MERAKAM video pada majlis keraian atau ketika dalam percutian kini semudah merakam gambar biasa dengan kamera video kompak. Apatah lagi jika saiz gajet tersebut lebih kecil daripada tapak tangan sendiri.
Canon Malaysia baru-baru ini memperkenalkan dua model terbaru dalam teknologi rakaman video berdefinisi tinggi (HD) iaitu siri Legria HF R18 dan Legria HF R16.
Siri Legria direka untuk memenuhi kehendak pengguna yang mahukan operasi mudah dan ringkas namun dapat menghasilkan kualiti rakaman yang baik. Model ini sesuai untuk mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia videografi.
Model R18 didatangkan dengan kapasiti simpanan data berjumlah 32GB manakala model R16 pula dilengkapi kad memori 8GB. Dengan kapasiti itu, R18 dan R16 masing-masing mampu menampung rakaman sehingga 12 jam dan tiga jam.
Kualiti rakaman imej Legria yang menggunakan DIGIC DV III dilengkapi teknologi pengesanan wajah. Pada fungsi itu, kamera secara automatik akan memaksimumkan fokus sebaik sahaja mengesan muka manusia, sekaligus menghasilkan imej lebih jelas.
Dengan mod Smart Auto, siri Legria ini dipakejkan dengan kepintaran untuk merakam imej dengan penuh teliti, tanpa sebarang kesulitan. Dalam apa juga situasi, perakam video ini menghasilkan imej yang baik dengan mengesan jarak subjek, keterangan, warna dan pergerakan.
Mod pemandangannya pula mampu mengenalpasti 31 situasi berbeza sama ada pada hari terang, malam, lewat petang dan cahaya setempat sama ada subjek dalam keadaan kaku, bergerak dan jarak dekat.
Legria juga dilengkapi dengan fungsi penstabilan imej (IS) yang memungkinkan rakaman dilakukan pada bila-bila tanpa kesan kabur walaupun ketika zoom (minimum). Fungsi IS membantu rakaman lebih jelas dengan mengurangkan impak gegaran.
Skrin LCD sebesar 2.7 inci memberikan imej jelas untuk mendapatkan bingkai gambar semasa rakaman dan juga ketika dimainkan semula.
Dengan kamera video ini, anda boleh meninggalkan segala kerumitan fungsi yang biasanya ada pada sebuah kamera. Dengan menekan dua butang, rakaman video dilakukan dengan kualiti terbaik.
No comments:
Post a Comment