Jun 3, 2010
Kelirukan hantu dengan Kerchang
PERMAINAN skrabel dan susun suai gambar (jigsaw) dikenali sebagai alat yang dimain untuk mengasah kecerdasan minda namun tidak ramai yang mengenali Kerchang, sejenis alat permainan yang dibuat daripada gelung rotan dan bertali. Seperti permainan dari Barat (jigsaw dan skrabel), permainan tradisional masyarakat Orang Asli Jakun itu juga dimainkan untuk melatih seseorang berfikir dengan lebih tajam.
Bahkan di kalangan masyarakat Jakun, Kerchang bukan sekadar permainan yang dimainkan oleh kanak-kanak tetapi mempunyai keunikan dan kisah yang tersendiri. Jika melawat Kampung Peta yang terletak berhampiran dengan Kompleks Pelawat di Taman Negara Endau Rompin, pelancong akan disambut oleh Awang Kudi. Beliau merupakan individu yang gigih mempertahankan warisan turun-temurun itu dengan menghasilkan Kerchang untuk dijual kepada pelancong.
"Setiap set permainan Kerchang ini mempunyai ceritanya tersendiri," ujar Awang sambil menghulurkan beg plastik berisi alat permainan itu.
Dalam bungkusan itu terdapat tujuh set permainan Kerchang yang setiap satu mempunyai nama dan cara permainan yang berlainan. Setiap bungkusan seperti itu dijual sebagai cendera hati pada harga RM10. Ketika kumpulan kami asyik memerhatikan bentuk-bentuk Kerchang yang dihasilkan, Awang mengalih tumpuan kami dengan menghulurkan satu daripada set permainannya.
"Ini adalah Kerchang Tiga Langkah, ia adalah permainan yang paling mudah untuk diselesaikan," katanya sambil menunjukkan cara memainkan alat itu dengan pantas.
Nyata 'teka-teki' untuk memasuk dan mengeluarkan semula tali melalui gelung-gelung rotan itu tidak semudah seperti yang ditunjukkan oleh Awang. Ia hanya berjaya dilakukan setelah beberapa kali percubaan dan tumpuan yang teliti. Selepas itu Awang menunjukkan cara permainan Kerchang Rama-Rama, Kerchang Tipah Tertipu, Kerchang Kawin, Kerchang Dua Lubang, Kerchang 12 dan 7 Langkah. Kemudian Awang duduk di kerusi tempat dia bekerja untuk menyambung cerita.
Menurut Awang, permainan Kerchang berasal daripada kaedah dan kepercayaan masyarakat orang Jakun untuk melepaskan diri daripada gangguan makhluk halus semasa sesat di hutan.
Sejarah permainan dikatakan bermula apabila seorang pemuda kampung yang masuk mencari rotan di hutan tersesat setelah laluannya 'ditutup' oleh hantu.
Selepas beberapa kali melalui jalan yang sama, pencari rotan itu berhenti rehat dan mencipta satu gelungan Kerchang. Selepas dimainkan, dia mencampakkan Kerchang ke dalam semak dengan harapan hantu yang menganggu akan leka ketika cuba menyelesaikan teka-teki yang sama. Dijadikan ceritakan, pemuda yang sesat itu kemudian berjaya menemui jalan pulang ke kampungnya. Sejak itu, permainan Kerchang mula dimainkan oleh Orang Asli Jakun sehingga hari ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment