May 6, 2010

Buaya Sangkut dan Upih Guling

AKHIRNYA sampai jugak ke Taman Negara Endau Rompin. Antara taman negara yang dah lama termasuk dalam favourite list. Kali ni kunjungan diatur rakan setugas di biro Johor Baharu, Arif Nizam. Antara Reporter satu batch yang masih kekal dengan kompani. Dah tak ramai dah!

Yang ikut kali ini Cynthia Yeoh, wartawan dari meja ekonomi. Juga satu batch. Selepas hampir lima tahun, seorang demi seorang dah meninggalkan Utusan Malaysia. Kini yang tinggal hanya beberapa kerat daripada 22 orang batch kami.

Cynthia pulak akan bertukar angin ke PR co tak lama lagi. "Grass is greener on the other side?"... Turn aku? Tak tahu lagi, so far ok kerja dengan kompani, cuma heavy works tu kadang kala buatkan aku nak je brenti. Tapi syukur dapat kuar buat assigment dan release-kan beban. Bussy all weekday-enjoy on the weekend.. tu lah kitaran hidup aku buat masa ni.
"Grass is greener on the other side..Amoi?"

Endau Rompin

Malam sebelum bertolak ke ER aku tak tidur semalaman kerana rushing siapkan page Sabtu. Aku, Cynthia, Hana (graphic artist) dan Hatim (photographer) bertolak dari pejabat di Chan Sow Lin ke Kahang pada pukul 3.30 pagi.

Perjalanan dari KL ke Johor menggunakan exit Ayer Hitam, melalui Bandar Kluang then selepas tiga jam kami sampai ke Kahang iaitu Pejabat Taman Negara Endau Rompin. Sempat, breakfast di sebelah pejabat sementara menunggu Arif yang drive dari Johor. Lambat la Arif!

Endau Rompin adalah nama hasil perkongsian dua taman di dua negari, Endau di Johor dan Rompin di Pahang. Berbeza dengan Taman Negara Jerantut, ER ni agak kurang dimasuki pelancong. Jumlah pelancong tahun lalu hanya 3,000 orang dan 20 peratus adalah pelancong luar. Mungkin kerana lokasinya yang jauh atau kurang promosi.

Kami meninggalkan kereta untuk 4H3M di depan pejabat Taman Negara di Kahang. Perjalanan ke Kompleks Pelawat di Kampung Peta menaiki 4wheeldrive mengambil masa dua jam. Agak penat tapi berbaloi.

Tumpuan utama bagi yang merancang percutian ke sana adalah Air Terjun Buaya Sangkut, Upih Guling, Gunung, Tasik Air Biru, lokasi tengok Kelah di Kuala Marong atau mendaki Gunung Janin Barat. Even tempat penginapan di Kuala Jasin sebenarnya sudah cukup memukau bagi mereka yang cintakan nature.

Air Terjun Buaya Sangkut adalah tarikan tersohor. Air terjun setinggi 40 meter yang mempunyai dongeng tersendiri. Pendakian dari tapak penginapan di Kuala Marong ke puncak Buaya Sangkut memakan masa empat jam. with a lot of pacat!!

Upih Guling adalah satu lagi tarikan. Juga kawasan air terjun tetapi mempunyai permukaaan batu berlubang-lubang akibat hakisan dan luluhawa yang berlaku sejak jutaan tahun lamanya. Air terjunnya juga cantik, dan di dalam lubang-lubang itu pelawat boleh bergambar dengan memasukkan kaki. Cuma berhati-hati tika kaki anda digigit, ada anak-anak ikan di dalam lubang-lubang sempit itu.

Destinasi terakhir kami adalah ke Tasik Air Biru. Hanya 15 minit perjalanan dari Kuala Marong. Ia bukan sebuah tasik, sebenarnya hanya takungan air daripada batang sungai yang mengalir perlahan. Ketenangan permukaan air seolah-olah seperti sebuah tasik.
Kejernihan air di kawasan ini tidak dapat dipertikaikan. Jernih sehingga menampakkan daun-daun dan batu-batu di dasarnya.

Berikutan adalah story yang dipublished minggu lalu 15/05/2010.

SATU buaya, satu bunian. Satu tersangkut, satu terguling." Itulah sebahagian daripada mitos yang akan sampai ke telinga anda jika melawat Taman Negara Endau Rompin (TNER). Kisah yang menceritakan asal-usul di sebalik nama dua lokasi paling popular di taman negara Negeri Johor itu.

Buaya Sangkut dan Upih Guling merupakan dua kawasan air terjun yang menjadi lokasi wajib dikunjungi dan antara yang sering disebut-sebut oleh mereka yang pernah menyaksikan keindahan belantara antara yang tertua di dunia itu.

Cerita mengenai seekor buaya dan nasib pemuda bunian itu disampaikan oleh Ayu, gadis Orang Asli yang menjadi juru pandu arah kumpulan kami semasa lawatan empat hari tiga malam ke TNER, baru-baru ini.

Tidak begitu terperinci kisah mengenai Buaya Sangkut dan Upih Guling yang dikongsikan Ayu, namun wanita dari suku Jakun itu sempat meringkaskan dongeng yang diperturunkan oleh nenek moyangnya itu kepada kami.

Menurut ceritanya, nama Buaya Sangkut diperolehi daripada kisah seorang ibu yang mendapat ramalan bahawa nyawa anak perempuannya akan berakhir di mulut seekor buaya. Bimbang dengan nasib malang yang bakal menimpa, si ibu melarikan anak gadisnya jauh ke hulu sungai dengan harapan buaya itu tidak akan dapat menjejak mereka.

Setelah beberapa hari bersembunyi di kawasan air terjun itu, mereka dikejutkan dengan kemunculan seekor buaya besar yang merangkak naik melalui tembok batu yang kini merupakan laluan air terjun setinggi 40 meter itu.

Air Terjun Buaya Sangkut

Berkat doa si ibu yang amat menyayangi anak gadisnya, sang buaya ditakdirkan tersangkut di celah-celah bongkah batu dan lama-kelamaan bertukar menjadi batu. Bentuk haiwan itu masih boleh dilihat sehingga hari ini.

"Dari sini dapat lihat rupa seekor buaya seperti tersangkut di celah-celah laluan air terjun," kata Ayu sambil menunjukkan seketul batu bewarna kemerah-merahan dari puncak air terjun itu.

Kawasan air terjun tiga tingkat yang terletak di hulu Sungai Jasin itu boleh dikunjungi dengan mendapatkan khidmat penduduk Orang Asli di Kampung Peta yang berdaftar sebagai penunjuk arah dengan pihak taman negara.

Pendakian ke Buaya Sangkut

Dari resort tepi sungai di Kuala Jasin, perjalanan meredah hutan sejauh lima kilometer memakan masa kira-kira empat jam. Walaupun terpaksa memerah keringat sehingga sehari suntuk, pendakian meredah hutan yang dihiasi himpunan pokok kipas (palma) di situ menyajikan pemandangan yang cukup berbeza dengan hutan-hutan lain di negara ini.

Kemuncak kepuasan adalah ketika berdiri di bahagian paling puncak dan kaki air terjun itu. Limpahan air yang mencurah menghasilkan deruan yang cukup mendebarkan. Namun ia satu pengalaman yang berbaloi untuk dijejaki.

Bagi yang tidak gayat, pandangan dari puncak Buaya Sangkut memperlihat kolam takungan berbatu hitam yang diselubungi wap-wap dan percikan air yang memutih. Keindahan yang terus melampiaskan kepenatan di lutut dan pergelangan kaki.

Bagaimanapun kesuntukan masa tidak membenarkan kami menikmati pesona alam Endau itu lebih lama. Sebaik sahaja tiba di chalet Kuala Jasin pada lewat petang ini, masing-masing bergegas turun ke sungai Jasin untuk menyejukkan badan.

Dari tempat penginapan di tepi sungai itu, kedengaran jelas deruan arus jeram yang terhasil daripada pertemuan Sungai Jasin dan Endau. Kebebasan tanpa talian telefon dan siaran televisyen yang membuatkan saya tersenyum sendiri. Kedengaran di telinga hanyalah bunyi-bunyi unggas yang bersahutan.

Upih Guling

Keesokkan harinya kami di bawa ke sebuah kampung. Namun apa yang jelas pada mata hanyalah kawasan jeram berbatu hampar yang luas dan cantik tetapi tidak pula berpenghuni.

Ayu sebagai penglipur lara menyambung mitos kedua masyarakat orang asli Jakun mengenai 'kampung' yang dimaksudkan. Ia dipanggil Upih Guling.

"Seperti orang Melayu kami orang Jakun juga percaya kewujudan alam bunian. Upih Guling ini adalah satu daripada perkampungan mereka," jelasnya dengan nada berbisik.

Jeram Upih Guling yang mengalirkan arus Sungai Jasin adalah tarikan kedua paling popular di Taman Negara Endau Rompin yang terbentang seluas 49,000 hektar itu.

Ia mendapat nama daripada kisah seorang pemuda bunian bernama Upih yang kecewa dalam percintaannya dengan seorang gadis di kampung itu.

Diceritakan pada suatu hari ketika Upih sedang memencilkan diri di kawasan jeram itu dia tiba-tiba disapa oleh wanita idamannya. Upih yang terkejut kemudian tergelincir dan jatuh terguling-guling sehingga bertemu ajal di situ.

Satu lagi versi mengatakan Upih ialah seorang pemuda kampung bunian yang suka berlaga ayam. Jeram yang menjadi tempat kegiatan rahsia Upih bersama rakan-rakannya itu akhirnya diserbu oleh kekasihnya sehingga dia terkejut dan terjatuh lalu menerima nasib yang sama.

Benar ataupun dongeng, kisah malang si Upih itu tidak begitu penting jika anda sedang berdiri di atas permukaan batu hampar itu. Keindahan batu berlubang yang terhasil akibat proses lulu-hawa sejak jutaan tahun itu jauh lebih menarik untuk diamati.

Kawasan batuan unik di Upih Guling

Di antara kolam berlubang kecil itu ada juga yang boleh memuatkan seorang lelaki dewasa dengan kedalaman paras pinggang. Keunikan yang hampir sama seperti yang terdapat di Gunung Stong, Kelantan. Selain keunikan geologi yang dipercayai berusia 248 juta tahun, Upih Guling juga mempunyai beberapa kolam air terjun yang cukup menawan.

Tasik Air Biru

Lokasi terakhir yang terletak kira-kira 15 minit berjalan kaki dari Kuala Marong mempunyai nama yang agak jelas. Tidak diketahui pula jika Tasik Air Biru itu juga menyimpan mitos dan lagenda yang tersendiri.

Ini lokasi ketiga paling popular di TNER. Ia sebenarnya bukanlah sebuah tasik tetapi kolam takungan di aliran sungai yang mempunyai kedalaman kira-kira lima meter.

Tarikan yang membuatkan lawatan anda ke taman negara yang dibuka pada 1985 itu cukup berbaloi adalah kejernihan air yang tiada tandingan di mana-mana sungai di negara ini. Selepas melawat Royal Belum di Perak, Taman Negara Pahang dan Taman Negara Lambir di Sarawak, sungai di kawasan taman negara itu adalah yang paling jernih setakat ini.

Tasik Air Biru

Pengurus Taman sedang feeding Kelah di Tasik Air Biru

Dari gigi air hingga ke dasar kolam, kejernihan Tasik Air Biru yang menampakkan batu-batu sungai, daun-daun mati yang berkumpul di dasar dan penghuninya seperti Kelah, Tengas dan Lampam.

Maklumat lanjut mengenai penginapan dan lawatan ke TNER termasuk pakej aktiviti kayak dan meredah hutan boleh diperolehi dengan menghubungi Pejabat Taman Negara Endau-Rompin di Kahang, Johor di talian 07-7882812 atau emel kepada peta_er@yahoo.com.


No comments:

Post a Comment