Jan 12, 2010

Borneo Safari

PENGALAMAN mengikuti pacuan empat roda merentasi pedalaman Sarawak hingga ke Sabah bersama ekspedisi Isuzu Dura-Mission pada Mei 2009 membuatkan penulis teruja untuk kembali menerjah hutan Borneo. Jika dahulu nama Ba'Kelalan dan Lembangan Maliau yang menjadi tarikan, kunjungan kali ini adalah untuk menyelongkar satu lagi nama yang agak asing, iaitu Hutan Simpan Deramakot.

Penyertaan bukan sekadar berada di dalam konvoi tetapi untuk membuat liputan dalam cabaran pacuan empat roda 4X4 iaitu Borneo Safari anjuran Kelab Pacuan Empat Roda Kinabalu (KFWDC). Dari pejabat Lembaga Pelancongan Sabah di Kota Kinabalu, konvoi yang disertai oleh 150 kenderaan berlepas melalui Kundasang, Ranau dan Telupid sebelum memasuki hutan Deramakot.


Melihatkan jumlah kenderaan yang besar dalam acara ini, fikiran mula menggambarkan keperitan yang bakal ditempuhi terutama untuk melepasi laluan balak yang dikatakan sudah lebih 25 tahun tidak dilalui. Sepanjang 19 tahun penganjuran, tahun ini merupakan tahun pertama Borneo Safari diadakan di tengah-tengah hutan tanpa laluan susur keluar. Dari Deramakot, satu-satunya jalan keluar yang ada hanyalah melalui Sandakan.

Peserta melakukan top up bahan bakar di stesen minyak terakhir sebelum memasuki Telupid

Selepas sejam memasuki laluan offroad di Telupid, konvoi yang dianggotai media, kru penganjur, kru sokongan dan peserta 'tag on' akhirnya tiba di lokasi pertama ujian peringkat istimewa atau diringkaskan sebagai SS (special stages). Lokasi yang terletak hanya di tepi jalan yang kami gunakan.


Sebanyak 18 SS disediakan sepanjang acara yang menjadi medan kepada 21 pasukan bertanding (termasuk tiga pasukan dari Jepun). Pemarkahan dikira berdasarkan kepantasan masa dan kekemasan teknik.

Melihatkan keadaan 'litar' buatan manusia yang curam dan berlekuk di kawasan kaki bukit itu, seperti amat sukar bagi sebuah kenderaan untuk melepasinya. Tetapi andaian itu tersasar jauh.
Dengan kekuatan jentera, kepakaran memandu dan perintah arah yang baik oleh pembantu pemandu, halangan itu ternyata hanya sesi 'panas enjin' sebelum cabaran yang lebih sukar.
Selepas SS ketiga keesokan harinya, kami menuju ke pintu masuk Deramakot. Hutan simpan yang terbentang seluas kira-kira 55,000 hektar di tengah-tengah negeri Sabah.

SS 3

Hentian di pejabat Hutan Simpan Deramakot.

Selepas perjalanan kira-kira 200 kilometer (Kota Kinabalu- Telupid) yang lancar, pergerakan konvoi mula perlahan sebaik memasuki Deramakot. Sebuah demi sebuah kenderaan mula ditarik menggunakan winch kerana laluan mendaki yang sukar dan tayar sudah ditenggelami selut lembik. Melihat tiada tanda-tanda kenderaan di hadapan kami dapat meneruskan perjalanan pada petang itu, kami tidak mempunyai pilihan lain selain berkhemah di tengah-tengah jalan.

Cabaran menjadi semakin 'perit' pada hari ketiga apabila hajat untuk menyambung perjalanan seawal mungkin terhalang oleh kumpulan peserta yang masih sibuk memasak di tengah-tengah laluan. Perkara yang paling tidak masuk akal. Semata-mata kerana mereka menggunakan laluan utama sebagai 'dapur' mereka, kami semua terpaksa menunggu hampir satu jam. Tindakan yang boleh dikatakan agak bodoh dan tidak berpengalaman.

Selepas sejam menunggu, jalan sempit itu 'dibuka semula' dan keutamaan diberikan kepada pasukan bertanding yang berkejar ke lokasi SS keempat. Malang bagi kumpulan media kerana hanya sempat menyaksikan beberapa buah kenderaan terakhir beraksi.

Salah satu daripada peserta yang beraksi di SS 4

Perjalanan diteruskan pada sebelah malam. Sinaran daripada lampu kenderaan memperlihatkan kelibat mereka yang bertungkus-lumus mengeluarkan kenderaan yang tersekat.

Perjalanan dihentikan pada pukul 1.30 pagi selepas kami menemui sebatang anak sungai. Walaupun kecil dan agak keruh tetapi cukup untuk membersihkan badan selepas dua hari bergelumang dengan peluh dan lumpur.


ISUZU Monster yang menjadi kenderaan panduan penulis.

Kemuncak

Pada hari keempat, perjalanan terhenti lagi walaupun jarak yang dilalui baru sahaja dua kilometer dari tapak perkhemahan malam sebelumnya. Dari perbualan melalui set radio amatur, kami difahamkan cabaran yang berada di hadapan konvoi kali ini jauh lebih hebat. Saya bersama rakan media lain turun ke lokasi yang dimaksudkan untuk meninjau perkembangan konvoi. Kelihatan selut dan lumpur sedalam paras lutut sudah menutupi jalan.

Konvoi kami langsung tidak bergerak pada hari itu kerana masih banyak kenderaan di hadapan yang tidak dapat melepasi kubang sepanjang kira-kira 300 meter itu. Kawah selut yang digelar elephant mud hole.

Penantian mula membangkitkan keresahan di kalangan peserta. Lebih merisaukan kami apabila bekalan air semakin berkurangan dan di kalangan peserta sudah ada yang mula meminta air daripada rakan-rakan.
"Hari yang panjang dan memenatkan. Jarak perjalanan yang kita lalui sejak semalam baru 2.7 km," ujar salah seorang peserta sambil menunjukkan bacaan jarak pada GPS-nya.

GPS menunjukkan lokasi konvoi di tengah-tengah hutan Sabah

Walaupun ada yang mendesak supaya perjalanan diteruskan pada waktu malam tetapi cadangan terpaksa diketepikan kerana laluan semakin sukar. Apatah lagi untuk menyeberangi jambatan yang sudah dibanjiri lumpur dalam gelap malam.

Ekspedisi masuk hari kelima, pasukan bertungkus-lumus dengan pelbagai kaedah untuk melepasi laluan paling 'hardcore' di situ. Semangat berpasukan yang ditonjolkan adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

"Konvoi mengambil masa kira-kira tiga hari untuk melepasi laluan paling hardcore sejauh hanya 15 km di hutan Deramakot."

Jentera berat seperti Ninja King dan teknik pemanduan yang salah menjadikan jalan bertambah teruk.

Semua kenderaan melepasi laluan paling sukar itu ketika matahari mula condong ke barat. Persinggahan terakhir kami sebelum Sandakan adalah ke Base Camp Deramakot, di mana setiap pasukan membaiki kenderaan mereka untuk beraksi di dalam 10 lagi SS di Tinusa Bay.

Daripada 18 SS yang diadakan, pemandu Liew Siak Kiong dan pembantu Pang Ket Vui diumumkan sebagai juara dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dan barangan tajaan bernilai lebih RM30,000.

Pasukan nombor 51 itu menundukkan juara dua tahun berturut-turut (2007 dan 2008) iaitu Chong Horng Ru dan Minion Kotidis yang berada di tempat kedua.

Isuzu Malaysia sebagai penaja media rasmi Borneo Safari turut memperkenalkan Anugerah Dura Man yang menjadi milik Mohd. Zaki dari Tuaran sebagai peserta paling lasak dan banyak membantu pergerakan konvoi.


Majlis penutup Borneo Safari 2009

No comments:

Post a Comment