Dec 2, 2010

Pandu Uji Rolls Royce

ROLLS Royce memang tidak perlu banyak introduction. Prestij dan kemewahan yang sejak sekian lama meletakkan kenderaan itu sebagai kenderaan paling sinonim dengan individu-individu terkaya di dunia. Ia bukan sekadar kereta. Rolls Royce adalah lambang keunggulan sebuah kenderaan yang dipenuhi nilai-nilai eksklusif, muktamad tanpa pesaing.

Eksklusifnya bukan hanya pada pembuatan bahkan pemilikannya juga terhad. Di negara ini, setakat ini hanya ada dua pemilik, manakala sebuah lagi masih dalam perjalanan (tempahan) yang bakal menjadi milik seorang kerabat di negara ini. Dengan jualan kurang 2,000 unit di seluruh dunia setahun, kelibat Rolls Royce di jalanan boleh diumpamakan satu dalam
berjuta.

Saya baru-baru ini berpeluang menjadi antara yang pertama di rantau ini memandu uji satu daripada model jenama itu iaitu Rolls Royce Ghost. Sesi pandu uji jentera beharga RM2.6 juta (yang membuat kemunculan pertama di negara ini pada Januari lalu) bermula dari pejabat Quill Motorcars Sdn. Bhd, pengedar rasmi Rolls Royce tempatan.

"Ini adalah peluang yang sangat jarang diperolehi. Nikmatilah kepuasan pemanduan yang dicipta
pada kelas tertinggi,'' ujar Hal Serudin, Pengurus Komunikasi Korporat Rolls-Royce Motor Cars Limited sebelum pandu uji bermula. Memang benar, perjalanan dari bangunan Quill 9 di Jalan Semangat, Petaling Jaya ke Putrajaya pada pagi itu menjadi pemanduan paling mewah, mungkin untuk seumur hidup saya.

Lebih mengujakan lagi apabila diberitahu bahawa kenderaan yang sama digunakan oleh pelakon terkenal, Datuk Michelle Yeoh semasa menghadiri pelancaran butik Louis Vuitton (LV) di The Gardens, Mid Valley baru-baru ini.

"Buat masa ini hanya tiga individu yang memiliki model Ghost di negara ini, (identiti tak perlu la kot),'' jelas wakil Rolls Royce dari Singapura itu yang cukup arif mengenai jenama itu.

Langkah pertama melalui pintu yang dibuka seperti gerbang itu cukup selesa. Ruang dari hujung kepala hingga ke hujung kaki disediakan dengan secukupnya. Kasut yang dipakai tenggelam di permukaan permaidani yang halus. Ketika itu juga badan pula meresap keselesaan dan kelembutan tempat duduk yang dibalut kemas dengan kulit lembu Bavaria, sejenis lembu yang diternak khas di pergunungan Jerman.

Mata terpegun mengamati kehalusan buatan tangan dari kilang Goodwood di England yang menggabungkan rekaan moden dan klasik dengan cukup sempurna. Alunan muzik klasikal yang kedengaran secara perlahan-lahan 'membangkitkan' Ghost.

Keindahan rekaan dalam kabin jentera sepanjang 5.4 meter itu dihiasi ciri-ciri trademark seperti jam dinding yang terpapar di tengah-tengah dashboard. Di hujung bonet depan pula berdiri seorang gadis yang dinamakan 'Spirit of the Ectasy'. Lencana kebanggan Rolls Royce.

Keunikan kereta itu diserikan dengan sekaki payung teflon yang tersimpan di dalam daun pintu untuk menambah elegan pemiliknya. Satu lagi teknologi moden yang diserapkan pada jentera ini adalah akses tanpa kunci.

Di tempat duduk pemandu, balutan kulit berkualiti tinggi sekali lagi membuktikan keselesaan sebaik sahaja kedua-dua tangan menggenggam stereng. Dengan kawalan gear dan audio di hujung jari, pemandu boleh menikmati pemanduan dengan erti kata lebih bebas.

Selain ciri-ciri fancy itu, kemewahan saloon ultra itu semestinya kelengkapan sistem multimedia dan set telekomunikasi premium yang bertaraf VVIP. Secara keseluruhan, Ghost dibina dengan segala kemewahan yang ada pada BMW 7 Siries.

Tempat duduk belakang dilengkapi dua skrin LCD bersaiz 9.2 inci dengan sistem audio berkuasa 600 watt yang menyalurkan bunyi keliling melalui 16 pembesar suara. Tidak cukup dengan simpanan data 12.5 gigabit, fungsi auxiliary juga disepadukan untuk peralatan audio luar.

Ghost yang mengambil masa empat tahun untuk dibangunkan disifatkan sebagai jentera terbaik dan terpantas dihasilkan Rolls Royce. Ia mewakili model lebih kecil jika dibandingkan dengan keluarga Phantom.

''Jika Phantom lebih sesuai digunakan untuk majlis istimewa, model Ghost ini boleh digunakan sebagai pacuan harian,'' jelas Hal. Dengan pengurangan 44 sentimeter daripada model Phantom, saiz Ghost yang dinamik tetap mengekalkan ciri-ciri mewah.




-Kuasa terpendam

ENJIN Ghost dihidupkan dengan menekan butang elektronik, jentera yang dipacu enjin 6.6 liter itu meluncur dengan satu kuasa yang cukup lembut, kuasa yang asing daripada kebiasaan memandu. Bukan sembarangan enjin, Ghost yang menggunakan enjin V12 dengan kotak gear ZF lapan kelajuan automatik itu mampu menghasilkan 563 kuasa kuda dan kelajuan maksimum sehingga 250 kilometer sejam (km/j).

Dengan kuasa sehebat itu, pecutan mampu mencapai kelajuan sehingga 100 (km/j) dalam masa 4.9 saat. Prestasi yang menyamai kebanyakan jentera supercar seperti Maserati, Ferrari dan Audi. Ia terbukti sewaktu ujian pecut ke Putrajaya. Kuasa yang tersembunyi di sebalik gaya penuh eksklusif itu mampu mencapai kelajuan 200 km/j dalam masa yang singkat.

Namun bukti prestasi bukan sekadar pada susunan nombor-nombor berikut tetapi enjin 48 injap itu juga mampu memberikan kelancaran dan kestabilan walaupun di atas permukaan jalan yang beralun. Sokongan kestabilan termasuk penstabilan anti golek, kawalan brek dinamik (DSC), kawalan tarikan dinamik, (DTC) serta kawalan brek ketika membelok yang beroperasi serentak dan tidak mampu disedari pemandu.

Sistem suspensi yang boleh diselaras pada tiga tahap ketinggian memberikan keselesaan di dalam kabin seperti bererahat di atas sofa rumah sendiri. Malah sebarang pergerakan di dalam kabin juga mampu dikesan untuk keseimbangan semula.

ENJIN V12 6.6 liter yang memberikan kuasa setanding dengan kenderaan supercar.

No comments:

Post a Comment