TAK kira kerjaya atau hobi, fotografi menjanjikan pengalaman yang tidak ternilai harganya. Ia bukan sekadar rakaman detik-detik penting malah seringkali membawa penggiatnya ke lokasi-lokasi unik di seluruh dunia. Di kalangan jurugambar yang serius dan bercita-cita tinggi, mereka memasang impian pada lokasi-lokasi tertentu mengikut kecenderungan subjek yang digemari.
Jika impian muktamad kebanyakan pelancong lebih kepada destinasi yang mempunyai binaan binaan paling ajaib di dunia, jurugambar memilih syurga mereka dengan tersendiri. Berikut antara lokasi yang paling digilai jurugambar dari seluruh dunia mengikut kategori.
Hidupan Liar-Antartika
Persekitaran yang lain daripada yang lain mampu membawa jurugambar kepada subjek-subjek yang tidak ramai berpeluang merakam. Selain keindahan ketulan ais gergasi, tarikan di bahagian kutub selatan itu semestinya hidupan liar unik seperti beruang kutub, penguin, serigala dan anjing laut.
Meskipun sering memberi cabaran cuaca paling ekstrem, kesunyian Antartika dikatakan mampu memberi kejutan yang paling muktamad. Lokasi lain yang popular untuk rakaman hidupan liar termasuk di Tanzania, Taman Negara Masai di Kenya, Taman Negara Yellowstone di Amerika Syarikat dan Galapagos.
Budaya- Mongolia
Merupakan antara lokasi paling asing di kalangan pelancong komersial. Mongolia yang seakan-akan terpisah dengan dunia luar menyimpan kekayaan nilai budaya antara yang paling tidak 'tercemar' di dunia.
Kehidupan masyarakat di kawasan tanah tinggi itu dipenuhi dengan cara hidup dan adat istiadat. Persembahan tarian dan kumpulan nyanyian anak tekak di penempatan yurt misalnya mampu membuatkan kamera tidak berhenti bekerja.
Festival Nadam yang diadakan pada bulan Julai setiap tahun menampilkan lumba kuda dan unta, gusti tradisional, aktiviti memanah dan penjinak burung helang adalah antara tarikan yang pastinya tidak akan mengecewakan.
Selain tarikan budaya , keindahan landskap berhampiran dengan rabung dunia itu sendiri cukup memukau. Cabaran utama merakam gambar di Mongolia adalah kerana anda mungkin kesuntukan masa. Pusat kebudayaan dunia lain yang popular termasuk Papua New Guinea, Xinjiang (China), Sicily (Itali) dan India.
Alam semulajadi - Amerika Syarikat
Negara yang besar sememangnya menyembunyikan banyak destinasi menarik untuk diselongkat, bahkan sebahagian besar daripada destinasi pelancongan di negara ini masih tidak begitu popular.
Padang rumput Palouse di bahagian barat laut Amerika Syarikat misalnya antara lokasi terbaik untuk mereka yang gemarkan fotografi landskap alam. Keindahan padang rumput beralun itu pada masa kini boleh dilihat pada paparan wallpaper terkenal Windows.
Di kawasan ini, susunan bukit-bukit bonjol seperti yang biasa dilihat di tengah padang pasir memberikan pemandangan yang cukup luar biasa sebaik sahaja pancaran matahari mula menembusi awan.
Selain Palouse, Taman Negara Yellowstone di Wyoming yang pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat Red Indian suatu ketika dahulu kaya dengan tarikan alam semulajadi, geologi dan hidupan liar.
Pancutan air panas, tasik, aliran sungai yang membelah ngarai yang tinggi melangit adalah jaminan kepuasan di taman negara antara yang terbaik di dunia ini.
Selain Amerika Syarikat, syurga merakam gambar landskap tidak dapat dipisahkan dengan negara-negara seperti Ireland, Scotland dan Arab Saudi.
No comments:
Post a Comment