Tiada apa yang dapat diperhatikan di sekeliling kecuali biru air laut yang lama-kelamaan menjadi semakin gelap. Begitu juga dengan penurunan suhu yang dirasakan sangat drastik. Perasaan tersebut memberikan pengalaman yang baru, ketenangan yang tidak pernah dirasai saya selama ini.
Berbeza dengan lokasi selam yang dipenuhi terumbu karang yang berwarna-warni, kali ini kami memilih untuk dicampakkan lebih jauh dari tebing pulau dengan matlamat yang berbeza. Lokasi menyelam adalah di Gua Jerung atau lebih dikenali dengan nama Shark Cave di Terumbu Layang-Layang, Sabah.
Matlamat kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang penyelam dengan iringan Amanda sebagai Divemaster pada tengah hari itu adalah untuk menjejak dan melihat kumpulan ikan jerung dari jarak yang lebih dekat. Dari kedalaman lima meter, kami turun sehingga komputer selam yang dipakai menunjukkan paras 28 meter. Selaman menjadi rekod peribadi penulis yang tidak pernah melepasi kedalaman itu.
Pandangan mata ketika itu hanya dikunci pada dua perkara iaitu komputer selam Suunto dan Amanda untuk menantikan tunjuk arah daripadanya. Pada masa sama, debaran melakukan selaman dalam itu semakin dirasai. Dengan menggunakan jari telunjuk, Amanda menarik perhatian kami lalu memberi isyarat kepada apa yang sedang menunggu kami di dasar.
Dari kedalaman 30 meter, mata kini tertumpu pada setompok pasir putih yang menjadi tempat rehat sekumpulan jerung. Saiz jerung-jerung yang dilihat dari atas itu semakin lama semakin membesar sebelum kami mendarat pada kedalaman 38 meter. Ketika itu tidak kurang lima ekor jerung sedang berlegar di sekitar gantungan batu yang berbentuk seperti gua. Di luar lerengnya adalah jurang sedalam 2,000 meter yang menjadi habitat beberapa spesies seperti jerung kelabu, jerung sirip putih dan hitam.
Berdepan dengan penghuni laut yang paling ditakuti itu memberikan saya peluang untuk merakam dengan lebih dekat. Pertembungan paling dekat adalah kira-kira dua meter apabila seekor jerung kelabu sepanjang 2 meter setengah melintas lalu.
Namun merakam gambar objek yang bergerak dalam cahaya yang nipis bukan sesuatu yang mudah. Malah pada kedalaman hampir 40 meter itu, kamera yang digunakan sudahpun menunjukkan tanda-tanda 'tidak waras' apabila beberapa butang tidak lagi berfungsi akibat tekanan (kembali normal pada kedalaman lebih cetek).
Walaupun sering dikaitkan dengan keganasan filem Jaws, jerung bagi kebanyakan penyelam adalah spesies yang unik dan menakjubkan. Keindahan gerak dan tari cukup untuk menjadikannya haiwan laut tercantik walaupun tanpa warna seperti ikan-ikan lain.
Bagaimanapun, selaman pada kedalaman setinggi bangunan 10 tingkat itu tidak membenarkan kami untuk kekal lama di dasarnya. Sepanjang tempoh tidak sampai lima minit di situ, komputer selam beberapa kali memberikan amaran supaya naik ke permukaan.
Itulah sebahagian daripada cabaran selam skuba. Menarik dan penuh dengan debaran. Namun harus diingat bahawa selam rekreasi tetap memerlukan perancangan yang betul dan pemantauan penyelam pakar.
"Menyelam skuba adalah aktiviti yang selamat. Tapi ia lebih selamat jika kita sentiasa berwaspada dikala kita dalam keadaan yang merbahaya,'' ujar Amanda selepas selaman berakhir.
JERUNG DIANCAM KEPUPUSAN
PENGALAMAN menyelam bersama jerung bukanlah sesuatu yang terlalu pelik. Pada masa kini penyelam skuba masih berpeluang melihat jerung di mana-mana lokasi selam di dunia.
Di negara ini misalnya, lokasi seperti Sipadan, Mabul, Pulau Redang, Tioman dan Tenggol menawarkan pengalaman 'menyelam bersama jerung' bagi yang bernasib baik.
Di Shark Point, Pulau Perhentian, penyelam snorkel masih boleh melihat jerung-jerung kecil di beberapa lokasi sekitar kawasan Taman Laut.
Di Pulau Layang-Layang, Sabah (Perairan Spratly), spesies jerung yang jarang ditemui seperti jerung harimau yang membesar sehingga saiz lima meter panjang juga pernah ditemui.
Namun seperti di mana-mana lokasi di dunia, populasi jerung di negara ini juga semakin berkurangan akibat pemburuan yang berterusan.
Hakikatnya juga, haiwan yang dianggap merbahaya itu sebenarnya menerima ancaman yang jauh lebih hebat daripada manusia itu sendiri.
Contoh terbaik adalah 'penyalahgunaan' sirip ikan itu sebagai hidangan 'wajib' di dalam majlis perkahwinan masyarakat Cina. Menurut kajian antarabangsa, kira-kira 40 ekor jerung dibunuh untuk setiap majlis perkahwinan.
Spesies laut yang mampu memberi lebih ancaman berbanding jerung.
hai encik penulis... cantik la gambar spesies laut yg mampu memberi ancaman berbanding jerung tu... tahniah... :-)
ReplyDelete