Jan 23, 2010

Damai di Awana Kijal

SLOGAN 'Negeri Cantik Budaya Menarik' menjadi penyambut kehadiran sebaik sahaja kenderaan melepasi gerbang sempadan antara Pahang dan Terengganu. Ungkapan ringkas itu secara tidak langsung membayangkan pelbagai keindahan yang sedang menanti di hadapan.

Deruan ombak, pantai bersih yang dihiasi rimbunan pokok rhu serta susunan bot di perkampungan nelayan mula tergambar di fikiran. Dari gerbang itu, perjalanan menuju ke Kijal, pekan di selatan Terengganu tinggal kira-kira satu jam setengah sahaja lagi. Terasa tidak sabar.

Bagi yang biasa menggunakan jalan raya pesisir pantai itu, Kijal sememangnya cukup popular sebagai destinasi persinggahan terutama bagi mereka yang gemarkan lemang dan satar ikan (makanan tradisional seperti otak-otak) yang dijual di sepanjang jalan.

Tetapi di kalangan 'orang luar', nama Kijal lebih sinonim dengan sebuah resort. Sebut sahaja Kijal, pasti tergambar Awana Kijal Golf, Beach & Spa Resort (Awana Kijal) yang terkenal sebagai produk pelancongan di pintu masuk Terengganu. Berbeza dengan hotel-hotel di tempat lain, aura ketimuran begitu jelas dirasai di sini.

Saya menikmati suasana tenang di lobi seketika. Hati mula terpaut pada keindahan seni bina ala istana Melayu lama, tambahan setiap sudut dalaman resort itu dihias cantik dengan pancutan air dan hiasan daripada tumbuhan liar.


Berdasarkan pengalaman rakan-rakan yang pernah menjejakkan kaki ke hotel lima bintang itu, saya meletakkan harapan yang tinggi pada kunjungan pertama kali ini. Tidak sabar untuk melangkah ke bilik penginapan dan menikmati pemandangan mengadap laut dari beranda.

Bilik Double Deluxe (Seaview) menyajikan pakej 'lengkap'. Bukan sahaja dilengkapi dua katil besar, bilik mandi yang luas, televisyen 25 inci dan semua kelengkapan asas. Di sebalik tirai bilik itu pula terbentang padang golf yang menghijau, kolam renang, pantai dan Laut Cina Selatan yang membiru seluas mata memandang.

Jam kunci juga disediakan untuk membantu penghuni bangun menyaksikan pemandangan matahari melepasi garisan kaki langit pada waktu pagi.



Pengurus Besar Awana Kijal, Amirruddin Salleh berkata, Awana Kijal menjanjikan pakej percutian terbaik untuk seisi keluarga dan sesiapa sahaja yang mencari ketenangan di resort tepi laut.

"Resort ini menawarkan keselesaan dari segenap sudut. Bukan sahaja penginapan yang selesa malah kawasan juga dikelilingi bentuk muka bumi yang menarik.

"Selain itu, tarikan aktiviti oleh masyarakat setempat di beberapa kawasan berhampiran juga tidak kurang hebatnya," katanya.

Antara kemudahan yang disediakan termasuk spa, sauna, jakuzi, kelab golf, gimnasium, kolam renang, pelbagai jenis sukan air, rekreasi darat seperti memanah, berbasikal hinggalah demonstrasi mencanting batik.

Menurut Amirruddin, keistimewaan resort tersebut menjadikannya tumpuan pengunjung setiap kali musim cuti sekolah dan cuti umum.

"Kita mempunyai 341 buah bilik termasuk penginapan mewah di bilik-bilik premier. Setiap kali tiba musim cuti, 95 peratus daripada bilik akan dihuni dan sepanjang tahun 2007, peratus penginapan mencecah sehingga 75 peratus," jelasnya lagi.

Rekreasi dan sukan air

Semestinya mana-mana penginapan di resort tepi laut tidak lengkap tanpa aktiviti air. Awana Kijal menyediakan kolam renang terbesar di Terengganu untuk kepuasan tetamu. Pandangan mengadap laut dari kolam yang dihiasi air terjun tiruan itu pasti menjadi lokasi kegemaran seisi keluarga.

Pantai peribadi yang terbentang sepanjang 7.6 kilometer pula menyediakan pelbagai permainan seperti kenderaan pelbagai guna (ATV), jet ski dan bot pisang. Semua aktiviti diuruskan pihak ketiga yang mengenakan bayaran pada kadar berpatutan.


Selepas kepenatan tiba masanya untuk penuhi tuntutan selera di restoran yang menyajikan pelbagai jenis hidangan. Bagi penggemar makanan tempatan dan sesuatu yang lebih tradisional, Restoran Kampong Meraga Beris adalah persinggahan yang tepat. Sarapan pagi pilihan saya semestinya sepinggan nasi dagang berlauk ikan tongkol. Ringkas tetapi cukup puas.

Hidangan makan tengah hari lebih menarik dengan menu ala kampung seperti ikan merah masak pedas, ulam-ulam segar bersama sambal belacan, budu, tempoyak dan cencaluk yang disediakan di dalam sebuah sampan.

Selepas makan, pencuci mulut seperti ketupat sotong, lepat tikam, pengat dan beberapa lagi kuih tradisional Terengganu sedang menanti.

Bagi yang ingin mencuba selera barat, Windows Steak House adalah tempatnya. Ataupun pengunjung boleh turun ke tingkat bawah ke Waterfall Cafe & Lounge untuk menjamu selera bersebelahan dengan kolam renang sambil dihiburkan oleh persembahan muzik.

Tidak terkecuali hidangan Kantonis termasuk Yong Tau Foo yang dimasak secara tradisional juga disediakan di Little Canton. Di sebelah petangnya, tetamu boleh berehat seketika sambil menikmati keenakan roti pisang di Atrium Coffee Lounge.

Bagi pelawat berkeluarga atau secara korporat, padang golf 18 lubang yang terbentang luas pasti menambah keseronokan percutian. Permainan di padang dengan tiupan angin laut itu pasti menguji pukulan. Selain lapangan green yang kemas, lubang ke-14 (signature) adalah tarikan utama bagi setiap pemain.



Apa sahaja pilihan rekreasi atau aktiviti luar, pengunjung yang kepenatan boleh bertandan ke Taman Sari Royal Heritage Spa untuk menikmati sentuhan urutan tradisional masyarakat Jawa, Perancis dan Sweden. Urutan dan rawatan kecantikan disediakan oleh kakitangan pusat yang diiktiraf oleh Mustika Ratu.

Pada sebelah malamnya, hiburan menanti pengunjung di One Karaoke yang menyediakan persembahan muzik berkumpulan sehingga 12 malam. Tetapi semuanya tidak berakhir di situ kerana masih terdapat banyak aktiviti yang menanti pengunjung termasuk mengikuti lawatan luar dari resort.

Disko hutan

Di Awana Kijal, pengunjung dicadang melawat Sungai Yakyah di Kampung Ibok untuk menyaksikan salah satu daripada tarikan yang semakin popular di Kijal. Uniknya, tarikan alam semula jadi itu hanya boleh disaksikan di dalam keadaan gelap tanpa sebarang kehadiran cahaya.

Dalam kepekatan malam di kawasan paya bakau itu kumpulan kami bergerak secara berkumpulan menggunakan dua buah bot menyusuri sungai kecil yang di kiri kanannya dipenuhi jutaan kelip-kelip. Cahaya yang dikeluarkan seakan-akan membentuk rentak tertentu.

Sepanjang perjalanan, Che Ghani Che Mohd. Nor sebagai pemandu pelancong menerangkan kepada kami satu persatu fakta dan rahsia di sebalik fenomena unik itu.

Daripada cara mengenal jantina, faktor habitat, spesies, kitaran musim hinggalah jangka hayat seekor kelip-kelip, semuanya berada di dalam 'kepala' Che Ghani. Selain itu, kawasan kaki sungai juga menjadi habitat haiwan seperti kera.

"Apa yang kamu lihat pada malam itu hanyalah sebahagian daripada apa yang boleh dilihat pada musimnya. Pada musim puncak, seluruh kawasan ini akan diterangi cahaya kelip-kelip," jelas Che Ghani.

Selain itu, pada setiap bulan Ogos bersamaan musim cuti sekolah, pengunjung yang datang ke Awana Kijal juga berpeluang melihat kemunculan penyu yang naik untuk bertelur di sepanjang pantai.

"Setiap malam selama dua minggu pantai ini akan menjadi persinggahan penyu-penyu Agar untuk bertelur. Selain itu kita juga mengadakan program pelepasan anak penyu dengan kerjasama pihak santuari,"jelasnya.

Yang pasti, penginapan di Awana Kijal seharusnya dirancang dengan baik dan tidak cukup sekadar sehari semalam kerana terlalu banyak aktiviti yang boleh dilakukan di sini.

3 comments:

  1. ratu: dulu sy selalu ke awana kijal bersama keluarga..mmg best tmpatnye, dan yg pasti sy akan menangis tiap kali tiba masa utk pulang krn sayg nk tinggal kn awana kijal..haha

    ReplyDelete
  2. Wah..time tu mesti masih sekolah rendah..haha

    ReplyDelete
  3. Saya tertarik la akan Bilik Double Deluxe (Seaview) menyajikan pakej 'lengkap'. Yg plg tertarik adalah jakuzi itu...

    ReplyDelete