Sep 28, 2010
BAGI mereka yang menggemari aktiviti lasak dan ingin menguji semangat pertandingan, perlumbaan Genting Trailblazer 2010 yang bakal berlangsung pada 30 dan 31 Oktober ini adalah jawapannya. Seperti tahun-tahun lalu, perlumbaan yang akan diadakan di hutan Awana Genting Golf & Country Resort, Genting Highlands itu pasti menjanjikan cabaran fizikal dan mental kepada peserta.
Buat pertama kalinya, pada tahun ini penganjur mengumumkan penutupan penyertaan lebih awal bagi Kategori Adventure ekoran sambutan yang begitu menggalakkan. Namun acara yang masuk tahun keenam itu tetap menjanjikan lebih peluang kepada peminat lumba lasak di negara ini melalui pengenalan kategori terbaru iaitu merentas desa atau Cross Country, seperti yang dipraktikkan dalam larian rentas desa antarabangsa.
Ujian ketahanan fizikal dan mental secara solo merentas desa di hutan hujan tertua itu akan dilepaskan pada hari Sabtu 30 Oktober. Larian tanpa halangan itu melibatkan jarak 12 kilometer (km) bagi lelaki manakala 8 km bagi wanita.
Untuk larian merentas desa sahaja, hadiah wang tunai berjumlah lebih RM20,000 ditawarkan kepada pemenang bagi enam kategori berbeza iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Junior, Wanita Junior, Lelaki Veteran dan Wanita Veteran. Habuan lain termasuk trofi dan hadiah iringan sumbangan penaja.
Peserta boleh memilih pakej penyertaan berharga RM108 (larian dan sarapan pagi) atau mendapatkan pakej lebih selesa pada harga RM318. Pakej kedua itu diserta penginapan, sarapan dan tambahan RM30 dikenakan untuk makan malam.
Sementara itu, seramai 1,000 peserta (500 pasukan) akan berentap di dalam kategori Adventure pada hari Ahad 31 Oktober. Seperti tahun lalu, saingan dijangka semakin sengit dengan penyertaan atlet-atlet dalam dan luar negara. Genting Trailblazer 2010 yang dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) sekali lagi menuruskan usaha pemeliharaan alam menerusi acara sukan tanpa sisa buangan.
Usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kumpulan Genting dalam usaha memupuk kesedaran orang ramai tentang pemeliharaan alam, khususnya flora dan fauna.
Acara kali ini ditaja oleh Nestle (Milo), Brooks, Perskindol, 100 PLUS, SONY Walkman, Celebrity Fitness, ING, Red Bull, Coleman, Suunto, Deuter, Spritzer, PowerBar, ADL dan Bootcamp.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment