May 4, 2010

Top 6 Diving Destination

KEPUASAN dan ketenangan minda ketika menerokai keindahan alam di bawah permukaan air sememangnya sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Melihat keunikan dan keanehan hidupan yang selama ini asing pada pandangan mata adalah faktor yang 'menarik' penyelam skuba untuk terus terjun ke dasar laut.

Bukan itu sahaja, jenis dan kategori selam yang berbeza juga sering menjanjikan pengalaman dan sesuatu yang baru untuk dicuba.Bagi penyelam skuba kunci utama untuk mencapai kepuasan ketika menyelam adalah eksplorasi. Selepas puas meneroka keindahan di satu-satu lokasi, mereka akan beralih ke lokasi seterusnya.

Kali ini penulis berkongsi lokasi-lokasi selam skuba terbaik di seluruh dunia untuk dimasukkan ke dalam senarai destinasi wajib dikunjungi penyelam.

Sipadan dan Layang-Layang, Malaysia

MALAYSIA tidak pernah ketinggalan dalam aktiviti selam skuba. Perairan beriklim tropika menjadikan negara ini antara destinasi kegemaran penyelam dari seluruh dunia. Selain keindahan pulau-pulau seperti Redang, Perhentian dan Tioman, Malaysia mempunyai beberapa lokasi selam yang eksklusif yang bertaraf dunia.

Pulau Sipadan di Sabah yang pernah tergolong antara pulau tercantik di dunia masih lagi kekal sebagai permata dalam dunia selam skuba. Pulau kecil itu kaya dengan pelbagai spesies jerung, ikan lumba-lumba, alu-alu, penyu dan pari.

Sipadan terkenal dengan keindahan terumbu karang dan hidupan macro (halus) yang memenuhi 'galeri dinding' di sekeliling pulau berbentuk cendawan itu. Antara lokasi kegemaran penyelam di Laut Celebes itu adalah Barracuda Point dan South Point. Bagi penyelam tempatan, selam skuba sememangnya tidak lengkap selagi tidak menjejakkan kaki ke khazanah tidak ternilai ini.
Selain Sipadan, Sabah juga mempunyai beberapa lagi lokasi selam yang dianggap setanding seperti Pulau Layang-Layang, Mabul dan Kapalai.

Great Barrier Reef, Australia

TERUMBU karang Great Barrier di Australia adalah syurga bagi penyelam skuba. Ia merupakan kompleks terumbu karang terbesar di dunia yang mengandungi lebih 2,900 himpunan terumbu di kawasan seluas 344,400 kilometer persegi.
Antara lokasi selam paling digemari di sini adalah di Cod Hole, rangka kapal Yongola dan Pixie Pinnacle. Seperti juga Maldives, selaman dari atas kapal atau LOB adalah cara terbaik untuk menerokai keindahan terumbu karang Great Barrier.



Galapagos, Lautan Pasifik

GALAPAGOS merupakan habitat semula jadi paling kompleks bagi spesies terancam di dunia ketika ini. Pulau yang pernah menjadi 'makmal' kajian Charles Darwin itu kini merupakan tapak Warisan Dunia UNESCO yang saban tahun menduduki carta teratas destinasi selam skuba antarabangsa.

Dengan jarak penglihatan sehingga 30 meter dan kedalaman melebihi 20 meter, penyelam bukan sahaja berpeluang melihat jerung, penyu dan paus malah jika bernasib baik boleh menyelam bersama kumpulan anjing laut yang jinak. Cabaran menyelam di Galapagos adalah suhu sejuk sehingga lima darjah celsius (September hingga November) sebelum ia meningkat sehingga 30 darjah celsius menjelang Februari hingga April setiap tahun.

Arus deras dan sejuk di dasar laut menjadikan lokasi itu hanya sesuai untuk penyelam-penyelam yang berpengalaman. Bagi penyelam baru, selaman pada waktu malam di perairan cetek sudah cukup menjanjikan pengalaman luar biasa. Di darat pelawat berpeluang menyaksikan spesies burung, penguin dan iguana yang selama ini hanya dapat dilihat di dalam zoo.

Kepulauan Palau, Lautan Pasifik

REPUBLIK Palau yang terletak kira-kira 800 kilometer dari timur Filipina di kepulauan Micronesia merangkumi keluasan 7.8 juta kilometer persegi. Menyamai bentuk muka bumi di kepulauan Maldives, gugusan pulau-pulau kecil Palau menjanjikan peluang untuk penyelam bersemuka dengan beberapa spesies jerung termasuk gray reef, hammerhead dan tigershark.

Bagi yang menggemari selaman rangka kapal, Palau mempunyai beberapa lokasi terbaik seperti Helmet Wreck, Iro Maru dan Jake Sea Plane. Dua kapal perang dan satu pesawat tempur tenggelam itu merupakan tinggalan Perang Dunia Kedua yang kini menjadi kediaman pelbagai spesies marin.

Selain itu, Palau juga terkenal dengan pengalaman selam snorkel di tasik yang dipenuhi ribuan obor-obor yang tidak berbisa. Jika bukan tercantik di dunia, Palau adalah yang lokasi selam tercantik di Lautan Pasifik.

Maldives

KEPULAUAN Maldives yang terbentuk daripada 26 rangkaian kepulauan kecil atau dipanggil atoll merupakan antara lokasi selam skuba paling cantik di dunia. Perairan yang dipenuhi terumbu karang itu menjadi habitat kepada lebih1,000 spesies ikan dan pelbagai hidupan marin.

Selain tarikan spesiesnya, penyelam juga dijamu keunikan landskap berbentuk gua, terusan dasar laut, gantungan batu dan lerengan dinding yang terbentuk daripada pulau-pulau yang terletak rapat. Pengalaman menyelam di Maldives diperhebatkan dengan air sejernih kristal yang memberikan jarak penglihatan di dasar sehingga 40 meter. Faktor paling penting yang menentukan keseronokan menyelam.

Permukaan dasar lautnya yang berbonggol dan berbukit menghalakan arus deras yang menjadi lokasi kegemaran ikan-ikan besar berkumpul. Di antara beratus-ratus lokasi selam Palau, Kudarah Tila, Felidhu Atoll dan Baa Atoll adalah antara yang paling dikunjungi.

Kemuncak selam skuba di Palau semestinya di Ari Atoll di mana peratusan untuk bersemuka dengan pelbagai spesies jerung, kumpulan alu-alu, Napoleon dan beberapa spesies par sangat tinggi. Walaupun resort-resort dibuka sepanjang tahun, waktu terbaik untuk menyelam di Maldives adalah antara April hingga Jun dan Disember hingga Mac.

Blue Hole, Belize

TERLETAK di Amerika Tengah, Belize yang dahulunya dikenali sebagai British Honduras adalah satu lagi nama besar dalam 10 destinasi selam paling popular. Populariti Belize bermula selepas pendedahan oleh Jacques Cousteau (individu penting dalam selam skuba) mengenai kewujudan Blue Hole semasa penerokaan bersama kapalnya, The Calypso pada tahun 1971.

Penemuan lokasi selam paling ikonik di gugusan pulau yang dinamakan The Lighthouse Reef itu tersebar pantas apabila beliau memasukkan Blue Hole ke dalam senarai lokasi selam kegemarannya. Blue Hole adalah lubang sedalam 145 meter yang menjadi kegilaan penyelam-penyelam berpengalaman.

Lohong yang menjadikan permukaannya berwarna biru gelap itu dikatakan terhasil pada zaman glasier sebelum ditenggelami semula oleh paras laut. Kini keunikan lokasi selam yang dipenuhi jerung dan garupa itu diangkat sebagai salah satu daripada Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO.

2 comments:

  1. Blog ini dimuatkan dengan informasi yang sangat menarik mengenai "scuba diving". Tahniah.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih. Selamat Datang. Datang Lagi.

    ReplyDelete