Sep 17, 2010

Fahami fungsi Live View


SATU daripada kehebatan terawal yang dibina pada kamera digital adalah fungsi Preview yang membolehkan gambar dilihat sejurus selepas ia dirakamkan. Tidak lama selepas itu, satu lagi ciri-ciri penting diperkenalkan, fungsi Live View.

Pada tahun 2000, Canon menjadi pengeluar kamera pertama yang menawarkan fungsi Live View dengan kawalan aktif melalui model PowerShot G1.

Paparan imej bergerak mengikut masa sebenar (real time) itu menjadi antara fungsi terpenting dalam perkembangan pengimejan moden.

Ciri-cirinya membantu rakaman gambar dilakukan dengan lebih mudah sehinggakan teknologi yang digunakan pada kamera kompak itu dipindahkan pada kebanyakan kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR).

Hakikatnya pada masa kini masih ramai di kalangan pengguna-pengguna DSLR yang tidak memanfaatkan sepenuhnya fungsi itu.

Walhal dalam keadaan-keadaan tertentu, penggunaan Live View terbukti menghasilkan gambar dengan lebih mudah dan lebih baik. Berikut disenaraikan beberapa kondisi dan kelebihan penggunaan Live View.

Sudut rakaman luar biasa

Pertama sekali, Live View memberi lebih kebebasan kepada pengguna untuk melihat subjek pada skrin LCD di belakang kamera tanpa perlu menilik dan mengendap pada lubang pandangan (viewfinder).

Di kalangan mereka yang serius dalam seni fotografi, fungsi Live View dikatakan memberi keupayaan kepada jurugambar untuk merakam dari sudut-sudut yang mustahil dilakukan sebelum itu.

Misalnya, seseorang jurugambar tidak perlu lagi mencium tanah untuk mendapatkan gambar pohon cendawan kecil yang tersembunyi di celah rumput. Dalam kata lain, pengguna hanya perlu tahu meletakkan kamera pada tempat yang betul.

Tambahan pula, sudut rakaman memainkan peranan penting dalam menentukan sesuatu gambar itu baik atau sebaliknya.

Bahkan undang-undang fotografi juga tidak membenarkan rakaman daripada paras mata semata-mata. Gambar daripada sudut yang berbeza mampu menghasilkan impak yang lebih dramatik.

Paparan Live View juga memaparkan imej yang mahu dirakam tampak lebih besar pada skrin LCD. Selain itu, Live View juga menyediakan garisan sebagai panduan untuk rakaman gambar tidak senget dan condong terutama untuk rakaman landskap.

Penggunaan tripod

Fungsi Live View yang disiarkan pada skrin beresolusi tinggi juga membantu rakaman ketika menggunakan tripod menjadi lebih baik.

Untuk rakaman pemandangan bandar di waktu malam misalnya, warna dan kecerahan pada skrin memberi gambaran penyelarasan yang diperlu dilakukan.

Selain itu, kombinasi tripod dengan Live View juga amat berkesan untuk aktiviti malam dan ketika menggunakan lensa zoom. Pada waktu malam pula, paparan imej boleh dicerahkan mengikuti kesesuaian mata pengguna.

Fungsi penting lain termasuk pemfokusan lebih tepat yang memberi kelebihan kepada penggemar fotografi makro (bunga, serangga dan benda-benda halus).

Fungsi pembesaran imej semasa pemfokusan auto (AF) memberikan lima hingga 10 kali pembesaran subjek dengan hanya menekan butang kunci AF / AE (+).

Selain imej yang benar-benar tepat, paparan graf gambar (histogram) membantu pengguna mendapat dedahan (exposure) paling tepat.

Canon menawarkan fungsi Live View pada semua DSLR, bermula dengan model permulaan Canon 1000D yang dijual pada harga kira-kira RM1,800.

Pilihan kamera Canon yang dilengkapi fungsi Live View termasuk 40D, 50D, 60D, 450D, 500D, 550D, 1D Mark III, 1Ds Mark III, 5D Mark II, 7D, 1D Mark IV.

No comments:

Post a Comment