil masa kira-kira tiga jam.


Dari di jeti pelancongan Semporna, mode pengembaraan kami berubah kepada jalan air
menuju ke destinasi terakhir iaitu sebuah pulau yang cukup terkenal dengan tarikan di bawah airnya khususnya di kalangan penyelam skuba iaitu Pulau Mabul.

Penginapan kami di Borneo Divers, Mabul

Di pulau yang dihuni oleh masyarakat Bajau Laut itu, Isuzu sekali lagi melengkapkan 'percutian' kami dengan pengalaman selam skuba yang merupakan kemuncak dan juga penutup bagi pengembaraan Dura Mission 2012. 


Rakaman kamera Canon S90 saya di Baracudda Point, Sipadan Island