Sep 30, 2010

Selaman Oktober

Stingray yang menghuni lokasi selam di D'Lagoon.
Agak mudah untuk ditemui (click untuk image lebih besar)

OKTOBER menandakan bulan penutup tirai aktiviti selam skuba di Semenanjung Malaysia. Tempoh sebulan yang tinggal menawarkan peluang akhir tahun bagi yang ingin melepaskan gian sebelum musim tengkujuh bermula.

Ini kerana menjelang November, pulau-pulau di sebelah Pantai Timur akan ditutup di mana penyelam perlu menunggu selama lebih empat bulan sebelum resort dan calet kembali beroperasi pada Mac berikutnya.

Hakikatnya, tidak ramai yang masuk ke pulau di antara Oktober hingga November. Biasanya ketika itu, pantai berpasir putih dan halus seperti di Pulau Perhentian, Redang dan Tioman hanya dipenuhi pelancong asing.

Hal ini berlaku kerana ramai beranggapan bahawa laut sudah mula bergelora dan agak merbahaya untuk perjalanan menaiki bot. Padahal musim tengkujuh di pantai timur hanya bermula pada November.

Jika anda salah seorang daripada mereka yang masih belum berpuas hati melihat keindahan dasar laut pada tahun ini, bulan selam terakhir itu tidak harus dilepaskan.
Bukan itu sahaja, selaman pada bulan itu juga mungkin menjadi selaman terbaik pada tahun ini kerana air laut berada pada tahap paling jernih.

Tempoh pertukaran sebelum musim tengkujuh di Pantai Timur dikatakan memberi kejernihan air yang luar biasa. Bagi penyelam, jarak penglihatan antara 20 hingga 30 meter bukan sesuatu yang mudah diperolehi.

Ia bukan sekadar omongan tetapi penulis sendiri pernah menyaksikan kejernihan seperti itu semasa menyelam di Pulau Perhentian Kecil, Terengganu, pertengahan tahun lalu.

Lebih bernasib baik, penulis baru-baru ini menyaksikan sekali lagi kejernihan air laut di dua lokasi selam di Pulau Perhentian semasa turun di dua lokasi iaitu D'Lagoon dan Sugar Wreck.

Begitulah laut, tiada yang dapat menentukan nasib di tangan sendiri. Ramalan dan panduan hanya dibuat berdasarkan petanda dan kebiasaan. Bagi orang-orang pulau, kejernihan air pada bulan Oktober sememangnya sudah lama diketahui.

Kejernihan air yang juga dinikmati oleh para penyelam snorkel

Walaupun jinak, Moray Eel juga berpotensi untuk menyerang manusia.

Birgit Weber, 43, yang berpengalaman menyelam lebih daripada 10 tahun di Pulau Perhentian berkongsi pendapat yang sama semasa ditemui di pusat selam Turtle Bay yang terletak di pantai Pasir Panjang, Perhentian Kecil.

Menurutnya, minggu-minggu terakhir sebelum musim tengkujuh adalah masa yang paling ditunggu-tunggu oleh penyelam setiap tahun.

"Pertukaran angin dan cuaca sebelum munculnya gelora laut biasanya datang bersama hadiah yang cukup istimewa.

"Ketika itu, penyelam boleh melihat kemeriahan terumbu karang yang bewarna-warni dengan biasan air laut yang berkilau-kilau,'' katanya.

Kejernihan bulanan

Sekumpulan ikan Barracuda yang ditemui di lokasi selam Sugar Wreck

Pada pertemuan itu, Birgit sempat berkongsi satu lagi tip untuk mendapatkan kejernihan terbaik bagi yang tidak berpeluang menyelam pada Oktober.

Katanya, peluang menyelam dengan jarak penglihatan paling jauh (jernih) boleh diperolehi pada setiap bulan, biasanya selepas kemunculan 'bulan baru' iaitu kira-kira dua minggu selepas bulan penuh.

"Jika bulan 'senyum' kepada kamu, maka kehadiran anda untuk menyelam tidak mengecewakan,'' ujarnya merujuk kepada bentuk bulan sabit.

Menyelam di Turtle Bay Divers


SEBAGAI salah satu daripada pusat selam terawal yang beroperasi di Pulau Perhentian, Turtle Bay Divers menjanjikan kepuasan kepada penyelam melalui pengalaman dan khidmat terbaik.

Dengan pengendalian enam Instructor dan enam Divemaster yang boleh bertutur dalam bahasa utama seperti Inggeris, Perancis dan Jerman, pusat selam ini mampu mengendalikan empat hingga lima sesi selaman setiap hari.

Selain kebersihan yang sentiasa terjaga rapi, pusat selam juga dilengkapi peralatan selam yang diselenggara dengan baik bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pelanggan.

Di Turtle Bay Divers, pelanggan boleh melakukan empat selaman pertama pada harga RM70 (termasuk peralatan) dengan selaman selebihnya pada harga RM60 per selam.
Selaman bot, selaman kapal karam dan selaman malam dilakukan menggunakan bot-bot saiz sederhana yang memuatkan lapan hingga 10 penyelam.

Bagi yang bercadang untuk mendapatkan lesen selam laut terbuka (Open Water) pada musim depan, Turtle Bay Divers menawarkan pakej berharga bawah RM1,000
dalam masa tiga hingga empat hari.

Dari Kuala Lumpur, perjalanan bas ke jeti Kuala Besut boleh didapati setiap hari. Dari jeti, bot ke Pulau Perhentian Kecil (pergi-balik) selama 40 minit berharga RM70 tidak termasuk yuran Taman Laut berharga RM5.

Harga yang ditawarkan bergantung kepada pilihan tempat penginapan antaranya Panorama, Bubu Resort, Rock Garden, Bintang dan Mama's Place.

Maklumat lanjut mengenai operasi pusat selam ini boleh diperolehi dari laman web www.turtlebaydivers.com, menghubungi emel yaakub@tm.net.my atau talian 03-7803 3994.

1 comment:

  1. Nice review.
    Next time aku nk try turtle bay gak lahhhh!!

    ReplyDelete